Thursday 18 December 2014

Tun M boleh hadir, tetapi kena ‘diam’

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya boleh hadir sebagai tetamu, namun tidak boleh memberikan pendapat sekiranya diadakan sidang Parlimen tergempar untuk memperincikan semula Bajet 2015 lalu.

Sumber dalaman Parlimen berkata, sidang Parlimen tidak mempunyai ruang perbahasan untuk orang luar selain ahli dewan.

“Beliau hadir sebagai bukan ahli dewan dan tidak mempunyai kuasa-kuasa sebagai ahli dewan seperti 222 ahli itu.

“Apa yang saya tahu, buat masa ini kalau hadir sebagai tetamu Parlimen boleh, tetapi berfungsi sebagai ahli dewan tidak boleh,” katanya semalam.


Menurutnya, terdapat ruang untuk memberikan pendapat tetapi ia sesi yang berlainan diuruskan oleh pihak Parlimen. 

“Jawatankuasa pilihan khas contohnya boleh digunakan untuk beri peluang sesiapa beri pendapat. Pihak parlimen ada satu jawatankuasa boleh menjemput orang bagi pandangan. Memang ada tapi itu dinamakan sesi pendengaran awam,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

“Takkan bini mu nak makan nasi tak boleh”

  • Tertuduh (tiga, kiri) keluar dari mahkamah selepas di hukum, hari ini.
  • Tertuduh (tiga, kiri) keluar dari mahkamah selepas di hukum, hari ini.

KOTA BHARU - Padah buat seorang penganggur kerana menampar mertua dan mengasari isterinya hanya kerana nasi, dia didenda RM3,000 oleh mahkamah majistret, di sini.

Tertuduh, Nik Mohd Luqman Abdullah, 23, mengaku salah dengan sengaja menyebabkan cedera kepada isterinya, Rosmanira Mahmood, 33, dengan menyepak, memukul dan menendang dengan kaki dan tangan sehingga kena di muka, tangan dan badan pengadu, Rabu lalu.

Tertuduh juga, mengaku menyebabkan cedera kepada ibu mertuanya, Rahana Mustapha, 57, dalam kejadian sama di sebuah rumah di hadapan Sekolah Kebangsaan Ketereh, di sini, pada jam 1.15 tengah hari itu.

Sebelumnya, pengadu menidurkan anak mereka yang berusia setahun lima bulan dan tertidur. Bangun dari tidur, pengadu pergi ke dapur untuk makan nasi tetapi dipanggil suaminya lalu pergi kepada suaminya di dalam bilik.

Tertuduh kemudian bertanya, “dia (pengadu) buat apa” dan pengadu memberitahu “dia hendak makan nasi,” namun suaminya berkata, “dia (tertuduh) sendiri belum makan nasi, tak kan isteri mahu makan dahulu”.

Ibu pengadu yang juga ibu mertua tertuduh yang berada di ruang tamu kemudian menyampuk, “takkan bini mu nak makan nasi tak boleh”, menyebabkan tertuduh meluru dan menampar muka wanita itu. Pengadu datang untuk leraikan keadaan, tetapi dia pula yang disepak, dipukul dan ditendang di kaki, tangan, muka dan badan.

Akibatnya, pengadu mengalami bengkak dan lebam di pipi dan sakit pada badan, manakala ibunya sakit di muka dan pecah serta berdarah di bibir. 

Pada prosiding itu, tertuduh mengaku tidak mempunyai wang untuk menjelaskan denda. Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan dari tarikh dia ditahan.

- Sumber: Sinar Harian 

Kondom bersepah di kuarters lama

  • Razali (kiri) bersama Syed Othman (kanan) menunjukkan kondom terpakai yang dibuang bersepah di dalam bangunan terbiar berkenaan.
  • Razali (kiri) bersama Syed Othman (kanan) menunjukkan kondom terpakai yang dibuang bersepah di dalam bangunan terbiar berkenaan.

PASIR GUDANG - Perasaan ingin tahu seorang penduduk berikutan kelibat beberapa pasangan remaja yang kerap mengunjungi bangunan tinggal di Jalan Sena kawasan Sungai Buluh, di sini membawa kepada penemuan mengejutkan.

Razali Ngah, 48, berkata, bangunan bekas kuarters kerajaan yang ditinggalkan sejak lebih 15 tahun lalu itu menjadi ‘port maksiat’ apabila menemui banyak kondom dan tisu terpakai bertaburan di beberapa bilik bangunan lima tingkat berkenaan.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila kebanyakan perempuan yang membonceng motosikal pasangan lelaki masing-masing yang masuk ke bangunan berkenaan lengkap bertudung.

“Saya mula sedar kawasan itu menjadi tumpuan setiap hari Ahad pada waktu pagi dan petang apabila ramai pasangan yang masuk ke kawasan lima blok bangunan tinggal berkenaan.

“Perasaan ingin tahu itu membuatkan saya sendirian ke lokasi dan sangat mengejutkan apabila menemui banyak kondom dan tisu bersepah di dalam beberapa bilik bangunan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Razali berkata, dia tidak menyangka bangunan terbiar yang terkenal sebagai lokasi panas yang menyeramkan itu boleh dijadikan ‘port’ tidak bermoral golongan muda.

Menurutnya, ia dibimbangkan boleh mendatangkan perkara yang tidak diingini sekiranya terus dibiarkan tanpa pemantauan daripada pihak bertanggungjawab.

“Saya nampak pasangan keluar masuk pada waktu siang sahaja, mungkin mereka takut nak datang pada waktu malam memandangkan kawasan ini terkenal sebagai lokasi ‘keras’.

“Saya mohon pihak bertanggungjawab dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi perkara ini daripada dibiarkan berterusan kerana banyak juga botol minuman keras ditemui,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan menghubungi pihak bertanggungjawab dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian bersama sama ada mengambil tindakan memasang pagar semula seperti dahulu atau meletak pengawal keselamatan.

“Tindakan ini boleh mengawal pasangan remaja menceroboh ke kawasan itu agar tidak berterusan dijadikan ‘port maksiat’,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian