Friday 31 July 2015

Penamatan tugas Gani Patail tidak ikut perlembagaan - Majlis Peguam

Majlis Peguam hari ini mengulangi pendiriannya bahawa penamatan tugas Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara tidak mengikut perlembagaan.- Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam hari ini mengulangi pendiriannya bahawa penamatan tugas Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara tidak mengikut perlembagaan.

Presidennya Steven Thiru berkata ini adalah kerana kerajaan berkata Abdul Gani akan terus menjadi pegawai kehakiman dan guaman sehingga beliau bersara dan ini merupakan penurunan pangkat yang mempunyai jaminan hak untuk didengar.

Steven berkata hak Abdul Gani untuk didengar harus berasaskan sebab-sebab kesihatan seperti sebab yang diberikan oleh kerajaan pada tarikh perkhidmatan beliau ditamatkan dan Abdul Gani mempunyai hak untuk menghadap lembaga perubatan.

“Kami menganggap apa yang telah berlaku adalah beliau telah diturunkan pangkat kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan berkata bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai pegawai kehakiman dan undang-undang sehingga beliau bersara.

"Hak untuk didengar di sini mestilah berasaskan kepada alasan yang diberikan oleh kerajaan. Alasan yang diberikan oleh kerajaan adalah sebab-sebab kesihatan. Jika seorang penjawat awam perlu ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab kesihatan, ada prosedur .

“Penjawat awam mempunyai hak untuk menghadap lembaga perubatan dan kemudian mereka membuat keputusan.

“Ini tidak dipatuhi dan kerana ia tidak dipatuhi ia menyebabkan langkah ini sesuatu yang tidak mengikut perlembagaan,” katanya kepada pemberita pada suatu sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada Rabu, Peguam Negara (AG) yang baharu dilantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata penamatan perkhidmatan Abdul Gani dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang tidak memerlukan sebuah tribunal bagi menentukan perkhidmatannya.

Mohamed Apandi berkata artikel dalam perlembagaan yang memerlukan tribunal bagi penamatan khidmat AG telah digantikan dengan klausa baharu di bawah Akta (Pindaan) Perlembagaan dan berkuatkuasa pada 16 September 1963.

- Sumber: Astro Awani 

Zara: Sesuai jadi perempuan kampung


PELAKON kecil molek, Zara Zya telah menjayakan pelbagai watak dalam beberapa drama dan telefilem, namun akuinya penonton lebih menyukai lakonannya ketika membawa watak perempuan kampung.

Pelakon berusia 30 tahun ini juga mengakui pernah beberapa kali membawakan watak lain, namun drama tersebut tidak mendapat perhatian penonton, justeru pengarah sering mahukan dia membawakan watak seperti kebiasaan.

“Saya ada bawa watak perempuan jahat dan baru-baru ini watak perempuan skema dalam drama bersiri Dalina, namun drama-drama tersebut tidak mendapat sambutan dan orang tidak tahu.

“Lagipun saya ini bukan seorang yang memilih, apa sahaja tawaran yang datang dan jika bersesuaian dengan masa, saya akan terima tanpa melihat watak atau skrip yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin juga berkata, pemilihan watak yang ditawarkan adalah berdasarkan kepercayaan pengarah yang mahu dia membawa watak itu.
Bagaimanapun, Zara memberitahu, dia melihat setiap lakonannya itu sebagai satu cabaran agar dia membawakan setiap watak perempuan kampung itu ada perbezaannya.

“Saya akan kaji dahulu skrip yang saya terima agar watak yang saya bawakan ada kelainan daripada sebelum ini.

“Walaupun watak perempuan kampung, namun saya sentiasa pastikan lakonan saya berbeza dalam setiap watak,” katanya.

Sebelum ini, Zara berkata, peminat-peminatnya sering meminta agar dia melakonkan watak berbeza daripada yang sering dibawa dalam drama lakonannya iaitu sebagai gadis kampung.

“Ramai peminat merungut dan meminta saya bawa watak berlainan seperti mahu saya jadi perempuan jahat atau GRO.

“Mereka kata kebanyakan watak saya sama sahaja iaitu perempuan kampung yang teraniaya dan tiada perubahan sejak drama Love You Mr Arrogant,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian