Tuesday, 5 November 2013

Polis Thai siasat kaitan letupan bom Selatan Thai

NARATHIWAT - Polis di selatan Thailand sedang menyiasat sama ada lima butir bom yang diletupkan di Narathiwat petang semalam angkara puak pemisah ataupun ada kaitan dengan keadaan politik yang meruncing di Bangkok.
   
Ketua Polis Daerah Muang Narathiwa,t Kol Pol Somporn Misuk berkata, polis sedang menyiasat kejadian di Muang Narathiwat dan Rusak memandangkan wujud penentangan terhadap kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra di Bangkok sekarang.
   
Tiga letupan bom di daerah Rusak dan dua di daerah Muang Narathiwat menyebabkan 14 orang cedera.
   
Bom pertama meletup pada 6.05 petang waktu tempatan di sebuah kedai serbaguna yang terletak di kawasan perbandaran Rusak, Narathiwat.
   
Ketua Polis Daerah Rusak Kol Pol Anothai Jindamani berkata bom seberat 1kg diisikan dalam tin semburan sebelum diletak atas rak barang dalam kedai itu.
Bom diaktif menggunakan jam tangan digital menyebabkan tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak cedera.
   
Bom kedua dan ketiga diletupkan pada masa yang sama iaitu 10 minit selepas bom pertama, dan dilakukan hanya 200 meter daripada tempat kejadian bom pertama.
   
Dalam kedua-dua letupan itu tiada laporan kecederaan dan kematian.
   
Pada masa yang hampir sama dan 50km dari situ, di Bandar Muang Narathiwat, dua bom diletupkan menyebabkan tujuh orang cedera dan dua kereta rosak.
   
Bom pertama dipasang dalam tin semburan seberat 1kg diletakkan di bawah kerusi di hadapan pusat karaoke yang terletak 400 meter dari hospital Narathiwat Rachanakarin.
   
Ketika pegawai dalam perjalanan ke tempat kejadian sebutir lagi bom diletupkan kira-kira 60 meter dari tempat kejadian bom pertama, kata Kol Pol Somporn Misuk.


BERNAMA

Ribut: 23 bumbung rumah di Kampung Manjoi rosak

IPOH - Sebanyak 23 bumbung rumah di Kampung Manjoi di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut lewat petang semalam.

   
Anggota Dewan Undangan Negeri Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berkata kejadian pada pukul 6.45 petang itu mengakibatkan beberapa bumbung rumah ranap manakala yang lain mengalami sedikit kerosakan akibat kejadian itu.
   
Bumbung rosak membabitkan 13 buah rumah di Jalan Juara, Jalan Pemimpin (empat buah), Jalan Menteri (empat), Jalan Perwira (1) dan Jalan Pegawai (1), katanya.
   
Katanya kejadian itu dimaklumkan oleh seorang jemaah pada satu program yang berlangsung di sebuah surau di Kampung Manjoi semalam, katanya.
   
Beliau berkata empat keluarga yang tinggal di rumah sewa di Jalan Pemimpin dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Manjoi hari ini.


"Mereka tinggal di pusat pemindahan sehingga bumbung rumah mereka siap dibaiki dan sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diberikan," katanya.

   
Ziad berkata anggota Gerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno kawasan Tambun digerakkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa membersihkan rumah mereka, petang ini.
   
"Buat sementara ini bumbung rumah mangsa diganti dengan plastik tebal kerana kita mempunyai kekangan untuk mendapatkan bumbung baru berikutan hari ini merupakan cuti umum, namun pengedar berjanji untuk memberi bumbung baru itu esok," katanya.

BERNAMA 

Pengawal keselamatan maut, anak saudara parah


KUALA TERENGGANU - Seorang pengawal keselamatan maut manakala anak saudaranya parah selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta yang terbabas dari arah bertentangan di Km6, Jalan Dungun-Bukit Besi di Dungun hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Che Wan Manan Che Wan Awang, 57, yang bertugas di Bank CIMB Dungun maut di tempat kejadian.
   
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata anak saudara Che Wan Manan, Muhamad Riduan Mat Lazim, 10, patah tangan dan paha kiri kini dirawat di Hospital Dungun.
   
Isteri mangsa Mek Ngah Taha, 53, dan pemandu sebuah lagi kereta Mohd Shahiran Aurika Hamdi, 22, isterinya Nor Fatin Farahanim Azami, 17, dan anak mereka Mohamad Wildan Ikhwan, 11 bulan, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama, katanya ketika dihubungi Bernama.

BERNAMA 

Dalang sindiket palsu pas kerja

Dalang sindiket palsu pas kerja ditahan

Jabatan Imigresen Johor menahan seorang lelaki warganegara India berusia 44 tahun yang disyaki dalang sindiket pemalsuan pas lawatan kerja sementara di sebuah premis di Taman Sri Puteri, Skudai.

Dalam serbuan pada 2.30 pagi selepas intipan sebulan itu, jabatan tersebut turut menahan 42 warganegara India dan seorang warganegara Nepal yang sedang menunggu pas palsu disiapkan.

Ketua Penyelaras Ops Bersepadu 6P Masri Adul berkata siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi hampir setahun dengan premis itu dijadikan tempat transit pekerja asing yang mendapatkan pas itu dengan bayaran RM8,400 seorang.

"Modus operandi yang digunakan mereka mudah, ejen akan membawa pekerja dari India dengan menggunakan pas lawatan sosial dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Mereka bergerak ke Johor dengan menaiki bas pada waktu yang ditetapkan ejen mereka, ia bagi mengelak pihak berkuasa dan tinggal di tempat transit selama seminggu untuk mendapat pas palsu sebelum dihantar ke kilang-kilang atau premis yang memerlukan pekerja asing," katanya dalam sidang akhbar.

Masri berkata siasatan awal juga mendapati ada pihak majikan bekerjasama dengan ejen untuk mendapatkan bekalan pekerja asing tanpa melalui Jabatan Imigresen bagi menjimatkan kos tanpa perlu membayar levi dan pemeriksaan kesihatan.

Pihak jabatan akan membuat siasatan terhadap kilang yang dipercayai bekerjasama dengan ejen terbabit, katanya.

Masri berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 81 pasport, dakwat, komputer, mesin pencetak dan sebuah kereta yang digunakan sindiket itu.

Kesemua yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah akan dihantar ke depoh tahanan di Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan, katanya.

BERNAMA

1,250 rakyat Malaysia hadiri pesta durian di Melbourne

MELBOURNE - Bau durian begitu ketara apabila kira-kira 1,250 rakyat Malaysia di Australia menikmati kelazatan "Raja Buah" itu pada Pesta Durian di sini, malam tadi.

Untuk menjayakan pesta ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuat penghantaran khas durian jenis D24 dan "Musang King" atas permintaan Konsul Jeneral Malaysia di sini.

Pesta berkenaan, yang berlangsung di Laman SP Setia Bhd di St Kilda Road di sini, turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Bagi rakyat Malaysia, durian lebih daripada sejenis buah, ia makanan istimewa kami," katanya.

Anifah, yang gembira dengan kehadiran begitu ramai rakyat Malaysia pada pesta itu, juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Australia kerana memberi laluan kepada hasil pertanian Malaysia seperti durian memasuki pasaran negara ini.

Hidangan istimewa Malaysia lain seperti teh tarik, roti jala, roti canai dan sate turut disajikan pada pesta ini.

Konsul jeneral Malaysia Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya pula melahirkan harapan agar pesta ini dijadikan acara tahunan.

BERNAMA

Remaja buat maksiat dalam kebun

Buat maksiat dalam kebun
Pondok dalam kebun kelapa sawit ini dijadikan port sepasang remaja bermadu kasih sebelum mereka ditangkap SRS Paloh Nyior, pagi semalam.

Buat maksiat dalam kebun
Selimut dan bantal turut ditemui dalam pondok


HULU TERENGGANU - Perbuatan sepasang remaja menjadikan sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit, di sini, sebagai port memadu kasih mengundang padah apabila kegiatan tidak bermoral mereka dihidu anggota SRS Paloh Nyior, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasangan berusia 16 tahun terbabit dipercayai sedang melampiaskan nafsu, namun hasrat mereka terbantut apabila menyedari kehadiran anggota SRS Paloh Nyior dan polis.

Difahamkan, remaja perempuan berasal dari Kampung Telaga itu terlebih dahulu menunggang motosikal mengambil pasangannya yang tinggal di Kampung Getang sebelum kedua-dua mereka tiba di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar jam 7.30 pagi.

Setiausaha SRS Paloh Nyior, Abdul Manat Ibrahim, 63, berkata, kehadiran pasangan terbabit disedarinya setelah mendapati terdapat sebuah motosikal berhampiran pintu pagar kebun sawit itu ketika dia sedang melakukan rondaan.

“Sebagaimana kebiasaan, saya kerap lakukan rondaan sekitar kawasan kampung apatah lagi malam tadi (semalam) bertugas sebagai anggota SRS.

“Ketika melalui kebun sawit ini, saya lihat sebuah motosikal dan ia adalah motosikal sama ditemui pada minggu lepas,” katanya.

Kata Abdul Manat, dia mengesyaki sesuatu setelah mendapati pintu pagar kebun berkunci manakala pemilik kebun itu tinggal di Kemaman.

“Saya memaklumkan anggota SRS yang lain selain turut hubungi polis. Pondok terletak kira-kira 50 meter jaraknya dari pagar ini pernah jadi lokasi penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, hasil serbuan didapati sepasang remaja dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka akui pernah ke sini sebelum ini. Dalam pondok ini turut terdapat gebar dan bantal tidak pasti sudah ada atau dibawa mereka.

“Pasangan ini dibawa ke Balai Polis Kuala Telemong sebelum dimaklumkan ibu bapa masing-masing,” katanya.

Difahamkan, remaja lelaki itu sudah tidak bersekolah manakala yang perempuan masih bersekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kedua-dua remaja itu ditahan untuk jalani ujian air kencing, bagaimanapun hanya remaja lelaki didapati positif dadah serta masih ditahan.

Sinar Harian

Enam terbunuh akibat feri karam di Thailand

Enam terbunuh akibat feri karam di Thailand

Enam pelancong, termasuk dua warga Rusia dan China terbunuh selepas feri yang mereka naiki karam di timur Thailand.

Semasa kejadian, feri itu dikatakan membawa lebih penumpang.

Tiga lagi mangsa ialah warga Thailand.

Kira-kira 200 pelancong asing berada di dalam feri dua tingkat itu yang dalam perjalanan dari Pulau Lan menuju ke Bandar Pattaya semasa nahas berlaku.

Polis Pattaya, Kolonel Suwan Cheawnavinthavat berkata, sebaik feri itu berlepas ia alami masalah enjin sebelum memaksa pelancong asing itu ke tingkat atas.

Keadaan itu menyebabkan feri senget dan kemudiannya karam.

Mangsa yang diselamatkan daripada kejadian itu termasuk seorang kanak-kanak warga Rusia berusia sembilan tahun.

Polis berkata, punca feri karam adalah disebabkan membawa lebih muatan penumpang.

Pattaya terletak kira-kira 100 kilometer ke tenggara Bangkok.

Astro Awani

Ultrabook pilihan terbaik masa kini

Ultrabook pilihan terbaik masa kini

KEMAJUAN teknologi menjadikan peranti atau gajet semakin maju dan canggih dari semasa ke semasa serta dilengkapi fungsi dan ciri-ciri untuk memudahkan pengguna.

Jika dahulu kita sering mendengar perkataan komputer tablet atau notebook, kini terdapat juga variasi baru digelar ultrabook yang menawarkan lebih ciri mudah alih berprestasi tinggi berbanding variasi komputer riba lain.

Beberapa jenama terkenal dalam dunia komputer turut mengeluarkan ultrabook tersendiri yang memiliki ciri seperti saiz lebih kecil, ringan dan nipis.

Dengan ketebalan hanya 12.9 milimeter, Acer Aspire S7 Ultrabook antara yang ternipis masa kini selain memudahkan pengguna membawanya ke mana sahaja, kerana komputer itu begitu ringan.

Aspire S7 mempunyai paparan skrin definisi tinggi penuh yang memaparkan butiran secara mendalam, selain fungsi multi-sentuhan 10 titik yang memberikan lebih kawalan dan ketepatan.

Aspire S7 direka dengan skrin paparan yang boleh dibuka sehingga 180 darjah dan sudut pandang yang boleh diterbalikkan.

Selain itu Aspire S7 juga boleh membolehkan pengguna menikmati kandungan media terus ke televisyen dengan teknologi Wireless Display (WiDi).

Acer Aspire S7 juga menggunakan rangka aluminium dan paparan kaca Gorilla Glass, menjadikan Aspire S7 sangat langsing, ringan dan kuat.

Acer Aspire S7 menggunakan sistem operasi Windows 8 dan komputer ini mempunyai berat hanya 1.3 kilogram serta jangka masa bateri yang panjang sehingga lapan jam.

Jika anda ingin sesuatu yang pantas dan ringan, Samsung ATIV Book 9 Lite adalah pilihan yang bagus kerana ia memberikan pengalaman komputer riba berprestasi tinggi.

Samsung menyedari pertimbangan utama rakyat Malaysia untuk komputer riba adalah peranti itu perlu menawarkan kemudahan mobiliti dengan keupayaan melakukan pelbagai tugas.

Dengan Samsung ATIV Book 9 Lite, kami mahu menghasilkan peranti yang memenuhi keperluan asas pengguna yang besar, di samping memelihara reka bentuk yang luar biasa dan pengalaman keseluruhan seperti yang ditawarkan Book 9.

Dibina dengan paparan anti-reflektif, pengguna kini boleh menikmati pengalaman visual yang lebih tajam dan jelas, kerana Samsung ATIV Book 9 Lite didatangkan dengan skrin LED 13.3 inci dengan resolusi tinggi.

Samsung ATIV Book 9 Lite baru ini dilengkapi dengan sistem operasi Windows 8 dan boleh dihidupkan hanya dalam masa lapan saat apabila butang kuasa ditekan dan dua saat jika berada dalam mod tidur.

Hari ini, orang ramai lebih menggemari teknologi sentuhan, menyebabkan teknologi itu digunakan di mana sahaja, termasuk dalam komputer kerana seluruh dunia berinteraksi melalui gajet dan kandungan digital.

Kami secara agresif menawarkan pengguna pelbagai produk komputer dan mempunyai salah satu portfolio terbesar bagi produk Windows 8 bagi mengekalkan kedudukan semasa kami sebagai pengeluar terbesar.

Lenovo IdeaPad S400 adalah komputer riba yang bergaya dan berpatutan dengan profil nipis, berat ringan dan hayat bateri yang panjang menjadikannya sempurna untuk golongan yang sentiasa bergerak.

Model ini boleh digambarkan sebagai sangat mengagumkan, serta menawarkan pelbagai ciri canggih .

Dari segi reka bentuk pula, Lenovo IdeaPad S400 menampilkan kemasan metalik dengan sentuhan paparan skrin yang lebar serta ringan, papan kekunci AccuType dan pad sentuh yang besar.

Dengan paparan 14 inci, Lenovo IdeaPad S400 menawarkan paparan skrin yang lebih cerah dan berwarnawarni berbanding sesetengah komputer riba bajet lain yang mempunyai sudut tontonan sempit.

Sinar Harian

Menara Maha setinggi 138m mercu tanda baharu Langkawi

PIPP mula pasang cerucuk Menara Maha
Pelan reka bentuk Menara Maha setinggi 138 meter dengan keluasan 28.5 ekar bakal dibangunkan dan menjadi mercu tanda Langkawi menjelang 2015. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - PFCE Integrated Plant and Project (PIPP) hari ini memulakan kerja-kerja pemasangan cerucuk bagi Menara Maha, mercu tanda baharu Langkawi dan projek pembangunan pelancongan bersepadunya seluas 11.5 hektar di pulau peranginan itu.

PIPP merupakan jentera tujuan khas yang diperbadankan untuk melaksanakan pembangunan Menara Maha dan pembangunan komersial sekitarnya.

Acara berkenaan dirasmikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut PIPP dalam satu kenyataan hari ini, projek tersebut yang dijadual siap pada pertengahan 2015 dengan anggaran RM300 juta dalam nilai pembangunan kasar (GDV), dijangka meningkatkan lagi aliran masuk pelancong ke pulau peranginan itu.

"Menara ikonik setinggi 138 meter mempunyai bilik kawalan telekomunikasi pada ketinggian 111 meter, dan dek peninjau pada ketinggian 102 meter, dengan pemandangan Pulau Dayang," katanya.

Pembangunan komersial sekitarnya akan antara lain terdiri daripada pangsapuri berkhidmatan, hotel dan unit perniagaan.

Tapak bagi projek pembangunan ini kini melalui kerja-kerja penambakan.

Penasihat Khas PIPP, Datuk Abu Hassan Mohamed berkata, selain menjadi mercu tanda di Langkawi, pembangunan itu juga akan menarik aktiviti ekonomi yang positif ke Langkawi dan negeri Kedah.

BERNAMA

Pistol ditemui dalam stadium perlawanan akhir Piala Malaysia

SHAH ALAM - Polis menemui sepucuk pistol bersama tujuh butir peluru hidup di salah satu tandas di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Pahang dan Kelantan berlangsung semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superitendan Ruslan Abdullah berkata, ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya masih berusaha mengesan pemilik pistol berkenaan dan motif senjata itu dibawa ke stadium itu.

"Buat masa ini kita tidak boleh memberi sebarang ulasan berhubung perkara itu kerana ia masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Difahamkan pistol itu ditemui oleh seorang anggota polis yang kebetulan masuk menggunakan tandas itu.

Ruslan berkata ,polis juga menahan 86 individu semalam atas kesalahan membawa tiket palsu namun kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis turut menahan lima lagi individu atas pelbagai kesalahan seperti menyalakan suar, membakar mercun dan membaling botol.

"Tindakan seperti itu bukan saja membahayakan diri sendiri, malah membahayakan nyawa penonton lain, termasuk kanak-kanak yang ada dalam stadium," katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya perlawanan malam tadi berjalan dengan lancar tanpa kejadian tidak diingini berlaku, katanya.

Ruslan berkata, polis menempatkan seramai 110 pegawai dan 1,482 anggota di kawasan dalam dan luar stadium termasuk di tempat meletak kenderaan, laluan masuk dan keluar stadium.

Pahang muncul juara Piala Malaysia 2013 selepas menewaskan Kelantan 1-0 hasil jaringan pemain import, Matias Ruben Conti di hadapan kira-kira 75,000 penyokong kedua-dua pasukan. - Bernama SHAH ALAM - Polis menemui sepucuk pistol bersama tujuh butir peluru hidup di salah satu tandas di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Pahang dan Kelantan berlangsung semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superitendan Ruslan Abdullah berkata, ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya masih berusaha mengesan pemilik pistol berkenaan dan motif senjata itu dibawa ke stadium itu.

"Buat masa ini kita tidak boleh memberi sebarang ulasan berhubung perkara itu kerana ia masih dalam siasatan pihak polis," katanya.

Difahamkan pistol itu ditemui oleh seorang anggota polis yang kebetulan masuk menggunakan tandas itu.

Ruslan berkata ,polis juga menahan 86 individu semalam atas kesalahan membawa tiket palsu namun kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis turut menahan lima lagi individu atas pelbagai kesalahan seperti menyalakan suar, membakar mercun dan membaling botol.

"Tindakan seperti itu bukan saja membahayakan diri sendiri, malah membahayakan nyawa penonton lain, termasuk kanak-kanak yang ada dalam stadium," katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya perlawanan malam tadi berjalan dengan lancar tanpa kejadian tidak diingini berlaku, katanya.

Ruslan berkata, polis menempatkan seramai 110 pegawai dan 1,482 anggota di kawasan dalam dan luar stadium termasuk di tempat meletak kenderaan, laluan masuk dan keluar stadium.

Pahang muncul juara Piala Malaysia 2013 selepas menewaskan Kelantan 1-0 hasil jaringan pemain import, Matias Ruben Conti di hadapan kira-kira 75,000 penyokong

Sinar Harian