Friday, 21 February 2014

Kelebihan bersuami boroi, gemuk



BOROI. Malangnya perkataan itu, ia jadi musuh hampir semua orang.

Bagi lelaki, mereka sanggup buat apa sahaja untuk memastikan diri tidak termasuk dalam golongan yang malang itu terutama apabila usia menjangkau 40-an.

Namun dalam berusaha, hanya sedikit yang berjaya. Ini berkait dengan banyak sebab, pemakanan, gaya hidup juga soal istiqamah dalam bersenam.

Bagi wanita pula, mereka seboleh mungkin tidak mahu pasangan boroi kerana hakikatnya, sesiapa yang boroi akan dipandang hodoh seperti kuih yang tidak ikut bentuk acuan.

Namun dalam berdepan dengan isu boroi, kita kadang kala diperdengarkan dengan kenyataan-kenyataan yang membawa maksud bahawa lelaki boroi juga punya kelebihan.

Ini termasuk pengakuan oleh wanita sendiri yang saya dapati melalui tinjauan media sosial menyebut bahawa lelaki boroi itu seksi. Benarkah?

Saya kira ini mungkin sekadar alasan untuk menyedapkan hati kerana secara relatif, bagaimana boroi mahu dianggap seksi. Apakah kuih yang jadinya tidak mengikut bentuk acuan semestinya sedap?

Ya, saya sendiri termasuk dalam kategori boroi. Dan untuk menyedapkan hati sendiri, sejak berkahwin, saya sering mengatakan kepada sesiapa sahaja yang membangkitkan isu keboroian saya bahawa hanya jauhari yang mengenal manikam. Kononnya, hanya wanita yang bersuamikan lelaki boroi sahaja tahu kelebihan kami.

Kadang kala saya membuat perbandingan bahawa kami yang boroi ini seumpama minyak masak Seri Murni yang melalui proses pemeringkatan dua kali untuk mendapat kualiti terbaik.

Sesiapa yang tidak fahami metafora ini, cuba-cuba fikir sendiri untuk mendapatkan jawapannya!

Baru-baru ini saya ditemukan dengan satu lagi kenyataan bahawa lelaki boroi dikatakan lebih penyayang, berfikiran jauh (mungkin sebab hujung perutnya lebih jauh dari otak) dan satu lagi, seksi.

Itu berkaitan dengan boroi.

Dalam kes gemuk atau berat badan berlebihan, satu soal selidik di Jerman mendapati lelaki yang termasuk dalam kategori itu lebih setia dalam percintaan berbanding mereka yang mempunyai berat badan ideal ataupun kurus.

Sekumpulan lelaki berusia antara 31 hingga 69 tahun ditanya mengenai tahap kesetiaan mereka dalam hubungan cinta termasuk yang sudah berkahwin.

Hasilnya mendapati daripada 53 peratus yang memberikan jawapan, hanya 11 peratus yang mengaku benar-benar setia dan mereka terdiri daripada lelaki-lelaki gemuk.

23 peratus lagi yang dikenal pasti mempunyai berat badan ideal, mengaku curang. Demikian juga 19 peratus mereka yang dikategorikan sebagai kurus.

Apa pun, saya tidak jamin ini juga cerminan bagi orang kita.

Namun harus jadi ingatan bahawa setiap apa yang padanya ada kelebihan, pasti ada kekurangan dan setiap yang dianggap kurang, pasti ada kelebihan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, dan bagaimana seadanya kita.

Kepada mereka yang termasuk kategori gemuk atau boroi, usahlah lagi bergundah gulana. Jangan dibenci, apa lagi dikeji 'tembikai masak' anda kerana di situlah tersimpan rahsia kelebihan diri anda yang tidak banyak diketahui orang. 

Uar-uarkanlah bahawa anda bukanlah kuih yang jadinya tidak mengikut acuan kerana bahulu yang rupanya cantik molek bukan semestinya sedap!

Kepada isteri-isteri yang suaminya boroi atau gemuk, anggaplah diri anda bertuah kerana zaman sekarang, ramai suami yang tidak setia. Yakinlah selagi mana perut suami anda boroi dan badannya juga gemuk, itulah tanda dia setia.

Lazimnya, jarang ada wanita muda yang mahu lelaki seperti itu melainkan jika dompetnya juga benar-benar boroi dan gemuk!

Sinar Harian 

Nelydia cintai pemuda mualaf?

Nelydia cintai pemuda Mualaf?

PERBEZAAN agama dan bangsa tidak pernah membataskan rasa cinta dan sayang yang diciptakan ALLAH untuk hamba-Nya.

Meskipun terhalang dek keluarga jika sudah jodoh tetap bertemu biar pun jarak memisahkan.

Menggandingkan pelakon Nelydia Senrose dan Mah Kit Wai, drama bertajuk Sesuci Cintamu disiarkan TV1 mengisi slot Panggung 1 pada 3 Mac depan, jam 2 petang turut dibintangi oleh Abdul Razak, Safura Yaacob, Mandy Chong, Amar Bahrin, Syawal dan Shakila oriri.

Drama arahan Harris Fadzillah ini bermula di mana Aisyah, seorang penuntut tahun akhir universiti yang mempunyai latar belakang keluarga yang begitu prihatin berkenaan pengisian Islam menerima undangan makan daripada rakan seuniversiti iaitu Jason Chong yang telah lama meminatinya.

Aisyah tanpa pengetahuan ibu bapanya menerima undangan keluar makan bersama Chong dengan syarat ia ditemani oleh sepupunya yang juga kawan rapatnya di universiti yang sama. Perjumpaan itu membibitkan perasaan yang lebih mendalam di antara mereka tambahan pula Chong merasakan keunikan keperibadian Aisyah berbanding dengan remaja wanita lain yang pernah ditemuinya.

Chong dan Aisyah sering berhubung melalui Internet. Dalam diam Aisyah yang tertarik dengan Chong cuba sedaya upaya untuk tidak menampilkan perasaan itu kerana tahu hubungan mereka tidak akan dipersetujui ibu bapanya terutama sekali bapanya, Haji Shafie.

Haji Shafie juga sebenarnya telah berura-ura untuk menjodohkan Aisyah dengan Azman, anak kepada saudara jauh mereka, Haji Misnin.

Untuk memastikan Chong keluar daripada hidup anaknya, Haji Shafie berjumpa Chong dan menyatakan perkara sama. Tuan Haji Shafie yang berprasangka buruk terhadap Chong agak terkedu apabila melihat keperibadian Chong yang baik.

Chong bagaimanapun akur menerima permintaan Tuan Haji Shafie dan memahami maksud di sebalik permintaan untuk melupakan Aisyah.

Aisyah yang tidak tahu tentang perjumpaan bapanya dengan Chong pula merasakan seperti Chong meninggalkannya dalam dilema dan tidak sanggup menyahut cabaran cinta mereka.

Malang tidak berbau, tidak lama selepas itu, Aisyah mengalami kemalangan dan akibatnya sebahagian dari urat sarafnya yang terluka di bahagian trakea, Aisyah tidak boleh lagi bersuara.

Hampir dua tahun berlalu, Aisyah masih belum pulih. Ibunya memberitahunya yang Chong telah kembali ke tanah air tetapi Aisyah hanya menangis apabila mendengar berita tersebut.

Satu pagi yang indah, loceng rumah Aisyah berbunyi. Ibunya tergesa-gesa membuka pintu dan alangkah terkejutnya Aisyah apabila Chong muncul bersama ibunya dan berjalan perlahan-lahan ke arahnya. Lalu masihkah ada jodoh di antara mereka? - Sinar Harian 

BR1M masuk awal, rakyat suka hati

BR1M masuk awal, rakyat suka hati
Transaksi bank yang dikongsikan penerima BR1M di laman sosial Facebook. - Foto Ihsan Facebook Pakcu Sofi


SHAH ALAM - Walaupun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 telah diumumkan akan diterima mulai esok, namun rata-rata pemohon telah menerimanya sejak semalam lagi.

Kebanyakan pemohon dan yang telah menerima BR1M 3.0 turut berkongsi berita gembira itu di laman media sosial.

Seorang pemilik Facebook, Pakcu Sofi turut berkongsi berita itu bersama rakan di laman sosial tersebut.

"BR1M telah masuk, boleh bayar cukai jalan.

"Saya telah dengar BR1M masuk, jadi saya cuba semak akaun bank saya.

"Saya semak hari ini, saya agak terkejut ada jumlah RM300 dalam akaun saya," tulisnya.

Bantuan berkenaan dimasukkan ke akaun miliknya semalam.

Selain itu, seorang lagi pemilik akaun Facebook, Azlan InThe House turut menyatakan bantuan kerajaan itu telah diterimanya.

"Alhamdulillah, saya sudah dapat duit BR1M. Terima kasih kerajaan Malaysia.

"Harap dapat lagi tahun-tahun mendatang," katanya.

Seorang lagi pemilik akaun Facebook menggunakan nama King Jason turut berkongso telah menerima bantuan BR1M semalam.

"BR1M sudah masuk. Jimat cermat ya," tulisnya.

Sebelum ini, media melaporkan BRIM 3.0 peringkat nasional akan dilancarkan pada 22 Februari ini manakala pengagihan bagi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pula diadakan pada 23 Februari, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pemberian bantuan adalah seperti yang dijanjikan dalam manifesto BN yang mana jumlah BR1M dinaikkan dari semasa ke semasa dalam tempoh lima tahun sehingga mencapai RM1,200.

"Pemberian BR1M ini juga akan diagihkan kepada golongan bujang. Kalau gula naik 34 sen banyak mana kita pakai gula sebulan, habis banyak dua kilogram cuma 68 sen. Yang kita nak beri ini melalui BR1M, bantuan persekolahan dan buku baucar jauh lebih besar daripada itu," katanya.

Sinar Harian 

10 fakta yang anda perlu tahu tentang WhatsApp

KUALA LUMPUR: Facebook membeli aplikasi WhatsApp, perkhidmatan mesej yang berkembang pesat pada harga lebih daripada $16 bilion dalam bentuk tunai dan saham.

Namun, Facebook dan WhatsApp tetap akan beroperasi dan mempunyai ahli lembaga bersasingan. WhatsApp juga mempunyai 450 juta pengguna aktif setiap bulan. 

"Pengambilalihan ini menyokong misi bersama Facebook dan WhatsApp untuk mewujudkan lebih banyak rangkaian dan utiliti kepada dunia dengan menyediakan perkhidmatan Internet teras yang cekap dan sesuai dengan kemampuan," dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Facebook.

Berikut adalah 10 fakta menarik tentang WhatsApp:





Sumber: Astro Awani

Chew Mei Fun dinamakan sebagai calon BN ADUN Kajang


KUALA LUMPUR: Naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, seperti diramalkan pelbagai pihak.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Muhyiddin berkata Chew dilihat sebagai calon yang paling sesuai.

"Calon ini berwibawa, pernah jawat jawatan kerajaan, dan seorang wanita cantik..." kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata BN perlu tanding di Kajang walaupun pernah kalah lebih 6 ribu undi. "Kita pun ada penyokong dan bilangan ahli yang besar (di Kajang)," katanya.

Chew, 50, adalah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utama.

Beliau juga pernah menjadi Senator, Ketua Wanita MCA dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kerusi DUN Kajang telah dikosongkan berikutan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan PKR Lee Chin Cheh bagi membuka jalan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahimuntuk bertanding dalam PRK itu.

Selain Anwar, bekas Presiden parti KITADatuk Zaid Ibrahim turut umumkan keinginan untuk bertanding sebagai calon bebas.

Dalam PRU 13, Lee memperolehi 19,571 undi untuk mengalahkan calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.

Lee menang dengan majoriti 6,824 setelah mengalahkan empat calon bebas lain.

Astro Awani 

"It felt like blood was coming out of my legs," - Ammar

-- File Pic

STOCKHOLM: Azizul Raheem Awaluddin and Shalwati Nor Shal’s eldest son, Ammar, 12, continued to shock the court with his dramatic accounts of numerous alleged incidents of his parents beating him and his siblings on the third day of trial.

In the videos shown by the prosecutor, Anna Arnell, Ammar is interviewed by an investigating officer and he doesn’t need much prodding to set off into a trail of storytelling.

One incident he relates to the officer is about how his older sister, Aishah, 14, has a habit of stealing chocolates from their parents’ room almost on a monthly habit. Of course, this always ends up with her allegedly being beaten by their parents.

Another incident involves himself and his mother. His mother had asked him to wash the bathroom and he could not stop groaning and sighing because he didn’t like doing it. This irked his mother who then went on to beat him with a belt.

“It felt like blood was coming out of my legs. It also felt like hot water purring down my leg. The belt was made of leather. It was my father’s belt and it was brown,” he said.

Kristofer Stahre, Shalwati’s lawyer, said that Ammar’s statements have been very inconsistent with those by other witnesses. And this could be a big advantage for the defence.

Ammar had also related an incident when his mother had punished him by pinching his groin area very near to his genitals. He couldn’t recall what he did to deserve it, but he was sure that his mother would never do it again.

This took place a long time ago when he was 8 years old and the family was living in South Africa at that time.

Ammar also said that he had overheard a conversation between his parents one night when his mother had suggested to his father that she be the one to do the hitting when it came to disciplining their children.

He heard his mother tell his father in Bahasa Malaysia that he is a hard-hitter and when he hits them, they will cry out louder. If she does it, they won’t cry out too loud. He was walking past his parents’ room when he heard the conversation.

Even with all the dramatics and details, Ammar still showed signs of remorse. At the beginning of the interview with the investigating officer, he had asked her when his parents would be released.

"It's been a long time. Four weeks already and it's strange not to see them for so long. I wish my parents would be at my home and we will be fine together," he said.

Azizul and Shalwati have been detained since Dec 2013 for allegedly abusing their four children, who are now under the care of their aunt in Kelantan.

They were brought home from Sweden by Deputy Foreign Minister Datuk Hamzah Zainuddin, last month. - ASTRO Amani 

Bekas Pengerusi DAP Kampung Jering ditembak mati di Perak


SERI MANJUNG: Bekas Pengerusi DAP Kampung Jering mati akibat di tembak di bahagian badan, tangan dan dada di depan rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar di sini malam Rabu.

Mangsa yang dikenali sebagai Wong Kong Ting, 56 yang mengalami pendarahan teruk disahkan meninggal dunia di Hospital Manjung pada pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata dalam kejadian pukul 10.13 malam itu, isteri mangsa terdengar bunyi satu letupan di luar rumah yang disangkakan mercun sebelum melihat suaminya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

"Sebelum kejadian, mangsa baru pulang selepas keluar minum pada pukul 10 malam. Isterinya yang berada di dalam rumah bersama ibu, anak serta sepupunya terkejut mendengar bunyi letupan kuat di luar rumah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini pada Khamis.

Katanya hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui beberapa kelongsong peluru dan tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat lebih daripada seorang.

Beliau berkata satu pasukan khas polis ditubuhkan yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim untuk menyiasat motif sebenar kejadian meliputi pelbagai sudut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Hisham Mohamad Sani di talian 019-5753207019-5753207 atau menghubungi IPD Manjung di talian 05-683522205-6835222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Mangsa yang juga merupakan kontraktor tanaman semula kelapa sawit memegang jawatan Pengerusi DAP Kampung Jering selama empat tahun bermula 2006 dan kini merupakan anggota biasa dalam parti.

Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali berkata semasa menemui bapanya terbaring di perkarangan rumahnya, mangsa memberitahu dia ditembak.

"Ketika kejadian saya, emak serta seorang sepupu yang sedang menonton televisyen dengar bunyi motosikal bapa masuk pintu pagar dan tiba-tiba bunyi letupan kuat di luar.

Kami bergegas keluar dan terkejut apabila melihat bapa dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Katanya bapanya selalu keluar minum malam bersama rakannya di kedai berhampiran.

Beliau berkata jirannya memberitahu ternampak sebuah motosikal yang dipecut laju dari rumahnya selepas kejadian itu.
Bernama

Perigi Hang Tuah tak pernah kering

Perigi Hang Tuah tak pernah kering
Junaidah menunjukkan air Perigi Hang Tuah yang tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau panjang.


MELAKA TENGAH - Walaupun negara dilanda musim kemarau sejak beberapa minggu lalu, namun air di Perigi Hang Tuah dekat Kampung Duyong, di sini, tetap tidak terjejas.

Penduduk, Junaidah Mamat, 39, berkata, sehingga ke hari ini, air Perigi Hang Tuah tidak pernah kering meskipun berlaku musim kemarau.

Menurutnya, ketika krisis air melanda Melaka pada 1991, perigi berkenaan tetap mempunyai air yang mencukupi malah tidak terjejas langsung.

“Pada masa itu, lebih 20 keluarga di kampung ini mendapatkan bekalan air dari Perigi Hang Tuah setiap hari.

“Ada juga mereka dari luar kawasan ini datang ambil air selain ada juga yang mandi di sini,” katanya.

Warga emas, Kintan Yon, 73, turut tidak menyangkal keistimewaan pada air Perigi Hang Tuah yang didakwa tidak pernah kering sehingga kini.

"Sejak dulu lagi, air Perigi Hang Tuah tetap sama dan tidak berubah, malah kejernihannya turut tidak terjejas selain pernah dijadikan air minuman kerana bersih.

“Sehingga kini pun, pelancong yang datang tidak ragu-ragu ambil air perigi terbabit dengan basuh muka mereka disebabkan airnya dingin dan menyegarkan,” katanya.

Berdasarkan maklumat, perigi ini dipercayai digali sendiri oleh Hang Tuah yang pada asalnya agak kecil tetapi lama-kelamaan ia menjadi besar.

Sinar Harian 

Pengantin baru tersungkur atas jalan elak sekatan polis

ALOR SETAR: Gara-gara ingin mengelak daripada sekatan pemeriksaan polis, sepasang pengantin baru tersungkur di atas jalan raya.

Lelaki dan wanita yang baru sebulan berkahwin terbabit dilaporkan memecut motosikal sambil mengelak sekatan dalam operasi polis di Lebuh raya Darulaman di sini pada kejadian 12.00 tengah malam tadi, namun hilang kawalan dan terbabas.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sebotol air ketum di dalam raga motosikal mereka dan lelaki terbabit turut didapati tidak memiliki lesen memandu serta motosikal yang ditunggangi tiada cukai jalan.

Lelaki itu berusia 19 dan manakala isterinya yang mendakwa masih bersekolah berusia 17 tahun.

Pasangan terbabit turut membawa surat nikah dan berasal dari Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah.

Lelaki itu merayu agar dilepaskan dengan alasan ingin menziarahi neneknya yang sakit dan air ketum yang dibawanya hanya sekadar untuk memberi tenaga.

Pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis Alor Setar untuk siasatan dan motosikal mereka disita.

Sementara itu, dalam operasi bagi membanteras samseng jalanan itu, seorang lagi lelaki ditahan kerana bersikap biadap terhadap anggota polis yang membuat pemeriksaan terhadapnya.

Lelaki terbabit enggan memberikan kerjasama dan tidak mengendahkan arahan polis serta meninggikan suara sambil merunggut.

Operasi yang bermula pukul 9 malam dan berakhir pada jam 3 pagi itu melibatkan 200 orang anggota dan sukarelawan polis yang diketuai oleh Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Supt Mat Khir Jaafar.

Mat Khir berkata, polis mengeluarkan puluhan saman di atas pelbagai kesalahan jalan raya di samping menyita beberapa buah motosikal kerana tidak memiliki geran dan cukai jalan.

“Kita mengharapkan supaya masyarakat dan juga boleh memberi kerjasama kepada polis, supaya kerjasama untuk membenteras jenayah ni adalah untuk bersama. Saya harap masyarakat setempat di daerah Kota Setar faham dengan tugas dan tanggungjawab polis,” ujarnya. - ASTRO Awani 

32 pengawal keselamatan warga asing ditangkap

32 pengawal keselamatan warga asing ditangkap
Warga asing yang diperiksa dalam Ops Bersepadu, semalam.


PETALING JAYA – Seramai 32 pengawal keselamatan warga asing ditahan pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu, di sebuah pasar raya di Kelana Jaya, dekat sini, semalam.

Ketua Operasi, Nik Shahanizam Ahmad berkata, serbuan jam 11.30 pagi itu menahan 28 warga Nepal dan 4 warga Bangladesh berusia 18 hingga 43 tahun.

“Operasi selama tiga jam itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang bertindak sebagai pengurus keselamatan di situ,” katanya.

Ketika operasi, semua warga asing tersebut sedang leka bekerja dan pihaknya bertindak merampas 26 unit walkie talkie dan kad perakam waktu.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan direman 14 hari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah.

Salah seorang dari mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas.

“Lelaki tempatan yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahui melanggar peraturan akta,” katanya. - Sinar Harian 

Malaysia perlu ramai juruterbang

Perlu ramai   juruterbang
Terry

PERMINTAAN untuk juruterbang di seluruh dunia semakin meningkat, dengan 26,000 juruterbang diperlukan bagi memenuhi keperluan syarikat penerbangan di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Prinsipal Akademi Penerbangan Malaysia (MFA), Kapten Stephen Michael Terry berkata, berdasarkan situasi ekonomi kini, keperluan juruterbang di Malaysia dijangka meningkat berdasarkan peningkatan jumlah pembelian pesawat baharu oleh syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd.

“Bagaimanapun peningkatan bagi keperluan juruterbang agak perlahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini memandangkan industri penerbangan baharu pulih daripada krisis ekonomi yang berlaku pada 2008.

“Berikutan krisis itu, hampir kesemua syarikat penerbangan terpaksa mengurangkan kos operasi termasuk menutup laluan penerbangan sedia ada,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Terry, bagi memenuhi permintaan terhadap juruterbang, MFA akan meningkatkan pelaburan dengan menambah peralatan baharu serta kemudahan latihan termasuk pembelian lapan pesawat iaitu empat pesawat PA 28-161 berenjin tunggal dan empat pesawat PA44-180 enjin berkembar selain dua simulator penerbangan.

Katanya, MFA akan membelanjakan kira-kira RM15 juta bagi pembelian itu.

Pada masa ini, akademi itu memiliki 23 pesawat dan dua simulator.

Selain itu, MFA turut mengintai peluang memberi latihan pengendalian jet serta berhasrat mengubah status semasa sebagai Flight Training Organization (AFTO) kepada Type Rating Training Organization (TRTO) dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sijil ini akan membenarkan kami mengendalikan latihan bagi penerbangan pesawat komersial dan kapal terbang yang lebih besar,” katanya.

MFA yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka merupakan akademi perintis di negara ini yang menyediakan latihan profesional kepada bakal juruterbang untuk syarikat penerbangan seperti MAS, Singapore Airlines, Silk Airlines, Jetstar Airways, Air Mauritius dan Polis Diraja Malaysia.

Beroperasi sejak 1983, MFA turut menerima pelajar dari negara luar antaranya Singapura, Australia, Iran, India, Indonesia dan Taiwan.


Monopoli teksi eksekutif buatkan penumpang tiada pilihan

KUALA LUMPUR: Monopoli teksi eksekutif masih lagi berleluasa di ibu negara terutamanya di pusat membeli belah terkemuka dan hotel-hotel lima bintang dimana teksi-teksi itu dilihat menguasai pengambilan penumpang.

Amalan ini dilakukan kerana teksi eksekutif telah menetapkan tambang mereka sendiri untuk kemana-mana destinasi dan tidak menggunakan meter seperti yang dilakukan oleh teksi-teksi bajet.

Tinjauan Astro AWANI di pusat membeli belah KLCC di Jalan Ampang mendapati hanya sesetengah teksi tertentu seperti teksi eksekutif sahaja yang dibenarkan masuk ke kawasan premis ini untuk mengambil penumpang.

Perkembangan tersebut memberikan pengunjung di tempat membeli belah tersebut tiada pilihan untuk memilih teksi yang mereka sendiri kehendaki.

Jika pengunjung masih juga berkehendakkan teksi yang kosnya agak murah atau bajet, mereka terpaksa berjalan jauh sedikit untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Suatu penyelesaian seperti pelarasan tambang teksi perlu dilakukan menikut meter tanpa mengira apa jua kelas teksi tersebut.

Pengguna secara peribadi perlu diberikan hak untuk memilih apa jua teksi tanpa mengira tempat yang mereka kunjungi itu adalah premis swasta atau persendirian kerana mereka berkehendakan kualiti meskipun perkhidmatan teksi yang diambil itu jauh lebih murah dan bajet.

Pihak berkuasa juga perlu lebih peka dan sering turun ke padang untuk menyelami rintihan pemandu-pemandu teksi ini dan mencari jalan penyelesaian menang-menang agar pengguna dapat diberikan kebebasan dalam mencari perkhidmatan teksi yang mereka sendiri kehendaki.


Jenis-jenis teksi

1. Kadar teksi bajet – RM3.00/km (10 sen untuk tambahan 115 meter berikutnya)

2. Kadar teksi premier – RM4.00/km (20 sen untuk tambahan 150 meter berikutnya)

3. Kadar teksi eksekutif – RM6.00/km (20 sen untuk tambahan 100 meter berikutnya)

Perbandingan kadar teksi di KLIA:

                                 Limo Premium       Limo Bajet       Teksi Meter
KLIA – KLCC                RM102                    RM74                RM63

KLIA – Ampang            RM224                    RM84                RM68

Lain-lain caj yang dikenakan kepada penumpang:

1. Tambahan 50 peratus perkhidmatan selepas pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi.
2. RM2 apabila teksi ditempah dengan telefon
3. Tambahan RM12 perjalanan ke KLIA, LCCT dan LTSI
Berita mula diterbitkan pada: Februari 20, 2014 23:27 MYT

Gabenor Jakarta diintip: bilik tidur, bilik tamu dan ruang makan


JAKARTA: Gabenor Jakarta Joki Widodo mengesahkan kediaman rasminya telah dipasang peranti intipan oleh pihak yang tidak dikenal pasti dan peranti itu dikesan sejak Disember tahun lalu.

"Saya telah tahu mengenainya sejak Disember lepas tetapi saya diam saja. Saya sebenarnya tidak mahu heboh-heboh masalah ini," katanya seperti dipetik oleh laman web The Jakarta Post pada Khamis.

Peranti intipan itu ditemui di bilik tidur, bilik tetamu dan ruang makan tempat beliau lazimnya bermesyuarat.

"Apa yang mahu diintip daripada saya? Tidak ada apa-apa," katanya yang mengaku terkejut dengan penemuan itu tetapi tidak kisah mengenainya dan menganggap isu itu telah selesai.

Ditanya adakah beliau menaruh syak kepada mana-mana pihak atau parti politik yang mungkin terlibat dalam intipan itu, Jokowi berkata beliau tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu.

Jokowi juga memaklumkan beliau tidak ada perancangan untuk memeriksa kediamannya atau meningkatkan tahap keselamatan lagi kerana "setiap hari pun saya sudah membersihkan rumah," katanya berjenaka.

Kenyataan Jokowi itu adalah susulan pendedahan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Demokrat Indonesia-Perjuangan (PDIP), Tjahjo Kumolo mengenai penemuan tiga peranti itu sebelumnya.

Jokowi disebut-sebut bakal dicalonkan oleh PDI-P pada pemilihan Presiden Indonesia Julai ini dan dilihat sebagai ancaman besar kepada calon parti-parti lain. Dalam beberapa tinjauan pendapat yang dilakukan oleh beberapa badan, populariti Jokowi mendahului calon-calon lain.

Laman web berita detik.com melaporkan Jokowi tidak membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa sebaliknya hanya melaporkan perkara berkenaan kepada pihak pengurusan PDI-P.

Sementaraitu, beberapa pemimpin kanan PDI-P menyifatkan tindakan mengintip itu sebagai politik kotor dan tidak matang.

PDI-P yang kini parti pembangkang dilihat bakal meraih undi besar dalam pilihan raya parlimen dan pemilihan presiden tahun ini selepas Parti Demokrat yang memerintah terkait dengan beberapa skandal rasuah.

Astro Awani 

Cuaca panas, kering: Guna pendingin hawa secara bijak


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan para pengguna supaya menggunakan pendingin hawa secara bijak ketika cuaca panas dan kering ini.

Menurut Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, ia bagi menjamin penggunaan elektrik diuruskan dengan lebih baik.

“Pendingin hawa mewakili sebahagian besar penggunaan elektrik sebilangan pengguna kami,” kata Mohd Aminuddin dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau juga menyarankan para pengguna supaya mengamalkan tip-tip berikut bagi menjimatkan penggunaan tenaga:

- Laraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23 ke 25 darjah celsius.

- Tukar atau bersihkan penapis penghawa dingin dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan unit tersebut. Penapis yang kotor menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

- Selain itu, penyelenggaraan secara kerap juga boleh membantu pendingin hawa beroperasi pada tahap optimum.

- Tutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara untuk memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik.

- Pada waktu malam, buka kipas dan tetapkan masa pendingin hawa untuk ditutup. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang. Tambahan, penggunaan kipas adalah lebih murah dan membantu pengedaran udara di dalam bilik.

Selain itu, Mohd Aminuddin juga mengingatkan para pengguna agar menggantikan pendingin hawa yang berusia lebih 10 tahun kerana unit-unit tersebut tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.

Katanya mereka yang ingin membeli pendingin hawa baharu dicadangankan supaya memilih pendingin hawa yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana lebih banyak bintang bermaksud peralatan tersebut lebih cekap berfungsi.

Katanya lagi pemilihan saiz dan jenis pendingin hawa yang tepat juga penting kerapa pendingin hawa yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal untuk dibeli dan dipasang, malahan ia juga akan menyebabkan bil elektrik yang lebih tinggi kerana kompresor pendingin hawa perlu berputar dan berhenti berulang-ulang. - ASTRO Awani 

Filem 'The Journey' mencecah kutipan RM10.7 juta



KUALA LUMPUR: Filem tempatan ‘The Journey’ mencecah kutipan RM10.7 juta setakat ini.

Jumlah tersebut merupakan pungutan tertinggi untuk filem berbahasa Cina tempatan.

Filem itu memulakan tayangan pada 30 Januari lalu.

‘The Journey’ yang ditayangkan sempena sambutan Tahun Baru Cina itu juga mencatatkan rekod sebagai antara filem Malaysia yang mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah.

Astro Awani 

BN tak perlu tanding PRK Kajang, kata penganalisis

PRK Kajang

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, jika tidak mahu dilihat 'menari mengikut paluan gendang PKR'.

Beberapa ahli politik dan penganalisis politik berpendapat BN perlu membuat kajian mendalam agar tidak terperangkap dalam permainan politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah terdapat desakan supaya Presiden BN Datuk Seri Najib Tun Razak memegang ketetapan pucuk pimpinan BN yang tidak bertanding pada PRK DUN Penanti, Pulau Pinang pada tahun 2009 kerana kekosongan kerusi itu bukan disebabkan oleh peruntukan perlembagaan. 

PRK DUN Penanti pada tahun 2009 diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR dengan alasan melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan rasuah.

Timbalan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat BN perlu lebih fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan menyusun struktur ekonomi negara daripada melayan kerenah politik pembangkang.

"Pada pandangan saya secara peribadi, biarlah Pakatan Rakyat terus bermain dengan politik mereka sementara BN terus berkhidmat pada negara dan membela nasib rakyat," katanya dalam laman blog beliau hari ini.

Salleh berkata BN perlu menimbang untuk tidak meletakkan calon di Kajang kerana PRK itu pada realitinya diadakan untuk memenuhi politik nafsu Anwar.

"Oleh kerana Kajang dikatakan kawasan (kerusi tradisi) MCA, kita berpandangan MCA perlu fokus kepada usaha memperkukuh parti di bawah kepimpinan baharu dan memberi tumpuan persediaan menghadapi PRU akan datang," katanya.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

PKR menamakan Anwar sebagai calon parti itu, sementara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, turut menyatakan hasrat bertanding di PRK itu sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Mac ini sebagai hari mengundi dan penamaan calon pada 11 Mac.

Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie pula berkata PRK Kajang merupakan satu pembaziran yang hanya diwujudkan secara paksa demi menyelesaikan krisis dalam PKR.

Beliau menyifatkan PRK yang 'dicipta' pembangkang dengan memaksa seorang wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebarang alasan munasabah demi kepentingan rakyat sebagai menghina demokrasi negara.

"Maklum balas yang saya terima daripada akar umbi, kalau kita bertanding, kita akan mengikut rentak mereka. Ia merugikan negara sedangkan wang itu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan bantuan kepada orang miskin," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, MCA yang baru sahaja selesai menjalani pemilihan parti perlu diberi lebih peluang dan usaha untuk fokus kepada transformasi parti dan seterusnya menambah baik penyampaian kepada rakyat.

Dalam pada itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata lebih baik PRK DUN itu diboikot semua pihak jika peletakan jawatan penyandangnya tanpa alasan kukuh tidak disiasat dan diambil tindakan perundangan.

"Bukan niat kita hendnak memboikot demokrasi tetapi perlu ada penghormatan kepada undang-undang.

"Ini bukan soal takut, atau soal siapa hero atau tidak. Kalau nak jadi hero lebih baik masuk gusti, ini lebih kepada strategi politik, kalau tak ada keperluan dan kepentingan maka lebih baik sahaja elak pertandingan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian pula berkata BN sebelum ini pernah tidak bertanding di Penanti berikutan senario yang agak sama yang berlaku di Kajang ketika ini.

"Presiden dah pernah buat ketetapan di Penanti, pada ketika itu beliau berkata BN tidak akan bertanding kerusi itu yang sengaja dikosongkan dan bukannya disebabkan faktor-faktor seperti dalam peruntukan perlembagaan,"
katanya.

Sivamurugan berpendapat BN seeloknya terus berpegang kepada ketetapan itu yang secara tidak langsung dapat mempamerkan kematangan yang lebih berkualiti. 

Sementara itu, Persatuan Alumni UiTM dalam satu kenyataan menyifatkan PRK DUN Kajang suatu yang tidak perlu dan dipaksakan ke atas pengundi kawasan itu yang baru sahaja mengundi tidak sampai setahun lepas.

"Ia menodai prinsip dan amalan demokrasi. Oleh demikian, BN tidak perlu mengambil bahagian dalam PRK tersebut," menurut kenyataan itu. - Bernama

Tiada krisis: Kedah punyai lebih 1,000 juta meter padu air

KUALA NERANG - Kedah tidak menghadapi krisis air yang kritikal kerana tiga empangan di negeri ini mempunyai kapasiti lebih 1,000 juta meter padu air dan cukup untuk menampung kegunaan domestik dan pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim berkata tiga empangan di Padang Terap iaitu Empangan Pedu mempunyai air sebanyak 773 juta meter padu atau 72 peratus.

Beliau berkata Empangan Ahning pula mencatatkan jumlah takungan air sebanyak 163 juta meter padu atau 67.43 peratus, manakala Empangan Muda pula mencatatkan 74 juta meter padu air.

Katanya jumlah air di tiga empangan itu mencukupi untuk menampung kegunaan domestik dalam tempoh tiga tahun.

"Kapasiti air yang ada di tiga empangan itu juga dapat disalurkan ke sawah padi untuk satu musim penanaman padi yang akan bermula akhir Mac ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Empangan Pedu dekat sini hari ini.

Badrol Hisham berkata rakyat di negeri ini juga tidak perlu bimbang mengenai krisis air pada musim cuaca kering ini kerana sumber air yang ada dapat digunakan dalam tempoh tiga tahun walaupun keadaan ini berterusan.

Beliau berkata, setiap bulan sebanyak 1 juta meter padu air diagihkan untuk kegunaan rakyat negeri ini untuk tujuan pengairan pertanian dan kegunaan domestik. - Bernama

Terjebak 'cinta' VIP

Terjebak 'cinta' VIP
Firdaus di samping jentera kesayangannya.

Terjebak 'cinta' VIP
Myvi milik Firdaus mempunyai tiga ton warna ini, dilengkapi tingkap tinted , stiker dan lampu bewarna biru yang menambah gaya.


PERTAMA kali memandang jentera ini, saya sangka ia milik pemuda berkulit putih bermata sepet.

Namun sangkaan meleset, rupa-rupanya Myvi diubahsuai dengan konsep orang kenamaan (VIP) itu dimiliki jurutera muda berimej ala Korea, Firdaus Ismail, 30.

Sejak lebih setahun lalu anak muda berasal dari Shah Alam, Selangor ini terjebak dengan 'cinta' mengubahsuai kenderaan. Mulanya hanya sekadar suka-suka mengikut kawan. Namun diam tak diam, dalam tempoh singkat itu lebih 85 peratus rupa dalam dan luar kenderaan hatchback itu berubah hasil ideanya.

Banyak juga pertandingan auto show disertainya di beberapa negeri di seluruh semenanjung. 

Terbaharu, tuah dalam pertandingan auto show di Karnival Karangkraf baru-baru ini, Myvinya dinobatkan kereta 'Best of the best' menewaskan lebih 80 kenderaan peserta lain.

Asal stail sport

Firdaus menitikberatkan konsep VIP ini bermula dari luaran. Menjadi perhatian apabila pintu hadapan dipasang scissor doors. Sistem air suspension melengkapkan gaya seperti kebanyakan kenderaan milik VIP. Jika di auto show pasti membuat mulut anak kecil sekolah rendah terlopong melihat jentera fabulous style ini berlabuh.

Apatah lagi badannya dengan tiga ton warna reptilia sumpah-sumpah seperti hijau, merah dan biru. Pemasangan stiker, kemasan krom, skirting, spoiler kustom, bampar depan dan belakang jenis passo melengkapkan gaya.

Ditambah dengan rim krom penuh 17 inci stail VIP.

Tanpa berselindung Firdaus memberitahu, asalnya beliau bermula dengan konsep sport pada luaran dan konsep VIP bagi bahagian kabin.
"Namun atas nasihat mereka lebih arif saya selaraskan dalam dan luarnya mengikut konsep VIP. Konsep sport itu hanya bertahan kira-kira empat bulan," katanya.

Menjengah bahagian dalamnya pula, bahagian bumbung, tepi pintu dan alas kaki dibalut kemasan jahitan ala quilting. Kusyen stail VIP dan alas kaki mempunyai perincian batu permata. Panel coating walnut di kabin depan dan tepi pintu menambah ciri kemewahan.

Firdaus tidak lokek meletakkan dua televisyen LCD bersaiz 19" dan 23" di bahagian depan dan belakang kabin, dua monitor headrest dan dua sun visor DVD monitor. Penumpang bersebelahan pemandu pula pasti tidak bosan apabila boleh bermain dengan build in PS2 yang disediakan.

Berada dalam jentera dengan Interior Car Entertainment (ICE) dikuasai sistem audio ini pastinya mengujakan. Penuh dengan skrin!

Permainan mini kasino di tempat duduk belakang turut menambah gaya. 

Biarpun terletak di bonet, Firdaus tetap mencipta ruang untuk sistem audionya yang berkonsepkan bar mini. Woofer di tengah diapit dengan empat mid bass. Dekornya pula botol minuman dan hiasan kristal.

Menurutnya, skrin diubahsuai daripada monitor komputer di bonet itu juga memberi hiburan apabila mahu menonton ketika bersantai bersama ahli keluarga mahupun di auto show.

Bahagian enjin turut mendapat sentuhan. Ruang enjin diwarnakan biru.

Enjin dan ram pipe dilengkapkan dengan kemasan krom.

Waktu malam juga, hampir keseluruhan jentera ini termasuk kabin diterangi kelipan lampu LED.

Ditanya sama ada tidak rasa membazir melaburkan sejumlah wang yang membolehkannya memiliki sebuah lagi kereta sama, Firdaus langsung tak kesal.

"Mungkin sebab minat. Apabila saudara dan orang suka lihat kereta ini pun sudah satu kepuasan," katanya yang baharu lima bulan mendirikan rumah tangga.

Sinar Harian 

Kes pukul anak di Sweden: Ammar mula rindu ibu bapanya


STOCKHOLM: Hari ketiga perbicaraan kes pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya Shalwati Nurshal yang didakwa memukul anak-anak mereka menyaksikan anak mereka Ammar menunjukkan kegelisahannya.

Ammar yang berusia 12 tahun kerap bertanyakan kepada pegawai penyiasat sebelum ditemubual oleh mereka akan bilakah ibu bapanya akan dibebaskan.

“Sudah terlalu lama. Empat minggu sudah berlalu dan agak janggal untuk tidak melihat mereka untuk suatu jangka waktu yang panjang. Saya sangat berharap agar ibu bapa saya berada di rumah bersama-sama saya dan segalanya akan bahagia apabila kita bersama,” katanya melalui video yang dipaparkan oleh pendakwaraya, Anna Arnell.

Pada waktu itu, ibu Ammar, Shalwati yang duduk bersebelahan peguam mereka, Kristofer Stahre menitiskan air matanya dan mengesatnya dengan tisu.

Azizul yang duduk bersebelahan dengan seorang lagi peguam bela mereka, Jonas Tamm pula hanya tunduk memandang ke bawah sambil tangannya mencatatkan sesuatu pada buku nota kecilnya.

Keseluruhan kandungan video tersebut adalah penerangan semula oleh Ammar terhadap sola-jawab yang dikemukakan oleh pendakwaraya yang telah dipaparkan pada perbicaraan semalam.

Malah, Ammar mengesahkan semula bahawa kesemua insiden yang dipercayai pemukulan oleh ibu dan bapanya itu yang berlaku itu kepada pegawai penyiasat.

Menurutnya, ibunya dipercayai telah memukulnya sebanyak 1,000 kalipada 2013 manakala bapanya pula telah memukulnya sebanyak 100 kali.

“Perkara yang terjadi itu sudah terlalu kerap malah saya sudah tidak hiraukan lagi untuk melihat sama ada badan saya ini mempunyai kesan pukulan dari mereka atau tidak,” katanya.

Dia menceritakan kepada mahkamah dimana terdapat satu insiden dimana ketika itu mereka sedang menuju ke Jerman untuk cuti musim panas.

Ketika itu, mereka masih lagi berada di Sweden dimana mereka terpaksa untuk berhenti sebentar untuk menjamu selera.

Dia sedang bermain-main dengan rakannya ketika ibunya memanggilnya untuk masuk ke dalam rumah.

Ibunya kemudian telah memukulnya kerana didakwa ‘berlagak’ kepada kawan-kawannya.

Ammar menjelaskan tiada seorang pun rakannya yang menyaksikan apa yang telah berlaku.

Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai telah mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.

Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolahdi SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan tersebut dijangka akan memakan masa sehingga 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm.

Sekiranya didapati bersalah Shalwati dan Azizul dijangka akan merayu keputusan. - ASTRO Awani 

Pernah dipukul seribu kali, dakwa anak

STOCKHOLM: Anak kedua pasangan rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden atas tuduhan mendera anak-anak mereka, berkata dia telah dipukul lebih dari seribu kali oleh ibunya dan beberatus kali oleh bapanya pada tahun 2013.

Memberi keterangan kepada pegawai penyiasat, Ammar,12, berkata beliau juga telah disuruh berdiri di satu sudut rumah sepanjang hari sehingga bapanya pulang ke rumah sebagai hukuman.

Kenyataan itu disampaikan dalam video oleh pendakwa Anna Arnell di dalam mahkamah di hadapan Hakim Mattias Moller pada hari kedua perbicaraan.

Memakai seluar jeans dan jaket hijau, Ammar juga memberitahu tentang dua insiden di mana beliau didakwa dipukul oleh ibu bapanya.

Insiden pertama adalah apabila dia mendengar muzik yang kuat ketika melakukan kerja rumah dan ibunya memukulnya dengan penyangkut baju sebagai hukuman.

Insiden kedua adalah ketika dia dan kakaknya bergaduh di dalam kereta semasa bapa mereka memandu mereka ke sekolah. Beliau berkata beliau telah dipukul di bahu oleh bapanya Azizul Raheem Awaluddin setelah memukul kakaknya.



Terdahulu di dalam video berasingan, anak bongsu pasangan itu Arif telah menunjukkan beberapa objek yang diambil dari rumah mereka dan diminta untuk mengenal pasti yang mana digunakan untuk memukul beliau.

Beliau yang berusia tujuh tahun kemudian mengenal pasti dua rotan dan pembersih karpet sebagai objek yang digunakan oleh ibunya, Shalwati Nor Shal untuk memukulnya.

Beliau menyifatkan ia sebagai "rotan yang mempunyai simpulan".


Mamakai baju kurung berwarna emas, tudung kelabu dan jaket, Shalwati kelihatan tenang sepanjang prosiding itu yang diadakan pada waktu pagi. Dia dan suaminya Azizul duduk bersama peguam mereka Johan Tamm dan Kristofer Stahre. 

Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang prosiding.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia, Datuk Badruddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammed Tayib dan beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan pasangan itu.


Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember 2013 kerana didakwa mendera keempat-empat anak mereka , yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka di Kelantan.


Mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, bulan lepas.

Anak sulung pasangan itu Aishah , 14, dan Ammar kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala manakala Adam , 11, dan Arif kini belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan dijangka berjalan selama 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm dan akan melihat Shalwati dan Azizul membuat pengakuan tidak bersalah mereka atas melanggar integriti anak-anak mereka .