Friday 18 October 2013

Penampilan segak tapi penyamun

Penampilan segak tapi penyamun
Van rokok yang ditinggalkan kumpulan penyamun dalam kejadian samun di Pekan Razaki


IPOH - Sekumpulan lelaki memakai pakaian segak dan memandu kereta mewah merompak sebuah van rokok serta peti besi yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 dalam kejadian di Pekan Razaki, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Zulkefley Darus, 35, bersama rakannya Yusof, 30, sedang menghantar bekalan rokok ke kedai runcit dan restoran di sekitar kawasan berkenaan.

Zulkefley berkata, ketika kejadian mereka sedang memunggah stok rokok untuk dihantar ke kedai di kawasan tersebut sebelum didatangi tiga lelaki menaiki Toyota Alphard dan Proton Perdana.

“Kumpulan penjenayah itu  mengepung di depan dan belakang van untuk menyamun.

“Ketika kejadian saya sempat menjerit meminta tolong sebelum pelanggan di restoran berhampiran keluar melihat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya  seorang ahli kumpulan terbabit memberi amaran kepada orang awam supaya tidak masuk campur.

“Amaran itu menyebabkan pelanggan restoran tersebut tidak berani untuk menghulurkan bantuan.

“Malah ketika itu saya dipegang seorang daripada mereka, namun bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri dan berlari ke kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, tiga lelaki terbabit berjaya melarikan van dan menculik rakan sekerja sebelum melepaskannya kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian bersama kenderaan tersebut.

“Yusof memberitahu dia diculik dan dicampak dalam longkang berhampiran tangki air di kawasan taman ini.

“Saya bersyukur apabila rakannya yang diculik itu kembali ke lokasi kejadian kira-kira 30 minit selepas kejadian,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira lima minit itu,  semua kotak rokok, wang tunai hasil jualan dan telefon bimbit dilarikan penjenayah.

Pada masa sama suspek turut melarikan kunci van menyebabkan Yusof terpaksa menumpang motosikal ditunggang milik tauke kedai runcit berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan kejadian sama turut berlaku di Taman Sungai Raia, Simpang Pulai kira-kira dua minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Sumber

No comments:

Post a Comment