Sumber dalaman KompasTekno yang enggan namanya disiarkan mengesahkan bahawa rakaman tersebut adalah rakaman sebenar ATC Juanda pada Ahad (28/12/2014).
KUALA LUMPUR: KompasTekno pada Selasa mendedahkan salinan rakaman komunikasi antara Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dengan pesawat AirAsia QZ8501.
Rakaman komunikasi itu memuatkan kebenaran ATC kepada pesawat itu untuk terbang di laluan Surabaya-Singapura.
Pada awalnya, rakaman tersebut diperolehi oleh KompasTekno melalui laman Soundcloud oleh pengguna dengan identiti "digitizing" pada 3 Januari 2014, setelah Kementerian Perhubungan Indonesia membekukan kebenaran terbang AirAsia laluan Surabaya-Singapura.
Sumber dalaman KompasTekno yang enggan namanya disiarkan mengesahkan bahawa rakaman tersebut adalah rakaman sebenar ATC Juanda pada Ahad (28/12/2014). Perkara tersebut disahkan berdasarkan lalu lintas pesawat lain yang dikawal pada pagi itu.
Fail tersebut dirakam dalam format UTC atau waktu Zulu (GMT +0) sehingga tarikh yang tercatat masih 27 Disember 2014 pukul 22.25 GMT, yang membawa maksud, Ahad 28 Disember 2014 pukul 05.25 Waktu Indonesia Barat (WIB).
Dalam rakaman audio berdurasi sekitar 20 minit tersebut, pada minit ke-10 terdengar suara dari AirAsia QZ8501 (dengan callsign Wagon Air 8501) yang memberitahukan posisinya di ruang parkir A9, dengan pendaftaran PK-AXC (Alpha X-ray Charlie), jumlah penumpang, dan tujuan Singapura.
Percakapan tersebut kurang lebih seperti berikut:
AWQ8501: "Tower, Wagon Air eight five zero one good morning..."
Tower: "Wagon Air 8501 good mornig Juanda Tower, go ahead..."
AWQ8501: "Eight five zero one (registrasi) alpha x-ray charlie parking stand Alpha Niner (A9) destination Singapore POB (passenger on board) one six one, request push and start, wagon air eight five zero one..."
Tower: "Wagon Air eight five zero one parking stand number Alpha niner Pushback and start approved heading west runway one zero, exit sierra two...
Tidak lama kemudian, pada minit ke-4, QZ8501 meminta kebenaran dari ATC untuk menuju ke landasan pacu. ATC kemudian mengarahkan QZ8501 ke landasan 10 yang sedang digunakan di saat itu.
Pada minit ke-07.07, ATC kemudian memberikan kebenaran penerbangan kepada QZ8501 melalui laluan udara M635 dengan ketinggian awal 24.000 kaki.
"Wagon Air eight five zero one clear to Singapore, mike six three five level two four zero initial, RAMPY one alpha departure squawk number seven zero zero five," demikian kata petugas ATC yang bersuara wanita tersebut.
Rakaman komunikasi itu boleh didengar
di sini.
Logiknya, jika ATC telah memberikan kebenaran, flight plan atau perancangan terbang tersebut telah dipersetujui danflight plan hanya boleh dibuat dan dipersetujui sekiranya sudah ada kebenaran dan slot di kedua-dua lapangan terbang berlepas dan destinasi.
Secara prosedur, jika ATC telah memberikan kebenaran, tentunya AirAsia sudah memiliki kebenaran terbang, sebagaimana yang diungkapkan oleh pihak di Singapura sebagai negara dituju.
Civil Aviation Authority of Singapore (CAAS) menerusi laman rasminya mengatakan bahawa AirAsia QZ8501 memiliki jadual penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada Ahad (28/12/2014).
Menurut CAAS, keizinan laluan Lapangan Terbang Juanda Surabaya di Indonesia ke Lapangan Terbang Changi di Singapura bagi pesawat AirAsia pada hari nahas tersebut merupakan kesepakatan kedua-dua negara.
CAAS menegaskan, persetujuan Indonesia-Singapura terhadap jadual penerbangan tersebut bermula sejak 26 Oktober 2014 sehingga 6 Mac 2015.
Perkara ini dibangkitkan apabila ketua pihak berkuasa Lapangan Terbang Juanda, Praminto Hadi sebelum ini menegaskan bahawa AirAsia tidak memiliki kebenaran terbang pada hari Ahad.
"AirAsia tidak mengajukan perubahan izin terbang dari Sabtu ke Minggu (ahad) kepada Dirjen Perhubungan Udara sehingga penerbangan Minggu ilegal (tidak dibenarkan)," ujar Praminto di Kompleks Mapolda Jawa Timur, pada Isnin.
QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 28 Disember 2014 jam 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari sama sebelum dilaporkan hilang.
Penumpang pesawat terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (3) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.
Krunya pula terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang Perancis.
Sehingga Selasa, 39 mayat telah berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat.
- Sumber: Astro Awani