Wednesday, 9 April 2014

Manfaat ganja untuk perubatan

otak
Minyak ganja dipercayai berupaya merawat kanser otak.


Dia disahkan bebas daripada kedua-dua kanser tersebut dalam tempoh sembilan bulan. Hari ini setelah lebih tiga tahun mengambil minyak ganja, dia hidup sihat serta menjalani aktiviti harian seperti orang lain.

Ikuti kisahnya berjudul Culture Exclusive: Cannabis Cures Cancer - The Stan Rutner di Youtube.

Kajian makmal pada 2008 dalam laporan The Journal Of Clinical Investigation mendapati sejenis cannabinoid iaitu tetrahydrocannabinol (THC) berupaya menyembuhkan kanser otak.

Golongan saintis yang menjalankan penyelidikan itumembuat kesimpulan, dengan menggunakan proses biokimia yang serupa THC berupaya menyembuhkan pelbagai jenis kanser lain.

Kajian lain mendapati cannabinoid mampu berfungsi menggunakan pelbagai mekanisme termasuk merencatkan pertumbuhan sel kanser, menyebabkan kematian sel kanser dan menghalang metastasis (perpindahan sel kanser ke organ lain).

Undang-undang dua puluh negeri di Amerika Syarikat membenarkan penduduknya menggunakan ganja untuk tujuan perubatan.

Golongan aktivis dan badan bukan kerajaan merupakan penggerak utama dalam berkempen di mana akhirnya mereka menjalankan pungutan suara.

Pungutan suara yang ditangani oleh sebilangan penduduk sesuatu negeri kemudiannya di hantar kepada pihak berkuasa untuk diteliti. Usaha yang dilakukan mengambil masa yang panjang dan terpaksa menempuh pelbagai rintangan.


Kawal penggunaan

Mungkin apabila tiba masa sesuai, negara kita juga membenarkan orang awam menggunakan ganja untuk tujuan perubatan. Sebelum kebenaran dilaksanakan, sudah tentu kajian terperinci perlu dijalankan. 

Antara lain yang utama ialah mengeluarkan lesen kepada pengeluar (penanam) dan pengedar/peruncit. Pengguna perlu mendapatkan kad yang mengandungi butir-butir kebenaran daripada pihak berkuasa contohnya doktor perubatan tanpa prejudis.

Sebagaimana dilaksanakan di negeri-negeri Amerika Syarikat yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, setiap penduduk boleh memiliki misalnya sebatang pokok dan beberapa gram ganja kering pada satu-satu masa.

Maksudnya jika seseorang didapati memiliki pokok atau ganja kering lebih daripada kuantiti yang dibenarkan maka ia boleh didakwa pihak berkuasa. Pastikan terdapat klaus yang membenarkan penghidap menggunakan produk ganja seperti minyak ganja atau krim.

Berikut ialah rumusan utama berkaitan bancian bersifat tinjauan yang dijalankan mantan Presiden American Herbalists Guild (AHG), Aviva Romm, berkaitan penggunaan ganja oleh golongan responden tinjauan yang bertaraf herbalis profesional berdaftar dengan AHG.

Untuk pengetahuan pembaca, penulis ialah satu-satunya herbalis Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai herbalis profesional oleh AHG dan berdaftar dengannya.

Namun penulis sendiri tidak terlibat langsung dengan tinjauan tersebut.

Tinjauan berjudul AHG Professional Member Survey: Medicinal Use of Cannabis itu menunjukkan ganja (Cannabis Sativa) digunakan hampir separuh responden untuk tujuan perubatan.


Pada masa sama 55 peratus responden tidak pernah menawarkan penggunaan ganja kepada klien untuk tujuan perubatan.

Sebahagian besar responden tidak menawarkan penggunaan ganja dengan alasan ia adalah bahan diharamkan oleh undang-undang.

Lebih kurang 80 peratus responden menyatakan mereka akan menawarkan penggunaan ganja jika penggunaannya tidak dikekang undang-undang.

Tinjauan tersebut mendapati golongan responden menggunakan ganja secara menyendiri tanpa digabungkan dengan herba lain dalam sebahagian besar rawatan.

Kaedah utama penggunaan ganja untuk tujuan perubatan oleh responden ialah menyedut asap, menyedut wap dan dimakan/minum.

Penulis sendiri tidak pernah menggunakan ganja untuk tujuan perubatan sama ada untuk kegunaan sendiri atau menawarkannya kepada klien.

Namun penulis mengetahui minum rebusan daun ganja adalah antara kaedah utama yang dapat dijadikan penawar untuk redakan penyakit tertentu.

Pengambilan tincture iaitu sediaan herba yang disediakan dengan merendam herba dalam arak contohnya Vodka adalah amalan yang paling kurang dicadangkan oleh responden tinjauan.

Untuk pengetahuan pembaca, tincture halal boleh disediakan dengan merendam herba dalam cuka atau gliserin berasal daripada pemprosesan minyak sawit.

Tincture terutama tincture arak dikatakan adalah sediaan herba yang paling mujarab dibandingkan dengan sediaan jenis lain seperti rebusan dan sediaan jenis teh (herba direndam dengan air panas selama beberapa minit) atau serbuk herba kering. Tincture cuka dan gliserin juga sebenarnya berguna sebagai bahan rawatan walaupun kuasanya kurang sedikit berbanding tincture arak


Kegunaan terapeutik

Apakah jenis penyakit yang boleh dirawat oleh ganja seperti yang telah diamalkan oleh responden bancian berbentuk tinjauan yang dijalankan oleh Aviva Romm?

Laporan tinjauan beliau menunjukkan responden paling kerap mencadangkan penggunaan ganja terhadap penyakit seperti kanser, glaucoma, keresahan (kerisauan), kurang/hilang selera makan, rasa sakit dan insomnia.

Sebanyak 56.4 peratus responden menganggap ganja menyebabkan ketagihan, manakala 74.9 peratus menganggap ia selamat digunakan golongan dewasa. Bagi 78.4 peratus responden percaya ia tidak selamat digunakan oleh kanak-kanak. Tiga perempat responden percaya ganja tidak selamat digunakan oleh ibu mengandung.

Data tinjauan tersebut juga menunjukkan responden menggunakan ganja untuk merawat Amyotrophic lateral sclerosis (ALS), penyakit Alzheimer, anorexia, attention deficit hyperactivity disorder, atritis, sindrom Asperger, sakit pinggang, gangguan bipolar, body dismorphic disorder, penyakit Crohn, ketagihan dadah, asma, tidak datang haid, endometriosis, sawan (epilepsi), masalah ereksi, fibromyalgia, glaucoma dan sakit kepala.

Beberapa penyakit seperti bronkitis, diabetes dan hepatitis C juga boleh dirawat menggunakan ganja. Namun data tinjauan menunjukkan tiada seorang pun responden yang menggunanya untuk tujuan tersebut.

Pangkalan data Natural Standard memaparkan bukti sains berdasarkan kategori jelas, baik dan tidak jelas terhadap manfaat ganja untuk tujuan perubatan. Manfaat yang disenaraikan oleh Natural Standard hanya adalah sedikit berbanding dengan pelbagai kegunaan yang digunakan dalam tinjauan AHG. 

Sebahagian herbalis mengamalkan penggunaan sesuatu herba secara empiris iaitu berdasarkan keputusan daripada pengamalan yang tidak semestinya didahului oleh penemuan sains.

Menurut mantan pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) dalam sebuah bengkel penerangan beberapa tahun dahulu, hanya pengamal perubatan alternatif yang berdaftar dengan T&CM dibenarkan menggunakan herba yang dikategorikan sebagai bahan narkotik. Untuk keterangan lanjut sila ajukan soalan anda kepada pegawai T&CM.

Sinar Harian 

Sindiket menyamar polis tumpas

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket dengan anggota kumpulan itu menyamar sebagai polis dan melakukan kegiatan samun jalanan dan pecah rumah berikutan tertangkapnya lapan lelaki, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, empat lelaki pertama ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Petaling, Kampung Sri Paya, Larkin pada 7.30 malam.

"Susulan daripada tangkapan itu, empat lagi rakan mereka ditahan di sebuah rumah Jalan Kebun Teh pada hari yang sama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berumur antara 27 hingga 48 tahun.

Polis merampas pakaian seragam polis dengan tanda pangkat Lans Koperal, sepucuk pistol tiruan dengan kelopak mengandungi tiga biji bebola besi dan sarung pistol dengan tulisan "Police", sebilah pisau lipat, 14 utas jam tangan pelbagai jenama, 14 telefon bimbit pelbagai jenama, 11 peralatan elektronik dan sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri.

Beliau percaya dengan tangkapan itu polis dapat menyelesaikan 15 kes samun jalanan, lima kes samun menyamar polis, tiga kes pecah rumah dan satu kes curi kenderaan. - Bernama

Magic: Kerajaan labur RM70 juta


Mohd Irwan

KERAJAAN memperuntukkan RM70 juta kepada Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (Magic) di Cyberjaya bagi merancakkan kegiatan keusahawanan di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, RM50 juta daripada jumlah itu adalah peruntukkan kerajaan daripada Bajet 2014, manakala RM20 juta adalah inisiatif kementerian melalui Dana Keusahawanan Sosial disalurkan kepada Magic.

Kementerian Sains dan Teknologi dan Inovasi (Mosti) turut menyalurkan dana RM30 juta kepada Magic untuk membiayai usahawan bidang bioteknologi.

“Kesemua peruntukkan digunakan membiayai aktiviti Magic yang akan beroperasi di Cyberjaya.

"Kewujudan pusat itu adalah bersesuaian dengan fungsi Cyberjaya yang menempatkan syarikat-syarikat bergiat dalam bidang multimedia kreatif, penyelidikan dan pembangunan, khidmat luaran serta pengurusan data," katanya.

Magic juga menjadi pusat sehenti kepada usahawan merangkumi segenap aspek dan menyediakan kemudahan termasuk permohonan pembiayaan kepada institusi perbankan serta penyaluran modal teroka kepada syarikat inkubator serta syarikat baharu yang berdaya maju.

Menurutnya, RM3 juta diperuntukkan kepada sembilan peserta Magic antaranya Cyberjaya on Magic Ride dan Ideas on MaGIC Jr Pitch.


Sinar Harian 

Jumlah rakyat muflis meningkat

Nancy Shukri.
Nancy Shukri.


KUALA LUMPUR - Sejumlah 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, golongan muflis itu meningkat pada setiap tahun sejak 2007 hingga tahun lepas.

Sejumlah 33,570 orang atau 26.54 peratus daripada golongan ini diisytihar muflis dalam tempoh berkenaan kerana masalah sewa beli kenderaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Nancy berkata beliau mensasarkan pengurangan bilangan muflis di negara ini sebagai Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI).

Kerajaan melalui MDI telah mengadakan beberapa program bagi mengawal peningkatan ini dengan memberi pendedahan dan mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan kewangan. - Bernama

'Bandar seks': Guan Eng kena jawab

Jahara Abdul Hamid
Jahara Abdul Hamid


BUTTERWORTH - Kerajaan Pulau Pinang perlu memberi penjelasan berhubung laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa negeri ini 'bandar seks' berikutan kononnya terdapat sekurang-kurangnya 200 kawasan panas yang menawarkan perkhidmatan seks.

Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Abdul Hamid berkata, semua pihak terutama rakyat negeri ini mahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu berikutan laporan itu memberi imej buruk kepada Pulau Pinang.

"Umno mahu Guan Eng beri penjelasan mengenai perkara itu dan jika beliau enggan berbuat demikian, kami akan bangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang bulan depan.

"Laporan itu bukan sahaja memberi imej buruk malah menunjukkan pihak berkuasa tempatan tidak buat kerja mereka kerana saya difahamkan 200 premis yang menawarkan perkhidmatan berkenaan mempunyai lesen dan bagaimana perkara itu boleh terjadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Kebajikan 1Malaysia Family Care (IMFC), di Dewan Sungai Dua, di sini hari ini.

Jahara yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWKM) mengulas dakwaan Jaringan Utara Migran dan Pelarian (Jump) itu.

Laporan kajian itu berdasarkan temu bual membabitkan 172 pemandu teksi di negeri ini yang mendakwa pernah membawa penumpang ke kawasan panas berkenaan sekurang-kurangnya sekali. - Bernama

Permintaan isteri berakhir tragedi

Permintaan isteri berakhir tragedi
Muhammad Syafie bersama anaknya reda dengan kehilangan orang tersayang. Gambar kecil: Nurzuraiyanie Habil


MANJUNG - Seorang suami tidak menyangka permintaan isterinya untuk pulang ke kampung berakhir tragedi apabila isteri dan anak perempuannya maut terlibat dalam satu kemalangan pada Sabtu lalu.

Muhammad Syafie Tumiran, 30, berkata, isterinya, Nurzuraiyanie Habil, 30, telah meminta izin untuk pulang ke kampung di Seri Manjung untuk menziarahi ibu mertuanya.

“Ketika itu saya sedang bekerja dan dia menelefon memberitahu mahu pulang ke Seri Manjung bersama dua anak. Pada mulanya saya agak keberatan untuk membenarkannya pulang dan dalam nada bergurau saya mengatakan tidak boleh namun saya tetap mengizinkannya.

“Memang sudah menjadi kebiasaannya isteri dan anak-anak untuk pulang sendiri jika saya tidak dapat menemani mereka,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mertuanya di Seri Manjung di sini semalam.

Muhammad Syafie berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan kedua-dua arwah seminggu yang lalu kerana dia tinggal sendiri memandangkan dia kini menjalani latihan amali di Bangsar.

“Saya masih lagi belajar di Politeknik Arau dan jarang-jarang dapat berjumpa dengan anak-anak dan isteri yang tinggal di Bangi. Namun begitu, seminggu sebelum kejadian, arwah isteri kelihatan lebih suka bergurau, begitu juga dengan anak perempuan yang suka bersama saya.

“Anak perempuan saya juga tidak banyak ragam seperti sebelum ini dan amat rapat dengan saya. Memang saya tidak menyangka itu adalah petanda terakhir yang menunjukkan mereka bakal meninggalkan saya dan seorang lagi anak lelaki kami,” katanya.

Nurzuraiyanie dan anaknya Iman Nur Qurratunnisa, setahun tiga bulan, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Bangi menuju ke Seri Manjung, maut apabila kereta yang dipandu Nurzuraiyanie yang dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah Sitiawan ke Teluk Intan.

Dalam kejadian itu, seorang lagi anaknya Muhammad Iman Qashrin, 5, terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Muhammad Syafie berkata, Muhammad Iman kini demam pada waktu malam disebabkan kejadian itu.

“Dia masih memerlukan rawatan susulan dua bulan sekali,” katanya.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Zuhairol, 32, berkata, arwah adiknya yang mengusahakan sebuah taska di Bangi sering berulang-alik ke Seri Manjung.

“Itu adalah rutin mingguan arwah pulang menjenguk ibu kami di Seri Manjung.

“Namun kami tidak menyangka ia akan berakhir begini namun kami reda menerima ketentuan Ilahi,” katanya.

Sinar Harian 

Sindiket jual walkie-talkie haram kepada Rukun Tetangga tumpas


IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Perak pada Selasa menumpaskan satu sindiket penjualan walkie-talkie haram yang mensasarkan kumpulan Rukun Tetangga (RT) di sekitar Ipoh.

Jurucakap SKMM cawangan Perak berkata dalam serbuan bersama-sama anggota polis dan Jabatan Kastam di sebuah pejabat penjualan kereta terpakai di Bercham pada 4.15 petang itu, mereka menahan dua suspek, ibu serta anak lelakinya, masing-masing berusia 40-an dan belasan tahun.

"Kita merampas 12 set lengkap walkie-talkie haram yang dipercayai dijual RM300 setiap satu set serta barang-barang lain," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata sindiket ini juga dipercayai menjalankan perkhidmatan membaiki dan menyelenggara alat komunikasi berkenaan kerana pihaknya menemukan banyak bahagian walkie-talkie lain.

Katanya sindiket itu dipercayai menjual walkie-talkie yang tidak mendapat kelulusan dan pengesahan SIRIM kepada hampir 1,500 pembeli di sekitar Ipoh.

Beliau berkata kedua-dua suspek itu dibawa ke Balai Polis Bercham untuk diambil keterangan sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut.

"SKMM Perak sebenarnya menerima banyak aduan daripada RT mengenai penjualan walkie-talkie haram itu pada Mac lepas, kita kemudian buat pemantauan dan penyiasatan serta semakan dengan SIRIM sehingga membawa ke lokasi ini," katanya.

Beliau berkata penjualan walkie-talkie haram adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melibatkan peralatan atau peranti bukan standard.

Suspek boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya.

Bernama

Houston optimis pesawat akan ditemui dalam masa terdekat

Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston


KUALA LUMPUR: Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston, berkata beliau optimis bahawa pesawat penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu akan ditemui di dalam masa terdekat.

Beliau berkata meskipun tidak begitu yakin sebelum ini, tetapi sekarang, keyakinannya kian bertambah.

"Saya kini optimis bahawa kita akan dapat mencari pesawat itu, atau apa yang tertinggal darinya, dalam masa terdekat," katanya semasa satu sidang media di Perth hari ini.

Namun, Houston berkata pencarian untuk pesawat itu adalah tetap mencabar.

"Saya ingin mendapatkan bukti yang kukuh, bukti bergambar, untuk memastikan itulah tempat MH370 berakhir," katanya.

Setakat ini, Kapal Tentera Laut Australia, Ocean Shield, telah mengesan dua lagi isyarat di kawasan pencarian untuk pesawat MH370, menjadikan jumlah isyarat yang dikesan kapal itu kepada empat.

Peta kawasan pencarian terbaharu yang dikeluarkan JACC pada Rabu


Houston sebelum ini menegaskan bahawa pasukan pencarian tidak akan mengarahkan penggunaan sebarang kenderaan atau peralatan dasar laut buat masa ini.

Astro Awani 

Sempat selamatkan sehelai baju pengantin

Sempat selamatkan sehelai baju pengantin
Sharipah menunjukkan sehelai baju pengantin sempat diselamatkan olehnya.


ALOR SETAR - “Dalam kekalutan, saya tak sempat menyelamatkan apa-apa kecuali sehelai baju pengantin yang akan dipakai pelanggan Rabu ini (hari ini)," demikian kata seorang mangsa ribut di Kampung Alor Gandak, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin, lebih 50 kediaman di Flat Setia Jaya, Kampung Alor Gandak Limbong, Kampung Alor Gandak Tajar, Kampung Tanjung Inggeris dan Kampung Telaga Bata rosak.

Mangsa, Sharipah Ramli, 44, berkata, hampir 40 peratus bahagian tambahan baru dibina di kediamannya termasuk bilik menjahit musnah teruk akibat diterbangkan ribut.

“Malah, kerugian dialami dianggarkan bernilai hampir RM60,000. Bukan hanya barang kelengkapan rumah rosak, sebaliknya peralatan menjahit menerima nasib sama.

“Meskipun, bimbang memikirkan segala kerosakan dan kerugian ditanggung. Namun, yang paling penting buat masa ini adalah pakaian pengantin pelanggan,” katanya.

Katanya, dia lebih memikirkan perasaan bakal pengantin yang kemungkinan tidak dapat menikmati detik bahagia mereka disebabkan kejadian itu berbanding masalah dirinya buat masa ini.

“Kesiannya, jikalau dia tidak dapat memakai baju pengantin pada hari perkahwinan tersebut. Lagipun, mereka berharap kepada kita untuk kelancaran majlis itu,” katanya.

Sharipah berkata, dia juga buntu memikirkan 15 tempahan baju pengantin pelanggan yang perlu disiapkan olehnya sebelum bulan Mei ini kerana tiga mesin jahit sudah berendam air hujan.

Manakala, Robiatul Adawiyah Ismail, 33, berkata, ibunya, Norma Abd. Manaf, 58, dipercayai berada dalam kediamannya sendirian sewaktu hujan lebat hampir 10 minit itu.

Katanya, ibunya dipercayai keluar menyaksikan bagaimana angin kuat menggoncang kediaman, sebelum menerbangkan bahagian bumbung kediamannya itu.

Menurutnya, tiada barang dapat diselamatkan termasuklah barangan elektrik dan dokumen penting seperti sijil oleh ibunya kerana kejadian ribut berlaku dalam sekelip mata.

Jirannya, Che Amah Ahmad, 47, berkata, dia sedang mengemaskan baju dalam sebuah bilik sewaktu ribut melanda, namun menyedari hanya berbumbungkan langit apabila ke dapur.

Tidak lama kemudiannya, katanya, Norma yang tinggal bersebelahan kediamannya juga datang menemuinya, sambil memaklumkan bumbung kediamannya turut dibawa angin.

Sementara itu, Ketua Bahagian Umno Pokok Sena, Said Ali Syed Rastam berkata, dia menerima maklumat bahawa 50 kediaman di empat kampung dan satu rumah pangsa terkena ribut.

Difahamkan, katanya, kejadian ribut pada petang Isnin membabitkan banyak keluarga dilawatinya itu merupakan bencana terburuk buat masa ini.

Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudahpun membuat bancian, namun katanya, melalui Pejabat Menteri Besar mereka juga akan mengusahakan permohonan bantuan bencana.

Sinar Harian 

Zizan lelaki pertama saya bawa jumpa ayah - Emma Maembong


KUALA LUMPUR: Kisah percintaan di antara pelakon cantik Emma Maembong dan pelawak popular Zizan Razak bukan lagi rahsia kerana akhirnya Emma Maembong membuat pengakuan kepada media tentang perkara itu.

Aktres kacukan Melayu-Scotland ini ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kecantikan Maixara di Menara Kuala Lumpur, mengaku tidak mahu lagi berselindung tentang hubungannya dengan Zizan.

“Selama ini bukan Emma sengaja nak rahsiakan hubungan kami walaupun dah timbul macam-macam spekulasi dan kontroversi.

“Cuma ketika itu saya tak berani nak buat apa-apa kenyataan kerana ketika itu kami memang kawan rapat. Lagipun saya kenal Zizan dah lama kerana kami sekampung dan berjiran. Kami rapat selepas masing-masing bergelar artis.

“Saya juga tidak mahu terlalu menjaja tentang hubungan kami ketika itu sebab takut kalau tak jadi…malu. Buat masa ini saya dan Zizan masih lagi diperingkat mengenali hati budi. InsyaAllah, ada jodoh kami, saya akan beritahu kepada semua,” katanya.

Kata Emma, dia dan Zizan masih belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini dan tidak pernah membincangkan tentang perkara itu buat masa sekarang.

Bagaimanapun dia telah membawa Zizan bertemu dengan bapanya dan bersyukur kerana kekasihnya itu disenangi seluruh ahli keluarga.

“Zizan lelaki pertama saya bawa jumpa ayah. Sebelum ini saya tak pernah bawa mana-mana kawan lelaki jumpa dengan ayah saya.

“Paling kelakar bila ayah tak kenal Zizan dan tak tahu Zizan artis. Bila Zizan bercakap loghat Terengganu, mereka terus mesra dan rancak berbual.

“Tapi ayah jadi hairan sebab semasa kami berjalan sama, ramai orang mahu bergambar dengan Zizan. Dalam diam ayah ‘siasat’ tentang Zizan dan akhirnya dia tahu anaknya berkawan dengan artis,” cerita Emma.

Tambah Emma lagi dia gembira kerana ayahnya tidak pernah menghalang hubungannya dengan Zizan cuma berpesan supaya menjaga batas dan pergaulan.

Perkembangan lain, Emma bakal bercuti sepanjang April ini dan tidak mengambil mana-mana tawaran berlakon.
“Saya mahu berehat dan luangkan masa bersama keluarga kerana rasanya sudah lama tidak bersama mereka,” katanya mengakhiri perbualan. -- Astro Awani

Remaja maut terperosok bawah lori

Remaja maut terperosok bawah lori
Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di bawah lori setelah bergesel dengan sebuah motosikal lain.


SELINSING, Perak - Hasrat mahu menghantar adik ke sekolah berakhir dengan tragedi.

Seorang abang maut apabila motosikal dinaiki terperosok di bahagian bawah lori setelah bergesel dengan sebuah motosikal lain di Jalan Gula, di sini pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Zulhaimi Saiidin, 18, sedang dalam perjalanan menghantar adiknya, Mohd Zulfitri Saiidin, 12, ke sekolah di kawasan Gunung Semanggol sebelum motosikal mereka bergesel dengan sebuah motosikal lain ditunggang seorang pelajar sekolah menengah.

Kejadian itu menyebabkan mangsa terperosok ke bawah sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan, manakala adiknya Mohd Zulfitri dan seorang lagi penunggang motosikal lain tercampak hampir lima meter dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan motosikal seorang pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah menengah berhampiran.

“Akibatnya, mangsa yang terjatuh terseret bersama motosikalnya dan merempuh sebuah lori muatan berat yang sedang diletakkan di bahu jalan utama.

“Dua orang mangsa lagi iaitu adiknya serta pelajar sekolah terbabit tercampak ke bahu jalan dan turut mengalami kecederaan parah.

“Kesemua mangsa dikejarkan segera ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.” katanya.

Mat Fauzi berkata, mangsa yang terperosok di bawah lori disahkan meninggal dunia pada jam 7.11 petang hari kejadian.

“Mayat mangsa telah dituntut ahli keluarga semalam dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori Mohd Rosli Mohd Zaki,45, ketika ditemui berkata, sewaktu sedang memanaskan enjin kenderaan, dia terkejut terdengar bunyi dentuman yang kuat dari bahagian bawah lori.

Menurutnya, dia segera memeriksa kenderaannya dan tergamam melihat sebuah motosikal bersama penunggangnya tersepit di bahagian hadapan lori.

“Saya segera memeriksa bahagian bawah lori dan mendapati mangsa terperosok di situ dalam keadaan hampir tidak bernyawa.

“Saya kemudiannya menghubungi polis dan ambulans untuk memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.

Sinar Harian 

Imad Ghaddar tipu Perak

 Imad Ghaddar
Imad (dua kiri) mengecewakan peminat Perak apabila enggan beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Selangor, Sabtu lalu.


“TIADA lagi Imad Ghaddar, dia telah menipu rakyat Perak.”

Itu reaksi pengurus skuad Liga Super Perak, Datuk Azhar Ahmad yang nyata kecewa dengan sikap import Lubnan, Imad Ghaddar yang enggan diturunkan pada aksi menentang Selangor, Sabtu lalu.

Menurutnya, tindakan Imad itu sangat dikesalinya kerana nama pemain berkenaan telah pun disenaraikan untuk beraksi pada malam berkenaan.

Bagaimanapun katanya, Imad mengadu sakit di bahagian belakangnya dan tidak boleh beraksi pada malam itu hingga menyebabkan pihak pengurusan terpaksa memasukkan pemain gantian bagi menggantikan tempatnya.

“Sebagai pemain profesional dia tidak sewajarnya bertindak sedemikian, kerana berdasarkan pemeriksaan, dia disahkan sihat dan boleh beraksi.

“Oleh itu, mulai sekarang, no more Imad Ghaddar! Dia telah 'menipu' kita dan 'menipu' rakyat Perak. Kita akan bawa perkara ini sehingga ke peringkat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dalam usaha mengelakkan perkara ini berulang pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Azhar berkata Perak sedang menguji beberapa lagi pemain import sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya dalam masa terdekat.

Katanya, sehingga ke hari ini empat pemain dari Jepun, Nigeria, Montenegro hadir untuk mengikuti ujian pemilihan dan sebarang keputusan mengenainya akan diketahui menjelang aksi pusingan kedua menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Selain itu ada beberapa pemain tempatan seperti R.Surendran, Razali Umar Kandasamy, Aizat Jani dan Famirul Asyraf Sayuti juga akan menyertai latihan kita,” katanya.

Sinar Harian 

Enam tukang urut 'B2B' dicekup

Enam tukang urut 'B2B' dicekup
Salah seorang tukang urut wanita warga asing yang ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan.


PETALING JAYA – Seramai enam tukang urut warga asing dicekup dalam serbuan di sebuah pusat urut refleksologi di Jalan PJU 8/5, Damansara Perdana, kira-kira jam 10.15 malam, kelmarin.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Putrajaya, Abd Halim Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama dua minggu.

Menurutnya, tangkapan itu terdiri dari empat wanita Thailand, manakala selebihnya dua wanita Filipina berusia dari 21 hingga 30 tahun.

Beliau berkata, taktik premis ini agak licik kerana kesemua tukang urut menunggu pelanggan melalui walkie talkie dari penjaga premis.

“Kesemua warga asing terbabit akan direman 14 hari dan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas,” katanya.

Sinar Harian 

Pembantu rumah kantoi

Pembantu rumah kantoi
Barang kemas milik majikan yang dicuri suspek.


JEMPOL - Taktik seorang pembantu rumah warga Indonesia menyembunyikan barang curi milik majikannya dalam pinggang seluar dan kolar jaket tidak berhasil selepas beg pakaiannya diperiksa majikan, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias berkata, suspek berumur 39 tahun itu memasukkan barang kemas berkenaan di pinggang seluar dan kolar jaket kemudian dijahit rapi sebelum dibungkus dalam beg pakaiannya.

Menurut Hamzah, curiga dengan suspek, mangsa mengambil keputusan untuk memeriksa beg pakaian suspek sebelum menghantarnya ke lapangan terbang kerana suspek ingin pulang ke Indonesia.

"Namun mangsa terkejut apabila menjumpai beberapa barang kemas milik isteri dan anaknya dalam pinggang seluar pendek dan kolar jaket suspek yang dijahit kemas bagi mengaburi mata mangsa.

"Sebelum ini, banyak barang lain di rumah mangsa hilang, namun suspek tidak pernah mengaku sehinggalah terjadi perkara ini dan terus membawa suspek ke Balai Polis Bahau pada hari sama kira-kira jam 4.40 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jempol, di sini pagi semalam.

Hamzah berkata, hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku mencuri dan menyembunyikan barang kes itu di dalam kolar jaket dan lipatan seluar dengan menjahitnya.

“Kita telah merampas barang kemas dan emas putih terdiri daripada rantai, cincin, gelang tangan dan subang. Turut dirampas adalah telefon bimbit suspek, jaket dan seluar pendek. Kerugian dianggarkan sebanyak RM7,000.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula Isnin lalu hingga 10 April ini. Sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tujuh tahun dan denda. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta majikan,” katanya.

Sinar Harian 

Hanez Suraya dibaling selipar?

Hanez Suraya
Hanez Suraya

SEHINGGA kini, aktres Hanez Suraya, masih dikecam teruk oleh masyarakat dek kontroversinya menjalinkan hubungan dengan suami orang yang dikenali sebagai Mr R (Romie).

Bukan saja digelar 'perampas', pelakon Autumn di Hatiku juga tidak putus-putus menerima cacian dan cemuhan dari pelbagai pihak menerusi laman sosial seperti Instagram dan Facebook miliknya.

Mengakui berasa sedih dan tertekan dengan segala kritikan negatif tersebut, Hanez berkata, kecaman itu turut dirasai sehingga di luar sehingga membuatkan dia berasa kurang selamat.

"Selepas saya buat sidang media tu memang saya rasa sangat sedih. Sebab pandangan orang terhadap saya. Namun saya akui ia tidaklah sampai mendapat ancaman di luar.

“Ada sekali tu saya terserempak dengan orang yang membenci saya. Dia kata nak saja baling selipar pada saya. Tapi dia tak buatlah. Cuma dia cakap sajalah. Alhamdulillah, itu menandakan keadaan masih dapat dikawal lagilah.

“Selepas kejadian itu, atas nasihat keluarga, saya ada mengupah pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan saya. Tetapi untuk acara-acara tertentu sahaja. Kalau ikutkan saya tak selesa bila ada orang sentiasa menjaga pergerakan saya. Tapi itu permintaan keluarga demi keselamatan saya,” katanya.

Enggan terlalu memikirkan situasi tersebut, Hanez berkata, dia akan kembali berusaha untuk mendapat kepercayaan peminat-peminatnya semula. Sebab itu juga, dia tidak jadi menarik diri dari membintangi teater Projek Kahwin, pada 12 hingga 14 Jun, di Istana Budaya.

“Memang takut saya untuk menerima semula tawaran berlakon teater ini, kerana bimbang penjualan tiket berkurangan dan akan mendatangkan kesan terhadap pihak pengurusan.

“Tetapi memandangkan saya mahu beraksi dan membuktikan kemampuan saya dalam bidang lakonan teater saya menyahut cabaran ini. Saya harap peminat akan menilai persembahan saya bukannya kisah peribadi saya,” katanya.

Teater terbitan Mask Team Productions arahan Muhammad Azri Ali turut diterajui, Kilafairy, Izzue Islam, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz Fazleena Hishamuddin dan Kaka Azraff.

Sumber: Sinar Harian 

Analisa dua isyarat pertama disahkan konsisten dengan peralatan elektronik


KUALA LUMPUR: Dua isyarat pertama yang dikesan oleh Kapal Tentera Laut Australia, Ocean Shield sebelum ini, tidak datang dari sumber semulajadi tetapi kemungkinan diperolehi daripada peralatan elektronik.

Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston, berkata perkara ini disahkan berdasarkan analisis ke atas isyarat tersebut oleh Pusat Analisis Akustik Bersama Australia.

"Analisis tersebut menentukan bahawa isyarat yang diterima sangat stabil, berbeza dan jelas dikesan pada 33.331kHz dan berdenyut secara konsisten pada selang 1.106 saat.

"Isyarat itu tidak datang dari sumber semulajadi tetapi mungkin diperolehi daripada peralatan elektronik yang spesifik.

"Pusat Analisis itu mempercayai bahawa isyarat-isyarat itu konsisten dengan spesifikasi dan deskripsi perakam data penerbangan," katanya semasa satu sidang media sosial.

Setakat ini, Ocean Shield telah mengesan empat isyarat.

Pada Isnin dua isyarat ‘ping’ dikesan dimana isyarat pertama bertahan selama dua jam 20 minit sementara yang kedua hanya bertahan selama 13 minit sahaja.

Pada Selasa pula, dua lagi isyarat dikesan dimana isyarat pertama bertahan selama lima minit dan 32 saat manakala isyarat kedua bertahan selama tujuh minit.

Astro Awani 

23 nelayan nyaris maut bot ikan bilis terbakar dan karam


LANGKAWI: Dua puluh tiga nelayan nyaris maut selepas sebuah bot menangkap ikan bilis terbakar dan karam berdekatan Pulau Lima, Langkawi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata tujuh anggota dihantar ke tempat kejadian menggunakan bot selepas beberapa minit menerima panggilan mengenai kejadian itu yang berlaku 10.30 pagi.

Katanya kesemua nelayan dilaporkan selamat selepas dibantu bot nelayan yang berada tidak jauh dari tempat kejadian. -- BERNAMA

Laporan Audit: Pejabat kesihatan guna peruntukan kanak-kanak malnutrisi untuk beli nasi lemak


KUALA LUMPUR: Peruntukan kerajaan untuk memberi makanan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan, telah digunakan oleh beberapa pejabat kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan untuk membeli antara lain nasi goreng dan nasi lemak untuk aktiviti dalaman mereka.

Ini adalah pendedahan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang menyatakan sebanyak RM87,851 daripada peruntukan bakul makanan sejumlah RM923,000 telah digunakan oleh pejabat kesihatan Jerantut, Gua Musang dan Kota Kinabalu untuk tujuan lain selain memberi makanan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan.

"Bagi menjayakan Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM), Bahagian Pemakanan Kementerian pada tahun 2011 hingga 2013 telah menerima peruntukan sejumlah RM66.51 juta daripada peruntukan mengurus, peruntukan One-Off NKRA bagi kanak-kanak kurang berat badan.

"Peruntukan kewangan tersebut diagihkan oleh Kementerian kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), seterusnya JKN menyalurkan peruntukan tersebut berdasarkan bilangan kes yang terdapat di sesebuah daerah atau kawasan.

"Semakan Audit terhadap rekod kewangan di Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut, Kota Kinabalu dan Gua Musang Kelantan mendapati peruntukan yang diterima bagi perolehan bakul makanan khususnya peruntukan One-Off NKRAtidak digunakan sepenuhnya bagi tujuan asal peruntukan, sebaliknya digunakan untuk pembelian lain seperti aset dan peralatan, perolehan tikar, perabot, langsir, penghadang, bantal dan keperluan bilik penyusuan susu ibu,hamper program larian dan peserta pertandingan memasak, perbelanjaan makan dan minum mesyuarat, menyediakan cenderahati dan hadiah serta mencetak t-shirt," kata laporan itu.

Laporan itu berkata antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah tiada pemantauan daripada Pegawai Sains Pemakanan Daerah terhadap perbelanjaan semasa.

Ekoran itu, Kementerian itu telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman 27 Januari 2014 untuk menyiasat perkara itu.

Astro Awani 

Parti liar 'Topless Friday Beach Party' - Tiada permohonan diterima


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan parti liar 'Topless Friday Beach Party' Jumaat ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata sekiranya dimohon sekalipun, pihaknya tidak akan meluluskan sebarang program yang berunsur parti liar seperti itu di negara ini.

"Kita tak pernah lulus (permohonan)...Kita akan bagi surat tunjuk sebab kepada dia (penganjur) dan dia perlu jawab kenapa lesen mereka tak boleh ditarik.

"Dalam masa seminggu, jika mereka tak balas surat tunjuk sebab itu, kita akan ambil tindakan untuk batalkan lesen kelab itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam tadi.

Beliau berkata pada ketika ini, pihak penganjur telah diarah membuang semua poster bagi tujuan promosi parti berkenaan.

Parti itu dijadualkan berlangsung Jumaat ini bermula pukul 8 malam di sebuah kelab malam di Jalan Ampang dan meminta kaum wanita mamakai bikini atau yang lebih seksi manakala kaum lelaki diminta memakai seluar pendek sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Nor Azman Muhamad Yusuf yang dihubungi berkata polis akan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur jika parti itu diteruskan.

"Ia dibuat secara haram memandangkan pihak DBKL tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan. Kita tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur sekiranya mereka berdegil untuk meneruskan parti itu," katanya.

Nor Azman berkata polis menerima maklumat mengenai penganjuran parti itu semalam daripada orang ramai yang melihat iklan parti itu tersebar secara meluas dalam laman sosial sejak beberapa hari lepas.

"Setelah menerima maklumat dari orang ramai, kita terus menyiasat secara terperinci berkenaan pesta itu dan memanjangkannya kepada pihak DBKL," katanya.

Bernama

Wanita diserang beruang di Marang, ingat ajal sudah sampai

MARANG: Serangan beruang di ladang getah Kampung Alor Ketitir, Marang, Terengganu yang mengakibatkan seorang penoreh getah hampir maut adalah kejadian pertama seumpamanya dalam tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, akan menambah jumlah anggota untuk dalam usaha menangkap haiwan liar berkenaan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Yusof Shariff berkata pihaknya sedang berusaha mengesan beruang berkenaan dan menjangkakan tempoh antara satu hingga dua minggu untuk memerangkapnya.

“Kakitangan kita telah pergi ke tempat kejadian dan menyiasat dan kita dapati aduan tu berasaslah . Kita telah menghantar kakitangan kita untuk memasang perangkap dan membuat rondaan di kawasan tersebut. Kita juga pasang dua perangkap di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam kejadian 30 Mac lalu , Asmani Yahya, 60 tahun cedera parah diserang seekor beruang ketika menoreh getah bersama suaminya di ladang getah kampung Alor Ketitir.

Menurutnya, beruang terbabit muncul dari belakang menerkam dan mengheret mangsa ke hutan berhampiran.

“Beruang tangkap saya dari belakang, dia rebahkan saya dan mula menggigit. Saya rebah, saya ucap Allah, Allah, sebelum diselamatkan” kata Asmani.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah mengalami pendarahan teruk dan menerima tiga puluh jahitan di bahagian kepala, leher dan peha.

Sehubungan itu,jabatan PERHILITAN menasihatkan penduduk kampung agar berwaspada serta melaporkan kepada jabatan itu sekiranya melihat kelibat mencurigakan di kawasan hutan berhampiran.

Astro Awani 

Piala AFC: Kelantan tewas 2-3 kepada Yangon United, gagal mara


KOTA BHARU: Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 2-3 kepada kelab Yangon United dari Myanmar dalam perlawanan Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam Selasa.

Kelantan terpaksa bermain tanpa penyerang importnya Mohamad Ghaddar akibat kecederaan dan dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat pada minit ke-24 menerusi sepakan rendah Cezar Augusto Hermenegildo yang melepasi jangkauan Khairul Fahmi Che Mat.

Pada aksi separuh masa kedua, Kelantan yang memperkemaskan jentera serangan berjaya membuat gol penyamaan pada minit ke-49 apabila sepakan Mohd Khairul Izuan Rosli dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol lawan Pyae Phyo Oo.

Pasukan tuan rumah kemudiannya mendahului pelawat pada minit ke-54 menerusi sepakan Wan Zaharul Nizam Zakaria.

Bagaimanapun Yangon United membuat serangan balas menerusi Emerson Reis Luiz pada minit ke-64 dan kemudiannya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-80 menerusi Kyaw Ko Ko.

Kekalahan itu melenyapkan impian Kelantan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bernama

MAS rangka pelan 'D-day' untuk keluarga

Gambar Fail

BEIJING: Malaysia Airlines (MAS) sedang merangka pelan 'D-day' tertakluk kepada kelulusan kerajaan Malaysia dan China untuk membawa keluarga penumpang pesawat MH370 ke Perth, Australia apabila pesawat yang hilang dan sedang dikesan di Lautan Hindi di sana ditemui.

Naib Presiden Kanan Serantau (China) MAS, Joshua Law Kok Hwa berkata syarikat penerbangan negara tersebut sedang berbincang bagaimana cara saudara mara penumpang dapat dibawa ke Perth, termasuk dari segi penginapan hotel.

Beliau memberitahu wartawan Malaysia di sini selepas memberi taklimat kepada keluarga penumpang pesawat pada Selasa.

Terdahulu MAS telah menawar untuk menerbangkan lima anggota keluarga bagi setiap penumpang pesawat.

Mengenai urusan visa, beliau berkata kedutaan Australia sedia bekerjasama dengan MAS sekiranya pelan D-day tersebut sedia dimulakan.

"Kami akan memulakan langkah tersebut (permohonan visa) apabila mengetahui D-day akan dilancarkan," tambah Law.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MAS merancang untuk memberitahu saudara mara penumpang dari China mengenai perkembangan pencarian pesawat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa China.

"Rancangan ini akan dimulakan sebaik sahaja dilulus kerajaan China dan Malaysia," katanya.

Beliau juga berkata sejak sebulan lalu, MAS telah membantu kira-kira 30 keluarga penumpang China untuk mendapat rawatan di pelbagai hospital.

"Kami menyediakan 1,000 makanan setiap hari untuk saudara mara di Beijing dan secara purata menyediakan 42 kaunselor untuk membantu anggota keluarga di sini," katanya.

Ia sudah memasuki hari ke-32 sejak pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang sejak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Bernama