Sunday 11 August 2013

Penganggur lacur kanak-kanak diburu

Penganggur lacur kanak-kanak diburu
MELAKA:  Polis sedang memburu seorang penganggur bagi membantu siasatan berhubung kes merogol dan kemudian melacur seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di beberapa buah rumah dan hotel di sekitar negeri ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Negeri, Supt P.R. Gunarajan berkata Mohd Khairul Azli Isohod, 26, dikehendaki kerana melacurkan kanak-kanak tersebut kepada sembilan lelaki sejak Jun tahun lepas hingga 19 Julai lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek beralamat terakhir di 2961-1 Jalan Sidang Hassan, Bukit Katil dan dipercayai seorang penagih dadah.

"Dia bertindak melacurkan kanak-kanak itu yang merupakan teman wanitanya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Dia melacurkan kanak-kanak tersebut dengan mengenakan bayaran RM100 tetapi hanya memberi mangsa RM20 untuk belanja.

"Kes terakhir berlaku bulan lepas apabila mangsa dilacurkan kepada seorang lelaki berusia 37 tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gunarajan berkata suspek pernah merogol mangsa dan ditahan di Ampang, Selangor pada 5 April tahun lepas namun dia tidak hadir pada hari perbicaraan kes itu pada 24 Jun lepas.

Suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di Kuala Lumpur.

Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh di sini dan polis sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki suspek.

"Polis percaya kanak-kanak berkenaan masih berhubung dengan lelaki tersebut dan kita sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek dan lelaki lain yang terbabit dalam kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Perdagangan Orang 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R.Kumares di talian 019-6215585 atau 06-2842222.

Sumber berita: BERNAMA

Hujan meteor di ruang angkasa Malaysia malam esok

Hujan meteor di ruang angkasa M'sia malam esok

Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara ini malam esok sehingga subuh pada hari Selasa.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Mhd Fairos Asillam berkata pancuran meteor Perseid antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan lapang.

"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.

"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia juga turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet sepanjang perjalanannya.

"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.

Beliau berkata waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula 11 malam.

Sumber: BERNAMA 

Fear Factor Malaysia: Uji Keberanian Anda Dengan Selebriti!
















KUALA LUMPUR, 5 OGOS 2013: Ketakutan atau fobia merupakan biasa bagi kita yang bergelar manusia. Namun beranikah anda untuk berhadapan dengan ketakutan dan fobia anda? Dan jika anda berani, andalah orang yang kami cari untuk meneruskan kesinambungan rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia di saluran Astro Ria (104).

Astro Ria sekali lagi akan membawakan program Fear Factor Malaysia yang dibuka untuk umum dengan memulakan saringan uji bakat secara online sejak 22 Julai lalu sehingga 18 Ogos 2013.

Program realiti yang mengambil format dari program popular antarabangsa sekali lagi kembali kali ini dengan satu pembaharuan di mana kesemua peserta yang terpilih bakal bergandingan dengan 16 selebriti tanah air yang mana setiap kumpulan pasangan bakal berdepan dengan pelbagai ujian yang pastinya menguji tahap ketahanan serta keberanian masing-masing.

Antara 16 selebriti yang bakal beraksi dalam Fear Factor Malaysia adalah Yana Shamsudin, Shuib Sepah, Dira Abu Zahar, Izzue Islam, Erin Malek, Norman Hakim, Thanuja, Zain Saidin, Sari Yanti, Azura Zainal, Bambang Soteto, Nas T, Ungku Ismail, Shah Iskandar, Syed Ali, dan Rizal Jaafar.

Seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin maju, pihak Astro akan membuka saringan pertama menerusi sesi ujibakat secara Online yang mana orang ramai boleh menghantar video penyertaan ke laman sesawang rasmi untuk penilaian pihak Astro sendiri.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia ataupun mereka yang mempunyai status penduduk tetap yang berumur 18 tahun ke atas dan boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih.

Selain mempunyai perwatakan yang menarik, dan fasih berbahasa Melayu. Calon peserta juga mestilah berada dalam keadaan kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Bermula pada 22 Julai hingga 18 Ogos 2013, calon peserta dikehendaki untuk menghantarkan rakaman video penyertaan yang tidak melebihi tempoh masa dua minit atau melebihi saiz 30MB ke laman sesawang rasmi di www.fearfactor.com.my Wajah calon peserta dan audio rakaman untuk setiap video penyertaan yang dihantar haruslah jelas. Calon peserta juga digalakkan untuk menyerlahkan personaliti sebenar mereka dengan cara paling menarik.

Kandungan video tersebut juga haruslah menjawab soalan-soalan seperti berikut:

1. Nyatakan nama penuh dan umur pada permulaan video penyertaan.
2. Mengapa anda mahu menyertai Fear Factor?
3. Namakan tiga peserta selebriti kegemaran anda dan nyatakan mengapa anda ingin berpasangan dengan mereka?
4. Apa yang akan anda lakukan dengan wang jika anda menang?

Jadi jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara salah seorang peserta Fear Factor Malaysia dengan menghantar video sesi ujibakat sekaligus berpeluang melayakkan diri ke peringkat yang seterusnya.

Program Fear Factor Malaysia bakal bersiaran di saluran rasmi Astro Ria (saluran 104) tidak lama lagi. Sebarang butiran lanjut yang lebih terperinci mengenai sesi ujibakat secara online atau program ini sila layari laman www.fearfactor.com.my sekarang.

Sumber

Dek kerana Tembus, Fazura Hanya Beraya Sehari di Pekan







KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2013: Seperti mana dirinya yang sentiasa terlihat sopan serta sering tampil serba ringkas, begitulah juga sambutan Aidilfitri yang diraikan Nur Fazura Sharifuddin, 29, atau Fazura saban tahun.

Dia yang diangkat menjadi wajah wakilan himpunan eksklusif Aidilfitri duo pereka fesyen popular kegemarannya, Rizman Ruzaini juga hanya menempah sepasang sahaja baju daripada label tersebut.

Malah, tahun ini juga Fazura hanya akan menyambut hari raya selama satu hari saja di kampung halamannya di Bandar Di-raja negeri Pahang iaitu Pekan. Ketika dihubungi, dia yang sedang membuat persiapan terakhir sebelum pulang ke tempat kelahirannya memberitahu, dia akan pulang bersama ahli keluarganya dan berada di sana pada hari raya pertama.

"Hari raya Faz biasa sahaja, meriah macam biasa cuma tahun ini Faz pulang ke kampung untuk satu hari sahaja. Semenjak kembali berlakon, Faz terpaksa sesuaikan waktu kerja dan rehat yang baru supaya teratur.

"Baju raya pun hanya sepasang sahaja Faz tempah daripada pereka kegemaran Rizman Ruzaini, terima kasih kepada mereka,"ujarnya yang dihubungi pada Selasa lalu.

Kepulangannya ke kampung halamannya yang agak singkat itu juga disebabkan oleh komitmennya dengan pengarah dan penerbit terkenal Ahmad Idham. Fazura akan menjadi salah seorang pelakon bagi filem terbaru arahan Ahmad Idham iaitu Tembus yang akan memulakan penggambaran pertengahan Ogos ini.

"Faz balik sekejap kerana harus pulang ke Kuala Lumpur untuk membuat persediaan sebelum memasuki set bagi filem yang akan diarahkan oleh Ahmad Idham. Insya Allah filem yang berjudul Tembus ini akan memulakan penggambaran pada 20 Ogos ini,"tambahnya lagi.


Sumber

Boleh bawa senjata api ke Starbucks?





ACU SENAPANG DI STARBUCKS

Pasti anda terkejut tiba-tiba di acu pistol apabila beratur untuk membeli minuman di Starbucks.

Di Seattle, ianya adalah perkara biasa kerana tarikh 9 Ogos ditetapkan sebagai hari menghargai pelanggan Starbucks yang mempunyai senjata api.

Hari istimewa ini dianjurkan oleh kumpulan Advokasi senjata api di Facebook yang mempunyai lebih 234000 likes dan followers.

Lebih 3000 ahli kumpulan facebook tersebut bersetuju untuk menyartai hari menghargai pelanggan Starbucks dengan membawa senjata api masing-masing.


Sumber: Astro Awani