Tuesday, 8 July 2014

'Walking Dead' zombies still terrifying in season 5

The fifth season of "Walking Dead" premieres on AMC in October.


AMC has just unveiled a teaser clip from the fifth cycle of the hit zombie series, which is slated to return to the air this October.

The network is rewarding the patience of its fans with a clip from the next season of "The Walking Dead." Under a minute long, the new video shows Carol (Melissa McBride) and Tyreese (Chad Coleman) with the baby Judith fleeing through the woods from a horde of zombies.

Titled "A," the season four finale of "The Walking Dead" drew an audience of 15.7 million, making it the third most watched episode in the history of the now cult series. The show's all-time record is still held by the fourth season premiere, which was watched by 16.1 million fans.

On the whole, season four was watched by an average 13.3 million viewers per episode, marking a 24 percent increase from the previous year.

The fifth season, consisting of 16 episodes, will arrive on AMC in October, although the exact premiere date has not been announced. - AFP RELAXNEWS 

Bangsal buruk jadi tempat berteduh 14 sekeluarga

Siti Fatimah Muhamad (gambar) tinggal bersama-sama tujuh anak, dua menantu dan empat cucu. -fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Kerana kedaifan, seorang ibu tunggal terpaksa menjadikan sebuah bangsal buruk beratapkan plastik, bertiangkan buluh dan berlantaikan tanah sebagai tempat buat dirinya dan 13 anggota keluarga untuk berteduh daripada panas dan hujan sejak empat tahun lalu.

Di bangsal yang bila-bila masa boleh menyembah bumi itu, Siti Fatimah Muhamad, 56, tinggal bersama-sama tujuh anak, dua menantu dan empat cucu.

Baginya, itulah syurga buat diri dan keluarganya selepas kematian suami, Mat Amin Awang Yusoff, tiga tahun lalu.

"Dahulu makcik ada rumah papan tapi roboh kerana anai-anai dan kerana miskin kami hanya mampu membina bangsal ini yang bersebelahan dengan rumah lama.

"Kami anak beranak hanya ada pendapatan kecil selain ditampung bantuan bulanan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) sebanyak RM250," katanya kepada pemberita sewaktu dikunjungi Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian Datuk Muhammad Abdul Ghani di Kampung Demit di sini Selasa.

Siti Fatimah berkata anak-anak dan dua menantunya hanya bekerja kampung dan mereka tidak mampu mendapatkan rumah lebih selesa daripada itu.

Beliau juga kini dalam dilema apabila tanah tapak bangsal yang didudukinya menjadi pertikaian keluarganya yang lain.

Menurutnya, tanah itu merupakan peninggalan bapa angkatnya tetapi memandangkan bapa angkatnya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu, adik-beradik angkatnya menuntut tapak bangsal berkenaan.

"Bapa (angkat) tidak sempat untuk menukar nama hak tanah tersebut menyebabkan adik-beradik (angkat) yang lain menuntut dengan menghalau kami. Ke mana kami mahu pergi," katanya dengan nada gusar.

Siti Fatimah berkata keutamaannya hanya mengharapkan diberi tempat tinggal yang selesa memandangkan tempat berteduh kini terlalu daif dan mengancam keselamatan.

Sementara itu, Muhammad berkata pihaknya akan berusaha membantu keluarga berkenaan termasuk mendapatkan sebuah rumah.

"Kita akan cuba bantu keluarga ini dengan menyediakan rumah kerana kehidupan mereka ini terlalu daif. Mereka tiada tanah tetapi tak semestinya kita tidak boleh sediakan rumah untuk mereka," katanya. - BERNAMA 

Seorang lagi jadi mangsa mercun, kali ini putus semua jari tangan kanan

Keadaan tangan Abu Bakar Nasir (gambar) yang hilang kesemua jari tangan kanannya setelah mercun jenis bola yang dijumpainya di tepi jalan meletup selepas dinyalakan. -fotoBERNAMA


KOTA BHARU: "Saya jumpa mercun itu di tepi jalan dan saya ambil untuk bakar. Tiba-tiba ia meletup di tangan saya," kata seorang remaja yang hilang kesemua jari tangan kanannya akibat letupan mercun jenis bola Sabtu lalu.

Abu Bakar Nasir, 17, dari Kampung Berangan Apam, Pasir Mas kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Dia merupakan mangsa kedua akibat bermain mercun di Kelantan selepas kejadian pertama Jumaat lepas yang dialami seorang pelajar tingkatan dua di Kampung Luar Gual Periuk, Rantau Panjang yang putus tiga jari tangan kanan apabila mercun botol yang dinyalakannya meletup.

Abu Bakar dikatakan terjumpa mercun itu ketika mahu ke masjid berdekatan rumahnya untuk solat tarawih, kira-kira 8.30 malam.

"Saya tidak menyangka mercun itu meletup sebaik sumbunya dibakar," katanya kepada pemberita di hospital.

Ibunya Che Limah Harun, 53, berkata anaknya dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas terlebih dulu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam sebelum dirujuk ke HRPZII petang semalam.

"Dia hilang semua jari tangan kanan dan dia kini stabil," katanya.

Astro Awani 

'Suami memang panas baran'

Jenazah Muhamad Hafis dibawa masuk ke dalam van jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Klang, semalam. Gambar kecil: Ibu mangsa Siti Habibah Ismail.
Jenazah Muhamad Hafis dibawa masuk ke dalam van jenazah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Klang, semalam. Gambar kecil: Ibu mangsa Siti Habibah Ismail.


MELAKA - "Saya reda jika dia ditahan," kata Siti Habibah Ismail, 38, ibu kepada Muhamad Hafis, 17, remaja yang meninggal dunia akibat dipukul bapanya sendiri dengan kayu, kelmarin.

Menurut Siti Habibah, dia mahu suaminya itu bertanggungjawab terhadap perbuatannya memperlakukan anak sulung mereka sebegitu.

"Cuma saya terkilan kerana rasa pengorbanan saya selama ini tak berbaloi. Saya tinggalkan keluarga, sanggup dibenci keluarga dan sudah empat tahun tak balik kampung di Kelantan. Saya ada hubungi keluarga di kampung tapi mereka macam tak boleh terima saya lagi," katanya.

Menurutnya, suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu memang panas baran, namun sebelum ini sekadar meninggi suara dan memukul dengan tangan, tetapi tidak pernah menggunakan senjata termasuk kayu.

Selain itu, dia turut kecewa dengan sikap lepas tangan suaminya yang tidak mahu mendaftarkan kelahiran sembilan anak mereka berusia 4 hingga 16 tahun, termasuk seorang OKU, menyebabkan kesemuanya tidak mempunyai sijil lahir dan tidak bersekolah.

“Selepas kejadian ini, saya tekad cari kerja dan bina kehidupan baru bersama anak- anak. Cukuplah selama ini hidup berpindah-randah disebabkan sikap suami.

"Saya ingin melupakan apa yang berlaku dan memulakan kehidupan baru bersama anak-anak,” katanya yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka di sini, semalam ketika urusan tuntutan jenazah.

Siti Habibah berkata, Allahyarham Muhamad Hafis yang mesra dipanggil Abang itu dikebumikan di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor.

Sinar Harian 

Cuai: Doktor diarah bayar RM280,000

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan seorang doktor hospital swasta membayar ganti rugi RM280,000 kepada seorang wanita Arab Saudi yang mengemukakan saman bagi kecuaian semasa proses bersalin yang menyebabkan kemudaratan hingga mengakibatkan kematian bayinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop memerintahkan Dr Seri Suniza Sufian membayar RM200,000 kepada Turkyah AbdulRahman Assiri sebagai ganti rugi am dan RM80,000 lagi kerana kesakitan dan penderitaan yang dialami.

Beliau membuat keputusan itu dalam kamar di hadapan peguam Kapten Abdul Razak Hashim yang mewakili Turkyah, 31, dan P Bavina yang mewakili doktor terbabit.

Abdul Razak memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga mengarahkan defendan membayar kos RM25,000 kepada Turkyah.

Beliau berkata, mahkamah memutuskan bahawa doktor terbabit bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya berhubung kecuaian perubatan.

Pada 6 Januari lepas, Turkyah memfailkan saman terhadap Dr Seri Suniza dengan mendakwa doktor itu cuai apabila menggunakan 100 mcg tablet 'Cytotec' untuk melakukan proses 'induce' dalam kelahiran anak keempatnya yang dilahirkan pada 16 Oktober 2010.

Wanita itu mendakwa doktor itu cuai apabila menggunakan 'oxytocin augmentation' pada tahap kedua dan akibat daripada kecuaian defendan, plaintif telah mengalami kesakitan dan kerugian serta mengalami tekanan mental.

Turkyah sebelum ini menuntut ganti rugi RM5 juta, faedah lima peratus, kos serta relif lain. - Bernama

SMS palsu mungkin dari kem Khalid - PKR Selangor

SHUHAIMI: SMS mungkin untuk timbulkan persepsi kononnya ada desakan Khalid (gambar) untuk meletak jawatan.

SHAH ALAM: Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) palsu mengenaipeletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mustahil dilakukan oleh kem Menteri Besar Selangor itu sendiri, kata Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie.

Shuhaimi berkata dalam politik beberapa cara digunakan sebagai perang saraf untuk menunjukkan kononnya berlaku usaha mendesak menteri besar meletak jawatan.

Katanya, SMS tersebut mungkin sengaja dibuat oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk menimbulkan persepsi bahawa ada pihak yang membuat desakan supaya Abdul Khalid meletak jawatan.

"Pada pandangan peribadi saya ia dilakukan kem yang sama.Orang politik dapat menilai dan membaca gerakan politik lebih daripada orang lain.

"Sebenarnya itu adalah unsur yang boleh kita jangkakan yang hendak cari publisiti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor di Dewan Annexe, Shah Alam, hari ini.

SMS semalam mengumumkan Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyerahkan perletakan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Menggunakan nama sumber daripada agensi berita Bernama, SMS palsu itu mengatakan Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad akan menggantikan Khalid.

Astro Awani 

Rayuan Brazil ditolak

Thiago Silva


Thiago Silva akan terlepas dari perlawanan separuh akhir menentang Jerman selepas rayuan untuk menarik balik hukuman ketika menentang Colombia ditolak.

Ketua pasukan Brazil Thiago Silva dilayangkan kad kuning kedua dari kejohanan Piala Dunia pada minit ke 64 selepas memenangi 2-1 ke atas Colombia kerana menghalang penjaga gol David Ospina dari melakukan sepakan.

Konfederasi bola sepak Brazil (CBF) membuat rayuan dengan harapan untuk memberikan pemain pertahanan Paris Saint German terus melakukan tugasnya ketika menentang Jerman di Estadio Mineorao di Belo Horizonte.

"Berhubung rayuan mengenai kesalahan Thiago Emiliano da Silva ketika perlawanan menentang Colombia, pengerusi telah mendapatkan kata putus bahawa jawatankuasa disiplin FIFA tidak akan membuat pembatalan terhadap kesalahan tersebut," kenyataan yang telah dikeluarkan oleh FIFA.

Jawatankuasa disiplin juga telah mengumumkan tiada tindakan akan dikenakan kepada pemain pertahanan Colombia Juan Camilo Zuniga kerana melakukan rempuhan keras kepada Neymar.

Neymar yang terpaksa menarik diri dari baki perlawanan di Piala Dunia apabila Zuniga melakukan asakan menggunakan lutut menepati bahagian belakang penyerang Barcelona itu. Astro Arena

Heboh ikan makan bangkai babi

Inilah lokasi berhadapan sebuah stesen minyak seperti yang didakwa kononnya terletak kolam ikan terbabit namun gagal menemui kawasan yang dimaksudkan.
Inilah lokasi berhadapan sebuah stesen minyak seperti yang didakwa kononnya terletak kolam ikan terbabit namun gagal menemui kawasan yang dimaksudkan.


IPOH – Pengguna laman sosial Facebook gempar apabila tersebarnya lima keping gambar menunjukkan sebuah kolam menternak ikan air tawar yang didakwa menggunakan bangkai babi sebagai makanan ikan.

Gambar dan info terbabit turut tersebar di aplikasi WhatsApp pada petang semalam membincangkan kesahihan dakwaan rangka babi yang tidak dapat diketahui.

Pengguna laman sosial yang menggunakan nama Khirul Adnan Hamid mendakwa, kolam ternakan terbabit menjadi tumpuan warga Ipoh apabila ia pecah namun beliau terkejut apabila terdapat tulang dan kepala binatang dipercayai babi dalam kolam yang telah kering.

“Ya ikan itu makan babi dan kita makan ikan itu... tak dinafikan 99 peratus penternak bukan Islam bagi (ikan) makan babi, biasa saya dengar bagi makan usus babi, kali ini seekor babi dicampak di dalam kolam.

“Ia tulang babi sebab ada seorang seorang bukan Islam yang datang pun cakap babi, kalau kita fikir secara logik takkan orang nak letak lembu seekor dalam kolam sebab lembu mahal dan tak pernah lagi orang buat, pengalaman saya biasanya orang akan letak bangkai babi atau kuda,” tulisnya ketika menjawab persoalan pengguna lain di laman Facebook mengenai kesahihan dakwaannya, semalam.

Rata-rata pengguna memberi reaksi negatif kepada penemuan dibongkarkan Khirul Adnan dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.

Dikatakan ramai pengguna meletakkan kenderaan sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh – Lumut semalam apabila kolam ternakan terbabit pecah.

Sinar Harian turut ke lokasi yang dikatakan oleh Khirul Adnan namun usaha mencari kolam terbabit menemui jalan buntu.

Pencarian ke kawasan Papan dan Pusing juga gagal menemui lokasi terbabit termasuk sepanjang laluan Ipoh – Lumut.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Pencinta Alam dan Sukan Memancing Perak, Harrie Maulana berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan ataupun maklumat mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, pihaknya merasakan kewujudan rangka haiwan di dalam kolam berkenaan berkemungkinan penternak atau pemilik kolam memberi makan bangkai kepada ikan.

“Perkara itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sebab spesies ikan jenis patin dan keli merupakan pemakan bangkai. Malah saya pernah lihat ada pengusaha kolam yang membuang bangkai dalam kolam mereka.

“Ada juga pengusaha yang memberikan organ dalaman haiwan seperti perut ayam. Tetapi kebanyakan pengusaha memberikan dedak untuk ikan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian 

Penipuan kad kredit: Waspada bila menginap di hotel

Grafik ihsan Facebook PDRM
Grafik ihsan Facebook PDRM


SIAPA sangka kegembiraan bercuti di hotel boleh bertukar musibah apabila anda mungkin kehilangan wang hanya dengan menerima satu panggilan telefon yang didalangi oleh sindiket penipuan.

Kebelakangan ini, terdapat satu sindiket penipuan licik yang memperdaya penginap hotel dengan membuat panggilan ke bilik hotel secara rambang bagi mendapatkan maklumat kad kredit mereka.

Modus operandi yang digunakan:

1. Mangsa menginap di sebuah hotel dan telah membuat pembayaran menggunakan kad kredit.

2. Ahli sindiket akan membuat panggilan ke hotel tersebut sebelum meminta disambungkan ke mana-mana bilik secara rambang.

3. Semasa berada dalam bilik, mangsa menerima panggilan telefon yang kononnya daripada “front desk” hotel, berkenaan masalah pengesahan kad kredit.

4. Ahli sindiket akan memperdaya memastikan mangsa untuk percaya panggilan tersebut adalah daripada “front desk” hotel dengan gaya percakapan yang profesional.

5. Mangsa diminta membacakan semula nombor kad kredit dan membuat pengesahan tiga digit nombor di belakang kad kredit yang telah digunakan.

6. Mangsa yang percaya akan memberikan semua maklumat kewangan yang diminta oleh ahli sindiket.

Nasihat polis:

1. Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya menerima apa-apa panggilan yang meminta maklumat kewangan terutamanya maklumat kad kredit.

2. Ambil sedikit masa untuk bertanyakan beberapa soalan kepada pemanggil dan rujuk kepada orang ketiga (ahli keluarga/rakan) sebelum memberikan sebarang maklumat atau respon.

3. Dinasihatkan urusan pengesahan kad kredit hanya dibuat secara bersemuka di kaunter.


Sumber dan grafik: Facebook PDRM

Siapa Abu Bakr al-Baghdadi?

Siapa Abu Bakr al-Baghdadi?

Sumber: Sinar Harian | diterbitkan: 8 Julai 2014

ABU Bakr al-Baghdadi kini dilantik sebagai Pemimpin Khalifah di Negara Islam oleh Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) juga dikenali Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Pada 29 Jun lalu, kumpulan ini mengisytiharkan kewujudan semula Kerajaan Khalifah selepas ia dimansuhkan sejak kewujudan Empayar Uthmaniyyah pada 1924.

Siapakah Abu Bakr sehingga beliau layak digelar dilantik sebagai ketua kumpulan itu?


Latar belakang

Nama sebenar Abu Bakr ialah Ibrahim Awwad Ibrahim Ali al-Badri. Beliau juga dikenali sebagai Dr Ibrahim atau Abu Dua.

Identitinya terjawab selepas beliau membuat ucapan sulungnya semalam. Tindakan itu dilihat sama seperti pernah dilakukan Osama Laden atau penggantinya, Ayman al-Zawahiri.

Menurut catatan biografi ditulis pengikutnya, Abu Bakr adalah bekas guru dan ulama ternama. Beliau adalah graduan dari Universiti Islam Baghdad dan berkelulusan Doktor Falsafah (Pendidikan) dan arif tentang kebudayaan Islam, Ilmu Syariah dan Fiqah.

Abu Bakr yang fasih berpidato adalah keturunan bangsawan yang mempunyai hubungan luas dan pengaruh kuat di Diyala dan Samarra serta tokoh ternama dari penjihad Salafi.

Bapanya, Syaikh Awwad adalah pemimpin disegani dalam suku mereka iaitu Al-Bu’Badri. Datuk Abu Bakr bernama Ibrahim Ali al-Badri pula terkenal dengan sikap pemurah.

Kepakaran Abu Bakr mempunyai kepakaran dalam ketenteraan terutamanya ketika menentang Amerika Syarikat (AS) selepas kematian Presiden Saddam Hussein pada 2003.

Sepanjang konflik itu, beliau beberapa kali ditahan dan dibebaskan. Keghairahan beliau berjuang dikatakan memuncak ketika ditahan di Kem Bucca milik AS di Iraq pada 2007.

Ketika dibebaskan pada 2009, Abu Bakr pernah memberi amaran kepada AS dengan kenyataan: ‘Saya akan berjumpa anda semua di New York’ dan kenyataan itu membimbangkan AS hingga melabelkan beliau sebagai pengganas paling dikehendaki.

Selepas dibebaskan, beliau bersama beberapa pengikutnya menubuhkan kumpulan Jama’ah Jaisy iaitu gerakan yang aktif di wilayah Diyala, Samarra dan Baghdad dengan beliau dilantik sebagai ketua.

Kumpulan itu kemudiannya bergabung dengan Majlis Syura Mujahidin yang sudah terwujud sejak Januari 2006.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Kabinet Syariah serta Ketua Majlis Syura Negara Islam Iraq.

Bagaimanapun Ketua Kumpulan Syura Mujahidin ketika itu diketuai Abu Omar Al-Baghdadi Al-Husseini Al-Quraysyi (Hamid Al-Zawi).


Abu Bakr sertai ISIL, ISIS

Pada 13 Oktober 2006, Majlis Syura Negara Islam Iraq bergabung dengan empat lagi kumpulan dan menamakan kumpulan itu sebagai Kumpulan Negara Islam Iraq (ISI) sebagai pengganti Al-Qaeda.

Empat tahun kemudian, selepas Abu Omar dibunuh AS, Abu Bakr mengisytiharkan revolusi Syria bagi membolehkan Abu Bakr mengembangkan sayap kumpulannya.

Pada akhir 2011, Washington secara rasmi melabelkan Abu Bakr sebagai pengganas dan menawarkan AS$10 juta (RM32 juta) bagi sesiapa yang dapat menangkapnya.


Abu Bakr kemudiannya menghantar Abu Mohammed al-Golani untuk mewujudkan Nusra Front bagi melawan rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad.


Abu Bakr dan Ayman al-Zawahiri

Kejayaan Nusra Front merekrut ramai ahli memberi keyakinan kepada Abu Bakr untuk bergerak merentasi sempadan.

Selepas pakatan gabungan dibentuk kumpulan itu mengelarkan mereka sebagai Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Bagaimanapun, penggabungan itu dianggap tidak sah kerana melanggar dekri Ayman al-Zawahiri (pengganti Osama Laden) dan Abu Bakr harus kembali ke Iraq.

Dalam temu bual di radio, Abu Bakr berkata, “Saya perlu memilih antara undang-undang ALLAH SWT dan undang-undang Al-Zawahiri, dan saya memilih undang-undang ALLAH SWT.”

Sejak dari itu, hubungan ISIS dan Al-Qaeda panas dan pada Februari 2014, Al-Qaeda mengeluarkan kenyataan kumpulan mereka tidak mempunyai kaitan dengan ISIS.


Pengaruh Abu Bakr di Syria

Pengaruh beliau amat kuat apabila dapat melebarkan pengaruh dan suaranya didengar oleh ahli dari peringkat akar umbi.

Di bandar utara Raqqa, Syria, ISIS mengawal sepenuhnya bandar itu dengan menguatkuasakan undang-undang hudud.

Keghairahan untuk menguasai beberapa bandar di Syria memadamkan sifat sebenar beliau sebagai ahli akademik seperti sebelum ini. 

Ketika mahu menakluki beberapa bandar di Syria banyak nyawa terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak. Namun siapa yang perlu dipersalahkan? ISIS iaitu kumpulan yang pada asalnya dari Iraq atau tentera Bashar yang mahu melindungi negaranya dari dirampas?.

Seseorang pegawai penyiasat di Iraq memberitahu, sebilangan pemimpin organisasi dan bekas pemimpin hanpir tidak mengenali beliau kerana beliau kini memakai penutup muka.

Denggi semakin mengganas: Jabatan Kesihatan tubuh pasukan khas

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani wabak denggi yang semakin serius di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata ia dianggotai pelbagai pihak termasuk anggota tentera dari Kem 8 Briged Pengkalan Chepa.

"Pasukan khas ini tugasnya khusus untuk mencari dan musnahkan tempat pembiakan nyamuk dan mereka dijangka mula turun ke lapangan Ahad ini," katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini hari ini.

"Selain itu, kita juga telah menggerakkan Jawatankuasa Wabak Negeri di bawah kendalian Majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk meminta bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," jelasnya.

Turut hadir Pengarah HRPZII Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan. Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menangani kebimbangan umum tentang peningkatan kes demam denggi di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Ahmad Razin berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, 2,898 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Kelantan.

Faktor hujan dan panas merupakan antara sebab kenaikan mendadak kes demam denggi itu, katanya sambil menambah daerah yang paling teruk terjejas ialah Kota Baharu dan Tumpat.

Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya akan menyediakan wad khas untuk menampung pesakit demam denggi dari sekitar Kota Baharu.

"Kalau perkara ini serius kita akan sediakan lebih banyak wad dan pembedahan yang boleh ditangguhkan, kita tangguhkan bagi memberi laluan kepada pesakit demam denggi.

"Semalam, 106 pesakit demam denggi dilaporkan berada di HRPZII untuk mendapatkan rawatan," katanya. - Bernama

Lelaki maut dihempap jengkaut yang dipandu sendiri

Mangsa Mohd Besri Said, 36, yang tersepit di bawah jengkaut. --AWANI/SALIM AZIZ


LANGKAWI: Seorang pemandu jengkaut maut dihempap kenderaan itu yang dipandunya sendiri setelah dikatakan hilang kawalan dan terbalik di Kampung Bukit Masjid, Mukim Kedawang, di sini petang Isnin.

Dalam kejadian pukul 4.05 petang itu, mangsa Mohd Besri Said, 36, dari Kampung Ranggut, Mukim Padang Matsirat meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, 40an, berkata pemandu jengkaut itu sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih jalan kampung di kawasan yang bertebing curam.

Kejadian berlaku pantas apabila jentera berat yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terus terbalik ke sebelah kanan sebelum menghempap mangsa.

“Saya sempat menjerit supaya mangsa terjun tetapi terlambat apabila mangsa dihempap sebelum darah memancut keluar dari kepala mangsa yang cedera parah," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya operasi mengeluarkan mayat mangsa tamat kira-kira 5.45 petang sebelum dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Jenazah mangsa telah dituntut keluarga pada sebelah malam untuk dikebumikan selepas solat Tarawih di kampung halamannya.

- Astro Awani