Friday 18 October 2013

Siapa kata saya hina Cina? - Ali Rustam

Siapa kata saya hina Cina? - Ali Rustam

Calon Naib Presiden Umno, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam menafikan bahawa beliau membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap kaum Cina dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

“Saya hanya berkata adalah haram untuk orang Islam ambil bahagian dalam perniagaan kasino dan loteri, namun masyarakat berbangsa Cina boleh berbuat demikian.

“Bagaimana itu boleh jadi kenyataan bersifat perkauman, terutamanya apabila itu betul?” katanya di sebuah upacara di Kompleks Tabung Haji di George Town hari ini.

Menurut laporan media, dalam satu majlis anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) 8 Oktober lalu, Mohd.  Ali yang juga Pengerusi PUNB dikatakan mengecam kaum Cina kerana terlibat dengan “perniagaan haram” di negara ini.

"Kita umat Islam tidak boleh membuka kasino, 4D, Toto, perjudian, rumah urut dan syarikat pinjaman wang haram.

“Ini semua haram. Kaum Cina sahaja yang terlibat dengan semua perniagaan haram ini," beliau dipetik berkata.

Ali Rustam turut berkata siasatan ke atasnya tidak akan menjejaskan peluangnya untuk memenangi
jawatan naib presiden UMNO pada pilihan raya parti itu yang akan diadakan esok.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur telah memulakan siasatan ke atas Ali Rustam selepas satu laporan polis dibuat terhadap beliau ekoran kenyataannya itu.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana dari DAP, Lai Kuen Ban di Balai Polis Tengkera pada 9 Oktober.

Mohd. Ali adalah seorang daripada enam calon Naib Presiden UMNO yang akan ditentukan dalam pemilihan yang akan berlangsung pada Sabtu.

- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment