KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 13 tahun dan bapanya antara empat ahli geng pecah rumah yang ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah stesen minyak di Kampung Gelung Gajah, Machang, Rabu lalu.
Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, ke atas kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki kesemua suspek pada jam 11.45 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, bertindak atas maklumat daripada Bilik Gerakan IPD Machang, polis menahan kereta berkenaan kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil soal siasat ke atas seorang daripada kesemua suspek berusia antara 13 dan 33 tahun itu, suspek mengaku melakukan jenayah pecah rumah di tiga daerah iaitu sekitar Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh antara awal September dan Oktober, tahun ini.
“Dalam penahan itu, seorang remaja tingkatan satu yang masih bersekolah ditahan bersama bapanya yang berusia 33 tahun. Seorang daripada mereka yang berusia 31 tahun adalah penjenayah yang dikehendaki kerana dipercayai terlibat dengan kejadian pecah rumah di Puchong, Selangor.
“Sementara seorang lagi suspek berusia 25 tahun. Kesemua mereka berasal dari negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, siang tadi.
Susulan penahan dan soal siasat yang dilakukan, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Machang dengan berpandukan seorang daripada suspek berkenaan pergi ke beberapa lokasi di sekitar Tanah Merah dan Machang untuk mengesan barang kes yang dicuri oleh geng berkenaan,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian