Friday, 18 October 2013

Menderita penyakit misteri: kepala dihantuk ke dinding kurangkan rasa sakit

Sedih lihat anak menderita penyakit misteri
Yaakob ( kiri) berharap anaknya Amirul yang menghidap penyakit misteri akan pulih


PONTIAN - Seorang bapa dari Kampung Parit Satu Sanglang, Benut, tidak dapat menahan sedih setiap kali melihat keadaan anak lelakinya yang menghidap penyakit misteri sejak tahun lalu.

Yaakob Isa, 60, berkata, dirinya turut merasai kesengsaraan Mohd Amirul Asraf, 18, setiap kali melihat anaknya menghantukkan kepala ke dinding untuk mengurangkan kesakitan.

Menurutnya, Amirul menderita penyakit itu sejak tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seterusnya menjadikannya banyak berdiam diri.

“Amirul merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan dia pintar dalam pelajaran. Dia memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 5A 3B bagi SPM.

“Dahulu Amirul seorang periang dan badannya sedikit gempal, tetapi sekarang dia hanya duduk dalam bilik.

“Dia juga tidak boleh mendengar bunyi bising termasuk suara orang bercakap kerana akan menyebabkan sakit kepala,” katanya.

Yaakob berkata, Amirul tidak mengeluarkan sebarang suara, sebaliknya hanya menghantukkan kepala ke dinding jika terdengar bunyi bising.

“Pakcik dan isteri buntu. Lebih 20 pengamal perubatan moden dan tradisional ditemui, namun hampa.

“Penyakit ditanggung Amirul tidak dapat disahkan jenisnya menyebabkan dia tidak menerima sebarang rawatan atau ubat,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah berputus asa mengubati anak lelakinya itu.

“Sepatutnya, sekarang ini dia bersama rakan lain belajar di universiti untuk mengejar cita-cita menjadi jurutera.

“Tetapi pada usia muda dia (Amirul) sudah diduga dan kami reda dengan ujian ALLAH SWT ini,” katanya.

Amirul ketika ditemui sekadar menundukkan kepalanya ketika ditanyakan soalan.

Ketika diajukan soalan mengenai cita-cita melanjutkan pelajaran ke menara gading, Amirul memberi respons positif dengan menganggukkan kepala dan tersenyum sambil melihat bapanya. Yaakob turut memberitahu ada menerima bantuan baik pulih rumah dari Majlis Agama Islam Johor (Maij).

Ketua Kampung Parit Satu Sanglang, Mahsuri Jaksi berkata, rumah Yaakob dibaik pulih dengan kos kira-kira RM5,000 selepas menerima permohonan keluarga itu.

“Kerja-kerja baik pulih sedang berjalan dan dijangka siap dalam sebulan,” katanya.


Sumber

No comments:

Post a Comment