Friday, 3 October 2014

Ziana korban masa demi keluarga

Ziana Zain
Ziana Zain


BILA bercakap mengenai pengorbanan sebenarnya ia melibatkan perkara yang sangat meluas. Saban hari dalam kehidupan kita, ada pengorbanan yang dilakukan dan pengorbanan itu tidak semestinya dilakukan sempena sambutan Aidiladha sahaja.

“Bagi saya sendiri, sebagai seorang isteri dan ibu masa adalah pengorbanan terbesar yang saya lakukan dalam hidup untuk mendidik anak-anak serta demi kebahagiaan keluarga,” tuturnya ketika ditanya mengenai erti pengorbanan yang diraikan sempena sambutan Aidiladha yang bakal tiba.

Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, penyanyi hebat tanah air, Ziana Zain turut mengatakan, sebagai seorang anak, dia juga tidak akan melupakan tanggungjawab terhadap ke dua ibu bapa yang sudah banyak berkorban membesarkannya.

“Walaupun sudah ada keluarga sendiri, sebagai seorang anak kita perlu berkorban untuk ibu bapa sebab jasa mereka sangat bermakna dan membahagiakan mereka juga tanggungjawab kita.

“Bagaimanapun pengorbanan tidak hanya terhad untuk ahli keluarga semata-mata. Kalau berkemampuan, kenapa tidak kita membantu sesama manusia yang memerlukan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, ibu kepada empat cahaya mata ini turut mendedahkan dirinya sudah lama menyimpan hasrat untuk menunaikan rukun Islam yang ke lima.

“Sebenarnya saya sudah lama saya berniat untuk mengerjakan haji.

“Insya-ALLAH kalau ada rezeki mungkin masa itu akan tiba, lagi pun ibu pernah berpesan, jika kita sudah berniat, Allah pasti akan makbulkan,” katanya penuh teruja.

Dalam perkembangan lain, Ziana bakal tampil dengan single terbaharunya yang kini masih lagi dalam proses susunan muzik.


- Sumber: Sinar Harian 

Kes keracunan pertama tahun ini

KOTA BHARU - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengesahkan kes keracunan yang dialami 46 murid di salah sebuah sekolah di Kuala Krai adalah kes pertama Kelantan pada pada tahun ini.

Pengarahnya, Hussain Awang berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kelantan.

“Pihak JPN sudah mengadakan tinjauan ke sekolah terbabit dan mendapati kes keracunan ini dialami 23 murid lelaki serta 23 murid perempuan dan menyerahkan siasatan lanjut untuk mengetahui puncanya.

“Saya kecewa dengan kejadian seperti ini dan berharap pengendali makanan di setiap sekolah menitik beratkan mengenai kebersihan semasa menyediakan makanan kepada murid-murid,” katanya, semalam.

Semalam Sinar Harian melaporkan 46 murid tersebut mengalami keracunan makanan selepas menikmati roti bersama gulai ayam dan air berperisa coklat yang disediakan di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada awal pagi Rabu.

Kesemua mereka dirawat di Hospital Kuala Krai sebagai pesakit luar selepas mengalami simptom muntah, sakit perut dan terpaksa berulang-alik ke tandas.

Mereka dibenarkan pulang dan dihantar menggunakan feri selepas menerima rawatan di hospital berkenaan, kelmarin.

- Sumber: Sinar Harian

Hapus Levi AP untuk harga kereta lebih murah

Pekema: Jika levi dimansuh, harga kereta import akan turun dan dalam masa sama, Pekema akan membawa masuk kereta bermutu tinggi

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mencadangkan supaya kerajaan menimbang untuk menghapuskan levi sebanyak RM10,000 untuk permit import (AP) terbuka bagi meringankan beban pemegang permit itu.

Presiden Pekema Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, persatuan itu mengharapkan bajet 2015 yang akan dibentangkan minggu hadapan dapat menghapuskan levi berkenaan dan menurunkan cukai eksais untuk memberi peluang rakyat membeli kereta import dengan harga lebih murah.

"Jika levi dimansuh, harga kereta import akan turun dan dalam masa sama, Pekema akan membawa masuk kereta bermutu tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata walaupun pinjaman kereta di negara ini boleh dibuat sehingga sembilan tahun iaitu satu tempoh yang membolehkan memiliki kereta dengan lebih murah, namun dalam masa sama ia juga membawa kepada hutang isi rumah yang lebih tinggi.

Katanya, berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2013 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia, pinjaman kenderaan menyumbang sehingga 20 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata pihaknya yakin dalam pembentangan bajet akan datang, harga kenderaan dijangka turun secara tidak langsung apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan mulai April tahun depan.

"Sekarang, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikenakan sebanyak 10 peratus tetapi selepas pelaksanaan GST cukai yang dikenakan sebanyak enam peratus sahaja. Pelaksanaan GST sudah tentulah mengurangkan sedikit harga kereta baharu dan akan lebih murah," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa penurunan harga kereta tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya harga tersebut kebiasaannya akan ditentukan oleh pengeluar syarikat automotif sedia ada.

"Melalui pelaksanaan GST, kita jangkakan memang akan berlaku perubahan pada harga kenderaan, melainkan kerajaan memperkenalkan cukai lain ke atas kereta untuk mengekalkan harga," katanya.

Nama terpanjang di Malaysia

JPN


Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah Binti Airol Anizam diiktiraf sebagai nama terpanjang pernah didaftarkan di Jabatan Perdaftaran Negara (JPN).

Nama unik itu diumumkan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Sulaiman Keling ketika berucap pada Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi 2014 di Ibu Pejabat JPN, baru-baru ini.

Difahamkan, pemilik nama terpanjang di Malaysia itu masih menuntut di sebuah sekolah rendah dan berusia lapan tahun.

Sulaiman dalam pada itu berkata, nama terpanjang itu adalah antara maklumat menarik yang pernah dikendalikan JPN sejak beroperasi pada 1948.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, namun ia (nama terpanjang) adalah antara maklumat menarik seperti nama yang paling banyak digunakan dan didaftarkan di negara ini.

“Suka untuk saya kongsikan dengan semua pada majlis hari ini (semalam) mengenai keunikan yang ada pada JPN,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 400 hadirin.

Majlis Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi 2014 itu disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff.


- Sumber: Sinar Harian

Kisah minyak bersubsidi di Malaysia

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan

Berikut adalah artikel Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkenaan pengurangan subsidi RON95:

1. Purata subsidi seliter Ron95 yang diberi oleh Kerajaan BN kepada rakyat ialah 0.74 sen untuk tahun 2013 & 0.76 sen untuk diesel. Jika guna 100 liter maka rakyat diberi RM74, 1000 liter RM740 & 10 ribu liter RM7400 !!. Siapakah yang guna 10 ribu liter atau lebih Ron95 untuk setahun? Tentunya mereka yang berpendapatan tinggi & sederhana tinggi yang memiliki beberapa buah kenderaan.

2. Isian penuh minyak Ron95 utk sebuah motorsikal ialah sekitar 7.5 liter, kereta kecil sekitar 40 liter, kereta besar sekitar 75 liter. Jika 74 sen subsidi seliter, pemilik motorsikal isi penuh dapat RM5.55 subsidi, kereta kecil RM29.60 subsidi tapi kereta besar dapat RM55.50 setiap kali mengisi penuh Ron 95.

3. Pada bulan Februari 2013, harga pasaran Ron95 ialah 2.94 seliter tapi Kerajaan BN beri 1.04 subsidi jadikan Ron95 bersubsidi yang dibeli rakyat cuma 1.90. Diesel dalam tarikh yang sama harga pasaran 2.85, subsidi 0.95 dan harga untuk rakyat 1.90.

4. Pada Februari 2014, harga pasaran Ron95 ialah 2.83 seliter tapi Kerajaan BN beri subsidi 0.73 jadikan Ron95 bersubsidi yg dibeli rakyat 2.10. Diesel dalam tarikh yang sama berharga subsidi 2.10 & jumlah subsidi 0.73 yg kebetulan sama dengan Ron95.

5. Pada Februari 2013 harga minyak dunia ialah USD122.47 setong dan Februari 2014 pula USD114.41. Pada 26 Sept 2014 minyak dunia USD102.06. Harga pasaran minyak dunia turun dan naik tapi kekal tinggi sekitar USD92-USD122. Harga pasaran minyak di Malaysia juga turun bila harga minyak dunia turun. Hari ini Ron95 adalah 2.58 & diesel pula 2.52.

6. Tapi rakyat Malaysia hingga 2/10/14 masih mendapat harga minyak yang kurang daripada harga pasaran iaitu Ron95 bersubsidi 2.30 dan diesel bersubsidi 2.20. Subsidi Kjaan BN hari ini utk Ron 95 masih ada iaitu 0.28 seliter dan diesel 0.32 seliter. Subsidi ini turun naik bergantung kpd pasaran minyak dunia & dasar Kerajaan terhadap subsidi tersasar kepada bersasar.

