Friday, 18 October 2013

3 warga asing, remaja didakwa edar dadah

BALIK PULAU - Tiga warga asing termasuk seorang remaja perempuan bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan berasingan melibatkan pengedaran dadah jenis Metamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dua minggu lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan yang direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu warga Afrika Derrick Randell, 63, wanita warga India B Sangeeta Sharma, 38, dan remaja berusia 17 tahun dari Malawi selepas pendakwaan dalam bahasa Inggeris itu dibacakan.

Majistret Muhamad Najib Ismail kemudian menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Randell dituduh mengedar Methampethamine seberat 4.4kg di Balai Ketibaan LTAPP jam 10.20 pagi 5 Oktober 2013 manakala Sangeeta pula dituduh mengedar Methamphetamine seberat 3.1kg di lokasi sama pada pukul 1 pagi 7 Oktober 2013.

Remaja perempuan bawah umur itu pula dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada 5 Oktober lepas pukul 10.30 pagi.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh Mahinder Singh dan Pegawai Pendakwa Muhd Ridhauddin Jamaluddin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama

No comments:

Post a Comment