Sunday, 8 December 2013

Man caught for faking own kidnap


ACP Abdul Rahim Abdullah - File pic


KUALA LUMPUR: A 28-year-old man informed his parents that he had been kidnapped and that they had to pay RM25,000 for his release.

The parents lodged a police report on Thursday and police traced their son's car to a parking bay at the Ria Apartments in Genting Highlands the following day.

The man was arrested while he was gambling, said Gombak OCPD ACP Abdul Rahim Abdullah.

He was being investigated over a false police report, he told Bernama.

Abdul Rahim said the man had resorted to faking the kidnap due to gambling losses.


Source: ASTRO Awani 

Filem taruhan Oskar Indonesia, "Sang Kiai" menang Filem Terbaik FFI



KUALA LUMPUR:  Filem yang mengisahkan tentang Mohammad Hasyim Ashari atau Kiai Haji Mohammad Hasyim Ashari Sang Kiai diumumkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Indonesia malam tadi.

Filem arahan Rako Prijanton itu menewaskan filem popular seperti Habibie & Ainun, 5cm, Laura & Marsha dan Belenggu.

Rako Prijanto turut membawa pulang trofi Citra Pengarah Terbaik , Adipati Dolken (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik) dan Khikmawan Santosa, M. Ikhsan & Yusuf A Pattawari (Penata Suara Terbaik).

Sang Kiai merupakan taruhan Indonesia untuk pencalonan Filem Asing Terbaik di Anugerah Akademi tahun hadapan.

Sementara itu, pelakon prolifik Reza Rahadian memenangi gelaran Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Habibie & Ainun.  Reza yang membawakan watak bekas Presiden BJ Habibie berjaya menewaskan lakonan Lukman Sardi (Rectoverso), Abimana Aryasatya (Belenggu).

Filem paling laris tahun ini, Habibie & Ainun tidak pulang kecewa apabila turut membawa pulang trofi Citra untuk kategori Penulis Skenario Terbaik (Ginatri S Noer & Irfan Ardiansyah Ismail) dan Perancang Busana Terbaik (Retno Ratih Damayanti)

Pelakon Adinia Wirasti membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Laura & Marsha dan pelakon terkenal Jajang C Noer membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Cinta Tapi Beda.

Filem kegemaran ramai, 5cm tidak pulang tangan kosong apabila keindahan Gunung Semeru yang dirakamkan dalam filem tersebut diiktiraf sebagai Pengarah Sinematografi Terbaik (Yudi Datau).

Festival Filem Indonesia berlangsung di Marina Bay Convention Centre, Semarang malam tadi.


ASTRO Awani, Disember 8, 2013

13 tentera hilang di laut ketika latihan

MELAKA - Seramai 13 anggota tentera dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki hilang ketika menjalani latihan mendayung ke Pulau Nangka, semalam.

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian, anggota tentera terbabit memulakan latihan pada jam 7 malam bersama anggota lain yang menaiki empot bot berasingan.

Bot terbabit dalam perjalanan dari persisir pantai Sungai Udang ke pulau berkenaan.

Semua kumpulan itu dipercayai dilanda ribut dipukul ombak kira-kira jam 9 malam dan hanya tiga bot yang dinaiki seorang pegawai serta 35 anggota berjaya sampai ke Pulau Upeh kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menerima laporan berhubung kehilangan 13 anggota tentera di perairan Selat Melaka jam 4.00 petang tadi.

Dalam pada itu, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan yang mengesahkan kejadian itu berkata, usaha menyelamat masih dijalankan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pasukan penyelamat berkumpul di Dataran 1Malaysia, Klebang selain tentera membuat kawalan ketat menghalang pengamal media dan orang awam menghampiri kawasan operasi.

Sumber: Sinar Harian
Disember 8, 2013

Lima warga India maut dalam kemalangan

REMBAU - Lima lelaki warga India maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung di Km240.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran susur keluar Pedas-Linggi, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Altis dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai D.P. Devakumar, 23, berasal dari Tamil Nadu; V. Raghunathan, 28, dari Chennai; K.S. Suresh, 29, dari Sendamangalam dan R. Aanand Meenakshi, 23, berasal dari Delhi.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai K. Vijaykarthik, 27, dari Tamil Nadu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura itu berpusing beberapa kali.

Katanya kenderaan itu kemudian terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter dan terbalik berhampiran anak sungai.

"Akibat kemalangan itu empat mangsa tercampak keluar dari kenderaan terbabit manakala seorang lagi ditemui tersepit di dalam kereta dan kesemua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superitendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, keempat-empat mangsa yang maut di tempat kejadian dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini untuk bedah siasat. -- Bernama

Sedia 'maafkan' pengundi Cina: PKR sifatkan kenyataan Idris Haron 'angkuh'


Shamsul Iskandar Mohd Akin - Gambar Arkib


KUALA LUMPUR:  Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ni menyelar kenyataan yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkenaan kesediaannya 'memaafkan' pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menurut sebuah laporan dari portal berita Keadilan Daily, Shamsul menyifatkan kenyataan itu sebagai 'tidak jujur dan angkuh'.

Ujarnya, kata-kata Idris itu seolah-olah jelas menunjukkan beliau bersetuju bahawa masyarakat Cina wajar dipersalahkan atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurut Shamsul yang juga Ketua AMK PKR dan Anggota Parlimen Bukit Katil, tindakan Idris itu seperti tidak menghormati hak demokratik rakyat untuk menyokong sesiapa yang difikir sesuai bagi mewakili suara mereka di Dewan Rakyat atau DUN.

Beliau juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'menempelak' masyarakat Cina yang setia mendokong BN dan menggesa Idris supaya segera memohon maaf serta menyatakan kesalahan BN yang menjadi punca kekalahan mereka, terutama sekali di Melaka.

Pada Khamis lalu, Idris dalam satu kenyataan telah menyatakan kesediaannya memaafkan masyarakat Cina sekiranya benar punca kekalahan beberapa kerusi di negeri itu pada PRU-13 lalu disebabkan oleh mereka yang tidak menyokong calon BN.

Katanya jika benar kemerosotan sokongan kepada BN boleh dituding jari kepada masyarakat Cina, beliau sedia memaafkan mereka dan ingin menganjurkan supaya bersama-sama kembali menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pembangunan yang lebih kukuh.

Idris, bagaimanapun dalam sebuah laporan Utusan Malaysia semalam menafikan yang beliau telah menyalahkan pengundi Cina yang mengundi pembangkang dalam PRU-13.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka menyatakan rasa kecewa dengan pengundi Cina yang tidak mengundi BN seperti dijanjikan sebelum pilihan raya itu.

ASTRO Awani

'Erma Fatima tak profesional?'

"HORMATI keputusan mahkamah dan gunakan cara profesional!," itulah antara kata-kata aktres cantik, Rabecca Nur Al-Islam, mengenai tindakan pengarah terkenal, Erma Fatima, mengenai cara bayaran saman tersebut.

Menurut Rabecca, peguamnya bertindak menolak dan memulangkan semula syiling berbentuk 5 sen itu kepada peguam Erma atas alasan undang-undang.

"Ya, peguam saya ada menerima duit syiling itu daripada peguam Erma. Namun, saya tidak melihat sendiri duit dan al-Quran itu dan hanya melihat menerusi gambar yang dihantar peguam saya sahaja.

"Peguam saya menolak bayaran berkenaan kerana saya difahamkan, wang syiling hanya boleh digunakan sekiranya bayaran itu bernilai RM30 ke bawah.

"Sekiranya melebihi nilai itu, ia perlu dibayar dalam bentuk wang kertas atau cek," katanya ketika dihubungi Zass.

Tambah Rabecca, peguamnya telah menghubungi peguam Erma untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

"Sebagai peguam, dia perlu menasihati anak guamnya agar menggunakan cara yang betul dan tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang.

"Tak mungkin peguam dia tak tahu mengenai perkara ini. Malah, saya dimaklumkan bahawa ia adalah permintaan Erma sendiri untuk membayar dalam bentuk wang syiling," jelasnya.

Walaupun kes ini telah selesai di mahkamah, namun ia mengundang kontroversi apabila pengarah dan pemilik syarikat produksi, Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, itu membayar wang tuntutan dengan wang syiling 5 sen sebanyak RM11,200.

Selain syiling 5 sen, Erma turut menghadiahi senaskhah al-Quran buat Rabecca berserta satu nota.


Cari publisiti murahan

Selain Rabecca, pengurus pelakon filem, Keramat, ini juga turut menyelar tindakan Erma yang dianggap masih tidak berpuas hati.

Menurut Moammar Gadaffi, sepatutnya, Erma lebih profesional dalam menangani situasi ini dan menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.

"Dia (Erma) seperti tidak dapat menerima keputusan mahkamah dan masih berdendam dengan Rabecca.

"Sebagai orang lama dalam industri, dia tidak perlu memanjangkan kes ini untuk mendapat publisiti murahan.

"Setelah berbincang dengan Rabecca, kami memilih untuk menyerahkan perkara ini kepada peguam. Lagipun, tak guna untuk bertikam lidah," katanya yang turut menyarankan Erma agar membawa kes itu ke mahkamah rayuan sekiranya tidak berpuas
hati dengan keputusan terdahulu.

Tambah Gadaffi, insiden itu langsung tidak menjejaskan karier Rabecca dan masih ada produksi yang mahu bekerjasama dengan aktres itu.

"Baru-baru ini, syarikat produksi, MIG, ada menghubungi Rabecca untuk memberikan tawaran kerja.

"Malah, sebelum ini Rabecca pernah terlibat dengan produksi lain seperti Skop Production Sdn Bhd.

"Tuduhan Erma seperti Rabecca tidak berdisiplin adalah tidak berasa kerana perkara sebegini tidak pernah terjadi dalam produksi lain. Lagipun, Rabecca bukanlah setahun dua dalam industri," katanya yang akan lebih berhati-hati dalam meneliti kontrak
Rabecca selepas ini.

Sementara itu, Erma bertindak untuk terus mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi ini.

Pun begitu, menerusi akaun laman sosial, Instagram, miliknya, Erma bersetuju untuk memberikan tuntutan itu dalam bentuk wang kertas seperti yang diminta.


Sumber: Sinar Harian 

Cuba elak babi, 30 penumpang bas nyaris maut di Kemaman

Terbabas Kemaman

KEMAMAN: Seramai 30 penumpang nyaris maut apabila bas yang mereka naiki terbalik di Kilometer 140.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Bukit Kuang di sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi, apabila bas eskpres tersebut yang dalam perjalanan dari Kelantan menuju Johor Baharu dikatakan cuba mengelak dari melanggar seekor babi yang sedang melintas jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Che Suza Che Hitam berkata ekoran itu pemandu bas tersebut yang berusia 54 tahun gagal mengawal basnya lalu merempuh penghadang jalan sebelum bas itu terbalik ke dalam tebing sedalam tiga meter.

"Ketika kejadian, jalan agak basah selepas hujan dan akibat mahu mengelak itulah, menyebabkan bas berkenaan menggelongsor di bahu jalan lalu terbalik," katanya.

Beliau berkata lapan penumpang cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kemaman manakala pemandu bas berkenaan turut cedera ringan.


BERNAMA

Gugurkan menteri yang tak berkesan, gantikan dengan Rosmah - A Kadir Jasin

Gugurkan menteri yang tak berkesan, gantikan dengan Rosmah - A Kadir Jasin

KUALA LUMPUR:  Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin mencadangkan agar isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilantik menjadi Menteri Tugas-tugas Khas.

Menurut beliau, Rosmah ternyata lebih berkesan berbanding dengan beberapa menteri yang sedia ada bagi tujuan membantu negara dalam situasi-situasi tertentu.

“Berpandukan maklumat Mohd Najib itu, eloklah beliau menimbang semula kedudukan Menteri Luar Negeri, Anifah Aman, kerana ternyata beliau tidak seberkesan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa.

“Begitu juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Mustapa Mohamed, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Rohani Abdul Karim dan Menteri Pelajaran, Muhyiddin Mohd Yassin, kerana Rosmah juga terlibat di sana sini dalam tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri-menteri berkenaan,” katanya dalam sebuah artikel blognya, The Scribe.

Katanya dengan cara itu, menteri-menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik boleh digugurkan serta, justeru menjimatkan perbelanjaan negara dengan megurangkan bilangan kementerian.

Kata beliau, meskipun pilihan raya telah berlalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh melantik Rosmah sebagai senator dan seterusnya menteri.

Kadir menyatakan bahawa beliau sebelum ini telah beberapa kali mencadangkan agar isteri Najib itu dibawa ke arena politik untuk dijadikan menteri.

Beliau juga tidak menolak jika suatu hari nanti Rosmah dilantik menjadi Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat.

“Apabila ini dilakukan, tidak ada siapa boleh membantah campur tangan beliau atau menuduh suami beliau dan Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan beliau menggunakan kemudahan kerajaan. Jawatan yang sesuai bagi belia ialah Menteri Tugas-Tugas Khas,” kata Kadir.

Bekas wartawan veteran itu dalam artikelnya mengulas tentangkenyataan Najib yang baru-baru ini yang merakamkan penghargaan kepada Rosmah yang disifatkan turut memberi sumbangan kepada rakyat Malaysia.

Najib dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2013, memberikan dua contoh sumbangan yang diberikan oleh Rosmah yang tidak pernah diceritakan sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, pada program Flotila dua tahun lepas, salah seorang pelajar Malaysia telah disalah anggap oleh kerajaan Mesir sebagai perisik.

Najib kemudiannya meminta Rosmah memohon bantuan kepada isteri Hosni Mubarak, yang berkuasa pada ketika itu dan dalam masa dua jam, pelajar tersebut telah dibebaskan.

Tambah Najib lagi, sewaktu Ops Piramid, ketika hendak mebawa pulang pelajar Malaysia menaiki pesawat Charlie, melalui Jeddah, pelajar-pelajar itu telah dibenarkan terbang tanpa visa disebabkan hubungan baik dengan keluarga DiRaja Saudi.


ASTRO Awani

Nabila Huda tayang kekasih baharu?

Nabila Huda

BARANG yang lepas, jangan dikenang... Itulah ungkapan yang tepat menggambarkan personaliti aktres ceria bernama, Nabila Huda.

Walaupun hubungan cintanya bersama pelakon, Nas-T, kecundang di tengah jalan, namun ia bukanlah penghalang untuk Nabila, sepi tanpa cinta.

Beberapa bulan lalu, pelakon filem biopik, Saloma ini dikatakan telah dimiliki jejaka dari Singapura.

Malah, sejak akhir-akhir ini beberapa status Nabila yang lebih mesra disapa Abil ini dilihat berbunga-bunga persis sedang dilamun cinta.

Menerusi laman Instagramnya, Abil turut memuat naik sekeping foto dirinya bersama lelaki yang menyuapkan kek sempena hari lahirnya pada 2 Disember lalu.

Menurut sumber terdekat, jejaka itu bernama, Izwan, dan juga pemain bola sepak amatur untuk pasukan fcjmuda yang memakai jersi nombor 10.

Hubungan cinta ini dipercayai mula terjalin enam bulan lalu dan status Abil yang ditulis, 'Happy half year anniversary baby', menguatkan lagi teka-teki ini.

Pun begitu, sehingga kini, Abil masih mengunci mulut dari terus bercerita secara umum mengenai cinta hati barunya itu.

Sinar Harian 

Artis terkaya 2013!

Robert Downey Jr
Robert Downey Jr


SIAPAKAH artis terkaya dunia tahun 2013? Berdasarkan majalah bisnes dunia, Forbes menyatakan bahawa artis yang memperoleh pendapatan tertinggi tahun ini adalah penyanyi terkenal, Madonna.

Perkara tersebut berdasarkan jumlah pendapatan yang diterima melalui konsert, jualan lagu atau filem box office. Jom lihat senarai 10 artis terkaya.

1) Madonna

Pendapatan Madonna yang mencapai AS$125 juta setahun! Sumber utama pendapatannya itu datang daripada konsert MDNA Tour yang menjelajah satu dunia. Dalam masa yang sama, dia juga mempromosikan albumnya yang ke-12. Satu taktik promosi bijak dan berkesan. Apatah lagi, hasil jualan dan konsert jelajahnya menghasilkan RM1,115 juta. Meskipun usianya menjangkau 55 tahun namun penyanyi lagu Celebration itu masih lagi aktif menyanyi dan berlakon. Tidak hairanlah, ibu kepada empat cahaya mata itu terkenal seluruh dunia.

2 ) Lady Gaga

Siapa yang tidak mengenali penyanyi yang gemar berpakaian pelik setiap kali muncul di khalayak ramai, Lady Gaga. Biarpun pernah terlibat dengan penggunaan dadah namun pelantun Applause itu sangat berbakat dan unik. Walaupun masih muda, Gaga berjaya menawan dunia dengan muziknya yang kontroversi seperti Alejandro sehingga memperolehi RM594 juta pada tahun ini. Tidak disangka, dropout dari Universiti New York berjaya dalam hidupnya sekali gus berada di takhta kedua, artis paling kaya dunia.

3) Robert Downey Jr

Ikon filem Iron Man, Robert Downey Jr memperolehi pendapatannya melalui lakonan hebat dalam beberapa filem seperti Tropic Thunder dan Sherlock Holmes. Aktor berusia 48 tahun itu menghasilkan pendapatan sebanyak RM248 juta. Kekayaannya itu diperoleh melalui hasil lakonannya dalam beberapa filem box ofiicenya.

4) Toby Keith

Nama Keith mungkin tidak sepopular Madonna, Bonjovi mahupun Lady Gaga. Tetapi bagaimana penyanyi berusia 52 tahun itu mampu berada antara mereka teratas? Jawapannya, melalui lima tahun terakhir hasil jualan CD albumnya, ratusan konsert dan 18 buah restoren miliknya. Dia berjaya mengumpul RM215 juta di Amerika Syarikat.

5) Channing Tatum

Jejaka kelahiran Alabama, Amerika Syarikat bukan sahaja dikenali sebagai aktor berbakat tetapi mempunyai minda cerdas sebagai ahli perniagaan. Kerjaya seninya berjalan dengan lancar sehingga diberi kepercayaan untuk menjadi tunjang utama filem seperti Step Up, G.I. Joe: The Rise of Cobra, Dear John, The Vow, 21 Jump Street dan Magic Mike. Selain itu, dia bijak mengatur masa depannya supaya tidak bergantung dengan lakonan sahaja. Dia bersama produser, Steven Soderbegh membiayai sendiri filem Magic Mike sehingga berjaya membawa pulangan yang agak tinggi. Dia memperoleh pendapatan sebanyak RM198 juta.

6) Justin Bieber

Artis kelahiran Youtube, Justin Bieber memulakan kerjaya nyanyian dalam usia yang sangat muda. Lagu Baby berjaya menaikkan nama sehingga bergelar jutawan sebelum umur menginjak 20 tahun. Pendapatan yang dimilikinya mencapai RM191 juta sepanjang kerjaya seninya. Malah remaja kelahiran Kanada itu juga mempunyai peminat paling ramai sehingga akaun Twitternya mencapai 20 juta pengikut.

7) Taylor Swift

Walaupun dirinya sering dilanda musibah dalam percintaan namun penyanyi cantik ini tidak terjejas dengan kontroversi tersebut. Kegagalan yang dilaluinya itu dianggap sebagai pembakar semangat sehingga kesemua lagu dalam album keempatnya, Red merupakan hasil ciptaannya. Album tersebut dijual sebanyak 1.2 juta salinan pada Oktober 2012. Hasil jualan albumnya itu, Swift menerima RM182 juta pendapatan tahun ini.

8) Hugh Jackman

Menerusi siri filem X-Men yang bermula 2000, Jackman mula terkenal dengan watak Logan atau Wolverine. Membintangi tujuh siri filem tersebut sepanjang 14 tahun penglibatannya, dia menerima pendapatan RM182 juta. Bukan itu sahaja, filem box office seperti Van Helsing, Real Steel dan Les Misérables.

9) Beyonce

Biarpun meninggalkan dunia hiburan selama setahun, Beyonce sanggup bercuti demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap si kecil, Ivy Blue, 1. Selepas berehat, dia kembali memeriahkan arena seni dengan konsert jelajahnya, Mrs. Carter World Tour. Hasil daripada konsert tersebut, isteri kepada rapper, Jay-Z itu memperoleh pendapatan sebanyak RM175 juta.

10) Kenny Chesney

Mungkin ramai tidak mengenali penyanyi berusia 45 tahun yang berasal dari Tennessee, Amerika Syarikat. Namun Kenny Chesney bukan calang-calang penyanyi kerana hasil daripada Flip Flop Summer Tour (2007) merupakan pendapatan tertinggi bagi konsert jelajahnya. Malah dia mampu bersaing dengan beberapa nama besar Jay-Z, Katty Perry, atau Rihanna. Tahun ini dia menerima RM175 pendapatan hasil jualan tiket konsertnya sahaja.




Banjir: Lintah masuk kemaluan kanak-kanak

Banjir: Lintah masuk kemaluan kanak-kanak
Yusrina (kiri) bersama ibunya semasa dirawat di Wad Anggerik, HRPZII, semalam.


KOTA BHARU - Keasyikan dua-dua kanak bermain dalam banjir bertukar mimpi ngeri apabila kemaluan mereka dimasuki lintah.

Dalam kejadian pertama, mangsa, Yusrina Yusri, 5, dari Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, mengalami pendarahan teruk apabila lintah tersebut memasuki dubur setelah mandi lebih satu jam bersama adiknya, Yusri Aiman Yusri, 3.

Ibu mangsa, Siti Khatijah Ibrahim, 27, berkata, ketika kejadian, dia sempat melihat beberapa lintah berada berdekatan anaknya ketika Yusrina bermain air berhampiran rumahnya yang dekat dengan sawah dan kuala.

“Yusrina datang kepada saya dalam keadaan menangis sambil menunjukkan objek hitam yang melekat pada duburnya.

“Saya terkejut dan cuba menarik lintah tersebut ketika ia masuk separuh ke dalam dubur, namun usaha itu tidak berjaya kerana ia licin dan melekat,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, hari ini.

Hadir melawat mangsa, Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hassan Md Hassan.

Dalam pada itu, seorang lagi kanak-kanak berusia 2 tahun, Muhammad Luqman Haziq Kamal dari Kampung Bagus, Rantau Panjang, turut menjadi mangsa lintah apabila ia masuk ke dalam alat sulitnya.

Ibunya, Siti Mazura Che Kob, 31, berkata, kejadian itu berlaku pada Sabtu ketika banjir berada pada paras lebih 1.22 meter.

“Ketika kejadian, anak bongsu saya mandi menggunakan pelampung, bermain banjir di kawasan rumah nenek bersama abang dan sepupunya.

“Tiba-tiba sahaja dia menjerit ketakutan dan menangis, lalu suami saya mendapatkannya. Suami segera mengangkat Luqman di kawasan cetek dan dapat membuang lintah tersebut,” katanya.

Akibat mengalami pendarahan tanpa henti, Siti Mazura berkata, anak lelaki daripada tiga beradik itu terpaksa dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas, sebelum dirujuk ke HRPZII.’

“Badannya lesu dan dia hanya menangis kerana mengalami pendarahan yang banyak sehingga terpaksa menggunakan lima helai lampin dalam tempoh lima jam selepas kejadian bermula jam 10 pagi,” katanya.

Sementara itu, Dr Ghazali Hasni menasihatkan orang ramai supaya mengelak bermain banjir berikutan bukan sahaja terdapat lintah, malah juga boleh mengancam nyawa terutama kanak-kanak.


Sinar Harian 

Gadis dicabul bomoh di Sabak Bernam

Noor Mushar Muhammad
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad


SABAK BERNAM – Kononnya ingin membuang hantu dalam badan bapa, sebaliknya anak perempuan lelaki itu pula menjadi mangsa cabul seorang bomoh di sebuah rumah taman perumahan di Sabak Bernam, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu berlaku sewaktu bapa mangsa berusia 46 tahun mendapatkan rawatan tradisional selepas mengadu sakit perut.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah ustaz itu, lelaki yang turut membawa anak perempuannya berusia 15 tahun itu diarahkan suspek baring dengan keseluruhan badannya ditutup dengan kain dan menutup lampu rumah berkenaan.

“Suspek kemudiannya memberitahu kepada bapa mangsa hantu di dalam badannya itu telah berpindah ke badan anaknya (mangsa) dan menyuruh pelajar tingkatan tiga itu baring diruang tamu rumah dengan ditutupi kain,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, suspek kemudiannya mengarahkan bapa mangsa bangun dan duduk di atas kerusi sambil suspek meneruskan rawatan ke atas mangsa kononnya ingin membuang hantu dalam badan gadis berkenaan.

“Sebaik saja bapa mangsa duduk di kerusi itu, dia yang kepenatan terlelap kira-kira 20 minit dan apabila tersedar dari tidur, dia terkejut apabila mendapati bomoh terbabit sedang leka meraba badan anaknya,” katanya.

Beliau berkata, bapa mangsa yang berang dengan perlakuan jijik suspek itu terus mengajak anaknya itu pulang ke rumah.

“Semasa dalam perjalanan pulang, anak mangsa menceritakan kepada bapanya yang dia dicabul bomoh terbabit di bahagian dada dan kemaluan,” katanya.

Menurut Noor Mushar, bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam.

Katanya, kes itu disasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Sinar Harian 

Kenyataan Zahid seperti hulur ‘penumbuk’

Fahmi Fadzil

SHAH ALAM - Ekoran kenyataan menggemparkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Jakim mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah, PKR tampil menggesa kenyataan itu ditarik balik.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Ahmad Zahid yang mengarahkan Datuk Seri Jamil Khir dan Jakim untuk mengambil tindakan ke atas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bagai menjatuhkan hukuman tanpa perbicaraan bebas dan adil.

“Ahmad Zahid amat tidak produktif, berbahaya dan bagai cuba menggagalkan rekonsiliasi yang diusahakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tatkala Perdana Menteri cuba menghulurkan tangan terbuka kepada parti-parti PR untuk mengadakan dialog nasional untuk rekonsiliasi, Ahmad Zahid pula bagai menghulurkan ‘penumbuk’ kepada Pas khususnya dan PR amnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Petang tadi, Ahmad Zahid dilaporkan meminta Jakim mengambil tindakan ke atas orang nombor dua Pas kerana didakwa mengamalkan ajaran Syiah.

Menteri Dalam Negeri itu ketika sesi penggulungan PAU hari ini memberikan 'lampu hijau' kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang portfolio agama menjalankan tugasnya.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam Pas. Datuk Seri Jamil Khir, KDN beri kuasa ambil tindakan terhadap kepimpinan kedua parti itu," katanya pada Perhimpunan Agung Umno 2013, di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi turut menggesa Ahmad Zahid supaya menarik balik kenyataan beliau itu.

Sinar Harian 

‘Dua jasa isteri saya yang orang tidak tahu’

Rosmah Mansor Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bukan beliau seorang menjadi perhatian ramai malah tempias itu turut dirasai oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata, bukan hanya cerita baik yang didengari malah ramai juga yang mempersoalkan peranan isterinya selama ini.

Menurut beliau, ramai yang tidak tahu bahawa isterinya telah membantu membebaskan pelajar Malaysia ketika Ops Piramid yang lalu.

"Beliau (Rosmah) telah menelefon isteri bekas kepada presiden Mesir Suzanne Mubarak bagi membebaskan seorang pelajar Malaysia yang dituduh perisik sewaktu operasi tersebut berlangsung.

"Pelajar tersebut dituduh sedemikian dan kemudiannya dihumban ke penjara, dalam dua jam, pelajar kita dibebaskan," katanya.

Presiden Umno itu berkata, ia merupakan salah satu daripada dua jasa Rosmah yang tidak pernah dimaklumkan kepada sesiapa sewaktu operasi itu dijalankan dua tahun lalu.

Bagi jasa kedua, Najib berkata semasa operasi yang berjalan, Najib berkata isterinya juga memohon jasa baik kerajaan Arab Saudi dengan "jaringan" dengan keluarga diraja, membolehkan pelajar Malaysia dapat singgah di Jeddah tanpa visa.

"Ia diusahakan oleh isteri saya kepada pelajar-pelajar kita. Malah dua kapal terbang Jumbo disediakan secara percuma bawa balik pelajar kita.

"Belum pernah saya beritahu tapi ia adalah sumbangan isteri saya kepada rakyat Malaysia," katanya.

Sinar Harian 

Tenaga boleh baharu revolusi tenaga elektrik Sabah

Ewon Ebin
Datuk Dr Ewon Ebin


KUDAT - Penjanaan tenaga boleh baharu menerusi penggunaan teknologi turbin angin dan solar bukan sahaja dapat merevolusikan tenaga elektrik terutamanya di Sabah tetapi boleh menjadi salah satu tenaga alternatif yang baik pada masa depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Beliau berkata Sabah mempunyai kelebihan tersendiri berikutan negeri itu kaya dengan sumber semula jadi yang berkaitan dengan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan pertumbuhan ekonominya.

"Kos penyelenggaraan dan operasi untuk membekalkan elektrik amat tinggi menyebabkan pihak pembekal tenaga seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berhadapan cabaran yang besar, ditambah pula harga sumber tenaga seperti minyak yang tidak menentu.

"Oleh itu, kerajaan sentiasa mengalu-alukan pihak yang berminat untuk menerokai dan mengaplikasi penggunaan tenaga hijau, sekali gus menyokong usaha ke arah pembangunan tenaga lestari yang mampan," kata beliau dalam ucaptamanya di majlis pelancaran dua Projek TechnoFund Mosti di sini hari ini.

Kedua-dua projek itu, Aplikasi Sistem Teknologi Angin untuk Penjanaan Tenaga serta Bangunan Lestari Thin-Film PV dan Penjanaan Tenaga Boleh Baharu, merupakan dua daripada tujuh projek yang diberi kepercayaan oleh Mosti kepada Sirim Bhd untuk kajian dan penyelidikan.

Secara keseluruhan, projek berkenaan mampu membekalkan tenaga elektrik masing-masing 25kw (tenaga angin) dan 9.8kw (tenaga solar).

Penjanaan tersebut dapat menyalurkan tenaga elektrik kepada sebuah resort berhampiran tapak projek di Tg Simpang Mengayau, selain membekalkan tenaga elektrik di bangunan projek itu serta disimpan dalam sistem bateri.

Ewon menyifatkan keberhasilan kajian itu boleh dikembangkan ke skala komersial yang lebih besar dan mampu menyumbang kepada pengurangan gangguan bekalan elektrik di Sabah serta memberi manfaat kepada penduduk luar bandar yang tinggal jauh dari kawasan grid.

Dalam jangka masa yang panjang, beliau berkata penjanaan tenaga boleh baharu itu akan menjadi sumber alternatif yang terbaik dan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga dari bahan bakar.

Pada masa ini, kebanyakan tenaga elektrik yang dijana oleh pusat jana kuasa menggunakan arang batu, diesel serta empangan hidro dan kaedah-kaedah itu melibatkan kos yang tinggi.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Dr Rosli Mohamed dan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Sirim Bhd, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof.

TechnoFund merupakan projek yang dibiayai oleh Mosti, merangkumi 13 projek. Ia adalah di bawah Task Force Renewable Energy, satu pasukan petugas yang dibentuk atas arahan kabinet untuk mengkaji keberhasilan atau kebolehlaksanaan tahap komersial pelbagai projek tenaga boleh baharu di negara ini. -- Bernama

Ibu minta henti spekulasi kematian anak-anaknya

Kematian 3 beradik: Puteri nak balik kampung
Jenazah Nur Izzati Husna, 12, dan adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dikebumikan dalam satu liang lahad bersebelahan pusara kakak mereka, Noor Syafikah Nadia, 14 di tanah perkuburan Islam Kampung Alor Semela.


ALOR SETAR - Ibu kepada tiga beradik yang dipercayai dibunuh bulan lalu meminta orang ramai agar menghentikan membuat spekulasi tentang kematian anak-anaknya seperti yang disebarkan melalui laman sosial.

Siti Aisyah Arifin, 40, berkata orang ramai tidak tahu tentang apa sebenarnya yang berlaku dan tidak wajar membuat pelbagai andaian.

"Biarlah pihak polis menjalankan siasatan mereka sehingga selesai," katanya kepada pemberita di rumahnya di Jalan Datuk Kumbar di sini hari ini.

Beliau menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob yang turut menyampaikan sumbangan.

Siti Aisyah berharap pihak polis dapat menangkap penjenayah terbabit dengan segera dan dikenakan hukuman setimpal.

Menceritakan kembali tentang kematian anak-anaknya, beliau berkata mereka tidak menunjukkan sebarang perangai pelik sebelum kejadian.

"Cuma malam sebelum mereka nak keluar rumah, yang sulung (Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14,) minta kebenaran ayahnya untuk keluar. Sebelum ini kalau nak keluar, dia tak minta kebenaran pun.

"Dia juga tidak bawa telefon bimbitnya. Dia memang tidak boleh berenggang dengan telefon. Yang kecil sekali (Puteri Nurul Akma, 3,) asyik merengek mahu ikut kakak-kakaknya (termasuk seorang lagi Nur Izzati Husna, 12)," katanya.

Beliau berkata beliau akan mengikut ibu mertuanya pulang ke Besut, Terengganu dalam waktu terdekat bagi menenangkan fikirannya.

Suraya pula meminta anggota masyarakat agar prihatin dengan keadaan orang lain dan persekitaran mereka bagi mengelak tidak berlaku perkara tidak diingini.

Dalam kejadian itu, mayat Noor Syafikah Nadia ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong pada 30 Nov manakala mayat Nur Izzati Husna dan Puteri Nurul Akma, ditemui di terusan Mada di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela pada 1 Disember.

Sebelum itu mereka dikatakan keluar rumah pada 29 Nov dengan menunggang motosikal kira-kira 7.30 malam. -- Bernama

Lesen memandu mangsa banjir hilang atau rosak diganti percuma

JPJ: Lesen memandu mangsa banjir hilang atau rosak diganti percuma

KUALA TERENGGANU:  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantikan lesen memandu mangsa banjir yang hilang atau rosak secara percuma.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad yang memberi jaminan itu berkata mangsa banjir bagaimanapun perlu membuat laporan polis terlebih dahulu dan membawa salinannya ke kaunter JPJ bagi mendapatkan lesen baharu.

"Itu adalah antara usaha JPJ yang prihatin dengan nasib malang mangsa banjir di negara ini dan diharap ia mampu melegakan sedikit kesusahan mereka," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan institute memandu di Batu Buruk di sini hari ini.

Biasanya, membaharui lesen memandu yang hilang dikenakan caj denda sebanyak RM20.

BERNAMA 

Pemandu Singapura anggap jalan raya Malaysia sebagai 'syurga' untuk berlumba

Tiga Lamborghini hangus di lebuh raya

KUALA LUMPUR: Meskipun kemalangan yang berlaku di KM260 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Seremban yang melibatkan tiga kereta Lamborghini berplat Singapura pada Jumaat, dianggap sebagai kes terpencil, ini bukanlah jaminan bahawa insiden yang serupa tidak boleh berlaku dan mengakibatkan impak yang besar kepada pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun menyifatkan kemalangan yang melibatkan kerugian yang dialami dalam kemalangan tersebut bernilai RM7.2 juta bukanlah sesuatu jumlah yang kecil tetapi ianya boleh berlaku sekali lagi jika pengguna jalan raya dari negara jiran itu mengambil sikap sambil lewa terhadap peraturan jalan raya di negara ini.

“Corak pemanduan antara negara Singapura dan Malaysia tidak mempunyai perbezaan kerana kedua-duanya mempunyai pemanduan stereng yang sama namun, sesetengah pemandu dari negara jiran itu terutamanya yang datang ke negeri Melaka menganggap jalan raya di negara ini sebagai ‘syurga’ bagi pemanduan mereka,” katanya ketika ditemubual oleh Astro AWANI.

Menurutnya lagi, mereka akan menggunakan keupayaan kereta mereka di jalan raya negara ini untuk menguji sejauh mana kepantasan dan kelajuan kereta mereka.

Ini berbalik kepada suasana jalan raya di sini yang cukup baik dan sempurna bagi mereka.

Malah, mereka juga mungkin memandang rendah penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara ini dan mengambil sikap tidak menghormati undang-undang di negara ini.

“Pada pendapat saya, marilah bersama-sama menghormati apa juga bentuk undang-undang supaya kita dapat menyelamatkan sekumpulan besar yang lain dari merasa runsing atau bimbang apabila berada di negara ini, lebih-lebih lagi di musim cuti persekolahan ini. Memandulah bukan sahaja dengan berhati-hati tetapi dengan hati untuk menghormati semua pihak yang lain,” katanya.

Tegasnya, di Malaysia, kempen-kempen keselamatan jalan raya tidak mengira latar belakang warganegara kerana impak kemalangan yang berlaku itu akan dirasai oleh semua pihak.

Kelmarin, tiga buah kereta mewah Lamborghini hangus terbakar dalam satu kemalangan di kilometer 260 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Seremban.

Kemalangan melibatkan kereta yang dipercayai milik warga Singapura sedang berkonvoi dari negara itu ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 pagi, tiga buah daripada lima kereta jenis Lamborghini dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lebuh raya.

Rempuhan itu menyebabkan berlaku kebakaran melibatkan ketiga-tiga buah kereta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, dua jentera bersama 14 anggota tiba kira-kira tujuh minit kemudian.

Kesemua pemandu dan penumpang bagaimanapun dilaporkan selamat.

Kerugian akibat kemalangan itu dianggarkan lebih RM7 juta.

ASTRO Awani