Sunday, 7 May 2017

SimetriSiti, signal keunggulan Datuk Siti Nurhaliza


TAHUN ini genap 21 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, menghiburkan peminat dengan koleksi lagu rancak, mendayu dan menyentuh jiwa.

Penyanyi baru datang dan pergi namun figura ini kekal unggul ‘di kerusinya’ sendiri.

Lebih istimewa, legasi muzik pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin ini tidak hanya bertumpu di negara sendiri, malah pesonanya jauh memancar ke luar negara,

Lagu bintang yang berasal dari Pahang dan mesra disapa Siti ini kekal malar segar dan menjadi siulan peminat.

Namun tarikh 5 Mei lalu menjadi satu lagi saksi terindah dalam perjalanan seninya apabila album studio ke-18 Siti, SimetriSiti dilancarkan dalam sebuah majlis eksklusif di Hotel Royal Chulan tepat jam 3.30 petang.

Menganggap SimetriSiti adalah naskah istimewa, tapi Siti tetap berdebar menantikan respons peminat.

Lebih mengujakan, 300 unit album terawalnya yang dijual di portal membeli-belah Lazada, sudah habis dalam masa kurang 20 minit!

Impian direalisasikan, istimewa buat peminat

Naskhah SimetriSiti sudah lama dinantikan selepas Fragmen pada 2014 dan penyanyi ini berharap album berkenaan dapat memberi kejayaan serupa seperti album sebelum ini..

“Untuk SimetriSiti misalnya, saya cuba beri sebaik mungkin terutama pemilihan lagu. Susunan muziknya juga saya beri kepercayaan kepada semua krew terlibat di dalam pembikinan album ini dan harapnya semua berpuas hati.

“Dalam album baru ni ada impian yang berjaya direalisasikan. Antaranya mahu nyanyikan lagu Opick dan sebuah lagu duet bersama Judika.

“Malah lima lagu di dalam SimetriSiti juga diiringi orkestra luar negara yang jadi sandaran pada kelainan dan keunikan album ini,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambah Siti, kelainan tersebut merupakan satu pencapaian baru buat dirinya secara peribadi.
Sebuah persamaan dalam satu album

SimetriSiti, kata Siti adalah satu komitmen dalam misi untuk memberikan yang terbaik untuk peminat.

“Jika Fragmen lebih kepada personal, namun kali ini saya cuba utamakan konsep persamaan dalam segala hal, semua kena bagus. Perlu tekankan kualiti.

"Begitu juga untuk pembikinan cover album dan muzik videonya, Alhamdulillah, saya happy dengan outcomenya” ujar Siti yang turut mengakui agak sukar memilih 10 lagu terbaik daripada 300 yang diterima.

Siti mengakui, pemilihan lagu dari karyawam Malaysia dan Indonesia ini mengambil masa lebih empat bulan. "Kami duduk semeja dan mendengar setiap lagu yang diterima tanpa mengetahui siapa menghasilkan lagu tersebut.

“Akhirnya, inilah lagu yang mempunyai vote paling tinggi," beritahu Siti yang tidak boleh menyembunyikan emosinya apabila bercerita mengenai lagu hasilan Opick/Dian berjudul Aku Bukan Malaikat yang katanya khas untuk wanita berjiwa sentimental sepertinya.

“Mujurlah Yasin Sulaiman yang jaga vokal untuk lagi tu, sebab saya sebenarnya agak sebak juga masa proses rakaman. Jadi kena cepat-cepat stabilkan diri,” seloroh bintang yang dilahirkan pada 11 Januari 1979 ini lagi.

Isu peminat,cetak rompak

Akui Siti, sebuah lagu yang berjudul Penghiburku didedikasikan kepada peminat setianya.

“Itu idea last minute kerana ikut perancangan, saya sepatutnya nyanyi lagu Mandarin. Tapi tak jadi. Saya ada impian nak cipta lagu sendiri tapi perlu cepat sebab lagu lain dah siap.

“Tertekan juga sebab idea nak buat lagu tak muncul-muncul.

“Bila menantu tunggu masa bersalin Mac lalu, saya bersama keluarga lain melawatnya dan sementara menanti, saya cuba cari ilham untuk hasilkan Penghiburku yang turut menampilkan Joe Flizzow," katanya.

Dalam perkembangan lain, penghibur yang disenangi ramai ini sempat menyelar isu cetak rompak yang tidak pernah berpenghujung sejak dulu.

“Bila cakap soal pelancaran album baru, pasti ada isu cetak rompak. Bagi saya,kita pun susah nak kawal teknologi canggih sekarang, cuma peminatlah yang kena nilai sendiri.

“Ini kerja keras artis dan harapnya peminat saya atau mereka yang betul-betul tahu untuk menghargai, belilah menerusi platform yang betul,” harap Siti menutup bicaranya.

SimetriSiti akan berada di pasaran di empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia 10 Mei depan.

- Sumber: SH Online | 7 Mei 2017

Misteri bau busuk di kedai tom yam terjawab

Siasatan dilakukan pihak polis di lokasi penemuan mayat berbau di kedai makan tom yam Jalan Syawal

PONTIAN - Tanda tanya berhubung bau busuk yang menyelubungi sebuah kedai makan tom yam di Jalan Syawal berdekatan dengan Balai Polis Lama Pontian, di sini terjawab dengan penemuan mayat seorang tukang masak, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, mangsa Mohamad Yunuh, 48 dikenali sebagai ‘ Mad Tomyam’ berasal dari Narathiwat, Thailand.

Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan dari pemilik kedai tersebut yang dikenali sebagai Salleh Abdullah pada jam 10.45 pagi memaklumkan mengenai penemuan satu mayat di bahagian atas kedai tersebut.

Katanya, tiada sebarang kesan pecah atau geledah di lokasi penemuan mayat tersebut, di mana barang berharga serta wang tunai milik mangsa masih ada berhampiran dengan tempat mangsa terbaring.

“Keadaan mangsa juga telah berbau dan berulat dipercayai telah mati beberapa hari lalu berdasarkan kepada resit pembelian barangan yang bertarikh 27 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan disini.

Tambah Zakaria, temubual dengan beberapa orang awam di situ menyatakan kali terakhir mereka melihat mangsa pada 27 April lalu.

"Mangsa dikatakan sakit kepala dan tidak membuka perniagaan pada hari tersebut.

“Tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat," katanya.

- Sumber: SH Online | 7 Mei 2017

Tiga laporan polis diterima kes bunyi hon

Najmuddin (tiga, kiri) di Majlis Perjumpaan Pesara Polis Negeri Johor yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

JOHOR BAHRU - Polis Johor menerima tiga laporan berhubungan komen-komen di laman sosial yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan tular kes seorang lelaki membunyikan hon di Surau Austin Perdana, Taman Austin Perdana, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihak polis sentiasa memantau kes berkenaan dan telah mengenalpasti beberapa akaun Facebook yang mengeluarkan komen negatif sehingga menyentuh isu perkauman dan keagamaan.

Katanya satu unit siasatan khas di Bukit Aman akan menyiasat semua report yang berkaitan dengan komen negatif berkenaan.

"Perkara itu dalam siasatan oleh unit siasatan khas di Bukit Aman, mereka akan kumpulkan semua report yang berkaitan.Setakat ini di Johor kita telah menerima tiga report dan kita cuma memantau semua laporan di negeri ini dan saya akan rujuk ke Bukit Aman, hanya satu unit sahaja yang akan siasat.

"Pihak polis ada pasukan yang sentiasa memantau siapa sahaja yang memberi kenyataan untuk menyemarakkan keadaan panas ini dan tindakan akan diambil," katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Persatuan Pesara Polis Negeri Johor di Ibu Pejabat Kontijen Johor, di sini, hari ini.

Sebuah video tular di media sosial yang memaparkan keadaan kecoh di sebuah solat Jumaat kelmarin.

Memetik kenyataan di laman Facebook Malaysian Response Team, video kekecohan itu dikatakan berlaku di Surau Austin Perdana Johor Bahru.

Difahamkan, kekecohan timbul gara-gara tindakan pemilik sebuah kereta membunyikan hon ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.

- Sumber: SH Online | 7 Mei 2017