Peter Quill atau Star Lord dalam filem Guardians of the Galaxy, ternyata memberi impak besar terhadap karier lakonan aktor Chris Pratt.
PERANANNYA sebagai Peter Quill atau Star Lord dalam filem Guardians of the Galaxy, ternyata memberi impak besar terhadap karier lakonan aktor Chris Pratt.
Masakan tidak, kejayaan filem adaptasi komik Marvel, pelakon berusia 35 tahun ini menjadi sebutan ramai.
"Mujur, saya memperoleh sebuah filem yang bagus. Saya tak tahu nak kata apa tapi bagi saya ia adalah filem yang sangat hebat pada abad ke-21," katanya.
Sehingga kini, filem Guardians of the Galaxy berjaya membuat kutipan lebih AS$800 juta di seluruh dunia.
Impaknya, Pratt dikhabarkan bakal membintangi filem Marvel pada masa hadapan. Ini kerana, Pratt mengakui masih memiliki kontrak untuk membintangi filem Marvel.
"Saya masih terikat untuk tiga, lima atau lebih, Guardians of the Galaxy atau apa pun.
"Dua ‘Guardians’ ditambah beberapa judul lain," katanya.
Bagaimanapun, Pratt tidak mahu membocorkan apakah filem terbaharunya bersama Marvel, sebaliknya mendedahkan akan membintangi dua sekuel dan satu projek spin off.
Tidak cukup dengan itu, Pratt dikhabarkan akan membintangi Passengers yang menggandingkannya bersama pemenang Oscar, Jennifer Lawrence.
Pratt menafikan akan terbabit dalam filem Ghostbusters dan Indiana Jones V.
Resmi padi
Pemilik nama penuh Christopher Michael Pratt ini, bagaimanapun mengakui populariti diterimanya itu berkat daripada sokongan isterinya yang juga merupakan bintang utama filem Scary Movie, Anna Faris.
Bahkan, walaupun sudah mendaki puncak populariti kini, Pratt berjanji akan sentiasa bersikap merendah diri.
"Jika saya sombong di Hollywood, mereka boleh datang pada saya dan memarahi saya atau melakukan apa saja untuk menyedarkan saya," katanya tertawa.
Jika diselak kembali perjalanan kariernya, pelbagai pahit manis kehidupan dilalui sebelum capai kejayaan seperti sekarang.
Karier Pratt dalam bidang lakonan bermula secara tanpa sengaja apabila dia kebetulan duduk semeja dengan pengarah dan pelakon filem Commando, Rae Dawn Chong yang kemudiannya mulai memperkenalkan Pratt ke dunia Hollywood.
Bermula dengan dua siri TV terkenal, Everwood dan The OC, Pratt kemudian mencipta nama ketika memegang watak Andy Dwyer iaitu seorang pengacara berbadan gempal di siri TV popular, Parks and Recreation.
Lakonannya mulai berkembang di pelbagai filem setelah berpeluang membawa watak pelakon pembantu menerusi filem Wanted (2008), Bride Wars (2009), Jennifer’s Body (2009), Moneyball (2011), What’s Your Number? (2011), The Five-Year Engagement (2012), Zero Dark Thirty (2012), Movie 43 (2012), Delivery Man (2013), dan Her (2013).
2014 bawa tuah pada Pratt apabila memegang watak utama filem The Lego Movie dan Guardians of the Galaxy.
Kembali ke dunia dinosaur
Bagi mereka yang setia mengikuti perkembangan Pratt, pasti saja tidak sabar melihat aksinya dalam filem terbaharunya, Jurassic World di pawagam mulai 11 Jun ini.
Lebih bermakna, filem arahan Colin Trevorrow itu bakal membawa penonton mengembara sekali lagi ke dunia purba ciptaan manusia selepas kejayaan Jurassic Park pada 1993, The Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III (2001).
Dalam filem yang menelan belanja AS$180 juta itu, Pratt berperanan sebagai Owen Grady sebagai penyelidik sekali gus bertanggungjawab memantau perilaku sekumpulan dinosaur Velociraptor.
Cukup selesa membintangi filem tersebut, anak kelahiran Virginia, Minnesota ini mengakui francais Jurassic Park sangat dekat dengan masa kecilnya.
"Tahu tak, kerana filem Jurassic Park menyebabkan saya sangat suka akan Velociraptor. Saya suka dengan T-Rex. Tapi saya lebih suka Velociraptor kerana mereka suka berburu secara berkelompok," katanya dalam wawancara Vulture.
Selain Pratt, filem ini ini turut dibintangi Ty Simpkins, Bryce Dallas Howard, Vincent D’Onofrio, Nick Robinson, Omar Sy, BD Wong dan Irrfan Khan.
Jurassic World mengisahkan kebangkitan Taman Tema Jurassic World di Isla Nublar.
Owen Grady (Chris Pratt) yang juga penyelidik di taman tema tersebut bertanggungjawab memantau perilaku kumpulan Velociraptors dikenali sebagai Blue, Charlie, Delta dan Echo.
Atas permintaan pemilik taman tema itu, saintis bertugas diarah mencipta dinosaur hibrid baharu (Indominus Rex) untuk menarik ramai pengunjung.
Pengurus Operasi Jurassic World, Claire Dearing (Bryce Dallas Howard) bersama anak buahnya, Zach (Nick Robinson) dan Gray (Ty Simpkins) berada di pulau itu ketika Indominus Rex terlepas dari kurungan dan mengganas.
- Sumber: Sinar Harian