Tuesday 17 December 2013

Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu, Azean Irdawaty, 63 tahun meninggal dunia pada Selasa pukul 7.29 malam di Hospital Universiti, Petaling Jaya, Selangor.

Allahyarhamah menderita sejak lima tahun lalu akibat penyakit tumor dan lymphedema yang dihidapinya.

Allahyarhamah merupakan pelakon yang mula mencipta nama sebagai penyanyi pada era 70an dan namanya meledak di layar perak akhir 70an setelah membintangi filem Esok Masih Ada arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Di layar perak, Azean merupakan pemenang sebanyak dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia pada tahun 1980 menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada tahun 1982.

Allahyarhamah cukup dikenali menerusi watak Auntie Zai lakonan terbaiknya dalam filem Layar Lara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Menerusi watak Tok Wan dalam filem Waris Jari Hantu, sekali lagi Allahyarhamah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada 2008.

Filem terakhir lakonannya ialah menerusi filem terakhir arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Talentime pada tahun 2009.

Selain filem, Allahyarham turut dikenali di skrin televisyen antaranya drama Aishah 50 Sen, Ratu Jamu, Kembali dan Najihah.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke kediamannya beralamat 92, BU 11/7, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Urusan pengebumian akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Astro Awani 

Polis dan Bomba gagalkan cubaan bunuh diri lelaki beristeri dua

Polis dan Bomba gagalkan cubaan bunuh diri lelaki beristeri dua

KUCHING: Seorang lelaki beristeri dua yang dipercayai menghadapi krisis rumah tangga cuba terjun dari Aras 3 Menara Dewan Suarah Kuching di sini pada Isnin, namun percubaannya itu digagalkan sepasukan anggota polis serta Bomba dan Penyelamat.

Pada mulanya lelaki berusia 32 tahun berasal dari Kampung Siol Kandis, dekat sini cuba dihalang oleh pengawal keselamatan daripada meneruskan niat, namun dia bertindak mengacu pisau terhadap pengawal keselamatan itu.

Ketua Polis Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian sambil dibantu sepasukan anggota bomba dan penyelamat.

"Lelaki itu dipujuk supaya membatalkan niatnya tetapi tidak memberi sebarang respons. Selepas hampir sejam dipujuk anggota bomba mengambil peluang ketika dia terleka dengan memegang kolar baju manakala anggota lain merampas pisau sebelum berjaya menarik lelaki itu masuk semula ke dalam kawasan berpagar Aras 3 menara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya siasatan awal mendapati lelaki itu, pekerja swasta dalam bidang IT yang mempunyai dua isteri serta dua anak, mengalami krisis rumahtangga dan sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah.

"Keluarga kedua-dua isteri sudah dihubungi. Laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan undang-undang," kata Roslan.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat negeri Tan Min Chai berkata sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang tiba di tempat kejadian dengan sebuah jentera selepas mendapat laporan tentang kejadian itu.

"Kecekapan pasukan bomba dan penyelamat dengan kerjasama polis menggagalkan niat lelaki itu untuk terjun bangunan," katanya.

BERNAMA 

Pengawal keselamatan larikan RM250,000 di Subang Jaya


KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan melarikan wang tunai berjumlah RM250,000 dari van yang dipandunya semasa dua lagi rakannya sedang memindahkan sejumlah wang ke Maybank di Wisma Consplant, Subang Jaya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kejadian berlaku kira-kira 9 pagi ketika suspek yang dikenali sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, 30, yang sedang menunggu rakan-rakannya melakukan tugas mereka, tiba-tiba melarikan van yang berisi wang tersebut.

"Mereka ditugaskan untuk mengambil wang hasil jualan hujung minggu di beberapa premis perniagaan di sekitar Shah Alam dan di dua buah stesen minyak di Kesas (Lebuhraya Shah Alam) bagi tujuan mendeposit wang tersebut ke dalam bank.

"Wang berkenaan merupakan milik dua buah stesen minyak dan sebuah restoran makanan segera yang ditinggalkan dalam van itu sebelum dideposit ke dalam Maybank di dalam bangunan wisma tersebut," katanya kepada Bernama.

Yahaya berkata dua rakan pengawal tersebut yang kembali setelah menghantar wang ke bank itu mendapati suspek bersama van itu tidak lagi kelihatan di situ.

Mereka kemudiannya menghubungi rakan mereka dengan alat walkie-talkie tetapi gagal, lalu kedua-duanya membuat laporan polis.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan suspek tidak mempunyai senjata dan baru sahaja berkhidmat di syarikat keselamatan itu pada 1 Okt lepas.

Syarikat tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2005 menawarkan khidmat penghantaran wang kutipan jualan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pelanggan, katanya.

Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Bernama

Keputusan penuh Festival Filem Asia Pasifik ke-56

Berikut merupakan keputusan penuh Festival Filem Asia Pasifik ke-56:

Filem Terbaik
1 The Grandmaster (Hong Kong)
2 Like Father Like Son (Tokyo) (PEMENANG)
3 The Lunchbox (Mumbai)
4 Stray Dogs (Taipei)
5 Ilo Ilo (Singapore)
6 In Bloom (Tbilisi)

Pengarah Terbaik
1 Stray Dogs - Tsai Ming-liang (Taipei)
2 Snowpiercer - Bong Joon Ho (Seoul)
3 The Lunchbox - Ritesh Batra (Mumbai)
4 Closed Curtain - Jafar Panahi, Kamboziya Partovi (Tehran)
5 The Grandmaster - Wong Kar-wai (Hong Kong)
6 Like Father Like Son - Hirokazu Kore-eda (Tokyo) (PEMENANG)

Pelakon Lelaki Terbaik
1 The Lunchbox - Irrfan Khan (as Saajan) Mumbai
2 Unbeatable - Nick Cheung (as Fai) Hong Kong
3 The Grandmaster - Tony Leung Chiu Wai (as Ip Man) Hong Kong
4 Juvenile Offender - Seo Young-ju (as Ju-gu) Seoul
5 Stray Dogs - Lee Kang-sheng (as Hsiao-kang) Taipei (PEMENANG)
6 Like Father Like Son - Masaharu Fukuyama (as Ryota Nonomiya) Tokyo

Pelakon Wanita Terbaik
1 The Grandmaster - Zhang Ziyi (as Gong Er) Hong Kong (PEMENANG)
2 Juvenile Offender - Lee Jung-hyun (as Ju-gu's mother Hyo-seung) Seoul
3 So Young - Yang Zishan (as Zheng Wei) Beijing
4 In Bloom - Lika Babluani (as Eka) Tbilisi
5 The Lunchbox - Nimrat Kaur (as Ila) Mumbai
6 Ilo Ilo - Angeli Bayani (as Terry) Singapore

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
1 The Lunchbox - Nawazuddin Siddiqui (as Shaikh) Mumbai (PEMENANG)
2 Snowpiercer - Song Kang-ho (as Nam Kung Min Soo) Seoul
3 Like Father Like Son - Lily Franky (as Yudai Saiki) Tokyo
4 American Dreams in China - Tong Dawei (as Wang Yang) Beijing
5 The Great Passage - Joe Odagiri (as Masashi Nishioka) Tokyo

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
1 Unbeatable - Crystal Lee (as Dan) Hong Kong
2 Snowpiercer - Tilda Swinton (as Mason) Seoul
3 Ilo Ilo - Yeo Yann Yann (as Mother) Singapore (PEMENANG)
4 To My Dear Granny - Lin Mei-hsiu (as Mother) Taipei
5 So Young - Maggie Jiang Shuying (as Ruan Guan) Beijing

Lakonlayar Terbaik
1 Ilo Ilo - Anthony Chen (Singapore)
2 The Lunchbox - Ritesh Batra (Mumbai) (PEMENANG)
3 Closed Curtain - Jafar Panahi (Tehran)
4 The Major - Yuri Bykov (Moscow)
5 So Young - Li Qiang (Beijing)

Sinematografi Terbaik
1 The Grandmaster - Philippe Le Sourd (Hong Kong) (PEMENANG)
2 Snowpiercer - Hong Kyung Pyo (Seoul)
3 Stray Dogs - Liao Pen-jung, Sung Wen-zhong (Taipei)
4 Unforgiven - Norimichi Kasamatsu (Tokyo)
5 Monsoon Shootout - Rajeev Ravi (Mumbai)

Suntingan Terbaik
1 The Grandmaster - William Chang Suk Ping, Benjamin Courtines, Poon Hung Yiu (Hong Kong)
2 Cold Eyes - Shin Min-kyung (Seoul)
3 Snowpiercer - Steve M. Choe, Chang Ju Kim (Seoul)
4 Like Father Like Son - Hirokazu Kore-eda (Tokyo)
5 Ruin - Simon Price, Sally Blenheim, Luca Cappelli (Sydney) (PEMENANG)

Bunyi Terbaik
1 Snowpiercer - Tae Young Choi (Seoul)
2 The Grandmaster - Robert Mackenzie, Traithep Wongpaiboo (Hong Kong)
3 Unbeatable - Phyllis Cheng (Hong Kong)
4 Stray Dogs - Tu Duu-chih, KUO Li-chi (Taipei) (PEMENANG)
5 Why Don't You Play In Hell? - Sion Sono, Keiji Inai, Hidekazu Sakamoto (Tokyo)

Muzik Terbaik
1 The Grandmaster - Shigeru Umebayashi, Nathaniel Mechaly (Hong Kong)
2 Mt. Zion Shane McLean (Wellington)
3 What They Don't Talk About When They Talk About Love - Zeke Khaseli, Yudhi Arfani (Jakarta) (PEMENANG)
4 The Rooftop - Jay Chou, Jason Huang (Taipei)
5 Ask This of Rikyu - Taro Iwashiro (Tokyo)

Pengarah Seni Terbaik
1 The Grandmaster - William Chang Suk Ping, Alfred Yau Wai Ming (Hong Kong)
2 Snowpiercer - Ondrej Nekvasil (Seoul) (PEMENANG)
3 Unforgiven - Mitsuo Harada, Ryo Sugimoto (Tokyo)
4 Why Don't You Play In Hell? - Hisao Inagaki (Tokyo)
5 Pee Mak - Arkkadech Keawkotr (Bangkok)


Like Father Like Son menang Filem Terbaik FFAP56


Poster filem Like Father, Like Son


MACAU: Filem Like Father Like Son memenangi trofi Filem Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 56 yang berlangsung di The Venetian Macau malam tadi.

Pengarahnya Hirokazu Kore-eda turut membawa pulang trofi Pengarah Terbaik menewaskan Wong Kar-wai (The Grandmaster) dan Tsai Ming-liang (Stray Dogs).

Pelakon utama lelaki filem Stray Dogs, Lee Kang-sheng membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Pelakon Wanita Terbaik digondol Zhang Ziyi dari filem The Grandmaster.

Filem Lunchbox dari India membawa pulang dua trofi, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Lakonlayar Terbaik.

Filem terbaik dari Singapura, Ilo Ilo tidak pulang tangan kosong apabila pelakon wanita Yeo Yann Yann memenangi gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Terdahulu, filem Hong Kong, The Grandmaster mengungguli senarai pencalonan akhir dengan 9 pencalonan, diikuti dengan filem Snowpiercer (7), The Lunchbox (6), Stray Dogs dan Like Father, Like Son (5) dan Ilo Ilo dengan 4 pencalonan.

Delegasi Malaysia yang menghantar lima buah filem iaitu KIL, Aku Terima Nikahnya, Juvana, Bikers Kental dan The Golden Couple pulang tangan kosong apabila tidak berjaya menerima sebarang pencalonan.

Bertemakan “Movie Chutzpah!”, festival tersebut berlangsung pada 13 hingga 15 Disember.

FFAP56 dibuka dengan filem terbaru lakonan Andy Lau berjudul “Firestorm”.


Astro Awani