7. Jumlah subsidi minyak Kerajaan BN untuk rakyat adalah banyak iaitu 2009 RM6.2b (minyak USD62), 2010 RM9.6b (minyak USD80), 2011 RM20.4b (minyak USD111), 2012 RM24.7b (minyak USD112), 2013 RM24.8b (minyak USD110) dan 2014 subsidi sekitar RM21billion. Semua angka2 subsidi ini sangat besar yang sepatutnya diguna untuk pembangunan rakyat dengan lebih bersasar.

8. Ramai yang sudah jelas bahawa subsidi minyak Malaysia adalah tersasar sbb rakyat berpendapatan rendah dapat subsidi yg sedikit keran mengguna motorsikal atau sebuah kereta kecil tapi rakyat berpendapatan tinggi dapat subsidi yang lebih besar sebab mengguna kereta besar & jumlahnya pula beberapa buah.

9. Sepatutnya subsidi diberi lebih kepada rakyat berpendapatan rendah & kurang kepada yang berpendapatan tinggi. Di Malaysia subsidi minyak jadi terbalik. Ini perlu dibetulkan dengan diberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat yg berpendapatan rendah.

10. Negara-negara jiran pula tidak ada atau tidak banyak beri subsidi minyak, maka sebab itu harga minyak mereka tinggi dan berlaku penyeludupan yang merugikan rakyat & negara Malaysia. Tentunya agensi2-agensi penguatkuasaan sedang melakukan tanggung jawab masing-masing dalam satu team besar pelbagai Kementerian.

11. Kesan harga minyak kepada kenaikan harga barang pula mesti ditangani dengan sepadu. Memerangi orang tengah, banyakkan Pasar Tani, Pasar Borong, Pasar Ikan, pelbagai pasar lain, jadikan pasaraya sebagai penanda aras harga, buku panduan harga barang, senarai harga dalam akhbar, kuasa pengguna untuk memilih, kedai harga patut, Kedai Rakyat 1Msia, Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan/Profiteering, kawalan harga waktu perayaan, banyakkan program jualan-jualan murah, pemantauan harga oleh penguatkuasa, perniagaan jangan dimonopoli oleh kaum-kaum tertentu adalah antara kaedah2nya.

12. Rumusan tentang hal subsidi minyak ialah keperluan kepada pembetulan struktur subsidi dengan kaedah pembaikan kepada subsidi yg terbalik yang tidak rasional. Inilah antara sebab mengapa subsidi minyak dikurangkan 20 sen selain untuk lebih 20 ribu juta/billion ringgit subsidi itu diguna bagi menafaat pembangunan rakyat dan negara dgn lebih adil serta bersasar.

Terima kasih.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Datuk Ahmad Maslan adalah Timbalan Menteri Kewangan
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau yang disiarkan di Astro AWANI

Hasrat pulang berhari raya terbantut dek ditipu operator bas ekspres

Keadaan menjadi kecoh apabila kalangan penumpang yang tidak berpuas hati memarahi pemandu bas ekspres tersebut selain meminta tambang dikembalikan.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 penumpang sebuah bas ekspres di sini berang selepas didakwa ditipu oleh operator bas terbabit.

Mereka dijadualkan bertolak dari Pudu Sentral pada jam 8 malam ini, namun perjalanan bas ke utara itu ditunda dan penumpang diarahkan untuk menaiki bas yang lain selain diminta membayar surcaj RM5 daripada tambang asal.

Namun hasrat untuk pulang berhari raya sempena Aidiladha tidak kesampaian susulan bas yang dinaiki itu pula tidak mempunyai permit setelah ditahan dalam satu operasi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Keadaan menjadi kecoh apabila kalangan penumpang yang tidak berpuas hati memarahi pemandu bas ekspres tersebut selain meminta wang dikembalikan.

Suasana tegang berjaya ditenangkan pegawai SPAD yang berada di situ.

- Sumber: Astro Awani 

Disyaki tanam pokok ganja

Keempat-empat lelaki berusia lingkungan 34 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang dalam keadaan khayal di rumah berkenaan.

SHAH ALAM: Polis Selangor memberkas seorang guru dan tiga rakannya kerana disyaki menanam 31 pohon pokok ganja di belakang sebuah rumah di Kampung Melayu di Sungai Buloh, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri ACP Md Tahir Kasim berkata keempat-empat lelaki berusia lingkungan 34 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang dalam keadaan khayal di rumah berkenaan.

"Serbuan dibuat selepas kami menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan suspek yang menanam pokok mencurigakan di dalam pasu dan beg plastik di bahagian belakang rumah terbabit.

"Ketika ditahan kesemua suspek sedang khayal menghisap ganja di dalam rumah itu," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata setelah mengeledah rumah itu, polis menemui 622 gram daun dan biji ganja serta beberapa alatan untuk menghisap ganja.

Polis juga merampas 292 gram ganja mampat yang disembunyikan di dalam sebuah kereta di kediaman itu.
"Hasil semakan lanjut mendapati seorang daripada empat suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah," katanya.

Beliau berkata siasatan awal turut menunjukkan pokok ganja yang dirampas itu dianggarkan berusia antara tujuh dan lapan bulan.

Semua suspek kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan untuk disiasatmengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam kes berasingan, dua lelaki berumur 50 dan 57 tahun ditahan di sebuah pusat beli belah di Sunway, Petaling Jaya, Selasa lepas dan sebanyak 2.24 kilogram dadah heroin dirampas.

Md Tahir berkata kedua-dua suspek itu diberkas pada 10.30 malam di kawasan terbabit sebelum melakukan urusan jual-beli dadah.

"Mereka dipercayai mahu menyerahkan dadah berkenaan kepada pelanggan dan heroin yang bernilai RM47,000 itu disorokkan di dalam beg sandang yang digalas seorang daripada suspek terbabit," katanya.

Kedua-dua suspek itu direman enam hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

- Sumber: Bernama

Cemburu dipercayai punca lelaki bunuh dan bakar teman wanita

Suspek berusia 43 tahun itu bertindak demikian selepas wanita berkenaan memberitahunya bahawa dia telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

BUKIT MERTAJAM: Polis percaya kes bunuh dan bakar seorang wanita di Kampung Datuk Keramat di sini berpunca daripada cemburu.

Sumber berkata hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 43 tahun itu bertindak demikian selepas wanita berkenaan memberitahunya bahawa dia telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

"Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu mendakwa bercinta dengan wanita berusia 30 tahun itu sejak beberapa tahun lepas dan tidak pernah mengetahui wanita itu telah berkahwin.

"Wanita itu datang ke rumah lelaki terbabit pada Isnin dan berterus terang yang dia telah berkahwin serta enggan meneruskan hubungan dengan penganggur berkenaan kerana bimbang diketahui suami dan keluarganya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, polis menemui ketulan tulang wanita yang dipercayai dibunuh dan dibakar di kawasan hutan di Kampung Datuk Keramat di sini.

Tulang-tulang dengan kesan terbakar dipercayai seorang wanita ditemui dalam kawasan hutan berhampiran sebuah rumah yang didiami seorang lelaki dan dikatakan sering dikunjungi wanita berkenaan.

Sumber itu berkata wanita yang telah dikenal pasti identitinya itu dikurung di rumah lelaki berkenaan sebelum mangsa dipukul, dibunuh dan kaki serta tangannya ditetak manakala sebahagian badannya dibakar sebelum ditanam di kawasan hutan belakang rumah itu.

"Selepas menahan lelaki berkenaan, polis membawa dia ke lokasi kejadian dan berjaya menemui badan mangsa yang ditanam di kawasan hutan itu. Beberapa bahagian tangan dan kaki ditetak manakala perut serta kaki mangsa terdapat kesan terbakar," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata lelaki yang ditahan petang semalam, kini direman tujuh hari bermula hari ini.

- Sumber: Bernama

MH17: Lima lagi jenazah tiba dan diberi penghormatan ketenteraan Jumaat

Lima lagi jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17 akan tiba di tanah air esok. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Lima lagi jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan tiba di tanah air hari ini dari Amsterdam dan diberikan penghormatan ketenteraan seperti sebelum ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis berkata ia melibatkan seorang beragama Islam dan empat bukan beragama Islam.

Jenazah itu ialah Matthew Ezekial Sivagnanam, pasangan suami isteri Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Muhammad Afruz Tambi dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) jam 8.30 pagi.

"Daripada lima jenazah ini, tiga jenazah akan diterima dalam keranda, manakala dua jenazah (pasangan suami isteri (Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen) akan dibawa dalam bekas abu.

"Bagaimanapun, dua bekas abu tersebut akan dibawa dalam satu kenderaan jenazah sahaja atas permintaan keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan.

Hishammuddin berkata bekas abu Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi manakala jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam pula akan dibawa ke St. Fatima Church di Brickfields.

Jenazah Muhammad Afruz dan Meling Anak Mula pula akan diterbangkan menggunakan pesawat C130, masing-masing ke Kuching dan Bintulu.

Hishammuddin berkata sehubungan itu pihak kerajaan amat mengharapkan semua pihak termasuk media supaya menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17 sekali gus bersama-sama menjaga privasi dan sensitiviti mereka.

Katanya, setakat ini kerajaan berjaya membawa pulang 37 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda termasuk seorang yang memiliki dua kewarganegaraan Malaysia dan Belanda iaitu Loh Yan Hwa.

"Jumlah 37 jenazah ini melibatkan 24 orang beragama Islam dan 13 bukan Islam. Jumlah ini juga melibatkan 22 penumpang serta 15 anak kapal.

"Dengan lima lagi jenazah dijangka dibawa pulang esok, maka kita telah membawa pulang 42 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda. Ini bermakna hanya dua lagi jenazah warganegara Malaysia belum dapat dikesan atau dikenal pasti," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata kerajaan konsisten bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak pesawat MH17 harus dibawa ke muka pengadilan dan seterusnya menerima hukuman yang setimpal atas jenayah atau pembunuhan yang mereka lakukan.

Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

- - Sumber: Bernama

Pelajar koma jatuh dari siling sekolah

KENINGAU: Seorang murid lelaki tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Ansip, di sini, koma selepas terjatuh dari siling tingkat tiga bangunan kelasnya, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.55 pagi itu, mangsa, Dylause Dionel, dikatakan terjatuh ke lantai di koridor bangunan terbabit menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala.

Mangsa kini dirawat di wad kecemasan Hospital Keningau dan berada dalam keadaan kritikal. Sebelum kejadian, mangsa difahamkan meminta kebenaran guru untuk keluar ke tandas.

Guru berkenaan kemudiannya keluar mencari pelajar terbabit setelah dia lambat masuk semula ke kelas dan mendapati pelajar berkenaan telah terjatuh dan cedera.

Bapa mangsa yang mengetahui kejadian itu kemudian membuat laporan polis kerana tidak puas hati selepas tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung perkara itu. 

Astro AWANI difahamkan pelajar berkenaan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Merbin Ak Lisa ketika mengesahkannya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.04 tengah hari.

Bagaimanapun setakat ini masih tidak dapat dipastikan bagaimana pelajar tersebut terjatuh.

- Sumber: Astro Awani

Che Ta: Saya risau

Che Ta

MASA pantas berlalu dan siapa sangka kurang dua minggu sahaja lagi pelakon jelita, Rozita Che Wan dijangka melahirkan cahaya mata pertama hasil perkahwinan kedua bersama aktor, Zain Saidin.

Bukan sahaja pasangan bahagia ini, malah keterujaan menyambut kelahiran ini turut dirasai seluruh peminat setia mereka.

Berkongsi pengalamannya, aktres yang mesra disapa Che Ta ini mengakui biarpun teruja dia turut merasa berdebar menanti saat melahirkan nanti.

“Walaupun sebelum ini ada pengalaman, tetapi ia berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Mungkin saya juga sudah lupa rasa sakit untuk melahirkan. 

“Perasaan teruja itu memang ada, tambahan pula kali ini kami bakal menimang bayi perempuan dan saya memang tidak sabar menunggu saat itu,” ujarnya.

Menarik mengenai kehamilannya kali ini, pasangan romantis ini telah memberikan kepercayaan kepada pihak Astro merakamkan saat-saat indah menyambut cahaya mata mereka menerusi program Pureen Chak Chak.

“Dalam soal ini kami tidak ada sebarang syarat kerana kami percaya pihak produksi tahu had mereka.

“Kalau diikutkan paparan visual yang akan diambil tidaklah terlalu terperinci, jadi ia tidak beri sebarang masalah kepada kami.

“Walaupun tidak terlalu banyak, tapi inilah peluang kami berkongsi kebahagiaan ini bersama peminat,” tuturnya.

Pada masa yang sama, Che Ta turut mendedahkan dirinya sering mengamalkan membaca surah Mariam dan Yusuf sebagai persediaan dalam proses kelahiran.

“Saya rasa amalan ini memang semua wanita amalkan dan saya harap semuanya akan dipermudahkan.

“Selain itu, salah seorang teman saya ada belikan akar bunga Fatimah dari Makkah dan dia cadangkan saya untuk minum air rebusannya ketika sudah sampai masa proses melahirkan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian