Saturday, 17 January 2015

DAP cabar CEO 1MDB beri keterangan pada PAC

PUA: Keterangan kepada PAC adalah cara terbaik bagi Arul Kanda menjelaskan mengenai 1MDB.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dicabar supaya memberikan keterangan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai hal ehwal firma pelaburan itu.

Cabaran tersebut dibuat oleh Ketua Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang berpendapat keterangan kepada PAC adalah cara terbaik bagi Arul Kanda menjelaskan mengenai 1MDB.

Pua dalam kenyataannya hari ini turut merakamkan penghargaan kepada Arul Kanda yang menawarkan satu pertemuan dengan wakil rakyat DAP 'untuk mendapat lebih maklumat' mengenai firma yang menanggung beban hutang itu.

"Memandangkan 'penelitian awam mengenai 1MDB merupakan perkara yang baik', CEO baru, Arul Kanda Kandasamy perlu tawar diri untuk beri keterangan kepada PAC untuk 'mengukuhkan syarikat itu dan pemerintahannya'.

"Untuk mengelak sebarang tuduhan yang saya mungkin memutar belit dan memanipulasi secara 'politik' dalam pertemuan dengan 1MDB, mungkin lebih baik jika Arul Kanda bertemu dan beri keterangan pada PAC.

"PAC terdiri daripada tujuh Barisan Nasional dan lima Pakatan Rakyat, wakil dilantik yang tidak boleh dituduh bias terhadap 1MDB.

"Pertemuan seperti itu bukan saja adil, tetapi dilihat lebih adik untuk rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.

Tegas Pua, setiap kritikan perlu dijawab secara umum untuk membolehkan rakyat mendapat maklumat lengkap mengenai 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Arul Kanda dalam kenyataannya semalam tidak memberikan sebarang penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan sebelum ini.

Beliau ingin Arul Kanda memberi penjelasan apa yang dimaksudkan Arul Kanda dengan dana AS$2.318 bilion (RM8.24 bilion) yang diletakkan di Pulau Cayman sudah ditebus semula.

Selain itu, Pua mendesak supaya Arul Kanda memberitahu jumlah sebenar yang diterima syarikat itu secara tunai.

"Pendedahan seperti itu sudah tentu beri kesan baik membuka kerahsiaan yang disembunyikan berhubung beberapa tindakan misteri syarikat berkenaan sepanjang tempoh lima tahun lalu," katanya lagi.

Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga sepertinya mempersoalkan ke mana dana itu pergi.

"Memandangkan Arul Kanda terbuka mengalu-alukan 'penilaian awam' sebagai 'perkara yang baik' yang 'akan hanya mengukuhkan lagi syarikat dan pemerintahannya', kami menanti pertemuan 1MDB dengan PAC untuk membuktikan syarikat itu tidak menyembunyikan apa-apa.

"Sudah pasti tidak ada cara lebih baik untuk 1MDB berhubung dalam 'cara paling bertanggungjawab' seperti dicari Arul Kanda," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak kira sama ada ia dialog tertutup, atau mesyuarat dengan PAC, beliau tidak sabar untuk mendengar "jawapan jujur" tidak lama lagi.

Pada Selasa, Arul Kanda berkata 1MDB sudah menebus semula dana yang dilaburkan secara berdaftar di Pulau Cayman.

Namun Dr Mahathir dalam satu temubual bersama Sarawak Report, berkata penjelasan yang diberikan pelabur strategik Malaysia itu 'sangat cetek'. 

- Sumber: Astro Awani 

Mangsa banjir di Perak, Kelantan menurun


KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di dua negeri yang masih terjejas, Perak dan Kelantan terus menunjukkan penurunan malam ini. 

Jumlah mangsa di Perak turun kepada 817 orang berbanding 1,031 petang tadi sementara jumlah mangsa di Kelantan juga turun kepada 520 orang malam ini berbanding 545 orang petang tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di kedua-dua negeri itu seramai 1,377 orang setakat pukul 9 malam ini berbanding 1,576 orang petang tadi.

Di PERAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, jumlah mangsa di Perak Tengah ialah seramai 639 orang, Hilir Perak (144) dan Hulu Perak kekal (34).

Di KELANTAN, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat berkata, seramai 490 orang mangsa ditempatkan di 12 pusat pemindahan di Kuala Krai berbanding petang tadi iaitu 515 orang, sementara 30 orang masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Temangan, Machang malam ini. 

- Sumber:  Bernama

Spiderman kantoi

Suspek berjaya ditahan sebelum sempat memecah masuk sebuah rumah di Taman Kinrara.

SERDANG – Niat jahat seorang lelaki berlagak ‘spider-man’ mahu memecah masuk rumah mangsanya di Taman Kinrara di sini terbantut apabila dia terlebih dahulu dicekup polis, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, suspek memanjat rumah teres satu tingkat dan cuba untuk masuk melalui bumbung.

Sumber berkata, tindak-tanduk suspek disedari pemilik rumah yang terdengar bunyi pergerakan di atas bumbung rumahnya.

Mangsa melihat suspek leka membuka atap rumahnya untuk membolosi masuk melalui ruang siling.

Tanpa berlengah, mangsa segara menghubungi balai polis untuk membuat laporan.

Suspek yang menyedari perbuatannya berjaya dihidu pemilik rumah terjun dari atas bumbung dan bersembunyi di bahagian belakang rumah mangsa.

Bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

“Mangsa menunjukkan di mana suspek bersembunyi yang seterusnya berjaya diberkas polis,” katanya.

Hasil pemeriksaan, suspek berusia 34 tahun dan beralamat di Ampang itu mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Ia termasuk bersabit kes samun dan pernah beberapa kali dihukum kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Pemeriksaan selanjutnya menemukan polis dengan sebuah beg hitam di pinggang suspek berisi peralatan dipercayai untuk melakukan jenayah pecah rumah.

“Barang rampasan termasuk pemutar skru, sepana, playar, dua utas jam tangan, lima telefon bimbit dan suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Baju kurung: Tiada salah faham, kata pak cik pelajar

Permintaan pihak sekolah supaya memakai kesemua butang baju kurung adalah bagi menjaga aurat pelajar sekali gus menjaga keselamatan pelajar itu sendiri. 

MKUALA LUMPUR: "Saya boleh faham tetapi tidak boleh terima."

Itu adalah kenyataan yang dibuat oleh Lawrence Jayaraj, pak cik kepada Britney Nicole, pelajar 15 tahun dari SMK Seri Mutiara di Cheras, yang di hantar balik ke rumah kerana memakai baju kurung di sekolah.

Menepis kata-kata pengetua sekolah itu, Mohd Amir Abdul Ghani, yang sebelum ini berkata perkara itu berlaku kerana masalah komunikasi dan salah tafsir, Lawrence berkata itu tidak benar.

"Tiada salah faham. Sebenarnya sejak tahun 2009, polisi sekolah itu adalah tidak membenarkan pelajar bukan Melayu memakai baju kurung dan saya faham mengapa kerana mereka telah menjelaskannya," kata Lawrence kepadaAstro AWANI.

Lawrence berkata beliau telah diberitahu oleh pengetua sekolah yang mempunyai lebih ramai pelajar bukan Melayu daripada pelajar Melayu, tentang polisi itu.

Beliau turut berkata larangan pemakaian baju kurung untuk pelajar bukan Melayu adalah kerana ia 'lebih menonjol' daripada 'pinafore' atau pakaian seragam sekolah.

"Kerana nak senang, salah seorang guru sekolah itu yang menjaga hal ehwal murid membuat keputusan bahawa pelajar bukan Melayu hanya boleh memakai pakaian seragam dan bukannya baju kurung.

"Saya juga meminta masa sampai hujung bulan untuk membeli pakaian seragam itu apabila gaji saya masuk, tetapi salah seorang daripada guru tersebut menyuruh saya minta bantuan duit BR1M,"katanya.

Lawrence berkata Britney telah memakai baju kurung ke sekolah sejak umurnya 12 tahun lagi dan selalu mengenakan butang baju.

Sementara itu, Mohd Amir yang dihubungi oleh Astro AWANI enggan memberikan apa-apa komen dan hanya berkata sekolah itu telah memberikan laporan penuh mengenai kejadian itu kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa Mohd Amir Abdul Ghani berkata pihak sekolah tidak pernah menghalang pelajar perempuan bukan Melayu untuk memakai baju kurung, cuma menekankan supaya memakai baju kurung dengan cara yang betul.

“Kalau hendak pakai baju kurung, pelajar mestilah memakai dengan betul iaitu memakai kesemua butang baju tersebut. Apabila kata begini, mereka anggap kita (sekolah) tidak benarkan pakai baju kurung.

“Sekolah tidak pernah menghalang sesiapa pakai baju kurung kerana ia adalah baju kebangsaan. Malah guru-guru bukan Melayu pun boleh pakai baju kurung,” katanya yang dipetik Bernama.

Mohd Amir berkata permintaan pihak sekolah supaya memakai kesemua butang baju kurung adalah bagi menjaga aurat pelajar sekali gus menjaga keselamatan pelajar itu sendiri.

Ekoran kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, semasa mengulas perkara itu berkata Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan arahan melarang pelajar perempuan bukan beragama Islam memakai baju kurung ke sekolah kerana pemakaian tersebut sejajar dengan dasar kementerian dalam soal pemupukan perpaduan. 

- Sumber: Astro Awani 

Selamat lahir ke dunia Baby R - Nurul Depp

Gambar fail memaparkan Nurul dan suaminya Eric Danial Depp bersama anak pertama mereka.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab selamat melahirkan anak lelaki di Pusat Perubatan Prince Court pada petang Khamis.

Menerusi blognya iaitu nurulwahab.wordpress, Nurul menyatakan perasaan gembira dengan kelahiran anak lelaki keduanya dan tidak menyangka akan menerima kehadiran Baby R seawal itu.

"Baby R... Really can't wait! Welcome to the world.

"Aku tak pilih tarikhnya.. dan tidak aku jangkaka.. Bukan saja aku.. Malah suami, ibu bapa mertua dan semua yang rapat di sekeliling aku, yang mana kami akan menyambut kelahiran Baby R seawal ini!

"Pada usia kandungan 34 minggu, Baby R dilahirkan. Placenta Previa yang aku alami sepanjang dua minggu lalu, tidak dapat menunggu sehingga awal Februari. Kita hanya merancang, Allah yang tentukan." tulisnya.

Menurut Nurul lagi, bayi seberat 2.45 kilogram itu selamat dilahirkan melalui proses pembedahan dan buat masa ini baby R masih lagi di bawah pengawasan doktor.

Sebelum kelahiran bayi kesayangannya itu, Nurul telah dimasukkan ke hospital pada Ahad berikutan kerana kandungannya mengalami sedikit masalah.

Anak lelaki yang diberi gelaran sebagai ‘Baby R’ itu merupakan anak kedua hasil perkahwinannya bersama suami tercinta Eric Danial Depp. 

--Sumber: Astro Gempak

Pengguna gajet Samsung bakal merasai revolusi rekaan produk

Jabatan rekaan Samsung bakal mendapat nafas baharu dengan pelantikan Lee Don-tae. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persaingan sengit dalam pasaran memerlukan Samsung segera mengubah rekaan produk-produk popularnya dan perkara itu semakin jelas apabila syarikat tersebut melantik seorang pereka berpengalaman yang mampu lari daripada gaya konvensional.

Portal Korea Joong Ang Daily melaporkan, syarikat gergasi tersebut sekali lagi mahu merevolusi pendekatannya dalam bidang rekaan dengan melantik Lee Don-tae, iaitu presiden bersama Tangerine, sebuah firma perunding rekaan global.

Awal bulan ini, Samsung telahpun melantik tokoh berusia 47 tahun yang berasal dari Gangwon itu untuk mengetuai pasukan rekaan globalnya.

Lee yang merupakan seorang profesor di jabatan rekaan industri Universiti Hongik menyertai Tangerine sebagai pelatih pada tahun 1998 dan kemudian menjadi presiden selepas tujuh tahun berkhidmat di situ.

Tangerine yang berpangkalan di London diasaskan oleh Jonathan Ive yang juga timbalan presiden kanan bahagian rekaan di Apple yang bertanggungjawab dalam projek rekaan iPhone, iPad dan IOS7.

Samsung mengharapkan Lee untuk menyerapkan DNA rekaan Tangerine ke dalam produk-produknya sama seperti yang dilakukan Ive kepada Apple.

