Thursday, 26 December 2013

"Wahai peminat tercinta, saya dengan rasminya bersara" - Justin Bieber



Justin Bieber menulis di laman Twitternya  “Wahai peminat tercinta, saya bersara secara rasmi”.


Itu pastinya bukanlah berita yang mahu didengar oleh peminat penyanyi berusia 19 tahun itu, terutama di tengah-tengah sambutan cuti Hari Krismas.

Namun tiada penjelasan lanjut mengenainya dari kem Bieber menimbulkan persoalan samada mesej itu serius atau tidak.




Jika dilihat dari tweet susulan Bieber, beliau berkata “tidak akan meninggalkan peminatnya”, persaraan rasmi yang disebut itu memberikan seribu makna.

“Media banyak memperkatakan tentang saya,” katanya lagi.

“Banyak penipuan dan mereka (media) ingin melihat saya gagal. Namun saya tidak akan meninggalkan kamu (peminat). Menjadi Belieber (peminat Bieber) adalah satu gaya hidup”




Dia mengakhiri ucapan di Twitter dengan berkata “berbuat baiklah sesama kita. Sempena Hari Krismas ayuh kita saling bermaafan. SAYA DI SINI SELAMANYA".




Khabar angin mula hangat sejak seminggu lalu yang Justin akan bersara selepas kenyataannya ketika wawancara bersama stesen radio Power 106, Amerika Syarikat  yang berkata dia sedang menimbangkan untuk bersara.

Berita itu membuatkan jutaan peminat Bieber tidak keruan.

Wakil Bieber bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen, namun pengurusnya, Scooter Braun dilaporkan  berkata dia ingin memberikan tempoh setahun buat penyanyi itu berehat tahun depan kerana Bieber telah terus-terusan bekerja sejak berusia 12 tahun lagi.

Sumber: ASTRO Awani 

Tragedi tsunami 2004 masih segar dalam ingatan

Tsunami
Tugu Tsunami di pantai Kuala Muda, Kedah - Foto Bernama



PANTAI MERDEKA: HARI ini, genap sembilan tahun bencana tsunami melanda rantau ini dan tragedi itu masih segar dalam ingatan penduduk kampung di sekitar Kota Kuala Muda di sini, malah kesannya juga masih jelas
kelihatan sehingga sekarang.

Tinjauan di sini mendapati bencana itu membawa banyak perubahan terhadap penempatan dan corak kehidupan penduduk setempat. Penduduk mangsa tsunami mendirikan rumah lebih jauh dari pesisir pantai.

Selain arca timbunan bot yang dibina di simpang laluan utama ke kawasan itu, deretan rumah yang musnah akibat ombak tsunami dikelilingi pagar dibina khas pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang penduduk Kampung Tepi Sungai, Mansor Morad, 66, berkata rumahnya yang terletak berhampiran pantai juga tidak terlepas daripada dibadai ombak tsunami, namun dia bersyukur kerana rumahnya tidak musnah sepenuhnya.

Mengimbas kembali tragedi itu, Mansor berkata dia bersama keluarganya serta jiran berkumpul di atas tembok batu untuk melihat fenomena aneh di pantai itu selepas mereka mendengar bunyi kuat seperti angin kapal terbang datang dari arah laut.

"Laut bukanlah asing bagi nelayan seperti saya namun kejadian itu membuatkan bulu roma saya 'terpacak'. Ombak pertama datang terlalu cepat menyebabkan kami lari lintang-pukang, datang pula ombak kedua yang lebih tinggi memusnahkan banyak rumah dan menyebabkan lebih 10 orang penduduk di kampung ini maut.

"Ketika itu kami hanya fikir untuk menyelamatkan diri, mujurlah sebelum itu saya tergerak hati untuk menyimpan dokumen penting di dalam poket baju Melayu yang disangkut di tingkat atas rumah. Barang dan peralatan di tingkat bawah memang musnah semua," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Akmal Marzuki, 28, berkata sewaktu tsunami 2004 melanda, dia yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Langkawi, pulang ke kampung untuk cuti semester.

"Kebetulan hari itu, kedua ibu bapa pergi ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tinggal saya dan adik, Mohd Noor Azmeer (21 tahun) di rumah. Semasa kejadian itu, pukul 1 tengah hari saya berada di rumah kenduri dan selepas ombak pertama membadai, saya bergegas pulang ke rumah kerana bimbangkan
keselamatan adik saya.

"Rupanya dia berada di pekan dan sejurus selepas saya meninggalkan rumah, ombak kedua datang dan rumah kedai kami musnah dihanyutkan air berlumpur. Tidak ada apa yang sempat diselamatkan.

Hanya peti ais sahaja yang ditemui semula dan masih digunakan sehingga kini," katanya yang mendirikan semula kedai di lokasi sama tidak lama selepas kejadian itu. 

Bagi Yusoff Yahya, 72, dari Kampung Masjid pula, dia trauma setelah hampir dihanyutkan ombak tsunami namun bersyukur kerana usianya masih panjang dan terselamat daripada musibah kerana sempat berpaut pada pohon mempelam berhampiran rumahnya.

"Dua lagi saudara turut berpaut pada saya ketika itu, saya peluk pokok itu dengan kuat agar tidak terlepas. Rumah saya tidak terjejas teruk namun peristiwa itu akan saya kenang sampai bila-bila. Seminggu kami tidak dapat tidur lena.

"Namun kini saya gembira kerana banyak perubahan dilakukan dari segi keselamatan termasuk sistem penggera yang dipasang untuk memberi amaran tsunami kepada penduduk," katanya.

Yusoff berkata pada hari kejadian, tiada sebarang perubahan cuaca malah banjir teruk juga tidak pernah terjadi, namun peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya dan berharap ia tidak berulang. -- BERNAMA 

Trauma ditetak dua peragut

Trauma ditetak dua peragut
Johny Ch’ng (berdiri kanan) bersama Mohd Haris (duduk kanan) mendengar sendiri cerita Sung Lin (duduk kiri) dan ahli keluarga berhubung kejadian ragut yang nyaris meragut nyawa pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara.


KUANTAN- Seorang penuntut sebuah kolej swasta di ibu negara kini trauma selepas cedera parah akibat ditetak dua lelaki yang bertindak nekad menyamun telefon bimbitnya dalam kejadian di Taman Bunga Raya, Setapak, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, 16 Disember lalu, Chua Sung Lin, 19 cedera di kepala, tangan kiri dan beberapa bahagian badan akibat terkena tetakan.

Mangsa turut cedera di beberapa bahagian lain termasuk lebam di muka dan luka di kaki akibat diheret penjenayah ketika cuba mempertahankan telefonnya daripada dirampas.

“Saya takut dan trauma dengan kejadian yang nyaris meragut nyawa.

“Saya bersyukur kerana kejadian sempat disedari rakan dan orang ramai malah mereka segera memberi bantuan termasuk menghantar saya ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Lorong Galing 105, Taman Gembira di sini, semalam.

Dia yang menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Pencegahan Malaysia (MCPF) Pahang, Datuk Seri Johny Ch’ng semalam berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke rumah kawan.

“Ketika sampai berhampiran rumah kawan, dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba mendekati dan salah seorang daripada mereka mengarahkan saya menyerahkan telefon bimbit yang kebetulan berada di tangan.

“Salah seorang daripada mereka mengayunkan sebilah parang dan menetak bahagian belakang kepala saya sebelum cuba merampas telefon,” katanya.

Sung Lin berkata, dia cuba mempertahankannya namun suspek bertindak menetak tangan menyebabkan telefon itu terlepas.

“Saya cuba merampas namun suspek terus melarikan diri dan ketika itu saya terjatuh dan terseret beberapa meter,” katanya.

Mangsa yang parah dalam kejadian itu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang dan berehat di rumah keluarganya di sini.

“Dalam kejadian itu suspek hanya melarikan telefon bimbit manakala dompet dan barangan lain tidak diusik,” katanya.

Kejadian menimpa pelajar kolej terbabit mendapat perhatian Johny Ch’ng apabila beliau bersama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan jenayah Pahang yang juga Setiausaha MCPF Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud melawat mangsa di rumahnya di sini, semalam.

Johny berkata, MCPF Pahang bersimpati dengan nasib menimpa pelajar itu.

“Biarpun kejadian ini berlaku di luar Pahang, perkara itu tidak boleh diambil ringan oleh pihak berkuasa termasuk polis kerana jenayah ragut turut berlaku di Kuantan.

“Penjenayah semakin nekad dan mereka sanggup bertindak di luar batasan termasuk mendatangkan kecederaan kepada mangsa malah ada kes yang membawa kepada kehilangan nyawa,” katanya.

Menurutnya, MCPF Pahang akan memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam mendidik masyarakat terhadap ancaman peragut ini.

“Peragut tidak memilih mangsa sebaliknya jika ada peluang mereka akan bertindak.

“Kesedaran dan sikap berwaspada masyarakat amat penting bagi mengelak mereka terdedah kepada ancaman jenayah ragut,” katanya.

Sinar Harian 

Ketua geng pecah rumah 'Matruji' mati berbalas tembak dengan polis



SEPANG:  Seorang warga asing yang mengetuai kumpulan samun dan pecah rumah 'Matruji' maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis, di Taman Mas di sini Selasa malam.

Geng yang diketuai suspek berusia 43 tahun itu aktif sejak 2005 dan terbabit dalam sekurang-kurangnya 27 kes di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, serta merupakan antara geng penjenayah warga asing paling dikehendaki.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 9 malam itu, suspek dikenali sebagai Mat Ting War @ Matruji dikesan oleh polis peronda yang melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa polis hendak membuat pemeriksaan, suspek terus melarikan diri ke arah belukar berhampiran. Suspek kemudian melepaskan beberapa tembakan ke arah polis menyebabkan anggota terbabit membalas tembakan berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya suspek maut di tempat kejadian dan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol automatik jenis Vzor 70 cal 7.65 serta tiga butir peluru.

Abdul Rahim berkata pemeriksaan dalam but kereta suspek menemukan satu pemotong besi besar dan kuku kambing, dipercayai untuk kegiatan jenayah.

Kereta itu juga dilapor hilang di Sikamat, Negeri Sembilan pada Mei lepas, katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mengenai suspek mendapati lelaki itu dipercayai pendatang tanpa izin serta pernah dipenjarakan dari 2009 hingga 2011 atas kesalahan samun.

Polis kini sedang mengesan anggota geng itu yang dipercayai antara empat dan enam orang, disyaki bersembunyi di Selangor, katanya.

BERNAMA 

Pelajar IPTS buang bayi ke luar tandas

Gambar sekadar hiasan.


MELAKA:  Seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi swasta di Masjid Tanah di sini bertindak membuang bayi yang dilahirkannya awal hari ini ke luar tandas bagi mengelak dikesan ahli keluarganya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mayat bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui di luar tandas rumah ibu saudara pelajar berusia 18 tahun itu di Batang Tiga Tanjung Kling di sini, kira-kira 1.00 pagi.
   
Beliau berkata sebelum kejadian, pelajar terbabit yang bercuti di rumah ibu saudaranya itu masuk ke dalam tandas dan tidak keluar selepas hampir sejam sehingga menimbulkan kecurigaan.

"Makcik pelajar itu kemudian bertindak masuk ke dalam bilik air sebelum melihat banyak darah di lantai namun pelajar itu memaklumkan yang dia mengalami buasir," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Raja Shahrom berkata ibu saudara pelajar terbabit yang berusia 60 tahun kemudian bertindak membawanya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Raja Shahrom berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar terbabit mengalami pendarahan disebabkan melahirkan anak sebelum laporan polis dibuat pihak hospital terbabit kira-kira 12 tengah malam.

Beliau berkata polis kemudian bertindak melakukan pemeriksaan di rumah itu sebelum menemui mayat bayi tersebut di luar tandas rumah berkenaan.

Katanya siasatan awal polis mendapati bayi tersebut dipercayai dibuang melalui ruang udara di bahagian bumbung tandas selepas dilahirkan.

Mayat bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kita sedang menyiasat sama ada bayi tersebut masih hidup atau tidak selepas dilahirkan dan pelajar terbabit akan ditahan bagi membantu siasatan sebaik menerima rawatan," katanya.

BERNAMA 

Putus cinta: Lana anggap keputusan Johan kelakar

Lana Nordin beri penjelasan
Lana Nordin


LANA Nordin nampaknya tenang dengan keputusan Johan As’ari yang memutuskan hubungan mereka.

Memetik laporan portal berita hari ini, Lana dapat mengagak apa yang akan berlaku selepas Johan sering berdolak-dalik sejak hubungan mereka ditentang keluarga.

Menurutnya, nasib baik hubungan percintaannya dengan Johan putus selepas sebulan, jadi impaknya tidak hebat sangat.

“Saya tak kecewa, tapi terkejut dengan keputusan Johan. Hubungan kami sebenarnya baru bermula. Kami juga masih dalam proses mengenali hati budi, saya anggap keputusan Johan mahu memutuskan hubungan sebagai kelakar.

“…dia melamar saya selepas 3 hari bertemu, bukan saya memaksa dia melamar saya. Saya bukan bodoh, tiga hari bertemu terus dilamar sebagai isteri, boleh percayakah?

“…saya beri Johan ruang untuk membuktikan janji dan ungkapan manisnya, tapi nampaknya baru sebulan lebih Johan sudah mengaku kalah,” katanya.

Hari ini dalam satu kenyataan, Johan menyatakan bahawa hubungannya dengan pelakon itu telah putus secara rasmi sejak, kelmarin.

"Saya sebenarnya berat mahu melepaskan Lana. Tapi saya tidak mahu menyeksanya. Lebih baik, kami berpisah daripada terus menyeksa hati dan perasaan Lana," katanya.

Dalam pada itu, pelakon sekuel filem Juvana itu turut menyatakan beliau masih menyayangi Lana, namun terpaksa memilih keluarga ekoran tidak mahu dianggap sebagai anak derhaka.

"Saya minta maaf. Keputusan ini tentu melukakan hati Lana dan keluarga. Tetapi saya terpaksa buat keputusan kerana tidak ada harapan kepada Lana," ujarnya.

Sinar Harian 

Jururawat mengaku berkhalwat dengan suami orang

Jururawat mengaku berkhalwat dengan suami orang
Pasangan yang ditangkap khalwat pada 29 Oktober lalu di sebuah kuarters kesihatan di Rantau Panjang, kira-kira jam 12.55 tengah malam.
Jururawat mengaku berkhalwat dengan suami orang

PASIR MAS - Seorang jururawat didenda RM2,000 oleh mahkamah syariah di sini, semalam, selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang pemandu lori, Oktober lalu.

Sarizana Saribudin, 37, yang masih berstatus isteri orang dan pasangannya, Abd Manan Aziz, 39, yang juga sudah berkahwin membuat pengakuanitu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hafiz Daud.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya berkurung bersama-sama dalam keadaan yang mendatangkan syak kerana bukan suami isteri sah dan juga mahram di sebuah kuarters kesihatan di Rantau Panjang, kira-kira jam 12.55 tengah malam pada 29 Oktober lalu.

Sarizana didapati bersalah di bawah Seksyen 9(2) dibaca bersama Seksyen 30 Kanun Jenayah Syariah No. 2/85 Negeri Kelantan, manakala Abd Manan didakwa di bawah Seksyen 9(1) dibaca bersama Seksyen 30 Kanun Jenayah Syariah No. 2/85 Negeri Kelantan.

Mengikut fakta kes, berdasarkan maklumat orang awam, pegawai penguat kuasa Agama Jajahan telah pergi ke rumah terbabit dan mendapati pintu rumah serta tingkap tertutup rapat.

Apabila pegawai penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan memperkenalkan diri, seorang wanita memakai kain sarung batik dan berbaju T telah membuka pintu rumah.

Hasil pemeriksaan mendapati, seorang lelaki sedang tidur dengan seorang kanak-kanak perempuan di ruang tamu rumah tersebut, manakala seorang lagi lelaki dengan memakai kain sarung dan tidak berbaju berada di atas katil dalam bilik tidur utama rumah berkenaan.

Di dalam bilik itu juga, terdapat seorang lagi kanak-kanak perempuan sedang tidur.

Hasil pemeriksaan keseluruhan mendapati, lelaki yang tidur di ruang tamu tersebut adalah adik kandung wanita terbabit, manakala dua kanak-kanak perempuan itu adalah anak kandung wanita itu.

Setelah disoal siasat wanita dan lelaki yang berada di dalam bilik tersebut bukan suami isteri dan bukan mahram.

Mereka ditangkap di bawah kesalahan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No.2/85, Seksyen 9 dan dibawa ke Pejabat Agama Jajahan Pasir Mas untuk diambil tindakan selanjutnya.

Hakim mengarahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun kedua-duanya menjelaskan denda tersebut.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Negeri, Norhasney Ridhwan Hassan.

Sinar Harian 

Warna-warni sambutan hari Krismas di Kampung Portugis




MELAKA: Penduduk Kampung Portugis terus melaksanakan tradisi menyambut perayaan Krismas hari ini dengan menghias kediaman masing-masing.

Limpahan lampu berwarna-warni dengan pelbagai perhiasan menarik sekali gus berjaya menarik kedatangan pelancong ke kampung berkenaan yang terletak di Ujong Pasir ini. - ASTRO Awani

Ribuan ikan melompat ke darat di Lahad Datu

Ribuan ikan melompat ke darat di Lahad Datu
Penduduk mengambil kesempatan mengutip ikan yang terdampar di persisir pantai Pulau Tambisan.


SHAH ALAM - Beribu-ribu ikan yang kebiasaannya hanya berenang di tengah lautan, hari ini dilihat berpusu-pusu berenang ke pesisiran pantai dan melompat naik ke daratan.

Fenomena aneh yang mengejutkan penduduk setempat ini berlaku di Pulau Tambisan, Lahad Datu, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Menurut pembaca Sinar Harian Online, Luludaprincess Oja yang berkongsi maklumat itu, kejadian itu disedari oleh penduduk sekitar yang melalui kawasan itu secara tiba-tiba melihat ikan meloncat naik ke daratan.

"..situasi ini disedari oleh orang kampung yang kebetulan berada di tepi pantai, melihat kelainan dalam air tersebut di mana ikan-ikan meloncat naik ke darat.

"Sesetengah penduduk mengambil kesempatan untuk memungut ikan tersebut.

"Ini merupakan fenomena pertama berlaku di kampung tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian Online mendapati video mengenai peristiwa itu yang berdurasi dua minit tiga puluh lima saat telah dimuatnaikkan di laman Youtube.

Sebelum ini, kejadian tsunami yang berlaku di Acheh pada 26 Disember 2004 turut mencatatkan tanda-tanda pelik sebelum berlaku bencana alam tersebut.

Sinar Harian