Saturday, 12 July 2014

Maritim tahan 4 lelaki Indonesia ceroboh perairan

PELABUHAN KLANG - Empat lelaki warga Indonesia termasuk seorang tekong bot gentian kaca ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika menceroboh masuk negara ini melalui perairan pantai Morib malam tadi.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Kapten Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata mereka ditahan kira-kira 11.40 malam dalam Ops Tumpas, yang dilancarkan 1 Julai lepas bagi membendung jenayah maritim di perairan negara pada musim perayaan ini.

Beliau berkata bot peronda Maritim yang menjalankan operasi di sekitar perairan Morib, mengesan sebuah bot gentian kaca berwarna biru berkelajuan 120 kuasa kuda dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya kira-kira satu batu nautika dari perairan itu. 

"Pada mulanya, bot Maritim menghampiri dan mengarahkan bot itu berhenti, namun tidak diendahkan malah ia dipecut laju menuju ke Pantai Morib," katanya dalam sidang media di pejabat Maritim Pelabuhan Utara di sini, hari ini.

Berikutan itu, Maritim mengejar bot tanpa plat pendaftaran itu kira-kira 15 minit sehingga ke pantai Morib.

Mohd Aliyas berkata berlaku pelanggaran antara bot Maritim dengan bot suspek ketika menahan bot itu menyebabkan tekong bot suspek cedera di tangan kanannya.

Dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang. 

"Siasatan awal mendapati kesemua lelaki itu berumur antara 30 dan 42 tahun, dan menuju ke perairan negara dari Pantai Dumai ataupun Pulau Bengkalis, Indonesia," katanya.

Mereka dibawa ke Jeti Daerah Maritim Klang untuk siasatan lanjut. Tekong bot yang mempunyai dokumen perjalanan sah disiasat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63, manakala tiga penumpang bot yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah pula disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. - Bernama

Pengurus ladang putus tangan kanan

Mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan tangan kanannya terputus.
Mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan tangan kanannya terputus.


GUA MUSANG - Seorang pengurus ladang putus tangan kanan setelah tercampak keluar dari kenderaan pacuan empat roda dipandunya selepas terbabas dalam kejadian kemalangan di Kilometer 41.9 Jalan Aring-Kuala Berang, di Felda Aring, jam 7.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mangsa, Hairul Naim Ab Muhid, 31, kini menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, mangsa yang bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sawit dalam perjalanan ke ladang di Aring.

“Ketika dalam perjalanan, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik beberapa kali menyebabkannya tercampak keluar.

“Tangan mangsa yang bergesel dengan dawai penghadang jalan terputus paras bahu dan ia turut dijumpai ada dekat situ,” katanya.

Saiful Bahri berkata, mangsa yang terbaring dalam keadaan separuh sedar ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.

“Kita masih menunggu laporan rasmi daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian 

Kanak-kanak maut digilis bas

Mangsa maut setelah dilanggar bas di Taman Perkasa, Hulu Langat, semalam. - Foto: Ihsan Facebook Daily Traffic Report.
Mangsa maut setelah dilanggar bas di Taman Perkasa, Hulu Langat, semalam. - Foto: Ihsan Facebook Daily Traffic Report.


HULU LANGAT - Keriangan seorang kanak-kanak perempuan yang baru pulang dari sekolahnya berakhir dengan insiden mengerikan apabila dia maut dilanggar bas di Taman Perkasa, di sini, semalam.

Ketua Trafik Kajang, Deputi Superintendan Zainudin Mahdi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Adriana Natasha Mazlan, 6, sedang menuruni bas yang dinaikinya ketika bas yang sama menggilis tubuhnya.

“Sedang mangsa menuruni bas, mangsa tiba-tiba dilanggar bas itu dan tergilis,” katanya.

Menurutnya mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Zainudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Kes ini sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987,” katanya.

Sinar Harian 

Palestin sudah bersiap sedia

Askar Israel menunggu 'lampu hijau' untuk melakukan serangan darat.
Askar Israel menunggu 'lampu hijau' untuk melakukan serangan darat.


GAZA- Palestin kini bersiap sedia menghadapi ancaman 40,000 tentera Zionis yang akan dilancarkan pada bila-bila masa melalui Operasi Perlindungan Sempadan.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengumumkan perkara itu dan meminta semua penduduk bersedia, lapor Press TV.

"Segala usaha saya untuk menamatkan keganasan gagal. Namun kami tidak akan putus asa mempertahankan tanah ini sungguh pun Israel terus mendesak supaya meninggalkan tanah ini.

"Kami tidak mempunyai senjata, tetapi kami akan tetap teguh mempertahankan negara ini. Jika Israel mempunyai peluru berpandu dan senjata, ini tidak bermakna kita akan menyerah diri,“ katanya.

Menurutnya, Palestin bersedia untuk melakukan gencatan senjata jika dipersetujui Israel tetapi hingga kini negara itu masih berdiam dan enggan berbincang sungguh pun mendapat nasihat dan teguran negara lain.