Pemerhati industri kini memantau dekat pelantikan Lee oleh Samsung kerana dia bukan sekadar dikenali sebagai pereka malah seorang ‘usahawan rekaan’.

Lee yang memegang sarjana daripada Royal College of Art di London sangat dikagumi kerana kejayaannya mereka semula kabin kelas bisnes bagi pesawat Bristish Airways.

Mengenai rekaan yang mendapat pelbagai pengiktirafan tersebut, Lee telah mengubah susun atur kerusi dalam bentuk ‘S’ bagi memaksimumkan penggunaan ruang dan membolehkan tempat duduk itu dibaringkan menjadi katil.

- Sumber: Agensi

Pulangkan buku teks gambar 'lelaki kahwin lelaki' - Penerbitan Bagus

KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbitan Bagus Sdn Bhd meminta semua ibu bapa pelajar tahun empat untuk segera memulangkan buku teks terbitan mereka yang memaparkan gambar salasilah lelaki berkahwin dengan lelaki di kedai buku berdekatan.

Dengan mengakui kesilapan cetakan gambar itu adalah sesuatu yang tidak disengajakan, penerbitan berkenaan juga memaklumkan edisi baharu buku itu akan dicetak dan diganti semula dalam masa terdekat.

'Penerbitan Bagus akan mencetak semula buku bagi tajuk di atas kepada edisi baharu dalam masa terdekat kerana terdapat kesilapan di dalam cetakan pertama yang tidak disengajakan.

"Pihak kami meminta ribuan kemaafan di atas kesilapan itu. Pihak kami akan menarik semula semua stok yang telah diedarkan bagi buku bertajuk di atas dan menggantikannya dengan edisi baharu," kata wakil penerbitan itu di dalam catatan di laman Facebook mereka.


(Muka surat di buku teks DSKP Sejarah tahun empat yang memaparkan kesilapan gambar lelaki berkahwin lelaki di dalam salasilah keluarga - Sumber gambar WhatsApp)


Baru-baru ini, ibu bapa berkenaan digemparkan dengan sekeping gambar yang menunjukkan kesalahan satu buku teks sekolah yang memaparkan hubungan songsang dalam salasilah kekeluargaan, penerbit buku Dokumen, Standard, Kurikulum dan Pentafsiran (DSKP) Sejarah tahun empat.

Gambar itu tersebar melalui sistem pesanan WhatsApp dan menimbulkan pelbagai persoalan mengapa perkara itu boleh terjadi.

Sementara itu, dalam catatan berasingan di laman Facebook penerbitan berkenaan, mereka turut memaklumkan penukaran buku sudah boleh dibuat di semua toko buku yang berkenaan.

"Semua pelanggan sama ada guru-guru, ibu bapa dan murid-murid boleh menukar semua buku bertajuk di atas di kedai-kedai buku sekolah atau kedai buku di luar sekolah yang berdekatan.

"Anda akan menerima buku edisi baharu. Penukaran adalah secara satu dengan satu dengan buku penerbitah baharu.

"Kami juga akan menghantar semula semua stok buku edisi terbaharu kepada semua pembekal dan kedai buku seluruh Malaysia yang menerima stok buku dari Penerbitan Bagus Sdn. Bhd.," jelas laman Facebook penerbitan berkenaan.


(Pihak Penerbitan Bagus memohon maaf di laman Facebook mereka kerana kesilapan cetakan yang memaparkan kesilapan gambar lelaki berkahwin lelaki di dalam salasilah keluarga - Gambar Facebook Penerbitan Bagus)

Sementara itu, laporan sebuah portal memberitahu wakil penerbitan berkenaan memaklumkan, kesilapan terjadi pada format komputer pencetakan.

"Kami bukan sengaja kesilapan pada ‘setting computer’, sehingga keluar gambar lelaki dan lelaki.

"Kami harap ibu bapa dan guru boleh bersabar kita akan cetak dan ganti semula semua buku yang dibeli.

"Ibu bapa atau pihak sekolah tidak perlu mengemukakan resit pembelian hanya kembalikan yang lama dan kita akan ganti yang baharu," katanya.

Penerbitan Bagus adalah sebuah syarikat yang menerbitkan buku kerja, kertas model dan bahan bacaan umum berkualiti tinggi.

Mereka menekankan misi pelajar didahulukan, pencapaian diutamakan dan ditubuhkan pada 1 Jun 2013 selain ibu pejabat syarikat itu beralamat di Shah Alam, Selangor.

- Sumber: Sinar Harian 

KFA kecewa keputusan FAM dalam isu Gary

  • Mukhriz Tun Dr Mahathir
  • Mukhriz Tun Dr Mahathir

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) amat kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di dalam isu status pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden KFA, persatuan negeri hanya mempertahankan peraturan yang dibuat oleh FAM iaitu pemain Harimau Muda perlu kembali ke negeri terlebih dahulu.

"Kita amat kecewa dengan keputusan FAM kerana kita hanya mempertahankan peraturan yang dibuat sendiri oleh persatuan bolasepak negara yang menghendaki pemain Harimau Muda yang tamat kontrak supaya kembali ke negeri masing-masing," katanya di Alor Setar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan bencana banjir sebanyak RM300,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang juga pengerusi MAIWP serta 100 kotak sabun pencuci daripada Muslimah Manufacturing Sdn Bhd di sini, malam ini.

Mukhriz berkata, keputusan FAM mengisytiharkan Gary yang berasal daripada Kulim sebagai ejen bebas selepas tempoh penggantungan tiga bulannya tamat seolah-olah menidakkan tugas KFA di dalam menggilap potensi pemain Harimau Muda itu. 

FAM yang bermesyuarat hari ini menggantung Gary selama tiga bulan berkuatkuasa hari ini dan mengenakan denda sebanyak RM50,000, selain mengisytiharkan pemain itu sebagai milik Harimau Muda C di bawah FAM dan bukan Kedah.

"Keputusan FAM itu seolah-olah menunjukkan kita tidak ada jasa langsung di dalam karier Gary," katanya sambil menambah, potensi Gary digilap di Kedah terlebih dahulu sebelum beliau diterima masuk ke sekolah sukan di luar negeri ini.

Beliau juga berkata, keputusan FAM mengenai isu Gary itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap negeri-negeri yang memiliki pemain dengan pasukan kebangsaan sama ada mereka perlu melepaskan mereka untuk tugas-tugas kebangsaan.

Apa yang perlu selepas ini katanya, pemain-pemain negeri yang dikehendaki berkhidmat dengan pasukan kebangsaan diikat dengan perjanjian yang ketat dengan FAM bagi memastikan pemain itu kembali ke negeri asal selepas tamat khidmat mereka dengan pasukan kebangsaan.

"Mereka (pemain-pemain negeri) perlu mempunyai perjanjian," katanya tentang kedudukan dua pemain Kedah, Farhan Roslan dan Shazwan Tajuddin yang dipanggil oleh FAM untuk menjalani latihan dengan pasukan kebangsaan.

Mukhriz juga menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan mendadak gaji pemain-pemain setiap tahun yang akan membebankan persatuan negeri yang tidak mempunyai sumber dana yang besar seperti Kedah dan mahukan perkara itu dikawal.

Katanya, terdapat kemungkinan bolasepak di negara hanya dikuasai oleh beberapa negeri yang kaya dan mempunyai pelbagai sumber kewangan.

- Sumber: Bernama

Shila Amzah undur dari ABPBH kerana media

  • Shila  Amzah
  • Shila Amzah

SELEBRITI tanah air, Shila Amzah kali ini tampil mengulas mengenai punca penarikan dirinya daripada bertanding di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) untuk tahun ini.

Memetik daripada sebuah video rakaman dari akaun rasmi Instagramnya, Shila berkata, dia tidak akan menyertai majlis anugerah berprestij itu berikutan tindakan media yang memboikotnya.

“Semua (media Melayu) telah bertindak memboikot saya, jadi saya membuat keputusan untuk tidak menyertai Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada hari ini,” katanya seperti yang dipetik menerusi video rakaman menerusi akaun IGnya.

Sementara itu, kapsyen status video itu juga turut mengesahkan kenyataan yang direkod dan disiarkan melalui akaun IG Shila.

“Shila Amzah Entertainment Berhad telah membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun ini kerana mempunyai konflik dengan sesetengah media,” katanya.

Paparan tersebut turut disertakan hash tag #shilalas dan #wearestillunited untuk menghargai peminat yang selama ini menyokong karier seninya.

Shila Amzah sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dengan media Melayu dengan mendakwa media Melayu tidak memberikan sokongan terhadap kerjayanya sebagai artis tempatan.

Hal demikian kerana hanya media dari syarikat akhbar Cina sahaja yang muncul untuk membuat liputan terhadap konsertnya yang berlangsung di Jalan Klang Lama, pada September tahun lepas.

Kenyataan tersebut kemudiannya dihujani balas oleh kritikan hebat media tempatan khususnya media cetak dan elektronik Melayu yang mendakwa, mereka sebenarnya tidak mendapat jemputan rasmi oleh pihaknya untuk ke konsert tersebut.

- Sumber: Sinar Harian 

Gadis Itali si penebar roti canai


KHABARNYA ada sebuah gerai menjual roti canai di Kedah sudah popular kerana penebar roti canainya adalah seorang gadis Itali.

Gadis cantik tersebut bernama Chantal Viola dan berasal dari Rome. Chantal merupakan seorang pelajar yang sedang mengikuti program pertukaran pelajar ke Malaysia.

Apa yang menariknya, Chantal memilih untuk memakai tudung ketika membantu jirannya berniaga di gerai tersebut.

Di mana lokasi gerai ini, kami pun tak tahu.

Apa yang pasti, foto-foto Chantal sudah viral di laman sosial dan ramai yang tak sabar menikmati roti canai dari air tangan gadis Itali yang sedang mendalami Bahasa Melayu ini.

- Sumber: Sinar Harian 

Isu gadis K-Pop hanya ‘tip of the iceberg’

  • K-Pop

SHAH ALAM – Insiden ‘panas’ atas pentas K-Pop yang akhirnya menjadi viral dan mendapat perhatian masyarakat Islam hanyalah secebis daripada masalah akidah yang berlaku dalam umat Islam di negara ini.

Pendakwah, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berkata, masalah dalam masyarakat Islam itu sendiri lebih besar jika dibandingkan dengan insiden tersebut.

“Sebenarnya masalah ini lebih luas daripada apa yang berlaku di atas pentas itu. Sebab apa yang berlaku dalam masyarakat lebih besar daripada itu.

“Isu K-Pop itu hanya ‘tip of the iceberg’. Yang kita nampak di laut itu hanya permukaan kecil ais itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, adegan-adegan dalam drama ataupun filem yang disajikan kepada masyarakat umum setiap hari itu adalah antara contoh ‘masalah’ dalam masyarakat Islam, hari ini.

“Padahal masalahnya berakar umbi pada kefahaman masyarakat kita sendiri...akidahnya bagaimana. Itu yang sepatutnya kita fokuskan dan perkemaskan.

“Contohnya drama yang ditayangkan di TV. Itu adalah salah satu daripada benda-benda yang kita nampak setiap hari. Banyak lagi sebenarnya (yang berlaku),” katanya.

Mengulas soal kenyataan beberapa pihak yang mencadangkan dakwah dan menentang keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk mengenakan tindakan itu, beliau berkata kedua-duanya perlu dilaksanakan.

“Kedua-duanya itu perlu dibuat. Dakwah kena buat, tindakan pun perlu dibuat. Tapi tindakan itu tidak perlulah diheboh-hebohkan. Tindakan itu ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.

“Kalau nak ambil tindakan, tak perlu sampai memalukan pihak yang terbabit itu sampai menimbulkan aib kepada keluarga. Khidmat nasihat syariah, kaunseling dan sebagainya perlu disediakan kepada mereka ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan sahaja yang berkuasa ‘menyuruh’ masyarakat Islam negara ini mematuhi garis panduan dalam Islam.

“Kita tahu...contohnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dah ada garis panduan. Lama dah ada tapi dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan itu tidak ada. Jakim hanya mampu membuat garis panduan tapi garis panduan itu seolah-olah dipandang sepi. Tidak diletakkan di tempat yang tinggi.

“Kita kata Islam adalah agama Persekutuan tapi apabila Jakim letak garis panduan, kita letak tepi pula. Sepatutnya kena ambil cakna apa yang dinasihatkan dan segala garis panduan daripada pihak berkuasa agama itu sendiri,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian