Thursday, 8 May 2014

Saiz payudara: Tasha Shila akui cuma ambil produk

Tasha Shila - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: “Sungguh! Tiada pembedahan plastik…Tasha cuma minum produk itu…Kalau ada yang perasan perubahan pada Tasha, maknanya produk itu berkesanlah,” demikian komen Tasha Shila ketika dihubungi Astro Gempak pada Rabu.

Menurut Tasha lagi, sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan pembedahan plastik di bahagian hidung dan payudara.

“Sebelum ini pun orang kata Tasha pergi Bangkok buat hidung dan payudara…Jadi, bila cerita ni timbul Tasha tak tahu nak komen apa.

“Tapi apa yang Tasha boleh buat? Mulut orang kita tak boleh nak tutup biarkanlah mereka terus berkata-kata,” katanya.

Bagaimanapun menurut Tasha dia tidak kesal sekiranya ada yang melemparkan kata-kata negatif terhadap dirinya.

“Mereka ada hak untuk bercakap…Tasha tak ada niat lain, selain mahu berkongsi tentang keberkesanan produk tersebut, itu sahaja.

“Tasha dah menggunakan produk kesihatan dan kecantikan tersebut selama dua bulan setengah dan dapat hasilnya,” ujarnya yang merupakan pengguna tetap produk tersebut.

Terdahulu, Tasha Shila telah memuat naik sekeping foto dia sedang minum sambil memegang kotak minuman kesihatan di ‘fanpage’nya.

Bagaimanapun foto tersebut menerima banyak reaksi daripada pelayar laman sosial apabila ada yang menegur perubahan pada saiz payudara Tasha Shila. --- Astro Gempak

Joseph Entulu mohon maaf kekeliruan laporan mansuh ruangan kaum dalam borang rasmi

Ruangan kaum


PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun hari ini memohon maaf atas kekeliruan yang timbul berikutan laporan tentang pengguguran ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tidak memberi nilai tambah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata perkara itu ada dibincangkan dalam Kabinet namun tiada sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan tidak mencerminkan kenyataan sebenar yang dibuat olehnya semalam.

"Laporan yang tidak tepat ini telah menimbulkan keresahan dalam masyarakat," kata Entulu dalam kenyataan ringkasnya itu.

Dalam sidang media di sini semalam, Entulu dilaporkan berkata Kabinet memutuskan untuk menggugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas laporan itu di Taiping, Perak hari ini menjelaskan Kabinet tiada membuat keputusan untuk memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan.

Perdana Menteri juga dilaporkan berkata tiada perubahan dasar kerajaan berhubung borang itu.

- Bernama

Enot derita penyakit kanser usus tahap dua

Enot, pelakon yang mula dikenali dengan drama Enot, Mat Despatch dan Odah Drebar


KUALA LUMPUR: Pelakon komedi Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah mendedahkan yang dia kini sedang menderita sakit kanser usus tahap dua.

Menurut laman portal hiburan OhBulan, pelakon yang mula dikenali dengan drama Enot, Mat Despatch dan Odah Drebar ini dikatakan kelihatan kurang sihat di Sidang Media Mega Bazar, KL Life Centre pada Rabu lepas.

Enot kemudiannya mula membuka suara kepada media tentang penyakit yang dihidapinya.

“Pada mulanya memang saya ada rasa sakit tetapi saya biarkan saja hinggalah berlaku pendarahan ketika buang air besar. Kemudian saya ada berjumpa doktor dan disahkan mengidap kanser usus.

“Buat masa sekarang, saya masih mendapatkan nasihat doktor tetapi saya mengamalkan ubat-ubatan kampung seperti daun Belalai Gajah selain itu saya ada makan produk jenama ABP26 daripada Didie Alias” katanya.

Enot turut mengakui yang dia tidak menerima tawaran berlakon semenjak setahun yang lalu dan kini hanya bergantung kepada jualan biskut yang dibuat.

Astro Awani 

Nasi goreng terlalu pedas pun nak buat laporan polis?

JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura membuat laporan polis kerana sepinggan nasi goreng kampung yang dimakannya di sebuah kedai makan di Jalan Bukit Timbalan dekat sini "terlalu pedas".

Lelaki itu, Lau Thiam Huat, 63, mendakwa nasi goreng kampung yang dipesannya itu terlalu panas dan pedas "sehingga ke hari ini saya rasa pedas nasi goreng yang dimakan semalam".

Lelaki tersebut makan di kedai yang tidak dinamakan itu lebih kurang pukul 9 malam pada 30 April lalu.
Dia membuat laporan polis berkenaan lebih kurang 24 jam kemudian pada 1 Mei.



Laporan polis yang dibuat Lau Thiam Huat 1 Mei lalu


"Saya syaki mereka memasak nasi goreng tersebut dengan meletakkan cili terlampau banyak," kata lelaki itu dalam laporan polisnya.

Katanya lagi, dia membuat laporan polis itu "kerana tidak berpuas hati dengan makanan yang dimakan semalam dan mahu membuat pemeriksaan kesihatan di hospital".

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Abdul Samad Salleh yang dihubungi oleh Astro AWANI mengesahkan pihaknya menerima laporan itu namun enggan mengulas lanjut.

Namun tidak diketahui dengan jelas bagaimana laporan polis itu boleh tersebar melalui jaringan sosial media sejak dua hari lalu.

Sumber: Astro Awani | Mei 07, 2014 

Yingluck Shinawatra dipecat sebagai PM Thailand

Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra - File pic

TERKINI: Yingluck Shinawatra, yang disingkirkan daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri oleh Mahkamah Perlembagaan hari ini, tidak akan bertemu dengan media untuk membuat sebarang kenyataan, lapor The Nation.

Beliau sebaliknya akan menghantar Timbalan Perdana Menteri, Phongthep Thepkanjana; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Varathep Ratanakorn dan setiausaha keadilan, Thongthong untuk mengendalikan sidang media bagi pihaknya, kata sumber yang dipetik oleh akhbar itu.

____________

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan sembilan menteri kabinetnya perlu meletakkan jawatan kerana didapati menyalahguna kuasa.

Mahkamah itu mendapati mereka telah bertindak di luar batas undang-undang apabila menukarkan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pliensri dua tahun lalu.

Pertukaran itu disifatkan oleh mahkamah sebagai "tidak sah, melanggar perlembagaan dan tidak beretika" kerana Yingluck ada muslihat peribadi yang akan menguntungkan ahli keluarganya.

"Status Perdana Menteri sudah berakhir. Yingluck tidak lagi boleh kekal di jawatannya sebagai pemangku Perdana Menteri," kata hakim mahkamah itu seperti dipetik oleh The Nation.

Sidang mahkamah itu disiarkan secara langsung melalui televisyen di Thailand.

Mahkamah memutuskan baki anggota kabinet yang tidak terlibat dengan proses pertukaran Thawil itu masih boleh meneruskan tugas mereka.

Ia juga memutuskan kabinet sementara masih boleh meneruskan tugas sehingga diambil alih oleh kabinet yang baru.

Yingluck adalah perdana menteri sementara selepas parlimen dibubarkan untuk pilihan raya pada Februari lalu. Pilihan raya itu bagaimanapun ditangguhkan oleh mahkamah dan satu tarikh baru ditetapkan pada Julai ini.

Dalam pada itu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan ia tidak ada kuasa untuk mengarahkan pelantikan seorang perdana menteri yang baharu seperti yang diminta oleh pengadu.

Kes terhadap Yingluck difailkan oleh seorang senator selepas mahkamah dua bulan lalu memutuskan pertukaran itu sebagai tidak sah dan pegawai keselamatan itu mesti dikembalikan ke jawatan asalnya.

Penentang Yingluck sebelum ini mendakwa pertukaran itu dibuat bermotifkan politik dan mencabul perlembagaan.

Perkembangan terbaru ini dilihat kemuncak krisis politik yang dihadapi oleh pentadbiran Yingluck sejak enam bulan lalu selepas penentang kerajaan melancarkan siri protes untuk menggulingkannya.

Krisis politik itu mempertembungkan kumpulan kelas menengah dan pro istana dengan penyokong Yingluck yang kebanyakannya rakyat bawahan dan luar bandar yang turut menyokong abang beliau, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Thaksin digulingkan oleh tentera pada September 2006 dan kini hidup di luar negara untuk mengelak hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atasnya pada 2008 atas dakwaan salah guna kuasa berhubung penjualan hartanah.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan ini mengimbau semula kes sama pada 2008 yang dilalui oleh dua perdana menteri sebelum ini, Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat yang juga disokong oleh Thaksin.

Yingluck pada Selasa mempertahankan keputusan pertukaran yang dibuatnya itu dengan mengatakan ia adalah keputusan jemaah menteri "demi kepentingan negara" dan beliau tidak campur tangan.

Kumpulan 'baju merah' yang menyokong Yingluck dan kumpulan penentangnya merancang mengadakan rapat umum besar-besaran di sekitar Bangkok dalam masa yang terdekat.

Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan akan berulangnya keganasan sama seperti pada 2010 apabila kerajaan yang ketika itu diperintah oleh pembangkang sekarang mengerahkan tentera untuk melumpuhkan tunjuk perasaan penyokong Thaksin.

Selain tuduhan pertukaran pegawai kanan kerajaan, Yingluck juga berdepan tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam skim pembelian beras negara.

Keputusan kes itu akan diketahui sebelum akhir bulan ini. Sabit kesalahan akan membawa kesan yang sama iaitu mundur daripada jawatan serta tambahan sekatan berpolitik selama lima tahun.

- Astro Awani 

'Muslimah bagaikan pelacur': Muslimat PAS WP buat laporan polis

NURIDAH: Mohd Razi harus mohon maaf dan tarik balik kenyataannya yang menyamakan para muslimat yang turun berdemonstrasi dalam himpunan anti-GST sebagai pelacur.


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) hari ini membuat laporan polis terhadap Setiausaha Ulama Muda Umno, Mohd Radzi Othman yang mengeluarkan kenyataan biadap terhadap mereka yang bertudung labuh, lapor Harakahdaily.

Ketuanya, Nuridah Salleh berkata laporan yang dibuat di Balai Polis Sentul itu ekoran kenyataan Mohd Radzi yang menggelarkan para muslimat yang turun berdemonstrasi dalam himpunan anti-GST tempoh hari sebagai pelacur.

Nuridah berkata DMPWP menuntut suspek bernama Mohd Radzi membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan biadap itu.

"Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi," katanya.

Sebelum ini, Radzi menerusi laman twitter menyamakan muslimat bertudung labuh yang turun ke Himpunan Bantah GST 1 Mei lalu sebagai pelacur kelas atasan.

Pada 2 Mei lalu, Radzi antara lain menulis 'lelaki yang menyokong muslimah tudung labuh untuk keluar demonstrasi ibarat para pelanggan pelacur yang ghairah untuk merasai pelacur-pelacur yang akan dilanggannya'.

Beliau juga menulis, "Muslimah tudung labuh yang kali demonstrasi adalah setaraf dengan para pelacur golongan atasan. Nak saya samakan para muslimah kaki demo ini dengan martabat Ummul Mukminin? Jangan harap!"

- Astro Awani 

Malaysia mahu jadi 'raja coklat' Asia

Sehingga 2013, Malaysia adalah pemimpin di rantau Asia dan Oceania dalam pengeluaran produk koko.


KOTA KINABALU: Malaysia berhasrat menjadi raja coklat di rantau Asia menjelang 2020, kata Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (MCB) Dr Lee Choon Hui.

Beliau berkata dengan kepakaran yang dimiliki Malaysia dan kemajuan negara dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutama dalam pengeluaran koko dan produk koko serta kerjasama daripada sektor swasta, aspirasi itu boleh menjadi kenyataan.

"Seperti yang diketahui, R&D Malaysia jauh maju ke hadapan. Malaysia kini mengeksport lebih banyak produk daripada bahan-bahan mentah, malah sehingga 2013, kita adalah pemimpin di rantau Asia dan Oceania (dalam pengeluaran produk koko).

"Sebenarnya harapan Malaysia ialah untuk menjadi raja coklat di Asia. Ini bermakna produk coklat akan dieksport dan Malaysia akan terus melaksanakan pembangunan produk dan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada mesyuarat ketujuh 'National Focal Point for the Asean Cocoa Club (ACC)' mengenai Kerjasama Asean dan Pendekatan Bersama dalam Skim Promosi Produk Pertanian dan Perhutanan, di sini Rabu.

Beliau berkata ketika ini, Malaysia sedang melakukan yang terbaik untuk menangani beberapa masalah bagi mencapai misi tersebut.

Mengenai usaha MCB untuk menggalakkan pengeluaran koko di negara ini, Lee berkata kerajaan menawarkan insentif kepada petani terutama pekebun kecil di luar bandar yang berminat menanam koko.

Beliau berkata sebagai permulaan, petani akan diberi latihan dan bantuan pertanian seperti anak benih, baja dan kemudahan lain bernilai RM8,000.

Beliau berkata kerajaan akan menyokong mereka sehingga mampu untuk berdikari dalam tempoh lima tahun.

Bernama