Bagi mereka yang berkesempatan untuk melihat model SUV kompak Honda HR-V sewaktu siri road-show sebelum ini, pasti akan terpikat dengan rekaannya. Sebab itulah Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) mendapat sekitar 1,500 unit tempahan pra-pelancaran, dan walaupun harganya belum diketahui (pada waktu itu).
Ini satu nota yang penting, kerana HR-V adalah satu siri model yang baharu, dan satu segmen yang belum pernah dipelopori HMSB. Selain itu, segmen ‘kompak SUV’ juga agak unik di pasaran Malaysia; tambahan lagi HMSB tidak akan mahu melakukan kesilapan yang sama sepertimana yang berlaku dengan model Freed sebelum ini. MPV kompak itu tidak mendapat sambutan yang diperlukan, puncanya kerana ia sangat ‘niche’ dan pada harga yang tidak menjerat kehendak pembeli.
Tiada masalah yang sama untuk HR-V yang dijual di dalam 3 varian – S- E, dan V.
HR-V varian S dijual pada harga (dengan insurans):
HR-V 1.8L S RM99,800
HR-V 1.8L E RM108,800
HR-V 1.8L V RM118,800
Rekaan
Honda menyediakan rekaan model ini berdasarkan konsep menjadikan SUV ini kelihatan seperti sebuah ‘coupe’. Walaupun agak kekok dari segi konsepnya, ia kelihatan begitu menyerlah. Ini ditambah lagi dengan pembuka pintu belakang yang diintegrasikan bersama bahagian tingkap tepi.
Dari pelbagai segi, HR-V memang paling mudah untuk dikatikan kepada model Jazz, yang menjadi platform kepada model serba baharu ini.
Namun begitu ini tidak bermakna kedua-duanya berkongsi saiz. Honda HR-V jelas lebih besar berdasarkan kepada ukuran-ukuran ini:
Ukuran (mm) / Model Jazz HR-V
Panjang keseluruhan 3,955 4,294 (+339)
Lebar 1,694 1,772 (+78)
Tinggi 1,524 1,605 (+81)
Wheelbase 2,530 2,610 (+80)
Kabin
Ruang dalaman SUV kompak ini memang unik berbanding model-model Honda lain sepertinya (contoh: Jazz dan CR-V). Bahagian konsol tengah dibuat tinggi dan tebal untuk memisahkan ruang pemandu dan penumpang hadapan dengan lebih jelas. Konsep ini dicapai dengan penggunaan brek elektrik buat kali pertama oleh Honda.
Rekaan ini juga membolehkan sebuah ruang kosong (tersorok) diwujudkan di celah tapak konsol tengah di mana slot USB terletak. Oleh itu ruang tengah kereta kelihatan lebih kemas.
Sebagai varian dengan harga tertinggi, jenis V dilengkapkan dengan pemain audio beserta skrin sentuh 7 inci, cruise control dan balutan kerusi separa-kulit. Selain itu, kamera undur, 6 pembesar suara, 2 soket USB dan 1 soket HDMI adalah standard. Menariknya, terdapat juga fungsi di mana sistem kereta dapat berhubung dengan ciri Siri telefon iPhone menerusi pengenalan suara.
Walaupun berkongsi ciri-ciri seperti Smart Entry, butang tekan untuk menghidupkan enjin, penghawa dingin automatik dan 2 soket USB dengan varian V, varian E tidak mendapat kamera undur ataupun cruise control.
Sistem audio mempunyai skrin 5 inci dan disambungkan kepada 4 pembesar suara.
Varian S pula didatangkan dengan sistem audio 1-DIN yang lebih ringkas, dan hanya mempunyai 1 slot USB.
Enjin
Honda HR-V ini menggunakan enjin 4-silinder SOHC i-V-TEC dengan sesaran 1,799cc. Ini adalah enjin yang sama seperti yang dipasang pada model Civic 1.8-liter. Output adalah 140hp dengan tork sebanyak 172Nm.
Ia juga berkongsi kotak gear jenis CVT yang sama, kecuali beberapa perubahan yang diberikan untuk memberikan prestasi lebih sesuai bagi sebuah SUV kompak.
Tambahan
Sepertimana model Jazz, HR-V ini juga mempunyai tangki bahan api yang terletak di tengah-tangah lantai kereta. Dengan ini, ruang kargo juga bertambah dan memberi dinamik konfigurasi tempat duduk sepertimana hatchback tersebut.
Untuk SUV kompak ini, kerusi-kerusi boleh dilipat untuk memberi pilihan mod-mod Utiliti, Tinggi, dan Memanjang. Jarak diantara permukaan jalan dan lantai bukaan pintu tailgate adalah 650mm iaitu antara yang paling rendah bagi kelasnya. Ini memudahkan proses memasukkan dan mengeluarkan barangan daripada ruang ini.
Keselamatan
Kesemua varian boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri aktif dan pasif yang serupa, iaitu termasuk sensor undur, beg udara berkembar, Hill Start Assist, ABS, Isofix, brek elektrik baharu, dan yang begitu penting – sistem Vehicle Stability Assist (VSA).
Bagi varian V, ia mendapat tambahan beberapa beg udara untuk bahagian sisi dan tingkap.
Rumusan
Di atas kertas, Honda HR-V baharu memang kelihatan seperti sebuah model yang akan menjadi faktor penting di dalam perancangan HMSB. Harganya menarik – walaupun pastinya lebih memikat jika varian V diturunkan sedikit lagi; ataupun varian S dilengkapi dengan sistem audio yang lebih baik – dan kelihatan menawan.
Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had serta selang servis 10,000km untuk HR-V serba baharu di semua 78 pengedar Honda di seluruh negara.
Honda Malaysia juga menawarkan dua pakej Utiliti dan Modulo seperti di bawah:
Pakej Aero Sport> RM3,950 (jimat RM450)
(Bampar aero hadapan- RM1,350; Spoiler sisi- RM1,500; Kemasan cermin sisi- RM200; Bampar aero belakang- RM1,350)
Pakej Tough Advance> RM3,800 (jimat RM420)
(Kemasan hadapan- RM650; Kemasan bampar hadapan- RM370; Running board RM2,100; Kemasan belakang- RM650; Kemasan bampar belakang- RM450)
Di samping itu ada juga Pakej Utiliti Smart(RM1,650) dan Pakej Utiliti Urbane(RM1,550).
- Sumber: Astro Publication