Friday, 11 July 2014

Pelajar 'Gadis Pailang' diperintah jalani pemulihan di Sekolah Tunas Bakti


Tiga pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini terpaksa melupakan hasrat untuk berhari raya bersama keluarga apabila Mahkamah Majistret di sini memerintahkan mereka menjalani pemulihan di tiga Sekolah Tunas Bakti berasingan selama dua tahun berkuatkuasa hari ini.


Majistret Zulhairil Sulaiman memerintahkan ketiga-tiga tertuduh berusia 16 tahun itu dihantar ke Sekolah Tunas Bakti di Terengganu, Melaka dan Miri.

Ketiga-tiga tertuduh diarah ditempatkan sementara di Taman Seri Puteri Kuching sebelum dihantar ke Sekolah Tunas Bakti.

Zulhairil mengeluarkan perintah itu di dalam kamarnya, selepas mereka mengaku bersalah pada 23 Jun lepas menyebabkan kecederaan dengan sengaja ke atas seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah yang sama pada 9.40 pagi, 25 April lepas.

Tindakan mereka membelasah mangsa dimuat naik di YouTube.






Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nornisla Abd Latif, manakala ketiga-tiga pelajar berkenaan tidak diwakili peguam.

-- ASTRO Awani 

Kes bunuh peragawati Estonia, dua lagi suspek ditahan

HASNAN: Suspek yang ditahan adalah seorang lelaki Melayu berumur 27 tahun dan seorang lelaki Serani berumur 30 tahun.


KUALA LUMPUR: Polis menahan dua suspek lelaki di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Mersing pada 10 Julai berhubung kes bunuh model Estonia Regina Soosalu.

Regina ditemui mati di Pulau Rawa Johor awal bulan ini.

Suspek yang ditahan adalah seorang lelaki Melayu berumur 27 tahun dan seorang lelaki Serani berumur 30 tahun dari Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC Dato' Hasnan Hassan, kedua dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk direman.

Ini menjadikan jumlah suspek yang ditahan setakat ini untuk siasatan adalah tujuh orang.

Sebelum ini peragawati itu dikatakan lemas, namun polis menemui kesan luka pada tubuhnya dan kes ini disiasat sebagai pembunuhan.

Astro Awani 

Rakyat Israel guna aplikasi telefon pintar untuk kesan roket Hamas

Penduduk Isreal kini beralih kepada teknologi telefon pintar untuk mengenalpasti dan mengesan roket-roket yang dilancarkan oleh pihak Hamas.


KUALA LUMPUR: Rakyat Isreal kini beralih kepada teknologi telefon pintar untuk mengenalpasti dan mengesan roket-roket yang dilancarkan oleh pihak Hamas terhadap negara mereka.

The Washington Post melaporkan setelah masuk hari ketiga serangan itu berlaku, lebih setengah juta penduduk Israel telah memuat turun aplikasi ‘Red Alert’ yang memberi amaran secara masa sebenar (real time).

Di samping menyediakan kod isyarat merah berterusan, aplikasi itu juga mempunyai elemen media sosial yang membolehkan pengguna untuk berkongsi maklumat tentang setiap serangan roket.

Sejak bermulanya serangan itu, lebih 300 roket telah dilancarkan ke atas Israel dan ini membuatkan rakyat Israel lari bertempiaran mencari tempat perlindungan daripada dibom.

Selain ‘Red Alert, BBC melaporkan terdapat juga aplikasi ‘Yo’ yang memberi pengguna notifikasi ‘Red Alert’ tentang serangan roket.

Ramai pengguna aplikasi-aplikasi tersebut berkata walaupun siren dan siaran radio dan televisyen Israel ditangguhkan untuk membuat pengumuman mengenai roket yang dilancarkan, aplikasi telefon pintar tersebut memberikan perasaan ‘selamat’.

“Ia memberi kami perasaan terkawal di dalam situasi yang tiada kawalan. I a amat berguna terutamanya pada waktu malam kerana orang bimbang mereka tidak akan mendengar siren sewaktu mereka tidur,” kata wartawan Debra Kamim yang tinggal di Tel Aviv.

Pencipta aplikasi ‘Red Alert’ Ari Sprung dan Kobi Snir berkata, ia dicipta untuk pengguna di selatan Israel tetapi lebih 50,000 orang dari Amerika Syarikat turut memuat turun aplikasi tersebut.

“Saya tak tahu sama ada ia sedang menyelamatkan nyawa atau tidak, tetapi ia adalah satu alat yang bagus untuk mengetahui apa yang berlaku dalam masa sebenar,” katanya. - ASTRO Awani 

Azwan Ali dibayar Astro ‘bikin panas’ MasterChef

Azwan Ali

AZWAN Ali hari ini mendedahkan bahawa dirinya dibayar oleh pihak Astro untuk mencetuskan suasana panas dan kecoh ketika beliau menjadi salah seorang peserta MasterChef musim kedua.

Azwan Ali berkata, bagi tugasan tersebut beliau dibayar ribuan ringgit, hanya untuk ‘memaki hamun’ peserta lain.

“Sudah 25 tahun saya jadi artis. ALLAH itu Maha Mengatur semuanya. Saya pernah naik, saya pernah jatuh. Tapi di saat saya jatuh, saya tak terduduk. Orang saja anggap yang saya terduduk. Saya tahu pada ketika itu, musuh-musuh saya semua bertepuk tangan.

“Tapi hakikatnya orang tak tahu yang rezeki saya tidak pernah putus. Bila agak lama saya tidak muncul di mana-mana program TV, orang bertanya pada saya, “Kau dah lama tak keluar tv. takde ‘job ‘eh, kau buat apa? Memang itu soalan yang berbisa untuk saya telan.

“Saya akui saya memang pernah tidak dapat apa-apa tawaran. Tapi ALLAH Maha Kaya. Pihak Astro pernah tawarkan saya tugas memaki hamun para peserta MasterChef Selebrti untuk musim dua tahun lepas. Untuk’ job’ itu saja, saya dibayar ribuan ringgit,” katanya pada Sidang Media Program-program Astro Sempena Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bertempat di hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Jelas Azwan lagi, beliau tidak kisah dengan pandangan orang ramai yang tidak menyukai caranya dan cuba menjatuhkannya.

“Pihak Astro siap bagi saya Astro On The Go lagi. Saya tak perlu susah-susah nak ke Astro, nak keluar TV. Saya duduk rumah jer, duit masuk. Malah program-program saya seperti Sembang Teh Tarik mendapat rating yang tinggi.

“Jadi saya tak kisah, kalau orang tak suka, benci dan menyampah dengan saya, saya tak peduli semua itu,” katanya.

Terdahulu baru-baru ini menerusi laman Twitternya Azwan Ali pernah mencetuskan kontroversi di mana beliau telah menulis yang berbunyi, "juadah yang dibelinya di bazar Ramadan kebanyakan rasa macam sampah".

Hinaan itu, telah membangkitkan kemarahan di kalangan perniaga bazar. Malah mendapat kecaman orang ramai.

Sinar Harian 

Saksi: Kepala Norazita pecah

Arzanna dan Kwek Chuwn Hui
Arzanna dan Kwek Chuwn Hui

SHAH ALAM - “Saya ingat saya yang kena tembak,” kata saksi pendakwaan kes bunuh kakitangan Ambank cawangan USJ Sentral, Norazita Abu Talib, 37, yang mati ditembak, tahun lalu.

Ketua Perkhidmatan Ambank cawangan itu, Arzanna Abdullah, 43, berkata, pada hari kejadian, dia dan Norazita sedang memasukkan wang kutipan di dalam bilik simpanan duit sebelum berlakunya insiden tersebut.

Saksi memberitahu pengawal keselamatan, Ardi Hamzah, menariknya keluar dari bilik itu sebelum seorang rakan sekerja datang menariknya ke bilik operasi.

Melalui bilik operasi, katanya, dia ternampak Ardi meluru ke bilik simpanan duit dan mencangkung di depan pintu besi, sebelum pengawal keselamatan itu keluar dari pintu depan, membawa beg.

Apabila tertuduh pergi, saksi memberitahu dia meminta bantuan daripada dua rakan sekerja yang lain untuk melihat Norazita.

“Saya syak dia (Norazita) kena tembak kerana mereka tengok kepalanya pecah,” katanya.

Menurutnya, dia dengan segera menghubungi ketuanya, Alice Wong untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Beliau sekali lagi menghubungi pihak atasan untuk memaklumkan insiden itu sebelum polis datang dan mengambil keterangannya.

“Sekitar jam 6 petang, sebelum memasukkan duit, dia berdiri di tepi pintu dan bertanyakan pukul berapa saya masukkan wang.

“Saya hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah bertanyakan perihal itu dan saya jawab tidak pasti,” katanya pada sesi pemeriksaan utama oleh Ketua Pendakwa Negeri Selangor, Mohd Azari Haron.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Assisten Superintendan Kwek Chuwn Hui, 34, memberitahu, salinan kad pengenalan milik Ardi yang diperolehi daripada penyelia syarikat keselamatan itu telah dianalisa oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun salinan kad pengenalan itu palsu.

Menurutnya, selain salinan kad pengenalan milik Ardi, turut dianalisa adalah kesan cap jari pada dokumen asal pembukaan akaun dan pasport sah La Ode Ardi Rasila.

“Hasil analisa mendapati, kesan cap jari itu adalah merujuk kepada orang yang sama iaitu La Ode Ardi Rasila,” katanya.

Menjawab pertanyaan Mohd Azari, Chuwn Hui, membuat pengecaman bahawa Ardi adalah La Ode yang berada di kandang tertuduh.

La Ode, 37, dituduh membunuh Norazita antara jam 6 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Asyraf Md Kamal turut bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya bersama Mohd Azari Haron, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia.

Sinar Harian 

Hannah Yeoh nafi peluk Islam

Status di facebok yang mendakwa Hannah memeluk Islam dan mengagumi hukum hudud.
Status di facebok yang mendakwa Hannah memeluk Islam dan mengagumi hukum hudud.


SUBANG JAYA -"Saya menganut agama Kristian dan tak pernah memeluk Islam,” tegas Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menafikan dakwaan kononnya beliau memeluk Islam.

Menurutnya, beliau berkata, ada pihak menuduhnya sedemikian mungkin kerana melihatnya berbaju kurung dan mengenakan selendang setiap kali dijemput ke majlis buka puasa di surau dan masjid.

Katanya, dia langsung tidak tahu menahu mengenai perkara ini dan siapa yang mendakwanya sedemikian, beliau akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tidak berasas.

Semalam kecoh di laman sosial milik individu dikenali Ustaz Hisham yang meminta mana-mana pihak mengesahkan dakwaan Hannah Yeoh menyatakan keinginan mahu memeluk Islam.

Kenyataan dipaparkan bersama gambar Hannah Yeoh bermesra dengan penduduk itu berbunyi ’setelah beramah mesra bersama umat Islam di SS13, Speaker Selangor, Hannah Yeoh menyuarakan keinginannya untuk memeluk agama Islam dan meluahkan kekagumannya kepada hukum hudud.'

Status dihantar jam 11.54 malam turut tertera nama Farhanah Yeoh di atas kenyataan tersebut.

Sinar Harian 

Medan selera 1Utama terbakar

Salah satu gambar yang dimuat naik di Twitter yang menunjukkan kepulan asap di Tingkat Dua di 1Utama New Wing.

KUALA LUMPUR: Sebuah dapur gerai di medan selera Food Republic di Kompleks Membeli Belah 1Utama di Bandar Utama terbakar awal pagi tadi.

Kebakaran melibatkan dapur di bahagian penyedut asap berkeluasan 2x3 meter. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.34 pagi.

“Satu jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba Damansara tiba di tempat kejadian pada jam 9.47 pagi tetapi api berjaya dipadamkan sebelum kehadiran bomba oleh petugas keselamatan kompleks tersebut," kata jurucakap tersebut.

Seorang pekerja membersihkan sisa-sisa kebakaran di medan selera yang berada di Tingkat Dua pusat beli-belah itu. 

Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih disiasat.

Insiden yang berlaku telah menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) apabila pengguna jalanraya memperlahankan kenderaan untuk melihat kebakaran yang berlaku.

Kerosakan di tempat insiden.


Malah, laman sosial, Twitter juga turut dipenuhi dengan gambar-gambar kebakaran pada bangunan tersebut dan menimbulkan panik di kalangan pengunjung kompleks membeli-belah itu.

Namun begitu, Pengurus Besar Pengiklanan dan Promosi 1Utama, Patrick So menafikan gambar-gambar yang tersebar dalam laman Twitter itu adalah gambar kebakaran yang sebenarnya, dan mendakwa gambar tersebut telah direka dan edit untuk tujuan tertentu.

Sumber: Astro Awani