Friday, 18 October 2013

'Aku nak jumpa dia'

'Aku nak jumpa dia'
Al-Quran menjadi peneman Talib bagi memenuhi masanya sepanjang tinggal di Masjid Al-Ansar.


GEMAS – “Aku nak jumpa dia,” keluh seorang warga emas, Talib Ibrahim, 77.

Ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Al-Ansar, Felda Jelai 4, dekat sini, semalam, Talib yang kini menumpang teduh di bilik musafir masjid berkenaan sejak bulan puasa lalu, kini menyimpan hasrat untuk berjumpa dengan anak bongsunya, M. Hisham, 40-an, yang sudah 10 tahun terputus hubungan.

Menurutnya, sejak kematian arwah isteri, Masnah Bujang pada 2003, anaknya langsung tidak pulang ke rumah mereka di Johor Bahru.

Malah, surat yang dihantar ke alamat tempat kerja anaknya di Tangga Batu, Melaka sekitar lapan tahun lalu juga tidak berbalas.

“Memang pakcik rindu anak bongsu pakcik. Entah di mana silapnya, dia tidak pernah menjenguk pakcik semasa pakcik tinggal bersama kakak sulungnya yang sudah meninggal dunia dua tahun lalu.

"Semasa arwah ibunya meninggal, pakcik ada meminta Hisham untuk tinggal bersama di Johor Bahru, namun Hisham langsung tidak pulang dan anak sulung saya memujuk saya untuk tinggal bersamanya di Jelai 4,” katanya.

Talib berkata, setelah anak sulungnya meninggal, dia bekerja di Gemencheh sebagai tukang masak, namun akhirnya membuat keputusan untuk kembali ke Felda Jelai 4.

“Pada mulanya pakcik meminta untuk dicarikan tempat tinggal atau bilik untuk disewa memandangkan pakcik kini tinggal sebatang kara, namun mereka memberikan pakcik tempat tinggal lebih baik di masjid ini.

“Bila difikirkan, pakcik ini entah esok atau lusa akan 'pergi'.  Lupakan perkara yang pernah berlaku dan pakcik harap, Hisham dapat datang menjenguk pakcik di masjid ini," katanya.

Sementara itu, Nazir Masjid, Ramlan Salim, 66, berkata, dia sememangnya mengenali Talib dan menyifatkannya sebagai seorang yang suka menghulurkan bantuan.

“Kami memberikan Talib tempat tinggal dan sama-sama membeli keperluan memasak untuknya.  Malah, penduduk di sini juga ada yang menghantar makanan kepadanya.

“Kita harap anak bongsu Talib dapat berjumpa ayahnya kerana dia tinggal berseorangan sejak Ramadan lalu di sini dan beraya bersama kami sahaja," katanya.


Sumber

No comments:

Post a Comment