Friday, 18 April 2014

Kebakaran: Bayi 9 bulan nyaris maut

Kebakaran
Azmi melihat keadaan rumahnya yang hangus dijilat api dalam kejadian pagi tadi


ALOR SETAR - Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan adalah antara lima ahli keluarga yang nyaris maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Sekolah, Alor Merah, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, dipercayai berpunca dari kebakaran di bahagian dapur dan ruang makan sebelum merebak ke seluruh rumah kayu itu.

Mangsa, Azmi Ishak, 68, berkata, ketika kejadian beliau bersama isteri dan anak serta menantu bersama bayi mereka berada dalam rumah sebelum menyedari berlaku kebakaran.

Menurutnya, kejadian itu disedari anaknya, Nor Azah, 27, yang keluar dari bilik selepas menidurkan anak perempuannya, Che Nur Ariana Che Wahizul Hafia, dan melihat api sedang marak di bahagian dapur rumah.

"Saya terkejut apabila anak menjerit dan bergegas menuju ke dapur... tapi tak dapat buat apa-apa sebab api sudah marak. Saya suruh dia (Nor Azah) bawa keluar anaknya dulu.

"Kemudian saya terus keluar ke rumah jiran minta tolong mereka hubungi bomba," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting selain menyuruh keluarganya keluar dari rumah.

"Banyak barang dalam rumah tak sempat saya selamatkan. Antaranya sebuah motosikal, sebuah mesin, peralatan membuat kuih milik isteri dan perabot.

"Apapun saya bersyukur kerana keluarga saya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang mendakwa kerugian kira-kira RM50,000.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Muhamad Mahayuddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.32 pagi dan sampai ke tempat kejadian pada 8.41 pagi.

Menurutnya, tiga jentera dengan 15 anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Kebakaran dapat dikawal pada jam 8.44 pagi dan berjaya menghalang api dari merebak ke rumah berhampiran.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan," katanya.

Sinar Harian 

Padah rogol gadis bawah umur

Padah rogol gadis bawah umur
Tertuduh, Muhammad Shafiq (kanan) keluar dari mahkamah selepas hukuman untuk melakukan khidmat masyarakat dijatuhkan kepadanya atas tuduhan merogol gadis bawah umur, semalam.


KUANTAN – Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam mendapati seorang peniaga makanan di ibu negara, Muhammad Shafiq Basiar, 21, bersalah kerana merogol seorang gadis di bawah umur, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin telah memerintahkan tertuduh menerima hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam iaitu kira-kira tiga bulan dan sekiranya tidak mematuhinya tindakan susulan akan dikenakan memandangkan ketika kejadian tertuduh masih muda serta tidak mengikut akal fikiran waras kerana masih berusia 15 tahun.

Kemesraan yang terjalin semenjak di bangku sekolah rendah, akhirnya telah memakan diri tertuduh apabila melakukan perkara tersebut di dalam bilik tidur rumah mangsa di Jalan Pahlawan, Kota Perdana, Paloh Hinai, Pekan pada 15 Disember 2008 lebih kurang jam 12.30 tengah malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian yang pertama iaitu pada 15 Disember 2008 berlaku ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah, namun seterusnya kejadian disedari penduduk setempat yang menangkap tertuduh pada 10 Januari 2009 lebih kurang jam 5 petang kerana berkhalwat bersama mangsa yang pada ketika itu berumur 15 tahun 7 bulan.

Susulan kejadian tersebut mangsa dibawa ke Hospital Pekan, seterusnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan pada 13 Januari 2009 untuk pemeriksaan fizikal dan pihak doktor mendapati ada kesan yang menunjukkan mangsa dirogol.

Namun begitu, sebelum hukuman dijatuhkan hakim sempat mengingatkan sekali gus menasihatkan tertuduh bahawa kesalahan yang dilakukan bukan sahaja salah di sisi udang-undang malah paling penting agama dan juga moral.

Menurutnya, kejadian seumpama ini tidak perlu diulangi lagi dan tertuduh harus menjadi seorang lelaki baik memandangkan mempunyai masa depan yang masih panjang serta suatu hari nanti pasti menjadi seorang ayah dan datuk kepada anak atau cucu perempuan.

Dengan itu juga, tertuduh telah mula insaf dan bertaubat serta memohon agar hukumannya diringankan kerana terlalu menyesali kesilapan lampau yang dilakukannya.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Saifuldin Abdul Rahman.

Sinar Harian 

Rutuhan salji di Gunung Everest: Lima pendaki dikhuatiri hilang

Gunung Everest merupakan gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian setinggi 8,850 meter. -Foto AFP

KATMANDU: Lima orang pendaki dikhuatiri hilang selepas runtuhan salji melanda lereng Gunung Everest.

Runtuhan sajli itu dilaporkan melanda laluan yang biasa digunakan pendaki untuk ke puncak tertinggi dunia itu.

Menurut pegawai Kementerian Pelancongan Nepal, Madhu Sudan Burlakoti, runtuhan sajli itu melanda kawasan Camp 2 kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat. Pasukan penyelamat dan rakan-rakan pendaki itu sedang bergegas ke kawasan yang dilanda salji itu untuk membantu mangsa. Sebuah helikopter penyelamat juga telah dikerahkan.

Seorang pendaki daripada Persatuan Pendaki Gunung Nepal, Ang Tshering berkata, lima orang pendaki dipercayai tertimbus oleh salji manakala beberapa yang lain tercedera.

Beratus-ratus pendaki dan pemandu mereka telah berkumpul di kem induk sebelum mereka mendaki gunung setinggi 8,850 meter itu awal bulan depan apabila keadaan cuaca menggalakkan.

Astro Awani

Najib ucap takziah pemergian isteri Adun Paloh

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan takziah kepada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh Datuk Norzula Mat Diah atas kematian isterinya selepas mereka sekeluarga terbabit
dalam kemalangan jalan raya semalam.

Perdana menteri turut mendoakan Norzula segera sembuh dan tabah dalam menghadapi dugaan itu.

"Takziah kepada YB ADUN Paloh Datuk Paduka Nozula Mat Diah atas pemergian isteri. Semoga cepat sembuh dan tabah hadapi dugaan ini," katanya dalam catatan di laman Twitter.

Takziah kepada YB ADUN Paloh Datuk Paduka Nozula Mat Diah atas pemergian isteri. Semoga cepat sembuh dan tabah hadapi dugaan ini.
— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) April 18, 2014


Datin Maziah Din maut dalamkemalangan di Km23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai apabila kenderaan yang dipandu anak perempuan pasangan itu terbabas akibat jalan licin dan merempuh tebing bukit sebelum jatuh ke dalam longkang dalam kejadian 6.30 petang semalam.

Selain Norzula dan anak perempuannya, dua lagi anak pasangan itu serta seorang anak saudara berumur setahun lapan bulan yang turut berada dalam kenderaan itu, juga selamat.

Mereka dalam perjalanan dari Kelantan ke Ipoh ketika kemalangan itu berlaku.

Bernama

Pemandu lori terkejut dan tidak sedar Karpal berada dalam kereta


IPOH: "Bunyi dentuman kuat di belakang lori dan suara orang menjerit telah mengejutkan saya," demikian menurut pemandu lori Abu Mansor Mohd, yang kenderaannya terlibat dengan kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, awal hari ini.

Kemalangan pada 1.10 pagi itu, mengakibatkan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius maut di tempat kejadian.

Ekoran itu, Abu Mansor, 45, berkata dia memberhentikan kenderaannya dan melihat kenderaan serba guna (MPV) yang dinaiki lima penumpang melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan.

"Keluar dari lori, saya terkejut setelah melihat MPV itu rosak teruk dan terdapat mangsa yang cedera," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Abu Mansor berkata pada mulanya dia tidak mengetahui seorang daripada lima mangsa yang berada di dalam kenderaan itu adalah bekas Pengerusi DAP.

"Orang ramai yang berhenti di tepi jalan untuk melihat kejadian itu memberitahu saya Karpal Singh berada di dalam kenderaan itu," katanya.

Menurut Abu Mansor, dia memandu perlahan di bahagian kiri jalan ekoran keadaan jalan yang berbukit.
Berasal dari Petaling Jaya, pemandu lori itu berkata dia sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barang antaranya simen serta mozek dan turut disertai isterinya Nur Azlina Ahmad, 23, serta seorang kanak-kanak Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Anak lelaki ahli politik veteran itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV C. Selvam, 27, seorang warga India tidak mengalami kecederaan.

Abu Mansor pula hanya cedera ringan manakala dua penumpang lain tidak cedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata saringan awal ujian air kencing bagi mengesan dadah dibuat ke atas Abu Mansor selepas polis mengambil keterangan daripadanya.

"Bagaimanapun, Abu Mansor dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi.

Menurut Ng, ujian makmal akan dilakukan bagi mempoleh keputusan lebih tepat.

Beliau berkata polis juga akan menjalankan saringan ujian air kencing terhadap Selvam, dalam masa terdekat.

Seorang lagi saksi Annas Kamaluddin, 38, berkata dia bersama majikannya yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh tidak menyangka mangsa kemalangan itu adalah Karpal Singh.

"Saya nampak kenderaan dari arah bertentangan memberi lampu tinggi dan saya memperlahankan kenderaan sehingga tiba di tempat kejadian, ketika itu saya nampak sebuah kereta Alphard berwarna putih dalam keadaan melintang di tengah-tengah jalan raya," katanya.

Annas yang merupakan pekerja swasta berkata majikannya kemudian menghubungi talian kecemasan setelah melihat seorang mangsa terbaring di atas jalan raya dan beberapa mangsa lain tersepit di dalam kenderaan MPV itu.

Dalam jarak kira-kira 30 meter dari kenderaan itu, dia juga ternampak sebuah lori dengan kesan kemalangan di bahagian belakangnya, katanya.

"Kami menunggu sehingga polis bantuan tiba dan sementara itu kami cuba membantu melancarkan lalu lintas, suasana gelap, kami dibantu dengan sedikit lampu kenderaan," katanya.


BERNAMA 


Hari ini usaha mencari pesawat memasuki hari ke 42

Usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dipergiatkan. -Gambar Fail


PERTH: Usaha mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia MH370, yang hilang sejak 8 Mac lalu memasuki hari ke 42.

Hari ini usaha dipergiatkan dengan 23 aset digembleng untuk operasi itu termasuk 11 pesawat tentera dan 12 kapal digerakkan.

Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), kawasan pencarian meliputi keluasan 51,870 kilometer persegi yang tertumpu kepada tiga kawasan.

Kenderaan dasar laut AUV Bluefin-21 dari kapal tentera Australia Ocean Shield telah melengkapkan satu lagi misi dan ia akan dikerahkan semula hari ini.

Setakat ini, pencarian kenderaan Bluefin-21 telah meliputi kira-kira110 kilometer persegi. Maklumat yang telah dianalisa oleh pasukan penyiasat setakat ini tidak menghasilkan sebarang penunjuk positif.

Cuaca dijangka hujan di sesetengah kawasan.

Astro Awani, 18 April 2014

Empat parti komponen BN bantah rancangan hudud PAS

Gambar fail

KUALA LUMPUR: Empat parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, Gerakan, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) hari ini sebulat suara menegaskan bantahan mereka terhadap rancangan PAS melaksanakan hukum hudud.

Dalam sidang media bersama di Wisma MCA di sini, pemimpin keempat-empat parti itu berkata langkah tersebut tidak mengikut perlembagaan dan akan menjejaskan masa depan negara.

Mereka mengingatkan langkah itu jika diluluskan, akan mendorong PAS menuntut pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan hudud di peringkat negara.

"Jika sistem kehakiman mempunyai dua set undang-undang jenayah, ia akan mencetuskan kekalutan (imbroglio) perlembagaan. Ringkasnya, tidak boleh berpatah balik lagi," kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika membaca kenyataan bersama mengenai isu itu.

Turut hadir ialah Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Naib Presiden LDP Chin Shu Ying.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebelum ini mengumumkan PAS Kelantan akan membawa usul di Parlimen, seawal-awalnya Jun ini, bagi memohon kebenaran melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu.

Walaupun hanya mempunyai sembilan wakil di Parlimen (MCA tujuh dan masing-masing seorang daripada Gerakan dan SUPP), pemimpin keempat-empat parti itu berkata mereka akan melakukan segala yang terdaya bagi menghalang perkara berkenaan.

Liow berkata DAP yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan pembangkang sepatutnya memainkan peranan menghentikan PAS daripada meneruskan rancangannya.

"Jika mereka tidak boleh berbuat demikian, saya fikir mereka wajar meninggalkan pakatan pembangkang," katanya.

Astro Awani 

Motosikal dari bahan terpakai

Motosikal dari bahan terpakai
Mat Te menunjukkan motosikal buatan sendiri yang dihasilkannya dan diberi nama 'Mat Tie'.


GUA MUSANG - Ilmu yang diperoleh semasa mengikuti kursus di Pusat Giat Mara Chiku 5, empat tahun lalu tidak disia-siakan seorang peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, dekat sini, apabila berjaya menghasilkan sebuah motosikal buatan sendiri.

Mat Te Mat Sin, 46, berjaya menyiapkan motosikal berkenaan dalam masa hampir sebulan dengan menggunakan pelbagai komponen terbuang di samping membelanjakan RM2,500 untuk membeli alat ganti bersesuaian.

Ketika ditemui di RKT Kesedar, Mat Te berkata, idea untuk menghasilkan motosikal itu timbul apabila dia melihat banyak komponen dibuang begitu sahaja di sekitar tanah rancangan berkenaan lalu berusaha mengumpulnya.

"Saya ingin buktikan ilmu diperoleh daripada kursus di Pusat Giat Mara pada 2010 lalu mampu membawa perubahan diri saya ke arah lebih kreatif dengan menghasilkan sebuah motosikal yang ada nilai kreativiti tersendiri.

"Apa yang saya lakukan ini bukan untuk kebanggaan diri, tetapi lebih kepada ilmu, berikutan pengajian di Pusat Giat Mara boleh dikatakan berada pada tahap membanggakan," katanya.

Menurutnya, hampir keseluruhan rangka motosikal dibuat menggunakan batang paip besi, manakala tangkinya dibuat daripada zink manakala enjin motosikal pula diambil daripada motosikal jenis Honda C70 yang tidak boleh digunakan lagi.

Mat Te mengakui, bukan perkara mudah untuk menghasilkan sebuah motosikal yang lengkap dan sepanjang menyiapkan motosikal tersebut, dia sentiasa memikirkan untuk membuktikan kemampuan dirinya.

"Syukur kepada ALLAH SWT kerana apa yang saya lakukan ini sudah berjaya dan motosikal tersebut adalah untuk kegunaan sendiri di sekitar tanah rancangan ini kerana memang sukar untuk didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan cukai jalan.

"Motosikal ini saya namakan 'Mat Tie'. Sekarang, sudah ramai penduduk sekitar tanah rancangan ini telah cuba menunggangnya untuk mengelilingi kampung dan mereka dapati tiada masalah termasuk kerosakan," katanya.

Sinar Harian 

Khalid, jangan sombong sangat...

Khalid, jangan sombong sangat...

SEREMBAN – "Jangan sombong sangat. Kalau tak nak, tak mengapa," kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menolak tawaran negeri itu untuk menjual 20 juta gelen air sehari kepada Selangor dalam usaha membantu menangani krisis air di negeri itu.

Menurut Mohamad, Negeri Sembilan tidak rugi apa-apa sekiranya Selangor enggan menerima tawaran itu, cuma beliau kasihan melihat rakyat Selangor terpaksa berdepan krisis air yang semakin meruncing.

"Kalau tak hendak tak apa, tapi jangan cakap air yang kita tawarkan itu terlalu sedikit. Fikir dulu sebelum bercakap.

“Saya bagi tahu ini pun atas dasar kemanusiaan, memandangkan rakyat di negeri itu terpaksa angkat baldi dan menunggu air di tepi jalan. Kata negeri maju, takkanlah rakyat terpaksa angkat baldi untuk dapatkan air," katanya.

Menurutnya, setakat ini Negeri Sembilan ada kelebihan 20 juta gelen air dan boleh diberikan kepada mana-mana negeri yang memerlukannya.

“Saya boleh beri apa yang kita ada. Setakat ini kita ada lebihan 20 juta gelen, kalau tidak dapat liputi seluruh negeri Selangor, sekurang-kurangnya bekalan air itu boleh tampung di mana-mana tempat terdesak, misalnya Shah Alam, Subang atau mana-mana daerah difikirkan perlu," katanya di sini, semalam.

Mohamad berkata, beliau hanya mahu membantu setakat yang mampu dan bukan menyelesaikan masalah air di negeri itu secara keseluruhan.

“Tapi kalau dia sombong sangat, tak kisahlah. Saya pun bukannya terhegeh-hegeh suruh dia beli. Lepas ini kalau dia melutut minta bantuan, saya tak akan bagi dan tidak akan layan. Pintu hati saya sudah tertutup," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kenyataan Mohamad berhubung kesediaan Negeri Sembilan menjualkan air bersih kepada Selangor dan Wilayah Persekutuan sekiranya bekalan tersebut benar-benar diperlukan kedua-dua negeri berkenaan.

Menurut Mohamad, kerajaan Negeri Sembilan sedia menjual air terawat maksimum 20 juta gelen sehari yang diperolehi daripada Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi.

Bagaimanapun, tawaran Mohamad itu dibalas dengan kenyataan Abdul Khalid yang menyifatkan jumlah 20 juta gelen itu sangat sedikit untuk menyelesaikan krisis air di Selangor.

“Jumlah 20 juta gelen air itu sangat sikit. Jadi tak payahlah,” katanya.

Sinar Harian 

Feri karam: Mangsa hantar mesej menyayat hati

Feri karam, ratusan masih hilang
Unit polis udara memberi bantuan sejurus menerima panggilan kecemasan.


SEOUL - KOREA SELATAN . Keluarga penumpang feri yang karam di Korea Selatan menerima mesej menyayat hati daripada anak-anak mereka yang masih terperangkap di dalamnya.

Memetik laporan ABC News, salah seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun yang hanya dikenali menerusi nama terakhirnya, Shin telah menghantar mesej kepada bapanya.

“Ayah, jangan risau. Saya ada jaket keselamatan dan kami berpaut satu sama lain,” tulis Shin seperti yang dilaporkan agensi berita Korea, MBC News.

Kemudian, bapanya membalas, “Ayah tahu pasukan penyelamat dalam perjalanan tapi cuba cari jalan keluar jika boleh.”

“Ayah, saya tak boleh keluar. Koridor penuh dengan orang dan ia terlalu condong,” beritahu Shin lagi.

Dalam perkembangan lain, seorang pelajar lelaki menghantar pesanan kepada ibunya yang tidak tahu bahawa feri itu karam.

“Ibu, saya mungkin tak sempat nak beritahu yang saya sayangkan ibu,” tulisnya.

“Ibu juga. Ibu sayang kamu,” balas ibunya diikuti tiga simbol hati.

Namun, pelajar itu antara 179 yang dilaporkan terselamat, lapor MBC.

Sementara seorang lagi keluarga memberitahu telah menerima pesanan yang berbunyi, ‘saya hidup’ daripada salah seorang penumpang namun ia tidak pasti sama ada penumpang itu sudah diselamatkan atau belum.

Salah seorang penumpang terselamat berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman dan feri mula condong dan terdengar pengumuman dibuat agar penumpang kekal di tempat masing-masing.

“Beg-beg mula jatuh dan kami semua tertanya-tanya apa yang berlaku tapi pengumuman itu meminta kami kekal di tempat kami, jadi kami ikut arahan.

“Feri mula condong secara tiba-tiba dan semua orang menggelongsor ke bawah dari atas. Saya berpaut pada susur tapi kemudian saya dilanggar seseorang yang jatuh dari atas dan saya turut tertolak ke bawah,” kata Young-Ja Shin.

Seorang penumpang berusia 50 tahun, Eun-Bok Jang berkata dalam kejadian itu dia tidak mampu bernafas.

“Ia ambil masa 10 saat untuk condong sepenuhnya dan saya mula menggelongsor ke hujung.

“Saya dilanggar dan kemudiannya saya tidak dapat bernafas,” katanya.

Menurutnya, suasana dalam feri itu semakin kecoh apabila semua barang-barang seperti peti ais mula jatuh.

Berdasarkan cerita penumpang terselamat lain, apabila air mula memasuki feri itu, ramai penumpang yang memakai jaket keselamatan dan keluar menyelamatkan diri.

Difahamkan menurut laporan Reuters, feri terbabit membawa 325 pelajar menuju Pulau Jeju sebelum memberikan isyarat kecemasan pada 8.58 pagi waktu tempatan iaitu ketika belayar sekitar 20 kilometer dari Pulau Byeongpoong.

Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang dan beberapa helikopter dikerahkan dalam operasi menyelamat itu.

Sinar Harian 

Adun Paloh cedera, isteri maut

Nozula Mat Diah
Gambar kiri: Kenderaan Nozula yang rosak teruk dalam kemalangan yang mengorbankan isteri beliau. Gambar kanan: Keadaan Nozula yang cedera akibat kemalangan petang tadi.


IPOH - Isteri Adun Paloh, Kelantan, Datin Maziah Din disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan di Kilometer 23, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, lewat petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, turut menyebabkan, Datuk Nozula Mat Diah cedera setelah kereta dinaiki mereka terbabas.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kereta jenis Nissan Murano dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke arah Simpang Pulai hilang kawalan sebelum melanggar tebing bukit.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, insiden berlaku akibat permukaan jalan yang licin.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital, sementara Nozula yang memandu kereta kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam keadaan stabil,” katanya.

Bandar selamat Singapura: Airbus Defence guna CCTV

SINGAPURA - Airbus Defence and Space telah memasang penyelesaian kamera litar tertutup (CCTV) pada kenderaan sebagai sebahagian daripada Medan Ujian Bandar Selamat Singapura.

Airbus dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyelesaian itu meningkatkan tahap pengawasan situasi agensi-agensi kerajaan yang mempunyai akses fleksibel ke kawasan-kawasan tertentu dan mereka yang mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah.

Penyelesaian itu menyediakan aset yang boleh diatur gerak dengan pantas untuk menyalurkan maklumat perisikan yang berharga bertujuan menyokong pelbagai operasi taktikal atau strategik.

"Video yang dirakam daripada kenderaan ini akan dihantar dalam masa nyata," katanya.

Pengarah Urusan Airbus Defence and Space di Singapura Johan Pelissier berkata, penyelesaian itu adalah hasil daripada kejuruteraan terkini menggunaka teknologi termaju dan menunjukkan bagaimana keperluan operasi dapat diatasi.

Menurut Airbus Defence, projek Medan Ujian itu termasuklah pembangunan dan ujian sebenar teknologi inovatif dan analisis yang lebih canggih seperti kandungan video, pengesanan elektronik dan sensor perbandaran pintar.

"Ini akan memberikan tambahan risikan dan faedah operasi kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti polis dan pasukan pertahanan awam dan termasuklah pengangkutan awam bandar, alam sekitar dan agensi utiliti dengan objektif untuk memastikan Singapura selamat dan terjamin," katanya. - Bernama