Friday, 13 November 2015

Mr Bean bercerai


PERKAHWINAN Rowan Sebastian Atkinson dan Sunestra Sastry (gambar kecil) berakhir gara-gara menjalinkan hubungan cinta bersama Louis Ford (kiri). - Foto ihsan Pakistan Today

LONDON: Perkahwinan pelawak dan pelakon popular, Rowan Sebastian Atkinson yang dibina selama 24 tahun bersama isterinya, Sunestra Sastry akhirnya menemui titik noktah.

Aktor yang popular dengan watak Mr Bean itu sah bercerai gara-gara menjalinkan hubungan cinta dengan seorang aktres yang jauh lebih muda darinya.

Atkinson, 64, dan Louis Ford, 32, berkenalan sewaktu mereka terbabit dalam satu pementasan di West End pada tahun 2013.

Aktor itu dan isterinya dikatakan mula tinggal berasingan sejak bulan Februari 2014. 

Mereka berkahwin pada tahun 1990 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Ben, 22 dan Lily, 20.

Prosedur perceraian pasangan itu berlaku dalam jangka masa yang begitu pendek iaitu 65 saat kerana kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat untuk bercerai. 

- AGENSI ( via BH Online | 13 November 2015)

Masalah rumah tangga, ..sikit saja lagi - Maya

PENYANYI, Maya.

KUALA LUMPUR: Pertemuan dengan penyanyi lagu Matahari, Maya baru-baru ini ketika pelancaran buku Rahsia Hidup dari syarikat Jamu Mak Dara di Saloma Bistro, turut mengintai perkembangan berhubung keretakan rumah tangganya dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz. Hingga saat ini selepas dilihat seperti digantung tak bertali, Maya terus mengunci mulut. 

Maya sebelum ini menjelaskan dia dan suami sudah tidak tinggal sebumbung dan kemelut rumah tangganya sudah lama berlarutan. 

"Mengenai masalah peribadi itu, sekarang ia hampir selesai. Sikit saja lagi. Berkemungkinan beberapa hari lagi atau minggu. Saya tunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya. Apa terjadi sebelum atau selepas ini, saya kena pandang ke hadapan," katanya memberikan bayangan mengenai status sebenar dirinya. 

Tambah Maya lagi, masalah peribadi yang berlaku antara sebab beberapa perkembangan dan projek seninya terbantut buat seketika. 

"Ikutkan single saya bersama Saida berjudul Setia sudah dilancarkan lebih awal sekitar awal tahun lagi. Tapi dengan masalah ibu saya sakit angin ahmar, terbabit dengan teater dan hal peribadi ini, ada benda yang terbantut. Tapi single itu sudah akan dipromosikan tak lama lagi. Malah klip video juga akan dirakamkan tak lama lagi. 

"Kali terakhir saya merakamkan single sekitar empat tahun lalu. Ada dua single ketika itu berjudul Mata dan Bersalah. Cuma mungkin silap sendiri, lagu itu bagaikan berlalu sepi. Ia kurang promosi dan saya harus akuinya. Video muzik pun tak rakam. Aliran sekarang, lagu baharu perlu disokong dengan video muzik di laman YouTube contohnya," katanya.

Ditanya mengapa memilih untuk berduet dengan Saida, mereka kebetulan selalu membuat persembahan bersama. 

"Daripada persembahan itu, nampak keserasian kami. Malah dia juga menjadi rakan kongsi untuk projek syarikat kami. Single ini bukti kami masih aktif dan wujud di persada seni,"katanya. 

Akhir pertemuan, Maya turut ditanya mengenai sama ada tahun depan dia akan menyertai pertandingan GegarVaganza atau tidak? Untuk musim ini, Maya turut menghadiri uji bakat cuma rezekinya belum ada tahun ini.

"Tak tahu lagi tahun depan saya akan menyertai pertandingan ini atau tak. Hal ini tak boleh dijangka. Mungkin sekarang saya berminat, tahun hadapan tak tahu pula. Tapi buat masa sekarang, saya menyokong teman yang menyertainya. GegarVaganza memang platform yang baik bagi penyanyi lama yang mungkin sudah dilupakan. Ini ruang untuk mereka kembali menarik perhatian ramai dan tunjukkan bisa masing-masing," katanya.

- Sumber: BH Online | 13 November 2015

John Goodman dedah rahsia berat badan turun 45kg


PERUBAHAN MENDADAK: (Kiri) Goodman ketika kemunculannya pada tahun 2014, (kanan) wajah terbaru Goodman.

Pelakon terkenal John Goodman mengejutkan ramai pihak apabila muncul dengan susuk tubuh lebih bergaya dari biasa di tayangan perdana filem terbarunya di kota raya London, baru-baru ini.

Pelakon yang berusia 63 tahun mendedahkan rahsia dapat mengurangkan berat badan hampir 45 kilogram.

"Ia memerlukan kreativiti terutamanya di meja makan dalam memikirkan apa yang akan anda makan kemudian. Saya lakukan ini kerana mahukan kehidupan yang lebih baik,” kata Goodman kepada majalah antarabangsa, People.

Berat badan pemenang anugerah Golden Globe itu pernah mencecah 181 kilogram pada tahun 2011.

Perubahan besar Goodman bermula apabila beliau membuat keputusan berhenti mengambil minuman beralkohol pada tahun 2007.

Kemudian, pelakon yang terkenal dengan siri TV komedi terkenal Roseanne ini diperkenalkan dengan makanan diet gaya Mediterranean oleh guru kecergasannya termasuk hidangan seperti ikan, kacang, minyak zaitun, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Antara lain, Goodman juga melakukan senaman enam hari seminggu, mengambil 10,000 hingga 12,000 langkah sehari, berbasikal dan berlari.

Goodman ditemui di Festival Filem BFI di London Oktober lalu dalam mempromosikan filem terbarunya berjudul Trumbo.

Beliau memainkan watak sebagai penerbit Hollywood, Frank King dalam filem tersebut yang berkisarkan mengenai penulis lakon layar Dalton Trumbo yang disenarai hitam dan dipenjarakan sekitar tahun 1940-an kerana kepercayaan komunisnya.

Filem ini turut dibintangi oleh Helen Mirren, Elle Fanning dan Louis CK danbakal ditayangkan pada 25 November ini di Amerika Syarikat. 

- Sumber: Astro Awani 

China perkenal wang kertas 100 Yuan baharu


People's Bank of China, mengedarkan versi baharu wang kertas 100 Yuan

BEIJING: Bank pusat China, People's Bank of China, mengedarkan versi baharu wang kertas 100 yuan bermula hari ini, demikian laporan media negara.

Xinhua News Agency melaporkan wang kertas baharu itu, denominasi terbesar mata wang China, lebih sukar untuk dipalsukan dan mudah dibaca mesin hasil daripada ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

Pengeluar peralatan menerima tunai perlu menaik taraf produk mereka bagi wang kertas baharu itu, bank pusat itu dipetik sebagai berkata.

Menurut bank pusat, versi lama wang kertas itu akan terus berada dalam edaran tetapi akan dihentikan secara beransur-ansur. 

- Sumber: Bernama

Khabar kehamilan Siti Nurhaliza: 'Biarlah segalanya Siti umumkan sendiri'

Rozi minta semua pihak terus doakan yang terbaik buat Siti. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Spekulasi kehamilan penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza masih satu teka-teki.

Sejak seminggu lalu, peminat penyanyi bersuara gemersik itu seolah-olah tidak sabar menantikan pengumuman mengenai berita baik tersebut.

Pihak media juga turut teruja dan tidak mahu ketinggalan dalam memaparkan berita perkembangan terbaharu tentang kehamilan tersebut. Hampir setiap hari ada sahaja 'angle' berita terkini berkaitan berita yang belum pasti kesahihannya itu.

Namun, pengurus Siti berharap masyarakat dapat menghormati permintaan Siti yang belum bersedia membuat sebarang pengesahan berhubung khabar kehamilannya.

Rozi Abdul Razak, menerusi satu kenyataan di akaun Facebook dan Instagram, menjelaskan dia hanya menjalankan tugas seperti mana yang diarahkan dan berharap perkara itu dapat difahami semua pihak.

Kata Rozi, seperti mana kenyataan yang dikeluarkan hujung minggu lepas, Siti sendiri akan mengumumkan perkara berkenaan apabila tiba masa yang sesuai kelak.

Justeru, Rozi yang juga kakak ipar Siti, meminta semua pihak agar bersabar dan terus mendoakan yang terbaik buat penghibur kesayangan ramai itu.

Spekulasi kehamilan Siti mula diperkatakan selepas dia memuat naik gambar susu kambing dan kurma di akaun Instagram, minggu lalu.

Siti dalam satu sidang media yang diadakan selepas persembahan konsert 'Satu Suara' di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada minggu lalu, penyanyi berusia 36 tahun tersebut bijak menepis soalan-soalan nakal dari wartawan yang mahukan pengesahannya tentang berita baik itu.

Apatah lagi, Siti sempat berseloroh dengan peminatnya di konsert itu dengan usikan: "Sewaktu Siti masuk tadi, semua mata tertumpu kepada perut saya ..." sambil disambut tepukan dan gelak ketawa penonton.

Sebuah akhbar tempatan hari ini menyiarkan pengakuan sumber terdekat dengan Siti yang mengesahkan penyanyi itu hamil dua bulan.

Siti dan suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.

- Sumber: Astro Awani