Friday, 1 May 2015

Penyimpan Sijil Simpanan Premium BSN menang kereta BMW 320-i


KUALA TERENGGANU - Dua pesara dari Terengganu‎ masing-masing mendapat kereta BMW 320-i dan Perodua Axia apabila memenangi cabutan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi bulan Mac.

Pesara guru Samsuddin Mohammad, 63, dari Kampung Bukit Bayas dekat sini yang menyimpan sejak 2013 memenangi kereta BMW dan pesara jururawat dari Paka, Dungun, Ramlah Ariffin, 61, memenangi kereta Perodua Axia melalui simpanannya sejak 1990-an.

“Saya baru simpan tetapi saya bernasib baik dan bersyukur di atas hadiah yang diperolehi,” kata Samsuddin kepada pemberita pada majlis penyerahan hadiah oleh Ketua Deposit dan Transaksi Perbankan BSN Terengganu, Mohd Fazli Ibrahim di sini hari ini.

Ramlah berkata beliau sebelum ini memenangi Proton Waja pada 2004. 

- Sumber: Bernama

Mayat ditemui berulat dalam longkang

Anggota Polis mengangkat mayat seorang lelaki warga asing yang ditemui dalam keadaan berulat di dalam longkang di padang bola sepak Penjara Alor Setar berhampiran Wisma Darul Aman, kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki warga asing ditemui dalam keadaan berulat dalam longkang di padang bola sepak Penjara Alor Setar berhampiran Wisma Darul Aman di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai penemuan mayat pada 10.20 pagi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pada badan mangsa berusia 30-an itu pihaknya menemui satu kad nama dan alamat mangsa dan masih menyiasat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi di sini. 

- Sumber: Bernama

Polis rampas 410 kg dadah di Bukit Bintang‎


SHAH ALAM – Polis membuat rampasan dadah jenis erimin 5 sejumlah 410 kilogram di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman mikro Twitternya petang ini berkata, lapan individu turut ditahan dalam operasi yang dibuat Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik Polis Diraja Malaysia (Sting).

“Syabas kepada pasukan Sting PDRM yang berjaya menangkap lapan orang dan merampas 410 kilogram dadah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur,” katanya seperti yang dipetik menerusi laman Twitternya.

Khalid berkata, jumlah rampasan adalah 1.4 juta biji pil bernilai RM21 juta.

- Sumber: Sinar Harian 

Seribu sertai perarakan #KitaLawanGST 1 Mei


Perarakan adalah anjuran Jawatankuasa Mei 1 -Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 1,000 peserta hari ini berhimpun di Pasar Seni bagi mendesak kerajaan membatalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kumpulan dari NGO Jawatankuasa Mei 1 itu merupakan sebahagian dari himpunan #KitaLawanGST dari pelbagai lokasi berlainan yang berarak menuju ke KLCC.

Agenda himpunan tersebut turut menyaksikan pembacaan 'Deklarasi 1 Mei' yang menuntut 10 perkara dari kerajaan.

Deklarasi yang dibacakan pengerusi LENSA, Syukri Razak, antaranya menuntut supaya GST dibatalkan, rundingan TPPA dihentikan, gaji minima dikaji semula, hak kesatuan pekerja diperkasakan, hak pekerja wanita ditegakkan, hak pekerja migran tidak dieksploitasikan, penswastaan pekhidmatan asas seperti air dihentikan, kebebasan media ditegakkan, harga barang dikawal dan AUKU dimansuhkan.

Kumpulan tersebut kemudiannya berarak dari Pasar Seni ke KLCC dan tiba pada kira-kira jam 4.10 petang untuk bertemu dengan peserta himpunan yang lain.

Turut hadir bersama kumpulan Jawatankuasa Mei 1 itu ialah Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvam, Datuk S Ambiga, aktivis ABU Haris Ibrahim dan wakil-wakil pelajar, pekerja serta NGO.

Perhimpunan turut dikawal ketat oleh anggota polis.

Selain itu perhimpunan turut dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Negara.

Salah seorang peserta perarakan #KitaLawanGST menggunakan topeng - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Perhimpunan turut disertai oleh Himpunan Hijau, Bersih, Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), kumpulan-kumpulan Sivil, anak muda, pelajar dan mahasiswa, komuniti orang asal, peneroka bandar dan pekerja ladang.

- Sumber: Astro Awani 

Penyampai berita Astro AWANI Ashwad Ismail, Raja Nadia selamat bernikah

Penyampai berita Astro AWANI, Ashwad Ismail selamat bernikah dengan penerbit stesen radio ERA.fm, Raja Nadia Salwana pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Penyampai berita Astro AWANI Ashwad Ismail, 30, dengan sekali lafaz telah selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya, Raja Nadia Salwana atau lebih dikenali sebagai Nana, yang juga merupakan penerbit kepada stesen radio ERA fm.

Pasangan ini telah selamat bernikah sekitar jam 10.18 pagi dengan mas kahwin sebanyak RM300.

Menariknya tentang pasangan ini, kedua-dua mereka telah bertemu jodoh di atas minat masing-masing terhadap sukan tenis.

Tahniah dan semoga jodoh mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.

- Sumber: Astro Gempak 

Lagi serangan gas klorin di Syria

Mangsa keracunan gas klorin mendapatkan rawatan ketika insiden serangan sama dilaporkan berulang di Syria sebelum ini.

DAMSYIK - SYRIA. Kumpulan Rangkaian Hak Asasi Manusia di Syria, kelmarin mendakwa satu lagi serangan senjata kimia dipercayai berlaku di barat laut Idlib.

Menurut saksi beberapa helikopter milik tentera kerajaan melepaskan sekurang-kurangnya dua tong mengandungi gas klorin ke atas bandar Saraqeb hingga menyebabkan kira-kira 12 penduduk mengalami sesak nafas.

Dalam satu kenyataan, ketua pembangkang utama Syria mendedahkan beliau menerima laporan itu ketika menghadiri mesyuarat tertutup dan tidak rasmi bersama Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

"Saya mendesak UNSC supaya bertindak tegas terhadap resolusi dikeluarkan oleh mereka terhadap penggunaan senjata kimia di Syria termasuk yang baharu dikuatkuasakan pada bulan lalu," kata Presiden Gabungan Kebangsaan Syria (SNC), Khaled Khoja.

Sebelum ini, banyak pihak menuduh kerajaan Syria bertanggungjawab mendalangi serangan senjata kimia sejak perang saudara tercetus di negara itu pada 2011, namun dinafikan oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.

Difahamkan, gas klorin tidak diisytiharkan sebagai senjata kimia di bawah perjanjian bersama Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang menetapkan kesemua senjata kimia milik Syria dimusnahkan mengikut tarikh ditetapkan agensi antarabangsa itu pada 2013. 

- Sumber: Al-Arabiya

Transmisi TV digital dalam peringkat percubaan

Ahmad Shabery Cheek

ROMPIN - Transmisi siaran televisyen digital kini dalam peringkat percubaan dengan penggunaan stesen pemancar di beberapa kawasan di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kementerian amat komited dalam proses peralihan sistem televisyen (TV) analog kepada sistem TV digital selaras dengan perkembangan trend penyiaran dunia yang mahukan lebih banyak rancangan interaktif.

"Apabila TV digital ini berjaya dilaksanakan nanti, dua juta set ‘top box’ akan dibekalkan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka menikmati siaran televisyen dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas melawat tiga Pusat Daerah Mengundi di Gading, Kedaik dan Keratong sempena PRK Parlimen Rompin di sini hari ini.

Menyentuh mengenai Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ahmad Shabery berkata, stesyen penyiaran negara itu perlu menyiarkan lebih banyak berita berkonsepkan rakyat bagi memastikan suara mereka terus didengar.

“Selain itu, RTM perlu mewujudkan saluran berita bersifat 'berita mutakhir' dan 'tepat masa' yang dikehendaki penonton terutama menjelang era digital ini.

"Konsep waktu perdana jam 8 malam sudah dianggap ketinggalan dan berita mutakhir ini merupakan kaedah baharu dalam dunia penyiaran yang mana rakyat mahukan lebih banyak berita bersifat 'secara langsung' terus kepada penonton," katanya.

Beliau berkata tenaga kerja dan kakitangan RTM juga perlu berubah dalam budaya kerja untuk memaparkan berita yang berterusan kepada rakyat.

Ahmad Shabery berkata RTM walau bagaimanapun telah memulakan siaran saluran berita berformat baharu sejak September tahun lepas yang disiarkan di RTM1 dikenali sebagai 'BES 5-10' (Berita Ehwal Semasa).

Melalui siaran berkenaan, RTM bukan sekadar memberikan liputan mendalam mengenai dasar dan rancangan kerajaan, malah memaparkan aktiviti-aktiviti rakyat yang sedang berlangsung di seluruh negara.

"Dulu jam 8 malam hanya dimonopoli oleh berita pemimpin dengan BES 5-10 kita ada tempoh lebih untuk menyiarkan cerita rakyat seperti perkembangan Felda, Dewan Rakyat, masalah nelayan dan sebagainya," katanya. 

- Sumber: Bernama

Pasar raya terkenal didakwa angkara kacang bendi


SHAH ALAM - Sebuah pasar raya terkenal bakal menjadi premis pertama dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menaikkan harga kacang bendi melebihi 50 peratus, empat bulan lepas.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata pasar raya yang terletak di Bangi itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 14(1) akta berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya mengesan kenaikan harga sayur tersebut hasil aduan orang ramai dan mendapati pemilik pasar raya itu telah menaikkan harga sayur berkenaan pada sekitar Januari lepas.

Beliau berkata dakwaan tersebut dibuat hasil pemeriksaan lanjut yang menunjukkan harga sayur berkenaan telah dinaikkan daripada RM12 sekilogram iaitu harga pasaran yang ditetapkan kepada RM18.60.

"Pemilik pasar raya tersebut akan didakwa pada Selasa ini kerana mengaut keuntungan sebanyak RM6.60 iaitu melebihi margin sepatutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, jika sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda mengikut Seksyen 18(a) akta sama iaitu didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama atau tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua. 

- Sumber:  Bernama

Ranking Chong Wei merudum di kedudukan ke-45 dunia


Kedudukan bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei jatuh ke tempat ke-45 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia.

KUALA LUMPUR: Selepas dijatuhi lapan bulan penggantungan akibat kesalahan kes doping, kedudukan bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei jatuh ke tempat ke-45 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Jaguh badminton negara itu kini berada di belakang Chong Wei Feng yang berada di ranking ke-31 dengan 35,199 mata, manakala pemain bebas Zulfadli Zulkiffli di tangga ke-41 selepas mengumpul 28,910 mata.

Berdasarkan ranking yang dikeluarkan di laman web rasmi BWF hari ini, www.bwfbadminton.org, Chong Wei kini mengumpul 27,631 mata yang diperolehnya sebelum didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos 2014.

Jumlah mata tersebut diraih menerusi kejohanan Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Piala Thomas sebelum pemenang pingat perak dua kali Sukan Olimpik itu digantung oleh BWF dari 30 Ogos 2014 hingga 30 April 2015.

Berikutan penggantungannya akan berakhir tengah malam ini, Chong Wei bakal membuat penampilan semula pada Piala Sudirman di Dongguan, China dari 10 hingga 17 Mei, sebelum beraksi di Sukan SEA Singapura Jun ini.

Pengumuman ranking itu meletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menentukan pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan Dunia 2015 di Indonesia dari 10 hingga 16 Ogos.

"BAM hanya boleh memilih dua pemain dalam acara perseorangan lelaki. Saya tidak boleh umumkan sekarang. Namun, jika Chong Wei terpilih, ia akan menjadi pilihan yang terbaik," kata Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Frost berkata Chong Wei perlu beraksi dalam kesemua kejohanan Siri Super bagi mendapatkan kembali statusnya sebagai pemain nombor satu dunia.

Musuh ketat Chong Wei iaitu Lin Dan dari China berada di tempat kedua dalam ranking dunia selepas mengumpul 75,050 mata, di belakang rakan senegaranya Chen Long yang meraih 91,061 mata.

- Sumber: Bernama

Tindakan KDN rampas buku di Pesta Buku tidak bijak

Antara buku-buku edaran Gerakbudaya yang dirampas ialah Money Logging, Hidup Bagaikan Sungai Mengalir; Marx Sang Pendidik Revolusioner; Hinduism Agama Tauhid Terawal?; Gautama Seorang Nabi?; Shiite Islam; dan The Holy Quran. Foto Facebook Gerakbudaya

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas beberapa buah buku di tapak gerai Gerakbudaya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur semalam merupakan tindakan yang tidak bijaksana, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Katanya, tindakan itu hanya akan menghangatkan lagi sesebuah buku itu di pasaran selain membina kontroversi dan memberi persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Dalam dunia tanpa sempadan, secara semulajadinya bila sesbuah buku itu diumumkan haram, buku itu mendapat promosi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut Sayed Munawar, rampasan terhadap buku seperti Money Logging juga akan menimbulkan persepsi bahawa pembalakan haram secara besar-besaran memang benar berlaku.

"Buku-buku seperti 'Hinduisme Agama Tauhid Terawal?' dan 'Gautama Seorang Nabi?' mungkin boleh difahami kenapa ianya dirampas, tetapi buku 'Money Logging' kenapa ianya dirampas?" soalnya.

Ujarnya meskipun KDN berhak menyiasat buku-buku tersebut serta tidak perlu memperjelaskan tentang rampasan yang dibuat, namun katanya orang awam juga perlu tahu tentang bidang kuasa mereka.

"Kalau hanya timbulkan persepsi negatif, penatlah," tambah Sayed Munawir.

Sementara itu, pengasas Gerakbudaya, Chong Ton Sin ketika dihubungi berkata buku-buku yang dirampas bukanlah buku yang baharu kerana ada di antaranya yang sudah lama diterbit dan dijual.

Katanya buku seperti 'Hidup Bagaikan Sungai Mengalir' telah berada di pasaran lebih 10 tahun.

Menurut Chong yang lebih mesra dipanggil Pak Chong, beliau telah dimaklumkan KDN bahawa buku-buku tersebut dirampas kerana disyaki melanggar undang-undang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"KDN kata dia akan periksa, kalau tak salah dia akan pulangkan," katanya.

Ditanya mengenai jumlah buku yang dirampas, Pak Chong berkata jumlah agak banyak meskipun beliau telah meminta KDN supaya hanya satu salinan untuk setiap buku.

"Banyak.. ada yang 17 salinan, ada yang 19 salinan. Buku seperti 'Hidup Bagaikan Sungai Mengalir' bukanlah buku yang baharu.. buku itu sudah lama, sudah 10 tahun," jelasnya.

KDN pada Khamis telah melakukan rampasan ke atas beberapa buah buku di gerai milik Gerakbudaya di Pesta Buku KL.

Antara buku-buku yang dirampas pada operasi yang dilakukan pada tengah hari itu termasuk Money Logging, Hidup Bagaikan Sungai Mengalir; Marx Sang Pendidik Revolusioner; Hinduism Agama Tauhid Terawal?; Gautama Seorang Nabi?; Shiite Islam; dan The Holy Quran.

Ia dipercayai rampasan buku yang pertama kali dibuat di tapak pesta buku tersebut yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Usaha untuk menghubungi pihak KDN bagaimanapun gagal. 

- Sumber: Astro Awani 

Kembalikan harga isian kad prabayar seperti sebelum GST, tegas Ahmad Maslan


Syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini dinasihatkan agar untuk kekal harga kad prabayar seperti sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas harga isian semula

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini dinasihatkan agar untuk mengembalikan harga kad prabayar seperti sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas harga isian semula seperti diputuskan dalam mesyuarat kabinet pada 3 April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata seharusnya tiada kenaikan harga yang berlaku memandangkan cukai 6% GST hanya menggantikan 6% SST.

“Saya kata memang ada GST, sebab dulu topup ada SST. SST 6%, kami tukar, ganti dengan GST 6%. Sepatutnya topup tidak naik harga dan mereka minta sebulan untuk buat kajian, sebulan untuk membuat perubahan dan sebulan itu mestilah sehingga awal bulan lima bukan?

“Kalau RM10.60 mereka boleh beri bonus, jadi RM9.43 ini mereka boleh beri bonus untuk mencukupkan kredit kepada RM10 pun tidak mengapalah. Itu permohonan dan permintaan dalam mesyuarat itu sahaja,” jelas beliau.

Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi danMultimedia Malaysia (SKMM) pada Khamis menjelaskan harga isian semulaprabayar kekal dikenakan GST ke atasharga isian semula.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Halim Shafie dalam satu kenyataan berkata mustahil harga kad prabayar akan kembali ke harga asal sebelum GST pada 1 Meikerana sukar untuk pihak pembekal untuk melaksanakan pertukaran dalam tempoh dua hari ini.

Beliau juga berkata hasil kajian masih belum didapati lagi dan terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan pada peringkat ini turut menyumbang kepada faktor harga kadbrayar tidak boleh kembali kepada harga asal sebelum GST.

“Dulu topup ada SST. SST 6%, kami tukar, ganti dengan GST 6%. Sepatutnya topup tidak naik harga. 
- Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri KewanganDalam pada itu Ahmad Maslan berkata pihak syarikat telco dan SKMM sepatutnya lebih serius dalam mematuhi arahan dengan mengembalikan harga asal kad prabayar itu.

“Pada 2 April, Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam berjumpa Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telco dan keputusannya caj yang dikenakan adalah RM10.60 dan akan mendapat RM1.20 bonus.

“Kemudian pada 3 April saya bermesyuarat dengan mereka untuk kembalikan hasrat rakyat yang mahukan ia kembali kepada RM10.

“Pada ketika itu, kabinet juga sedang bermesyuarat dan membuat keputusan, bahawa syarikat telco kena turunkan pada harga asal, selepas campur GST. Masalahnya kenapa SKMM tidak sampaikannya kepada telco? Keputusan kabinet mesti dipatuhilah,” jelas beliau.

Beliau berkata berikutan perkara itu, ianya telah melihatkan satu ketidakselarasan berlaku.

"Pihak Kastam sudah mengingatkan mereka pada dua hari lepas, namun baru tiba-tiba mereka baru perasan bahawa tinggal lagi dua hari (untuk kembalikan harga asal). Kenapa pula? Walhal sudah ada laporan-laporan akhbar yang melaporkan Datuk Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaa) minta harga telko ini kembali kepada RM10."

Tambah beliau, seharusnya pihak SKMM dan syarikat telko seharusnya sudah membuat tindakan selepas pengumuman kabinet itu dibuat pada 3 April.

Ahmad Maslan berkata demikian selepas selesai ditemu bual dalam Agenda AWANI.

- Sumber: Astro Awani 

Lagi kasanova laman sosial aniaya teman wanita, larikan RM65,000

KUALA LUMPUR: Seorang kasanova laman sosial berumur 21 tahun menipu dan mengugut kenalannya sehingga menyebabkan kerugian wang tunai sebanyak RM65,000 dalam kejadian di Taman Setapak Jaya sejak 21 April.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata suspek dikenali sebagai Kong Hou Woon, No kad pengenalan: 940612-01-6629 dan alamat terakhirnya No. 11, Jalan Cantik 2, Taman Cantik, 86200 Simpang Rengam, Johor.

Suspek dan mangsa yang berusia 20 tahun mula berkenalan melalui laman sosial WeChat sejak bulan lepas.

"Dalam kejadian pertama, pada 10 pagi 21 April itu, suspek datang ke rumah mangsa di Taman Setapak Jaya dan mengugut mangsa dengan sebatang besi hitam sebelum meminta mangsa menyerahkan sejumlah RM30,000.

"Suspek mengugut jika mangsa enggan berbuat demikian, dia akan bertindak menyebarkan gambar separuh bogelnya ke dalam internet. Mangsa yang takut, kemudiannya pergi ke bank sebelum mengeluarkan duit itu dan menyerahkan kepada suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di
sini, hari ini.

Mohamad Roy berkata keesokannya, suspek sekali lagi pergi ke rumah mangsa dan meminta wang RM35,000 lagi dengan menggunakan taktik yang sama bagi menakutkan mangsa.

Hasil maklumat daripada mangsa, siasatan polis mendapati suspek pernah menipu kenalan lain di laman sosial sebelum ini.

Selain itu, suspek juga dikehendaki polis dalam dua kes di Johor iaitu di Taman Pelangi dan Kulai.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu menghubungi Insp Fakrul Razi Mohd Sayuti di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222.

- Sumber: Bernama

Australian gallery removes Widodo portrait after executions

National Portrait Gallery director Angus Trumble said in a statement late Thursday he had removed the photographic portrait of Widodo given the strength of feeling about the executions.

SYDNEY: Canberra's National Portrait Gallery has taken down an image of Indonesian President Joko Widodo following the execution of two Australian drug smugglers, saying it feared for the artwork's safety.

Andrew Chan, 31, and Myuran Sukumaran, 34, were shot by firing squad in Indonesia on Wednesday over their role in the so-called "Bali Nine" heroin smuggling ring.

The executions of the two Australians, along with five other foreigners and one Indonesian, went ahead despite international criticism and calls for mercy from Canberra.

National Portrait Gallery director Angus Trumble said in a statement late Thursday he had removed the photographic portrait of Widodo given the strength of feeling about the executions.

"My feeling yesterday, on Wednesday morning, was that in view of the circumstances and our operations, and my best assessment of the risk of damage to the work of art, it was necessary to remove it from public display," he said in a statement.

"Also, I was swayed by the statements of both the prime minister and the leader of the opposition and of course the position of the parliament and the recall of our ambassador."

Prime Minister Tony Abbott said Australia deplored the killing of the men which he said was "both cruel and unnecessary", and recalled its ambassador to Indonesia.

Trumble said the removal of the image was a "temporary measure" and there had been no incidents relating to the work.

"My primary responsibility is the care of the works in our collection and the safety of our visitors," he said.

Trumble said he respectfully disagreed with the views of the artist who created the portrait, Adam Ferguson, "who feels the work should remain on display".

- Source: Astro Awani 

Bakal suami mabuk, pengantin perempuan hentikan majlis perkahwinan

Seorang gadis mengejutkan ahli keluarga dan orang kampungnya apabila menghentikan perkahwinannya selepas mendapati pengantin lelaki itu berada dalam keadaan mabuk di majlis perkahwinan mereka.

KUALA LUMPUR: Seorang gadis kampung dari daerah Mahoba mengejutkan ahli keluarga dan orang kampungnya apabila menghentikan perkahwinannya selepas mendapati pengantin lelaki itu berada dalam keadaan mabuk di majlis perkahwinan mereka pada 28 April lalu.

Menurut laporan The Times of India, kejadian ini berlaku pada malam Selasa di Kampung Ajnar apabila pengantin perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Neha enggan berkahwin dengan pengantin lelaki yang mabuk itu.

Neha sepatutnya diijabkabulkan dengan Arvind, seorang lelaki yang berasal dari Kampung Ragauli di bawah kawalan pihak polis Harpalpur di Madhya Pradesh pada 28 April.

Neha yang sudah bersedia untuk perkahwinan dengan solekannya sebagai pengantin perempuan membatalkan perkahwinannya pada saat akhir selepas melihat Arvind yang berada dalam keadaan mabuk itu bergaduh dengan adik – beradik Neha dan tetamu lain.

Berang dengan perbuataan pengantin lelaki tersebut, Neha terus meninggalkan majlis perkahwinannya itu.

Difahamkan, pertelingkahan itu bermula apabila imam yang melakukan mantra meminta DJ lagu untuk menghentikan lagunya sebentar kerana ia mengganggu upacara mantra di majlis perkahwinan tersebut.

Tindakan itu menyebabkan rasa tidak puas hati Arvind dan saudaranya lalu bergaduh dengan DJ lagu dan tetamu- tetamu lain yang hadir. Neha yang menyaksikan kejadian itu kemudian membatalkan perkahwinan tersebut.

Walaupun pada mulanya tindakan Neha membimbangkan ibu bapanya, orang kampung Neha memberi sokongan kepada keluarga tersebut dan meminta ibu bapa Neha untuk tidak memaksa gadis itu berkahwin. 

Menurut saksi, Arvind dan saudaranya yang berada dalam keadaan tidak stabil itu telah menimbulkan kekecohon besar di majlis perkahwinan tersebut. Malah, mereka juga telah menggunakan kata – kata kesat terhadap saudara- mara Neha.

Menurut ayah Neha, Shripat Ahirwar, dia tidak menolak keputusan anaknya apabila Neha membatalkan perkahwinan itu.

“Saya setuju apabila dia menolak berkahwin lelaki itu kerana saya tidak mahu paksa dia.

“Majlis perkahwinan itu seolah – olah kelab malam yang dipenuhi dengan orang mabuk,” kata Shripat.

Menurut Pegawai Stesen Harpalpu, Rajiv Yadav, keluarga pengantin lelaki itu kembali ke balai polis untuk melakukan laporan tetapi pihak polis tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana mereka tidak boleh memaksa seorang wanita untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak diminati. 

- Sumber: Astro Awani