Monday, 24 March 2014

Duta Besar Perancis: Tiada bukti serpihan MH370

KUALA LUMPUR - Duta Besar Perancis Martine Dorance berkata tiada bukti jelas imej satelit yang dikesan pihak berkuasa negara itu baru-baru ini adalah serpihan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

"Setakat yang saya tahu, pada masa ini, tiada bukti ia sebahagian daripada pesawat berkenaan. (Bagaimanapun) kami akan terus membantu pihak berkuasa Malaysia," katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa Perancis merakam imej satelit yang mungkin merupakan serpihan sebahagian daripada pesawat MH370.

Kenyataan Kementerian Pengangkutan pada Ahad menyebut ia menerima imej satelit daripada pihak berkuasa Perancis yang menunjukkan objek berpotensi di sekitar koridor selatan.

Gambaran itu merujuk kepada satu kawasan di selatan Lautan Hindi di mana satelit Australia dan China turut merakam imej objek yang berkemungkinan serpihan pesawat yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Ketika kejadian, penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Dorance berkata Perancis akan menggunakan pengalaman ketika menyiasat insiden pesawat Air France 447 bagi membantu Malaysia, termasuk khidmat bekas Ketua Jabatan Penerbangan Awam Perancis Jean Paul Troadec.

Perancis berpengalaman mengendali siasatan nahas Air France penerbangan 447 dari Rio de Janeiro ke Paris serta membawa 228 orang, yang menjunam ke dalam Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009.

Serpihan kapal terbang itu dikesan lima hari kemudian dan pasukan penyiasat mengambil masa dua tahun bagi mengeluarkan sebahagian besar bangkai pesawat serta mayat manusia dari dasar lautan.

Sementara itu, Duta Besar Switzerland ke Malaysia Dr Rolf Lenz, yang melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, melahirkan simpati beliau atas kehilangan pesawat MH370.

Menteri Hal Ehwal Kaum Maori Dr Pita Sharples pula berkata New Zealand komited membantu Malaysia dan akan terus menyertai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini.

"Terdapat kira-kira 26 negara termasuk New Zealand yang terbabit dalam operasi berkenaan dan menyaksikan mereka saling bekerjasama dalam menangani insiden ini adalah sesuatu yang amat baik," katanya.

Bernama

Penerbangan MAS ke Seoul dilencong ke Hong Kong

Mas (Malaysia Airlines)

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) hari ini mengesahkan pesawat MH006 syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Incheon, Seoul, malam tadi, dilencongkan ke Hong Kong ekoran generator kapal terbang yang tidak berfungsi.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengurus Perhubungan Awam Media MAS Kharunnisak Dzun Nurin berkata pesawat Airbus A330-300 itu selamat mendarat di Hong Kong.

"Bekalan tenaga biasa terus dibekalkan menggunakan unit Kuasa Bantu dan kapal terbang itu kemudian dilencongkan ke Hong Kong untuk pembaikan dan mendarat dengan selamat," katanya.


MH066 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11.37 malam dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 6.50 pagi waktu tempatan (5.50 pagi waktu Malaysia).

Beliau berkata kesemua 271 penumpang dari MH066 dipindahkan ke penerbangan lain.

"Penerbangan balik MH067 dari Incheon ke Kuala Lumpur dibatalkan dan penumpang dipindahkan ke pesawat lain di samping penerbangan berikutnya oleh Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur," katanya.

Bernama

Pesawat Australia kesan dua objek, akan diperoleh dalam masa terdekat

MH370: Pesawat Australia kesan dua objek, akan diperoleh dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR:  Dua objek telah dikesan oleh pesawat Australia hari ini yang berkemungkinan ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.


Perkara itu diberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menerima panggilan dari Perdana Menteri Australia, Tony Abbott di pejabatnya, pada petang Isnin.

Najib memaklumkannya melalui laman Twitternya hari ini sewaktu sidang media oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedang berlangsung.




Hishammuddin dalam kenyataannya berkata, Abbot telah memaklumkan kepada Najib bahawa dua objek tersebut telah dikesan di kawasan pencarian Australia.

"Beberapa minit tadi Perdana Menteri telah menerima panggilan dari Perdana Menteri Australia, yang memaklumkan beliau bahawa sebuah pesawat Australia telah mengesan dua objek di kawasan pencarian Australia, satu berbentuk bulat dan satu lagi segi empat tepat," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurutnya, HMAS Success sedang berada di kawasan tersebut dan ada kemungkinan bahawa dua objek itu akan diperolehi dalam masa beberapa jam atau selewat-lewatnya pagi Selasa.

Selain itu, Hishammuddin turut memaklumkan tiga kawasan pencarian yang berukuran kira-kira 20,000 batu nautika persegi telah dikenal pasti bagi operasi hari ini.

Katanya Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) Australia telah menjangkakan sekurang-kurangnya 10 pesawat akan dikerah bagi operasi tersebut.

"Tiga pesawat - dua dari Jepun dan satu dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berlepas dari Subang hari ini dan sedang dalam perjalanan ke koridor selatan," kata Hishammuddin.

Katanya enam kapal Malaysia yang dilengkapi helikopter sedang berada di koridor utara, manakala 10 kapal China sedang berada di koridor selatan bagi menjalankan usaha pencarian dan menyelamat.

Tambah beliau, Turkmenistan yang berada di koridor utara telah mengesahkan tiada mengesan apa-apa objek pada radar mereka berhubung pesawat MH370.

Pesawat MAS MH370 model Boeing 777-200, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya.

Pesawat itu dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Kawasan pencarian telah diperbesar meliputi bahagian luas di sebelah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi apabila diketahui bahawa pesawat itu telah terbang selama tujuh jam selepas hilang dari radar.

Operasi mencari itu turut memberi tumpuan kepada dua koridor, utara dan selatan menjangkaui dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Astro Awani 

Bas sekolah terbabas di Hulu Langat, seorang pelajar maut


HULU LANGAT:  Seorang pelajar sekolah menengah maut manakala tiga lain parah apabila bas sekolah terbalik selepas kehilangan kawalan di selekoh cerun di Hulu Langat pada hari Isnin.

Pelajar yang meninggal dunia telah dikenalpasti sebagai Chin Yeong Peng ynag berumur 17 tahun.

36 orang berada di dalam bas yang terdiri daripada 34 pelajar, seorang guru dan pemandu bas berkenaan.

"Kesemua penumpang bas masih berada di dalam bas apabila kami tiba. Kami berjaya mendapatkan 30 daripada mereka keluar manakala enam yang lain terperangkap. Kami menggunakan alat penyelamat dan jak untuk mengangkat bas dan menyelamatkan mereka. Seorang pelajar telah mati di tempat kejadian, "Penolong Pengarah Selangor Jabatan Bomba dan operasi Mohd Sani Harul memberitahu Astro Awani.

Bas yang terbalik itu adalah antara empat buah bas yang membawa warga pengawas Sekolah Tinggi Katolik Petaling Jaya yang mengikuti lawatan sekolah.

Menurut wartawan Astro AWANI, Abdul Hakim Rahman, bas sekolah tersebut berada dalam perjalanan turun bukit dari resort ke arah restoran apabila kejadian itu berlaku pada 2.06 petang.

Bas pertama yang membawa konvoi itu berjaya mengemudi menerusi selekoh tersebut, tetapi malangnya bas kedua hilang kawalan dan lalu terbalik.

Mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Ampang.




Sumber: Astro Awani 

Polis temu bual lebih 100 orang untuk rungkai misteri pesawat hilang



KUALA LUMPUR: Polis telah menemubual lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang dan pembantunya bagi membantu siasatan berhubung misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Ketua Polis Negara akan hadir dalam sidang media (pada Selasa) untuk menjawab soalan tambahan berhubung siasatan," katanya pada sidang media harian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Isnin.

Sebuah akhbar tabloid di Britain, The Daily Mirror melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan menemui isteri juruterbang penerbangan MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah bagi merungkaikan misteri kehilangan pesawat itu yang masuk minggu ketiga.

Astro Awani 

P8 Poseidon gagal temui 'objek mencurigakan' yang dikesan pesawat China


KUALA LUMPUR: Pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat, P8 Poseidon gagal menemui 'objek mencurigakan' yang telah dikesan oleh pesawat China hari ini dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370 di luar pantai Australia.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan di laman Twitter, memaklumkan bahawa pesawat P8 Poseidon yang ditugaskan meyiasat objek itu tidak berjaya menemuinya semasa operasi tersebut.

US Navy P8 Poseidon tasked to investigate reported object sightings by Chinese aircraft at 33,000ft. 1/2— AMSA News (@AMSA_News) March 24, 2014

Objects spotted by Chinese aircraft as heading back to Perth. Drift modelling undertaken on sighting. P8 unable to relocate objects. 2/2— AMSA News (@AMSA_News) March 24, 2014
Terdaulu, anak kapal pesawat IL-76 Chinamengesan beberapa 'objek yang mencurigakan' di selatan Lautan Hindi pada Isnin sewaktu operasi SAR di kawasan itu.

Menurut agensi berita China Xinhua, korespondennya berkata, objek “putih dan berbentuk petak” itu dikesan pada koordinat 95.1113 darjah timur longitude dan 42.5453 selatan latitude.

Astro Awani 

Mercedes-Benz CLA 200 on display at Suria KLCC


The Mercedes-Benz CLA-Class is due to be launched very soon, and if you want to check out the Malaysian-spec CLA 200, you can head to the Petronas Malaysian Grand PrixShowcase at the Suria KLCC concourse.

The equipment level looks the same asprevious sightings of the CLA 200 – Urban equipment line, a dual-tailpipe exhaust system, Night package, black wing mirror caps, high-gloss waistline trim strip, plus two-tone twin-spoke 18-inch alloy wheels wrapped with 225/40 tyres.


The CLA 200 shares the same powertrain as the A 200 – a 1.6 litre turbo four-cylinder that feeds 156 hp and 250 Nm of torque to the front wheels through a 7G-DCT dual-clutch gearbox.

The CLA is based on Mercedes-Benz’s new front-wheel drive platform, which also underpins the A-Class, B-Class, and GLA-Class. With the CLA launching soon and the A and B already here, the GLA will be next.

Source: Paultan.org

Pesawat China kesan "objek mencurigakan" di lokasi pencarian

Pesawat Ilyushin IL-76 dari China - AFPy


ABOARD IL-76 AIRCRAFT: Anak kapal pesawat IL-76 China mengesan beberapa “objek yang mencurigakan” di selatan Lautan Hindi pada Isnin sewaktu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 di luar pantai Australia.

Menurut agensi berita China Xinhua, korespondennya berkata, objek “putih dan berbentuk petak” itu dikesan pada koordinat 95.1113 darjah timur longitude dan 42.5453 selatan latitude.

Lokasi itu kemudiannya dilaporkan kepada pusat kawalan di Australia termasuk kapal pemecah ais China, Xuelong yang sedang berlayar ke sana.

Koresponden Xinhua yang mengikuti operasi tersebut berkata misi pencarian itu mengesan dua objek besar terapung dengan beberapa objek kecil bertaburan dalam radius beberapa kilometer.

Oleh kerana dua pesawat mencari dari China telah pun kembali, mereka telah memohon pihak Australia untuk menghantar pesawat lain bagi meneruskan pemeriksaan di kawasan tersebut.

Astro Awani 

Tentera laut AS kirim alat kesan kotak hitam


KUALA LUMPUR: Tentera Laut Amerika Syarikat mengirim pengesan kotak hitam ke kawasan selatan Lautan Hindi yang kini jadi kawasan tumpuan usaha mengesan pesawat penerbangan MH370 yang hilang, susulan beberapa rakaman imej objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat itu sejak seminggu lalu.

Tentera laut itu menyifatkan langkah itu sebagai "langkah berjaga-jaga" sekiranya rakaman imej objek itu kemudiannya nanti mengesahkan kedudukan sebenar pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Sekiranya kawasan serpihan dapat disahkan, (alat pengesan itu) akan memberikan kelebihan yang signifikan dalam usaha mengesan kotak hitam pesawat yang hilang," kata Komander William Marks, jurucakap Armada Ketujuh Amerika Syarikat dalam satu kenyataan seperti dipetik oleh AFP.

Sistem pengesan itu bergantung kepada isyarat akustik untuk membantu mencari kotak hitam pesawat tentera atau komersial yang terhempas sehingga 6,000 meter di bawah laut.

Kenyataan itu bagaimanapun mengingatkan pengiriman alat pengesan itu tidak bermakna lokasi pesawat MH370 sudah disahkan.

"Sila ambil perhatian bahawa pengiriman (alat pengesan) ke kawasan itu bukan satu petunjuk bahawa kita sudah mengesahkan medan serpihan," kata kenyataan itu.

"Ini hanya langkah berjaga-jaga sekiranya kita berjumpa dengan serpihan, kita sudah bersedia untuk mengerahkan peralatan untuk mencari kotak hitam."

Pesawat tentera China pada Isnin berlepas dari Perth untuk menyertai operasi mengesan objek yang dirakamkan terapung di selatan Lautan Hindi oleh satelit seperti yang diumumkan oleh pihak berkuasa Australia dan China, lapor agensi berita Xinhua.

Ia kemudian diperkukuhkan dengan data satelit Perancis yang menunjukkan ada objek terapung di kawasan carian itu.

Sebanyak 10 pesawat terlibat dalam usaha pencarian MH370 hari ini, di mana dua daripadanya merupakan pesawat tentera China yang berlepas sekitar jam 8.45 pagi dan 9.20 pagi tadi.

Sebuah pesawat P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) juga telah berlepas pada jam 9 pagi tadi, manakala dua pesawat awam jarak jauh berlepas pada jam 10.10 pagi dan 10.30 pagi.

Pesawat P3 Orion milik RAAF yang kedua juga telah berlepas pada jam 11 pagi tadi, sementara sebuah lagi pesawat awam jarak jauh berlepas pada jam 1 tengah hari, serta dua pesawat P3 orion milik Jepun pula dijadual berlepas selepas jam 4 petang.

Sementara itu, kapal pemecah ais dari China, Xuelong dijadual tiba ke lokasi mencari dan menyelamat (SAR) di Lautan Hindi pada Selasa ini.

Kapal penyelidik Antartik itu kini kira-kira 1,046 kilometer dari kawasan pencarian dan dijangka mengambil masa kira-kira 40 jam untuk sampai di kawasan yang dituju.

Astro Awani 

Malaysia perlu tenaga boleh baharu


Loji tenaga boleh diperbaharui biogas Biopower Climate Care di Palong, Negeri Sembilan.


RAMAI tidak sedar kepentingan tenaga boleh baharu (RE) kepada negara. Mereka tertanya-tanya mengenai caj tambahan sebanyak satu peratus dikenakan kepada semua pengguna elektrik termasuk pengguna industri dan komersil sejak 1 Disember 2011, sebelum caj itu dinaikkan kepada 1.6 peratus bermula tahun ini.

Pengecualian hanya diberikan kepada pengguna kediaman yang menggunakan elektrik kurang 300 kWh sebulan.

Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) Dr Ali Askar Sher Mohamad berkata, Tenaga Nasional Bhd (TNB) bertanggungjawab mengutip amaun itu setiap bulan kerana caj tambahan itu dimasukkan ke dalam bil elektrik TNB.

“Setelah mengutip bayaran tersebut, TNB akan menghantar jumlah yang dikutip setiap bulan kepada Seda untuk dimasukkan dalam Tabung Tenaga Boleh Diperbaharui (TBB),” katanya.

Ali Askar berkata, sehingga September 2013, jumlah kutipan (caj 1 peratus) untuk RE melebihi RM400 juta.


Caj 1.6 peratus bukan disebabkan tarif elektrik

Berkuat kuasa 1 Januari 2014, kadar elektrik naik 14.98 peratus atau 4.99 sen kepada 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan.

Sementara itu, caj untuk TBB turut dinaikkan daripada satu peratus kepada 1.6 peratus mulai 1 Januari 2014.

Ramai menganggap kenaikan caj itu disebabkan kenaikan tarif elektrik tetapi Ali Askar menafikannya.

“Kenaikan caj RE disebabkan kerajaan mahu perbanyakkan lagi kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negara ini. Perancangan asal adalah untuk menaikkan kepada dua peratus mulai 1 Januari 2013,” katanya.

Namun katanya, ia ditangguhkan sehingga 1 Januari 2014 dan dikurangkan kepada 1.6 peratus sahaja.


Kebaikan tenaga boleh baharu

Ali Askar berkata, RE masih baharu di negara Malaysia dan penggunaannya memberikan kebaikan terutama kepada alam sekitar, sumber asli dan ekonomi.

“Penggunaan RE boleh menjamin keselamatan bekalan tenaga elektrik negara kerana mengurangkan pergantungan kepada bahan api yang diimport seperti arang batu. Ia juga memberikan kepelbagaian sumber penjanaan tenaga elektrik supaya kita tidak bergantung kepada satu jenis sumber sahaja.

“RE juga membantu memelihara alam sekitar kerana pengeluaran gas rumah hijau lebih kecil berbanding dengan membakar bahan api fosil. Selain itu, dengan adanya industri RE di Malaysia, ia mewujudkan peluang pekerjaan dalam teknologi baharu,” jelas beliau.


Insentif kepada pengguna RE

Kerajaan memberikan pelbagai manfaat kepada pengguna RE.

Pengguna yang memasang sistem fotovoltaik di rumah akan mendapat bayaran bulanan dari TNB untuk elektrik yang dijana selama 21 tahun.

“Pengguna yang tidak memasang sistem ini juga dapat manfaat dari segi alam sekitar lebih bersih kerana pengurangan penjanaan tenaga elektrik dari bahan api fosil,” katanya.

Ali Askar berkata, kos yang digunakan untuk menggunakan RE berbeza mengikut teknologi dan saiz projek dan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju atau pemilik sendiri.

Tetapi selepas itu, mereka akan mendapat bayaran bulanan untuk elektrik yang dijana melalui pembayaran tarif galakan (FiT).

“Kami harap semua pengguna elektrik di Malaysia dapat menyokong usaha kerajaan untuk meluaskan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia.

“Sumbangan kita sebanyak 1.6 peratus adalah sangat kecil berbanding dengan faedah yang akan diperolehi oleh negara dari segi jaminan bekalan tenaga, pengurangan pengeluaran gas rumah hijau dan pewujudan peluang pekerjaan dalam industri baharu,” katanya.

Menurutnya, Seda menyasarkan tahun ini, penjanaan tenaga boleh baharu akan bertambah sebanyak 100 MW lagi.


Projek Seda disambut baik pengguna

Menurut Ali Askar, pada masa ini, Seda melaksanakan pelbagai projek RE iaitu hidro kecil, biojisim, biogas dan fotovoltaik di seluruh negara.

Sistem fotovoltaik terbahagi kepada sistem komersil dan sistem individu yang sesuai untuk pengguna rumah kediaman.

“Projek ini ada di seluruh negara kecuali Sarawak sebab Akta Tenaga Boleh Baharu tidak terpakai di sana,” katanya.

Ali Askar berkata, walaupun masih baru dan belum meluas, projek ini mendapat sambutan baik rakyat.

“Permohonan untuk fotovoltaik komersil jauh lebih banyak daripada kuota yang tersedia. Sistem fotovoltaik untuk rumah kediaman juga mendapat sambutan amat menggalakkan sejak beberapa bulan lalu sehingga semua kuota habis dilanggani,” katanya.

Sumber: Sinar harian

Jatuh imej lokasi tumpuan


Kelibat seorang peminta sedekah yang duduk di pintu masuk sebuah pusat membeli-belah. - Foto Sinar Harian


ALOR SETAR - Buat duit tanpa perlu bersusah payah dapat digambarkan kepada keadaan beberapa peminta sedekah di sekitar pusat bandar Alor Setar.

Tinjauan mendapati ada peminta sedekah berkumpul di hadapan bank, malah ada juga di hadapan kompleks membeli belah, jejantas, kaki lima serta berjalan kaki dari satu kedai ke kedai lain.

Dengan hanya mengenakan baju lusuh, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, duduk meminta sedekah daripada orang ramai yang memasuki sebuah kompleks membeli-belah, dekat sini.

Pelanggan, Mohd Fauzi Hashim, 29, berkata, peminta sedekah yang duduk berhampiran tangga kompleks membeli-belah didapati adalah individu serupa meminta sedekah di atas jejantas penjalan kaki berhampiran Hentian Bas Pekan Rabu.

Katanya, peminta sedekah boleh mendapat untung apabila meminta sedekah di kawasan terkenal namun imej kawasan terbabit kemungkinan akan terjejas.

"Sebelum ini dia dilihat meminta sedekah di sana, namun kemudiannya menghilang sekejap. Rupa-rupanya, dia mengubah lokasi dengan meminta sedekah di kawasan ini pula.

"Tak kira sama ada kawasan sebelum ini mahupun kini, yang pastinya kemunculannya meminta sedekah di kawasan tumpuan ramai sebegini seakan-akan tidak kena pada tempat dan masanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Solehah Sulaiman, 56, aktiviti sedemikian perlu dipantau sebaiknya supaya tidak menjatuhkan imej kawasan menarik ini di mata pelancong antarabangsa khususnya.

Menurutnya, kehadiran golongan terbabit dalam keadaan tidak terurus juga dikhuatiri mengundang ketidakselesaan dan meminta pihak berkaitan mengenakan tindakan sewajarnya.

"Saya rasa kalau peminta sedekah ini duduk sahaja tanpa buat apa-apa memang salah.

"Sekurang-kurangnya jikalau dia menyanyi, itu bermakna dia menjual bakat. Apabila menjual ubat-ubatan mahupun tisu, itu berniaga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Juru foto tempatan lakukan kejutan


Gambar yang menempatkan nama Muhamad Saleh sebaris juru gambar antarabangsa lain


Muhamad Saleh bersama trofi yang dimenanginya ketika menyertai HIPA buat kali pertama tahun lalu


KOTA BHARU- Hanya kerana sekeping gambar, namanya kini sebaris juru foto antarabangsa lain selepas dinobatkan sebagai pemenang ketiga Anugerah Fotografi Antarabangsa Hamdan (HIPA), Dubai baru-baru ini.

Muhamad Saleh Dollah, 40, tidak pernah menyangka percubaan pertamanya menghantar gambar untuk menyertai pertandingan itu tahun lalu berhasil apabila idea dan kreativiti yang diaplikasikan berjaya menyaingi peserta dari seluruh pelosok dunia.

“Mungkin ini rezeki saya, tidak ada persiapan dilakukan, hanya hantar gambar sedia ada yang diambil dua tahun lalu, dengan ambil kira tema ditetapkan, iaitu ‘mencipta masa depan’. Malah, proses penghantaran gambar dibuat melalui laman web anugerah itu juga dilakukan saat akhir, kira-kira enam jam sebelum penyertaan ditutup,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhamad Saleh yang lebih dikenali sebagai Abe Less Classictouch Full berkata, beliau merupakan peserta pertama dari Malaysia yang menyertai anugerah itu sejak diperkenalkan pada 2011.

Mempertaruhkan gambar warga emas sedang mencari cucunya yang hilang di Pantai Mek Mas, PCB, dengan bertemankan pelita, Muhamad Saleh tidak menyangka ia mampu menarik perhatian juri sehingga melayakkan beliau menangi sebuah trofi dan wang tunai USD6,000 (RM20,000).

Pemilik kedai gambar Classictouch Studio ini berkata, bukan kamera yang menentukan kualiti atau menariknya sesuatu gambar sebaliknya objek di sebalik alat tersebut.

“Saya tidak gunakan kamera yang mahal kerana pada saya itu bukan syarat dalam mendapatkan foto terbaik,” katanya yang merancang menggunakan sebahagian wang hadiah untuk tujuan pengembaraan dalam mendapatkan gambar-gambar lebih
menarik.

Menurutnya, mendapat tunjuk ajar daripada abang ipar, Rosdi Ab Hamid yang juga pemilik kedai gambar terkemuka di negeri ini, Rosdi Foto, dan kakaknya, Hanisah Dollah banyak bantu mematangkan dirinya dalam dunia fotografi.

HIPA merupakan anugerah fotografi antarabangsa terkenal, yang dilancarkan pada tahun 2011 di bawah naungan Sheikh Hamdan Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, Putera Mahkota Dubai, dan terbuka kepada jurugambar tempatan dan antarabangsa, bertujuan mencerminkan komitmen Dubai ke arah pembangunan seni dan budaya di UAE.

Sumber: Sinar Harian

Bayi sakit gara-gara kebakaran hutan


Fatin Nursyirah terpaksa diberi bantuan penafasan akibat sesak nafas.


JERTIH - Seorang bayi berusia lapan bulan terpaksa menerima rawatan selama beberapa hari di hospital akibat kesukaran bernafas dipercayai akibat pencemaran udara ekoran kebakaran hutan berhampiran rumahnya di Kampung Gong Kepas dekat Kampung Raja.

Bapa bayi berkenaan, Mohd Azli Mustafa, 39, berkata, anak perempuannya Fatin Nursyirah dimasukkan ke wad Hospital Besut sejak Rabu lalu selepas mengalami batuk kronik dan lelah.

Menurutnya, sebelum itu Fatin Nursyirah demam beberapa hari dan masalah kesihatannya mula dialami sejak berlakunya kebakaran hutan di kawasan Gong Kepas menyebabkan asap menyelubungi rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari tempat kebakaran.

“Masalah ini turut berlaku terhadap ramai bayi dan kanak-kanak lain yang tinggal di kawasan berkenaan dan saya percaya ia ada kaitan dengan asap dari kawasan kebakaran,” katanya.

Mohd Azli berkata, pihak hospital memberitahu masalah kesihatan dihadapi anaknya disebabkan jangkitan kuman dan pencemaran udara menyebabkan gangguan di bahagian paru-paru.

Menurutnya, berikutan itu dia merayu kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran di kawasan tersebut kerana boleh dikatakan sepanjang musim kemarau baru-baru ini masalah kebakaran hutan di situ berlaku sepanjang masa.

“Mereka kena fikir kesihatan orang ramai terutama kanak-kanak.. kini anak saya terpaksa bernafas dengan bantuan oksigen dan saya juga simpati dengan anggota bomba yang sentiasa bertungkus lumus memadam kebakaran di situ,” katanya.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana keadaan anaknya semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.

Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh, sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membakar atau membuang putung rokok di kawasan tersebut amat dikesali.

Menurutnya, hampir setiap hari pihaknya terpaksa memadam kebakaran di kawasan tersebut.

“Kebakaran hutan itu bukan sahaja boleh menyebabkan jerebu tetapi pencemaran udara memberi kesan buruk kepada kesihatan khususnya kanak-kanak dan warga emas.

“Justeru kami nasihatkan orang ramai agar jangan sesekali melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan membuang putung rokok di kawasan belukar,” katanya.

Kata Hasmadi, sebanyak tiga lokasi kebakaran hutan berjaya dipadamkan dalam kejadian kelmarin iaitu di kawasan Paya Rawa dekat Gong Kepas, Bukit Jeruk (Jabi) dan Benting Lintang.

Sumber: Sinar Harian

Masih boleh dicari jika bateri habis

Masih boleh dicari jika bateri habis
Kotak hitam merekod situasi penerbangan serta mengukur kestabilan pesawat.


SHAH ALAM - Kotak hitam masih boleh dicari walaupun tiada isyarat dipancarkan selepas kehabisan bateri.

Pakar teknologi penerbangan udara, Ir Abu Hanifah Abdullah berkata, kapal tertentu yang mempunyai kepakaran mengesan kotak hitam tetap boleh menemui peralatan itu berdasarkan cirinya yang tahan lasak dan tidak mudah rosak.

“Pencarian kotak hitam dibuat berdasarkan isyarat dipancarkan. Jika kehabisan bateri, kotak hitam yang berwarna oren memudahkan kapal yang mencarinya.

“Selain itu, rekaan kotak hitam sudah mengambil kira keadaan terburuk yang akan dihadapi pesawat. Kebiasaannya, kotak hitam tidak terjejas walaupun pesawat mengalami kerosakan teruk akibat terhempas dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketika ditanya mengenai keupayaan kotak hitam mengeluarkan isyarat, katanya, ia bergantung kekuatan bateri.

“Kekuatan bateri pula bergantung kepada pengeluar kotak hitam, tidak semestinya 30 hari,” katanya.

Mengulas lanjut fungsi kotak hitam, beliau berkata, peralatan itu merekod segala aktiviti dan maklumat pesawat.

“Kotak hitam terdiri daripada perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit. Perakam data penerbangan merekod segala data berkenaan pesawat.

“Perakam suara kokpit, merakam percakapan dan segala bunyi di dalam kokpit. Kedudukan kotak hitam biasanya di ekor pesawat kerana paling selamat,” katanya.

Merujuk insiden kehilangan pesawat MH370, beliau berkata, apa yang penting ialah mencari pesawat terlebih dahulu.

“Selepas ditentukan sama ada ia terhempas atau tidak, baharulah pencarian boleh ditumpukan kepada kotak hitam. Ini kerana, kotak hitam bukan digunakan untuk tujuan keselamatan.

“Data kotak hitam digunakan bagi mengkaji faktor kemalangan pesawat berlaku. Jika kritikal, kita cari jalan halang ia berulang kepada pesawat lain,” katanya.

Sinar Harian

Juruterbang P3 Orion tekad beri maklumat untuk keluarga MH370

PERTH: “Kami komited dan yakin akan berjaya menemui sesuatu…satu penemuan…untuk keluarga penumpang di dalam pesawat MH370,” ulas juruterbang Peter Moore yang mengemudi pesawat P3 Orion terakhir di RAAF Base Pearce di Perth malam tadi.

Pengakuan Moore itu diluahkan beliau walaupun tidak menemui apa-apa petunjuk dan menambah bahawa angin kencang dan awan tebal turut menghalang operasi pencarian pesawat MH370 pada Ahad di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,500 kilometer di luar pantai Perth, Australia.

Beliau yang dikerumuni ramai wartawan dari seluruh dunia selepas mendarat pada 10 malam tadi menerangkan apa yang telah dilakukan oleh pasukannya dalam tempoh sepuluh jam terakhir pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat di sana.

“Situasi di luar sana agak mencabar. Awan yang rendah pada jarak kira-kira 500 kaki sahaja, kabus laut yang tebal serta hujan,” jelas Moore.

Jarak penglihatan di kawasan itu juga terhad akibat cuaca buruk, terutamanya apabila pasukan mencari bergantung kepada penglihatan, bagi mencari objek di permukaan laut pastinya terjejas. Awan menyekat pandangan mereka walaupun terbang pada jarak yang rendah.

“Jarak penglihatan pada permukaan air juga terhad. Ia berkemungkinan pada kira-kira 200 atau 300 kaki sahaja. Pada keadaan yang baik kita sebenarnya boleh melihat pada jarak yang jauh iaitu kira-kira sebatu,” katanya. “Walaubagaimanapun permukaan air agak tenang walaupun dengan hanya sedikit berombak.”

Namun, Moore dan pasukannya kekal positif dan bermotivasi tinggi kerana mereka sangat berpengalaman dan telah dilatih untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dalam apa jua keadaan termasuk yang mencabar seperti hari ini.

Berbekalkan sedikit bahan api tambahan, beliau dan pasukannya berjaya meneliti semula bahagian-bahagian kawasan carian yang terlepas sebelum ini berikutan keadaan cuaca yang bertambah buruk. Secara keseluruhannya, mereka berjaya meliputi kira-kira 85% kawasan pencarian pada hari tersebut.

Lapan pesawat berlepas dari Perth semalam, empat daripadanya merupakan pesawat P3 Orion yang berlepas dari RAAF Base Pearce dan empat lagi merupakan pesawat awam bagi mencari di kawasan lebih 59,000 kilometer persegi.

Pesawat itu mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam untuk sampai ke kawasan pencarian dari Perth. Mereka hanya mempunyai masa dua jam sahaja untuk mencari sebelum perlu terbang empat jam lagi untuk kembali ke Perth.

Astro Awani 

"Saya ibu kandung Khairul Amri"


BERA: Disebalik kerisauan dan debaran menanti kepulangan insan tersayang, ada pihak didakwa cuba mengambil kesempatan.

Tidak tahan mendengar dakwaan itu, Normah Jaafar tampil membuat penjelasan.

Normah, 56 tahun, merupakan ibu kandung kepada Mohd Khairul Amri Selamat, 29 tahun, salah seorang penumpang MH370 yang masih hilang.

Jelas Guru Tadika Kemas di Bandar Bera ini, penjelasan dibuat kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih keruh.

“Saya rasa tidak senang dengan keadaan begini apabila ada orang lain mengaku dia ibu kandung anak saya. Saya tak redha orang buat begini kepada saya. Saya ibu kandung Mohd Khairul Amri, saya boleh tunjuk surat beranak dia. Saya mengandungkan dia, saya yang melahirkan dia dan saya yang membesarkan dia,” kata Normah.

Abang Mohd Khairul Amri, Adib Adli Syam Selamat, 35, mahu pihak terlibat menghentikan sebarang dakwaan yang dibuat.

Adib mendakwa, ada pihak terlibat cuba mengambil kesempatan ketika mereka berdepan situasi mencemaskan ketika ini.

Penjelasan tersebut diharap dapat memperbetulkan semula keadaan.

Pesawat MAS MH 370 yang membawa Mohd Khairul Amri bersama 226 penumpang lain bersama 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Astro Awani 

MH370: Makan seringgit sekali jika turunkan tanda tangan



JOHOR BAHRU : Pelbagai perkara dilakukan bagi menzahirkan keprihatinan terhadap kehilangan pesawat MH370.

Di Johor Bahru seorang peniaga menawarkan jamuan makan tengahari dengan hanya seringgit.

Syaratnya setiap pelanggan perlu menurunkan tandatangan di kain rentang bagi menyokong kempen doakan MH370.

Pemilik Restoran R&R Bistro, Mohd Rafi Hussein kempen berkenaan bagi mendoakan keselamatan anak kapal serta penumpang pesawat berkenaan.

Pesawat MAS MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Astro Awani 

Wanita didakwa kena culik 3 hari sebelum nikah


Seorang pengguna Facebook melaporkan kejadian wanita diculik serta nombor kereta yang didakwa digunakan oleh suspek.


ALOR SETAR - Seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an didakwa diculik di depan sebuah pasar raya dekat Kuala Ketil, Baling, enam hari lalu.

Dalam kejadian Selasa lalu, wanita berkenaan dikatakan diculik oleh beberapa lelaki dengan menggunakan dua kereta.

Menurut sumber, keluarga wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Tawar pada hari kejadian.

Susulan kejadian itu, seorang pengguna laman Facebook turut menghebohkan kejadian itu berserta nombor pendaftaran kereta yang didakwa digunakan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima laporan kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai orang hilang dan bukan penculikan selepas siasatan lanjut dilakukan.

“Siasatan mendapati wanita terbabit melangsungkan perkahwinan pada 21 Mac (kelmarin) sebelum dilaporkan hilang. Dia juga dipercayai mempunyai teman lelaki lain sebelum bertunang.

“Jadi setakat ini kita klasifikasi kes sebagai orang hilang yang berpunca masalah dalaman keluarga dan wanita terbabit,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian 

Anak pasangan M'sia ditahan di Sweden ikuti kelas intensif Bahasa Melayu

Sweden

KUCHING: Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden kini mengikuti kelas intensif mata pelajaran Bahasa Melayu bagi membantu meningkatkan penguasaan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Kelantan telah pun memulakan kelas berkenaan bagi  membantu empat beradik itu.

"Ini adalah antara langkah diambil bertujuan membantu Aisyah Azizul Raheem, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu memandangkan mereka berempat kini berada dalam keadaan yang stabil dan tidak lagi tertekan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Keusahawanan Wanita 2014 di sini, hari ini.

Sementara itu, Rohani berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar dua lagi laporan berkala kepada Wisma Putra mengenai keadaan empat beradik itu, Jumaat lepas.

Menurut Rohani laporan yang diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial Sweden itu melaporkan perkembangan fizikal dan emosi empat beradik itu.

"Di dalam laporan berkala itu, dinyatakan empat beradik berkenaan sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan bergaul mesra dengan rakan sebaya di sekolah.

Beliau berkata JKM akan sedaya upaya membantu keluarga berkenaan supaya dapat bersatu semula dan sentiasa cuba memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak Sweeden dengan baik.

Ibu bapa empat beradik itu, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Dis tahun lepas setelah didakwa memukul anak mereka, kini dibicarakan di Mahkamah Daerah di Solna, Stockholm.
Bernama