Tuesday 23 December 2014

ASNB umum agihan pendapatan 6.45 sen seunit

Peruntukan bagi pengagihan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM107.57 juta, peningkatan 7.28 peratus berbanding RM100.27 juta tahun lepas.

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.45 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Peruntukan bagi pengagihan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM107.57 juta, peningkatan 7.28 peratus berbanding RM100.27 juta tahun lepas.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata pembayaran berkenaan akan memberi manfaat kepada 1.26 juta pemegang unit yang melanggan 1.66 bilion unit ASN.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berdasarkan kapasiti, ASNB boleh membayar 11.2 sen seunit.

“Jumlah 6.45 sen adalah sesuai dengan kedudukan pasaran saham yang menurun dengan indeks turun sedikit, cuma kita harap ini peluang pengurus dana buat strategi lebih baik untuk mantapkan portfolio kita," katanya.

“Ini masa pilih portfolio sesuai untuk pelaburan jangka panjang yang mantap”, tambah Hamad Kama pada sidang media selepas pengumuman pengagihan keuntungan ASN di sini, hari ini.

Sehingga 22 Disember 2014, ASN memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM138.99 juta melibatkan sumbangan dari keuntungan jualan saham sebanyak RM89.68 juta atau 64.5 peratus.

Sementara pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM39.01 juta atau 28.1 peratus dan selebihnya iaitu RM10.30 juta atau 7.4 peratus diperoleh daripada lain-lain pendapatan.

Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih pada 31 Disember 2014.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan mereka di semua cawangan ASNB seluruh negara bermula 2 Januari 2015.

Semua urus niaga ASN di ibu pejabat ASNB dan cawangan ditangguh sehingga 1 Januari bagi membolehkan proses kemas kini dilakukan. 

- Sumber: Astro Awani 

Khabar angin Malaysia akan jadi sasaran pengganas

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan khabar angin bahawa Malaysia menjadi sasaran kumpulan pengganas yang akan melakukan serangan khususnya semasa perayaan Krismas nanti.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), ACP Datin Asmawati Ahmad berkata khabar angin itu yang tersebar melalui media sosial seperti WhatsApp adalah palsu.

"Sebaran maklumat melalui Whatsapp itu meminta agar orang ramai tidak mengunjungi pusat-pusat membeli belah dan tempat-tempat awam buat sementara bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan.

Asmawati berkata maklumat itu turut mendakwa kerajaan telah mengeluarkan amaran berhubung perkara itu dan meminta agar orang ramai berwaspada.

PDRM menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya serta tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu tersebut kerana tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh menjejaskan ketenteraman awam dan kualiti hidup masyarakat seharian.

- Sumber: Bernama

Sebuah chalet di Rusila hampir runtuh dibadai ombak besar

Kira-kira 10 pelancong yang menginap di sebuah chalet di Marang cemas apabila penginapan mereka hampir runtuh akibat ombak besar malam tadi. -Gambar hiasan

MARANG: Kira-kira 10 pelancong yang menginap di sebuah chalet di sini berdepan detik cemas setelah tempat penginapan mereka hampir runtuh akibat dipukul ombak besar malam tadi.

Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Latifah Hamid, 51, berkata ketika dia bersama lima lagi ahli keluarga sedang berehat, mereka terkejut apabila melihat pagar chalet tempat penginapan mereka serta beberapa batang pokok kelapa berdekatan tumbang menyembah bumi.

"Kami datang ke sini untuk bercuti sambil melihat ombak dan mengambil keputusan menyewa chalet berhampiran pantai Rusila namun tidak menyangka ombak besar itu hampir meruntuhkan tempat penginapan kami," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya apabila melihatkan keadaan itu, beliau segera memaklumkan pemilik chalet sebelum disuruh mengemas barang untuk berpindah ke chalet lain yang jauh dari kawasan pantai bersama empat penghuni lain yang turut menginap di situ.

"Semasa mendaftar masuk ke chalet semalam ketika itu angin kencang namun ombak tidaklah sebesar malam tadi," katanya.

Sementara itu, pemilik chalet Jamilah Abdullah berkata sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau mengarahkan semua penghuni berkenaan berpindah.

Jamilah berkata apabila tiba di situ, beliau mendapati 12 bilik di tepi pantai berkenaan tergantung setelah sebahagian tanah di bawah bilik tersebut terhakis dibawa ombak.

"Sejak 10 tahun beroperasi, ini merupakan kali pertama insiden seperti ini berlaku, nasib baik penghuni tersebut menyedari kejadian ini dan tiada perkara lebih buruk berlaku," katanya.

Menurutnya sekarang ini terdapat 12 bilik yang terletak kira-kira 50 meter berhampiran pantai.

Katanya benteng penahan hakisan yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak dua tahun lalu turut dihanyutkan ombak.

- Sumber: Bernama

Lebih 100 penduduk di Tenom dan Beaufort ditempatkan di Pusat Pemindahan

Antara kampung terjejas ialah Kampung Mandalom Lama, Kampung Batu, Kamping Pantugon Sasa, dan beberapa kampung di Kemabong - Foto Facebook Nim Yorza

KOTA KINABALU: Lebih 100 penduduk di tujuh buah kampung di daerah Tenom dekat sini terjejas banjir pada Isnin dan dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara.

Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan berkata antara kampung terjejas ialah Kampung Mandalom Lama, Kampung Batu, Kamping Pantugon Sasa, dan beberapa kampung di Kemabong termasuk Kampung Bangkulin dan Kampung Labut.

Beliau berkata pusat terlibat ialah Desa Sapong Atas menempatkan 29 orang, Rumah Kebudayaan Mandalom Lama (18 orang), Rumah Kebudayaan Bangkulin (19 orang), Kampung Pantugon Sasa (17 keluarga), Rumah Kebudayaan Labut (22 keluarga), Balairaya Sebak dan Rumah Kebudayaan Batu-Batu (41 keluarga) dan Rumah Kebudayaan Kampung Nalayan (18 orang).

"Bantuan makanan daripada jabatan kebajikan sedang diedarkan kepada mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata paras air sungai di Tenom setinggi 178 meter melebihi paras bahaya 177 meter, sehingga lewat petang Isnin.

Katanya, berkata bilik gerakan operasi dibuka 24 jam dan pemantauan daripada pihak berkuasa akan sentiasa dijalankan.

Madiyem turut menasihatkan penduduk yang kawasan mereka berisiko dinaiki air banjir supaya segera berpindah sekiranya cuaca semakin buruk.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata bilik gerakan operasi bencana alam daerah diaktif berikutan tiga buah kampung terjejas banjir.

Mohd Shaid berkata penduduk kampung terbabit, Kampung Binunuk, Kampung Balibata dan Kampung Bakalau dipindahkan di Dewan Masyarakat Baru Beaufort sejak petang Isnin.

"Jumlah penduduk belum dapat dipastikan kerana perpindahan baru bermula dan kawasan-kawasan yang sering terjejas banjir diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan dipantau rapi," katanya.

Beliau berkata paras air sungai Padas setinggi 9.11 meter, melepasi paras bahaya 8.70 meter. Situasi banjir ini merupakan kali keempat berlaku di Tenom dan Beaufort pada tahun ini.

Pertama pada Februari, kedua Mei dan ketiga November lepas. 

- Sumber: Bernama

Tujuh peserta ekspedisi ke Gunung Nering di Jeli Hilang

Seramai dua anggota bomba dan dua penduduk kampung telah dihantar untuk operasi pencarian dan pihak bomba sedang mendapatkan pasukan bantuan

KOTA BHARU: Tujuh peserta ekspedisi - lima lelaki, dua wanita - dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Nering, di Jeli.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Soleh Nasir berkata ekspedisi yang bermula pada 11 Dis lalu itu dijangka berakhir semalam (21 Dis) namun pada 19 Dis, rakan mangsa yang berada di bawah kaki gunung itu tidak dapat menghubungi mereka.

"Kemudiannya pada hari sama (19 Dis), salah seorang daripada peserta itu ada menghubungi rakannya menggunakan walkie talkie untuk memberitahu mereka berhasrat tidak meneruskan pendakian dan akan tiba di Sungai Terang di kaki gunung itu pada 21 Dis (Ahad) pukul 4 petang, namun tidak muncul," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Soleh berkata seramai dua anggotanya dan dua penduduk kampung telah dihantar untuk operasi pencarian dan pihak bomba sedang mendapatkan pasukan bantuan untuk meneruskan operasi itu.

Katanya, pihaknya juga sedang mengenalpasti identiti peserta ekspedisi itu serta alamat kediaman mereka. 

- Sumber: Bernama

Banjir landa Kelantan luar biasa

Ketua Balai Polis Laloh, Sarjan Mejar Hamatli Seman bersama seorang anggotanya dan orang kampung membuat tinjauan keadaan banjir akibat limpahan air dari Sungai Lata Rek.

TUMPAT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung terutama di Kelantan ketika ini adalah 'luar biasa'.

Beliau meminta semua pihak memandang serius perkara itu bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

Shahidan berkata ketika ini beberapa paras air sungai utama di negeri-negeri berkenaan dilaporkan kembali meningkat ke paras bahaya yang berkemungkinan jumlah mereka yang dipindahkan akan lebih ramai lagi.

"Dalam masa yang sama air sungai kembali naik di Gua Musang. Kuantan (Pahang) dan Besut di Terengganu pula ada yang berpindah semula.

"Fenomena ini kena ambil ingatan dan perlu berhati-hati kerana dalam kejadian hujan yang turun dan jika berterusan ini boleh berlaku gelombang yang lebih besar," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2 di sini, petang ini.

Setakat malam ini lebih 16,000 mangsa banjir dilapor ditempatkan di 60 buah pusat pemindahan di lapan jajahan di Kelantan.

Terbaharu, banjir itu juga menyebabkan hampir 200 penduduk di Gua Musang berpindah berikutan limpahan air Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Kelantan yang kini melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat sejak semalam.

Shahidan juga kesal kerana ada penduduk di negeri ini yang menjadikan banjir sebagai pesta mandi-manda yang sepatutnya dielakkan kerana khuatir boleh berlakunya musibah terhadap mereka.

"Kali ini bukan banjir biasa...ia luar biasa dan jika setiap tahun mereka menganggap ia adalah pesta tetapi kali ini jangan buat begitu.

"Air banjir kali ini arusnya deras..ia nampak laju dan saya harap berhati-hatilah mengenainya," katanya.

Sementara itu Shahidan juga berpuas hati dengan keberkesanan agensi yang terbabit dalam membantu mangsa banjir.

"Saya ucap terima kasih tetapi ada juga masalah kecil di sesetengah tempat. Keseluruhannya elok dan kita akan menambah lagi barangan basah yang penting di pusat pemindahan," katanya. 

- Sumber: Astro Awani 

Akaun Twitter palsu Astro AWANI?

AKAUN PALSU: Akaun Twitter Bistro Awani menggunakan handle yang hampir sama dengan akaun rasmi Astro AWANI telah bertindak menyebarkan berita palsu.


Sejak kebelakangan ini, Astro AWANI dihujani pertanyaan mengenai pelbagai khabar angin yang kononnya datang dari laman Twitter rasmi kami.

Setelah diselidiki ia merupakan akaun palsu yang menggunakan nama yang seakan sama dengan Astro AWANI.

Perkara ini bukan kali pertama berlaku, sebelum ini satu tweet palsu mengenai penjualan tiket online final Piala AFF telah tersebar, yang menyebabkan ramai mempercayainya.

Selain itu, ketika tragedi pesawat MH370 berlaku, beberapa akaun Twitter palsu yang menggunakan nama Astro AWANI turut cuba mengambil kesempatan.


Akaun Twitter rasmi Astro AWANI adalah @501Awani dan telah didaftarkan sejak tahun 2012


Kami memohon agar pembaca setia di luar sana melaporkan sebagai spam kepada Twitter mana-mana akaun palsu yang menggunakan nama Astro AWANI.

Untuk rekod, akaun Twitter rasmi Astro AWANI adalah @501Awani dan telah didaftarkan sejak tahun 2012.

Akaun ini turut mendapat badge biru tanda pengesahan dari Twitter dan sehingga hari ini, akaun tersebut telah mengumpul lebih dari 300,000 pengikut.

- Sumber: Astro Awani