Tuesday, 5 May 2015
PRK Rompin: Hanya 73 peratus keluar mengundi
Jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRK P.091 Rompin merosot berbanding pilihan raya ke-13 lalu dengan hanya 73 peratus keluar mengundi. -Gambar fail
ROMPIN: Jumlah peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) P.091 Rompin merosot berbanding pilihan raya ke-13 lalu dengan hanya 73 peratus yang keluar mengundi.
Perkara itu dimaklumkan sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira jam 5.45 petang tadi.
Bagaimanapun jumlah rasmi keluar mengundi akan diumumkan oleh SPR nanti.
Sebanyak 38 pusat mengundi bagi PRK Rompin telah pun ditutup setelah proses pembuangan undi tamat jam 5.00 petang tadi.
Enam pusat mengundi ditutup lebih awal di mana empat daripadanya - Juara, Kampung Genting, Mukut dan Denai - ditutup seawal 2 petang.
Manakala Tekek dan Muadzam Shah masing-masing ditutup jam 3.00 petang dan 4.00 petang.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini menjangkakan sasaran sebanyak 80 peratus, namun jangkaan itu jelas meleset.
Berbanding PRU13 lalu, sebanyak 86 peratus telah keluar mengundi untuk kawasan tersebut.
Peti-peti undi telah dibawa ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin untuk penjumlahan rasmi.
Keputusan PRK dijangka diumumkan selewatnya jam 11.00 malam nanti.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam kejadian nahas helikopter pada 4 April lalu.
Pertandingan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dengan calon PAS, Nazri Ahmad.
Pada PRU13 lalu, Jamaluddin menewaskan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi
- Sumber: Astro Awani
Polis belasah askar Yahudi cetus huru-hara
Sebuah video viral menunjukkan seorang askar Yahudi minoriti Ethiopia dibelasah polis menjadi pencetus utama protes ganas sepanjang minggu lalu.
TEL AVIV - ISRAEL. Sebuah video viral yang menunjukkan seorang askar Yahudi minoriti Ethiopia dibelasah polis menjadi pencetus utama protes ganas sepanjang minggu lalu.
Menurut CNN, askar tersebut, Koperal Demas Fikadey, 21 sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila beliau ditahan seorang polis.
Berdasarkan rakaman video litar tertutup (CCTV) polis tersebut merampas basikal dan telefon bimbit Fidakey sebelum bertindak ganas.
Seorang lagi polis turut kelihatan menyerbu dan membelasah Fidakey beberapa saat kemudian.
Peristiwa tersebut menyebabkan protes di merata-rata tempat di Israel sebagai langkah mengecam tindakan penindasan terhadap minoriti Ethiopia.
Sebuah protest di Rabin Ahad lepas bertugar ganas apabila penunjuk perasaan bertindak memecahkan cermin kedai dan merosakkan kereta polis.
Seramai 57 pegawai polis cedera manakala 43 penunjuk perasaan ditahan.
Difahamkan, penindasan terhadap minoriti Yahudi Ethiopia oleh polis dan pihak berkuasa telah berlaku selama beberapa tahun di Israel.
- Sumber: Sinar Harian
Teka umur How-Old.net menjadi kegilaan di laman sosial
Dalam tempoh beberapa hari, laman How-Old.net menjadi kegilaan para pengguna internet di seluruh dunia.
Microsoft kini sedang menguji satu laman web baru yang dipanggil How-Old.net.
Laman tersebut dikatakan berupaya meneka umur dan jantina seseorang individu berdasarkan gambar yang dimuat naik.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja, laman tersebut menjadi kegilaan para pengguna internet di seluruh dunia.
How-Old.net disukai bukanlah kerana ia benar-benar jitu dalam penekaan umur tetapi kesalahan yang dilakukannya sentiasa mengusik para pengguna.
Sebagai contoh, ahli-ahli kumpulan muzik One Direction berada di kalangan umur awal 20-an. Namun penekaan yang dibuat How-Old.net ada yang mencecah sehingga umur 34 tahun!
Niall Horan berusia 21 tahun dan bukannya 27. Liam Payne dan Harry Styles juga berusia 21 tahun manakala Louis Tomlinson bukanlah berumur 34 sebaliknya 23 tahun.
Bagaimana pula penekaan umur terhadap keluarga Kanye West dan Kim Kardashian?
Tekaan yang hampir tepat, Kanye West sebenarnya berusia 37 tahun. Namun perbezaan yang amat ketara terhadap Kim Kardashian anaknya North West. Kim berusia 34 tahun dan bukannya 25 manakala North pula bakal memasuki 2 tahun pada Jun nanti.
Setiap keputusan penekaan disertakan disclaimer yang berbunyi ‘Harap maaf jika kami tidak dapat meneka umur dan jantina dengan tepat. Kami masih berusaha mempertingkatkan fungsinya’.
- Sumber: Astro Awani
Wanita tanggal baju di Jalan Petaling diikat jamin
Selepas lapan hari ditahan di Penjara Kajang, wanita yang menanggalkan bajunya di Jalan Petaling baru-baru ini dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR: Selepas lapan hari ditahan di Penjara Kajang, wanita yang menanggalkan bajunya di Jalan Petaling baru-baru ini dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Siti Radziah Kamarudin membenarkan Persana Avril Sollunda, 33, diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di mana-mana balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Siti Radziah juga memerintahkan Persana Avril, yang berasal dari Sabah, tidak meninggalkan Semenanjung Malaysia sehingga kesnya selesai.
Tertuduh yang memakai kot hitam labuh, skirt pendek dan kasut but diikat jamin oleh adik lelakinya.
Sebelum prosiding bermula, tertuduh yang merupakan seorang pekerja spa kelihatan gembira dan berbual-bual dengan seorang tertuduh lain yang berada bersamanya di kandang tertuduh.
Pada 28 April lalu, Persana Avril yang juga model sambilan didakwa di Mahkamah Majistret kerana menanggalkan baju di khalayak ramai apabila gagal membayar selepas makan di sebuah kedai nasi ayam.
Gambarnya tanpa baju dan coli dirakam dan disebar di laman sosial dan menjadi viral.
Pada hari itu mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap wanita itu kerana tiada penjamin yang hadir.
Dia didakwa terhadap pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam, di Jalan Petaling, di sini pada 2.07 petang, 23 April mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah juga membacakan sekali lagi pertuduhan terhadap Persana Avril.
Wanita itu mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya selepas pertuduhan itu dijelaskan oleh peguamnya Muhammad Nor Izzat Nordin.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi menawarkan RM10,000 dengan dua penjamin atas alasan kemungkinan tertuduh akan meninggalkan Semenanjung Malaysia tetapi Nor Izzat memohon mahkamah menurunkan jaminan itu kepada RM1,000 kerana kesalahan yang dilakukan anak guamnya adalah kecil.
Beliau berhujah prinsip ikat jamin bukan untuk menghukum tertuduh sebaliknya untuk memastikan dia hadir ke mahkamah untuk perbicaraan seterusnya.
Mahkamah menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes.
- Sumber: Bernama
Anak angkat: Siti nafi, minta hormat perasaan
Datuk Siti Nurhaliza bersama Nur Firuza Amira.
PENYANYI tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza menafikan akan mengambil Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4 sebagai anak angkat sebagaimana disensasikan di media sosial.
Sebaliknya Siti meminta orang ramai menghormati perasaan keluarga terdekat mangsa.
"Itu tidak benar. Perkara ini baru berlaku dan kita harus menghormati perasaan keluarga terdekatnya. Amira tetap akan bersama keluarga dan saudara-maranya, dan saya sekadar membantu setakat yang mampu," Siti dipetik sebagai berkata.
Hari ini, Siti dan suami meluangkan masa bertemu dengan kedua-dua anak mangsa tragedi Lebuhraya Duke tersebut.
Dalam pertemuan tersebut, pengurus peribadi Siti, Rozi Abdul Razak turut memohon agar spekulasi tersebut tidak terus disensasikan.
- Sumber: Sinar Harian
PRK: TNB jamin tiada gangguan elektrik
Mahdzir Khalid
BUKIT MERTAJAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini memberi jaminan tidak akan berlaku gangguan bekalan elektrik pada hari pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh Khamis ini.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, TNB telah bersiap sedia untuk memastikan tiada gangguan bekalan elektrik di sini sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
"Di mana-mana pilihan raya, TNB akan meletakkan pegawai-pegawai mereka di semua pusat pengundian, sekolah dan dewan. Mereka juga ada pelan sokongan sekiranya bekalan elektrik terputus," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa bekalan elektrik di Permatang Pauh pada hari pengundian berada pada tahap tertinggi melainkan berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendawaian Semula Bekalan Elektrik Kediaman Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kampung Penanti, Kubang Semang, di sini, hari ini.
Mahdzir juga berharap tiada sebarang sabotaj akan berlaku sepanjang hari mengundi dan sewaktu proses kiraan undi berlangsung.
Sementara itu, Mahdzir berkata TNB membelanjakan RM150,000 bagi membiayai kerja-kerja pendawaian bekalan elektrik di 31 buah rumah golongan yang kurang berkemampuan di sekitar kawasan Permatang Pauh.
Katanya, bantuan itu merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan berkenaan sentiasa mendapat keselesaan.
- Sumber: Bernama
’Penagih internet’ pengsan kerana tak makan
Gambar hiasan
ANHUI - CHINA. Seorang remaja yang menghabiskan masa 14 hari dengan melayari internet dan bermain permainan video tanpa henti rebah di luar sebuah kafe siber, semalam.
Laporan The Telegraph mengatakan Xia, 21 pengsan sejurus keluar untuk membeli makanan ketika kejadian.
Difahamkan, remaja tersebut juga tidak mandi dan menghisap rokok tanpa henti di kafe siber berkenaan.
Kakitangan kafe siber berkenaan memberitahu, remaja tersebut akhirnya bangun dari tempat duduknya pada jam 7 pagi pada Isnin.
Mangsa kemudian memberitahu kakitangan tersebut bahawa beliau keluar untuk membeli makanan dan rebah tidak jauh dari kafe siber berkenaan.
Pasukan perubatan yang datang merawat remaja berkenaan memberitahu, mangsa tidak mahu pergi ke hospital dan mahu terus bermain internet.
"Jangan kacau saya. Saya mahu melayari internet," kata remaja tersebut menurut akhbar tempatan, Anhui Business Review.
Masalah ketagihan internet dan permainan video di China dilaporkan semakin meruncing apabila lebih 24 juta kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mempunyai masalah tersebut.
Kerajaan China menyediakan lebih 250 lokasi latihan ketenteraan dalam usaha membasmi masalah ketagihan tersebut.
- Sumber: Sinar Harian
Rahsia Kate Middleton tampil berseri selepas bersalin
Untuk tampil secantik Kate, anda perlu bersedia membelanjakan wang yang banyak. (FOTO AP)
Sejak beberapa hari lalu, dunia tertumpu kepada berita kelahiran puteri kepada Putera William dan Kate Middleton iaitu Puteri Charlotte.
Apa yang lebih menjadi tumpuan adalah penampilan dan paras rupa Kate ketika melangkah keluar dari hospital buat kali pertama untuk memperkenalkan Charlotte kepada dunia.
Malah, semalam, akhbar Russia mendakwa adalah mustahil untuk seorang wanita yang baru beberapa jam melahirkan anak, tampil sebegitu cantik.
Namun, tahukah anda, bagi seorang wanita yang bakal bergelar permaisuri, tiada yang mustahil?
Mari kita lihat rahsia Kate.
1. Para pemerhati dan pereka gaya berpendapat, faktor utama Kate nampak begitu cantik dan berseri adalah kerana dress kuning dari jenama Jenny Packham yang dilaporkan berharga £3,000 (RM16,319).
2. Kasut tumit tinggi rona nude dari jenama Jimmy Choo berharga £360 (RM1,958).
3. Untuk mekap, Kate menggunakan krim mata, penyamar noda dan pensil kening (eyebrow pencil) jenama Bobbi Brown yang kesemuanya berjumlah £66 (RM358.99).
4. Untuk bibir, Kate menggunakan gincu dan pensil bibir dari kedai alat solek Peter Jones, berharga £33 (RM179.55).
5. Penata rambut dan gaya Kate, Amanda Cook Tucker, tiba di hospital lima jam sebelum Kate melangkah keluar dari hospital. Amanda dibayar £300 (RM1,631.56), selain tambang perjalanan yang dibayar berasingan.
6. Kate juga tidak perlu risau tentang anak sulungnya, George. Ini kerana sepanjang dia berada di hospital, George berada di bawah jagaan 'nanny'nya, Maria Borrallo.
- Sumber: Astro Awani
Pedofil: 'Buat apa nak beri peluang kedua?'
Ramai netizen yang menyuarakan rasa ketidak puas hatian mereka sejurus berita penjatuhan hukuman kepada Nur Fitri memenuhi portal-portal berita
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dilapor akan mempertimbangkan sama ada untuk merayu kepada mahkamah Southwark Crown di London untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan ke atas bekas pelajar pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) Nur Fitri Azmeer Nordin.
Nur Fitri dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di atas 13 kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.
Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mencadangkan supaya rayuan dibuat untuk mengurangkan tempoh hukuman.
Namun tidak semuanya menyambut baik cadangan rayuan itu yang dilihat seperti memberi ‘peluang kedua’ kepada pesalah pedofil itu.
Ramai netizen yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka sejurus berita itu memenuhi portal-portal berita.
Sementara itu, Facebook Astro AWANI turut dibanjiri komen-komen dari para netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa berang terhadap perbuatan Nur Fitri.
Nur Fitri yang ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, West London mula belajar di Imperial College sejak tahun lalu.
Pihak Polis Metropolitan berjaya mengesan Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun ribuan video dan imej lucah kanak-kanak.
Polis telah bertindak menggeledah rumahnya pada November 2014 dan menemui komputer riba milik Nur Fitri yang masih terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.
- Sumber: Astro Awani
'Potong gaji langkah terbaik'
KESATUAN Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mahu pihak urusan Khazanah Nasional Berhad tidak mengambil tindakan melulu dengan memberhentikan pekerja yang sedang berkhidmat di syarikat Malaysia Airlines (MAS).
Salah seorang Exco Nufam yang tidak mahu dikenali berkata, pihaknya menyedari masalah kewangan dihadapi MAS, tetapi langkah terbaik ialah dengan mengurangkan gaji dan tidak membuang pekerja sedia ada.
“Kerajaan perlu campur tangan dalam hal ini kerana ia membabitkan soal kebajikan pekerja.
“Pada masa ini sukar mencari pekerjaan baharu, ditambah dengan pelbagai komitmen yang perlu dibayar seperti hutang dan tanggungan lain. Langkah terbaik ialah potong gaji pekerja sahaja,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
Muhammad Fikri hilang lagi
Muhammad Fikri hilang lagi selepas hanya sempat tinggal bersama keluarga selama empat hari.
TEMERLOH – Seorang remaja yang mempunyai masalah kesihatan hanya sempat pulang ke rumah selama empat hari sebelum menghilangkan diri semula dari kediaman keluarganya di Kampung Desa Murni Kerdau, di sini.
Muhammad Fikri Abdullah, sebelum ini hilang selama 14 hari dan hanya ditemui semula di Balai Polis KLIA pada 30 April lalu selepas keluar dari rumah pada 16 April.
Ibunya, Surina Jaafar, 39, berkata, Muhammad Fikri hilang kali kedua awal pagi semalam kira-kira jam 3 pagi ketika dia tinggal bersama kenalan keluarga di sebuah kedai mencuci kereta.
“Kelmarin, Muhammad Fikri maklumkan dia nak kerja, walaupun kami halang sebab bimbang dia akan lari lagi tetapi disebabkan dia meronta-ronta kami hantar juga di sebuah kedai mencuci kereta di Mentakab.
“Saya hantar dia di situ jam 8 malam, kira-kira jam 2.30 pagi kami dapat panggilan daripada kawan yang jaga dia beritahu Muhammad Fikri hilangkan diri, saya dan kenalan serta keluarga puas cari dia, tapi masih tak jumpa,” katanya.
Menurutnya, kali ini sudah dua kali Muhammad Fikri melarikan diri daripada keluarga selepas kali pertama berbuat demikian pertengahan bulan lalu.
Katanya, Muhammad Fikri anak sulungnya mempunyai masalah kesihatan diabetes dan otak kiri tidak berfungsi selepas jatuh di dalam bilik air rumah datuknya awal tahun lalu.
“Dia kena selalu makan ubat, sekarang dia pergi tanpa makan ubat, keluar rumah sehelai sepinggang hanya ada bekalan RM40 dalam poketnya.
“Report polis yang lama sudah tutup tetapi sekarang kena buat report baharu pula,” katanya ketika dihubungi semalam.
Surina dan keluarga berharap, orang ramai yang terserempak dengan Muhammad Fikri dapat menghubunginya di nombor 011-12964715.
- Sumber: Sinar Harian
Diugut bekas kekasih 'gila talak'
KUALA TERENGGANU - Dek kerana terlalu sayang, seorang lelaki bertindak mahu mencederakan bekas kekasih sekiranya enggan berjumpa, kerana tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta dibina hampir setahun, berakhir begitu sahaja.
Suspek berasal dari Kemaman itu turut mengganggu hidup mangsa, 26, yang tinggal di Wakaf Tapai, Marang termasuk menghubungi mangsa di tempat kerja, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, mangsa yang bekerja sebagai eksekutif jualan, hidup dalam ketakutan selepas mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan suspek pada April lalu.
Katanya, suspek dipercayai tidak dapat menerima keputusan itu dan berkelakuan seperti ‘gila talak’ apabila sering mengajak mangsa keluar, tetapi mangsa menolak dengan baik selain merayu suspek supaya tidak mengganggu hidupnya lagi.
“Namun, suspek tidak berputus asa dan terus mengganggu mangsa termasuk pernah menghubunginya di tempat kerja kononnya bagi memujuk mangsa berbaik semula.
“Setelah hampir sebulan mencuba, suspek yang bengang kerana mangsa masih berkeras hati dan tidak mahu menuruti kemahuannya, mengugut akan mencederakan mangsa selain mahu menyebarkan gambar mereka,” katanya.
Kata Wan Abd Aziz, ugutan suspek itu menyebabkan mangsa ambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Wakaf Tapai, kelmarin.
Katanya, mangsa yang difahamkan sering berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuantan atas urusan kerja, bimbangkan keselamatannya berikutan gangguan suspek itu.
“Identiti suspek sudah dikenal pasti. Kita percaya suspek akan ditahan dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
- Sumber: Sinar Harian
Perlu bayar RM1.2j ikut undang-undang Islam
Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, (kiri) dan adiknya Nur Firuza Aqila, 4, kini dibawah jagaan bapa saudaranya Muhammad Faizznur Asyraf Husain selepas ibu bapa dan adik mereka maut dalam kemalangan di Lebuhraya Duke, Sabtu lalu.
SHAH ALAM - Mengikut undang-undang Islam, sebarang kesalahan di bawah jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja tanpa niat mewajibkan pesalah untuk membayar ganti rugi (diyaat) kepada keluarga mangsa dan bukannya kerajaan.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kuala Terengganu, Wan Muhammad Mizan Wan Abd Latiff berkata, merujuk insiden yang mengorbankan tiga nyawa di Lebuhraya Duke awal pagi Sabtu lalu, pesalah perlu membayar perlu membayar ganti rugi kepada waris mangsa dalam kadar tiga kali ganda daripada kadar diyaat asal iaitu dalam kiraan kasar RM1.2 juta.
“Jika dibuka di dalam kitab-kitab fiqh seperti Fiqh Islam wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaili menyebut bahawa diyaat yang dikenakan kepada jenayah pembunuhan tanpa niat adalah diyaat ringan, iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur selama 3 tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar satu pertiga diyaat,” katanya dalam Facebooknya, kelmarin.
Wan Muhammad Mizan berkata, undang-undang Islam bukan sahaja menjatuhkan hukuman kepada penjenayah akan tetapi juga membela nasib waris mangsa dengan sewajarnya. Inilah perbezaan undang-undang Islam berbanding undang-undang sivil.
- Sumber: Sinar Harian
Dua maut jatuh dari permainan taman tema
ZHEJIANG - CHINA. Dua orang terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas terjatuh dari permainan di sebuah taman tema di Pingyang wilayah Zhenjiang.
Lima pengunjung dari Aojing Town dan Shanmen Town di Wenzhou tercampak keluar dari permainan "Crazy Scream" di Taman Tema Longshan di Wenzhou, Jumaat lalu.
Menurut laporan Weibo, dua daripada pengunjung, Chen dan Zhou disahkan meninggal dunia di Hospital Pingyan manakala dua lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Li dan Chen sedang dirawat manakala seorang lagi mangsa, Xu cedera ringgan dan telah dibenarkan pulang.
Sementara itu, menurut media tempatan, tiga mangsa dilihat terjatuh semasa permainan tersebut bergerak manakala dua yang lain dipercayai terkena objek yang jatuh.
Saksi mendakwa, suis permainan tersebut dihidupkan sebelum kesemua penumpang sempat untuk memakai tali pinggang kaledar di mana menyaksikan mangsa terjatuh dari ketinggian 3 meter.
Menurut kenyataan dari Pejabat Pengurusan Kecemasan Pingyang, terdapat "masalah" dikenalpasti di taman tema berkenaan dimana pada 22 April lalu, 6 pegawai kerajaan telah menjalankan pemeriksaan.
Taman tema tersebut kini ditutup dan pemiliknya sudah ditahan.
Siasatan lanjut mengenai insiden masih dijalankan.
Bulan lepas, 19 cedera selepas permaian "Flying Saucer" roboh di sebuah pesta di wilayah Henan.
- Sumber: Sinar Harian
Biadap terhadap guru, ibu minta polis tahan anak
Sean ketika 'ditahan' polis
GEORGIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang ibu bertindak menelefon polis untuk menahan anaknya yang didakwa bersikap biadap terhadap guru di sekolahnya, minggu lalu.
Menurut ABC News, seorang guru memberitahu Chiquita Hill bahawa anaknya, Sean bersikap biadap, tidak mendengar arahan dan tidak membuat kerja rumah.
"Saya tahu saya kena buat sesuatu untuk mengajarnya," kata Hill kepada ABC News, Jumaat lepas.
Selepas guru tersebut pulang, Hill menelefon balai polis Columbus dan menerangkan sikap anaknya.
Pihak polis bersetuju untuk menghantar anggotanya ke rumah Hill.
Anggota polis kemudian menggari Sean dan membawanya masuk ke dalam kereta polis.
Mereka turut membunyikan siren dan menggerakkan kereta beberapa inci untuk menakutkan Sean.
"Semuanya berlaku dengan pantas.
"Sean tak sempat bertindak. Dia sangat-sangat takut," ujar Hill.
Anggota polis kemudian membebaskan Sean dan kanak-kanak tersebut berlari mendapatkan ibunya.
"Sean beri saya pelukan paling erat dan berkata "Saya tidak akan buat lagi", ujarnya.
Menurut Hill, selepas anggota polis beredar, dia menerangkan kepada anaknya bahawa sikap biadap memberi kesan mendalam kepada orang di sekeliling.
Sementara itu, penolong ketua polis Columbus, Lem Miller berkata, beliau tidak menggalakkan perbuatan sedemikian terhadap kanak-kanak.
"Perkara tersebut memang menakutkan, tapi ia juga akan membuat mereka fikir tidak elok tentang anggota polis.
"Ada cara yang lebih sesuai (untuk mengajar anak). Kami tidak menggalakkan (cara sebegini)." terang Miller.
Walau bagaimanapun, Hill memberitahu, Sean berubah sikap selepas kejadian berkenaan.
"Dia semakin bagus di dalam kelas.
"Sean mula menghormati kawan-kawan dan orang dewasa," jelas Hill.
- Sumber: Sinar Harian
Risiko trend baru cungkil kulit buat penggemar tatu
Trend memarut tatu yang dipanggil 'sacrificial branding', meskipun popular namun ianya tidak sah di sisi undang-undang. - Foto Tumblr fyeahscarified
KUALA LUMPUR: Satu trend baharu pembuatan tatu kini semakin popular di seluruh dunia.
Jika kebiasaannya menggunakan dakwat untuk mencacah tatu kini wujudnya cara baru untuk mengabdikan corak di tubuh tanpa menggunakan setitik dakwat.
Memetik laporan portal Mirror, parut kekal kini diukir ke atas badan manusia bagi menggantikan cacahan dakwat tatu.
Trend memarut tatu ini dipanggil ‘sacrificial branding’, meskipun popular dikalangan penggemar tatu namun ianya tidak sah di sisi undang-undang.
Kini semakin banyak kedai tatu di seluruh dunia yang menawarkan teknik baru yang menggunakan pisau bedah ini berbanding cara lama dengan mesin dakwat.
Teknik ini melibatkan corak yang diukir sekali gus menanggalkan kulit sehingga terbentuknya parut sempurna. Foto – Tumblr fyeahscarified
Waima proses tersebut kelihatan menyakitkan, sesetengah menyifatkannya kurang sakit berbanding pencacahan tatu.
Jurucakap Kementerian Kesihatan dan Penjagaan Jangka Panjang Ontario, David Jensen berkata, penciptaan parut akan menyebabkan luka yang terbuka di mana ia boleh mengakibatkan pendedahan kepada jangkitan dan risiko penyakit.
"Amalan pengubahsuaian badan seperti membakar, menindik dan memotong kulit akan memecahkan kulit dan mukus membran. Lantas terdapatnya peningkatan dalam risiko parut, pendarahan dan trauma psikologi serta pendedahan dan jangkitan patogen bawaan darah seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV," jelasnya.
Namun keterangan mengenai kesihatan itu tidak menghalang orang ramai dari meneruskan prosedur berisiko berkenaan dan memuat naik hasilnya di mesia sosial.
Pada zaman dahulu kala, pencacahan tatu berasal dari budaya kaum orang asli di mana ahli-ahli melakukannya sebagai upacara penggenapan kepada suku kaum atau pemujaan kepada tuhan.
- Sumber: Astro Awani
Subscribe to:
Posts (Atom)