Semalam beliau meminta rakyat Palestin yang tinggal berhampiran sempadan dengan Israel supaya meninggalkan kediaman mereka dan bergerak menuju ke Genting Gaza.

Sinar Harian 

Israel tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata dia tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa untuk menghentikan serangan ke atas Hamas di Gaza



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata dia tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa untuk menghentikan serangan ke atas Hamas di Gaza.

“Tiada tekanan antarabangsa akan menghalang kita daripada menyerang pengganas yang menyerang kami,” katanya semasa satu sidang media di Kementerian Pertahanan di Tel Aviv pada Jumaat.

Netanyahu juga tidak menolak kemungkinan pencerobohan tanah di Gaza, selepas dilaporkan bahawa Israel telah mengumpulkan beribu-ribu tentera di sepanjang sempadan untuk operasi tanah.

“Kami sedang mengkaji setiap kemungkinan. Saya akan menamatkannya apabila matlamat kita tercapai. Matlamat utama ialah untuk memulihkan kedamaian dan ketenangan,” Netanyahu memberitahu AP.

Pada Jumaat, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menelefon Netanyahu untuk menyatakan kebimbangannya dan untuk menawarkan bantuan dalam menyelesaikan krisis tersebut.

Sementara itu, Mesir telah memainkan peranan pengantara semasa perjanjian gencatan senjata sebelum ini, tetapi usaha itu tidak berkesan, kata menteri luarnya.

Setiausaha Agung, Bangsa-Bangsa Bersatu Setiausaha Agung, Ban Ki-moon telah menyatakan kebimbangan mengenai angka kematian yang tinggi di Gaza.

Pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia Navi Pillay pula berkata serangan udara itu mungkin telah melanggar undang-undang antarabangsa yang melarang mensasar orang awam.

Walau bagaimanapun, Netanyahu berkata serangan udara itu hanya mensasarkan pihak tentera.

Setakat ini, kira-kira 112 orang telah terkorban di dalam siri serangan itu.


Agensi

Delhi bandar kedua paling padat di dunia selepas Tokyo

India mampu mempunyai penambahan paling tinggi dalam bilangan populasi urbannya pada 2050, mengatasi China. -AFP PHOTO/ Chandan KHANNA


KUALA LUMPUR: New Delhi menjadi Bandar kedua paling padat pada 2014 selepas Tokyo, mencatat populasi lebih dua kali ganda sejak 1990 kepada 25 juta, menurut laporan Press Trust of India (PTI) yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Semakan kajian Prospek Urbanisasi Dunia 2014 yang dilancarkan pada Khamis itu menunjukkan India mampu mempunyai penambahan paling tinggi dalam bilangan populasi urbannya pada 2050, mengatasi China.

Ibu negara India itu dijangka kekal memiliki kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia sehingga selewat-lewatnya 2030, apabila populasinya dianggarkan mencecah 36 juta.

Tokyo berada di ranking pertama dalam laporan kepadatan penduduk oleh PBB itu dengan 38 juta penduduk namun ia dijangka menurun, dan hanya akan kekal dengan gelaran itu sehingga 2030 dengan 37 juta penduduk.

Mumbai yang berada di kedudukan keenam pula dijangka akan menjadi negara keempat terpadat pada 2030 apabila jumlah populasinya mencecah 28 juta berbanding 21 juta sekarang.

Kedudukan Tokyo dan New Delhi pula diikuti Shanghai dengan 23 juta, serta Bandar Mexico, Mumbai dan Sao Paulo masing-masing dengan 21 juta penduduk pada 2014.

Laporan itu turut menyebut bahawa pertumbuhan bandar terbesar akan berlaku di India, China dan Nigeria antara 2014 dan 2015, dengan ketiga-tiga negara tersebut mempunyai 37 peratus anggaran penambahan penduduk bandar.

Menjelang 2050, India dianggarkan bakal mempunyai 404 juta penduduk bandar, jauh lebih daripada China yang mempunyai anggaran 292 juta sahaja.

Nigeria akan menambah 212 juta populasi bandar.

Kepadatan bandar di India buat masa ini ialah 410 juta orang dan ia akan bertambah menjadi 814 juta orang menjelang 2050.

China pula kini memiliki kepadatan bandar tertinggi dengan 758 juta.

India dan China menyumbang 30 peratus daripada jumlah penduduk bandar di dunia.

Dua gergasi Asia itu bersama Amerika Syarikat, Brazil, Indonesia, Jepun dan Rusia kini mempunyai jumlah gabungan penduduk meliputi separuh populasi dunia.

Lebih kurang 54 peratus populasi dunia kini tinggal di kawasan bandar dan jumlah ini dijangka akan meingkat sebanyak 66 peratus menjelang 2050, dengan penambahan maksima akan berlaku di kawasan bandar di Afrika dan Asia.

Populasi penduduk bandar kini menurut laporan PBB mencecah 3.9 billion, dan dijangka melonjak naik kepada 6.3 billion pada 2050.

Populasi luar bandar pula semakin bertambah secara perlahan sejak 1950 dan dijangka mencapai kemuncak dalam beberapa tahun.

Kira-kira 3.4 bilion orang kini tinggal di kawasan luar bandar di seluruh dunia.

Bernama

Luna Maya kekok dengan Aaron Aziz

Filem Tembus arahan Ahmad Idham menggandingkan Luna Maya, Aaron Aziz dan Nur Fazura


KUALA LUMPUR: Meskipun pada mulanya aktres cantik dari seberang Luna Maya kekok bergandingan dengan pelakon popular Aaron Aziz, namun itu tidak menghalangnya untuk menjiwai watak sebagai seorang psiko menerusi filem terbaru berjudul ‘Tembus’.

Ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem ‘Tembus’ bertempat di e@Curve pada Khamis malam, Luna mengakui agak sukar untuk mendapatkan keserasian di awal penggambaran memandangkan ini merupakan kali pertama berlakon bersama aktor itu.

“Saya belum pernah berlakon Aaron dan sebelum ini saya hanya dengar sahaja namanya tetapi saya tahu dia amat popular di Malaysia.

“Jadi disaat saya ditawarkan untuk berlakon filem ini dan dimaklumkan akan bergandingan bersama Aaron, mana mungkin saya menolak.

“Saya akui pada awal penggambaran agak sukar untuk kami mencari keserasian kerana kami tidak begitu saling mengenali.

“Tapi selepas berlakon beberapa kali semuanya berjalan dengan lancar, malah saya juga tiada masalah untuk menjiwai watak sebagai seorang psiko dalam filem ini,” katanya kepada media.

Dalam pada itu mengulas mengenai wataknya sebgai seorang Psiko dalam filem tersebut, Luna memberitahu dia ingin mencuba sesuatu yang baru kerana sebelum ini dia sering membawakan watak-watak sebagai seorang wanita yang baik.

“Filem ini sebuah filem yang hebat dan saya tertarik dengan watak yang diberikan kepada saya.

“Sebelum ini di Indonesia saya sering membawakan watak sebagai seorang wanita yang baik dan saya dah mula rasa bosan dengan karakter seperti itu.

“Jadi bila saya diberikan peluang keemasan seperti ini, tiada sebab untuk saya menolak… Kali ini memang sangat berbeza kerana saya akan menjadi seorang wanita Psiko yang tidak mahu melepaskan teman lelaki ke tangan perempuan lain,” ulasnya.

Tambah Luna lagi cara bekerja diantara produksi Malaysia dan Indonesia sangat berbeza dan berasa seronok kerana diberi peluang untuk menimba pengalaman baru di negara ini.

Filem yang diarahkan oleh pengarah Ahmad Idham ini dibintangi oleh Aaron Aziz, Nur Fazura, Luna Maya, Khir Rahman dan Mia Sara Nasuha.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Julai ini bersamaan dengan sambutan Aidilfitri.

‘Tembus’ mengisahkan tentang Hari (Aaron Aziz), seorang lelaki yang memegang tanggungjawab besar dalam mengotakan janji demi melihat keluarganya dilimpahi dengan kemewahan dengan mengizinkan Izza (Fazura) menguruskan syarikat.

Detik cemas bermula apabila anak mereka Zara (Mia Sara) diculik dan penculikan itu telah membongkar sedikit sebanyak konflik dalaman yang selama ini dirahsiakan oleh Hari.

Adakah Zara akan ditemui selamat atau menjadi mangsa keadaan kerana kisah silam bapanya? Mampukan Izza dan Hari menembusi benteng yang mereka bina atau menerima berita buruk akibat ketidakjujuran Hari? - Astro Gempak

Anak Linda Rafar menangis rindukan arwah Memen

Kesedihan Arriq turut dirasai lebih 11 ribu pengikut di laman Instagram Linda Rafar

Hari ini (Jumaat), genap tujuh hari pemergian anak bekas penyanyi kumpulan Elite, Linda Rafar Allahyarham Rezaiman Keifli ke Rahmatullah.

Kehilangan Rezaiman atau lebih mesra dengan panggilan Memen masih dirasai Linda dan seluruh ahli keluarga termasuk anak bongsunya Syed Arriq, 2.


Kira-kira 14 jam yang lalu, Linda telah memuat naik sebuah video dengan kapsyen “ArriqMissArwahAbgMemen” yang memaparkan anak bongsunya Syed Arriq yang tidak dapat menahan kesedihan kerana terlalu rindukan arwah abangnya, Memen.


Menerusi video tersebut, dapat dilihat Arriq dengan linangan air mata dan esak tangisnya menyebut perkataan “abang” dalam suara yang tersekat-sekat.

Kesedihan Arriq turut dirasai lebih 11 ribu pengikut di laman Instagram Linda dan telah mendapat 1,000 like ketika artikel ini ditulis.

Astro Gempak turut terkesan selepas menonton video berdurasi 15 saat itu dan terpanggil untuk berkongsi dengan anda semua.

Sebelum itu, sama-samalah kita sedekahkan A-Fatihah kepada arwah Memen dan semoga Linda serta keluarga tabah dengan dugaan ini -Astro Gempak