Monday, 6 March 2017

Hebat: Kasut ini boleh memesan Pizza

Teknologi peranti berhubung menjanjikan dunia dimana kesemua produk di rumah menjadi pintar. Lampu tidur, pendingin hawa, televisyen dan katil pintar kesemuanya boleh dikawal melalui peranti pintar. Kini wujud pula kasut pintar Pie Tops, yang boleh memesan pizza dengan hanya menekan lidah kasut.


Kasut bola keranjang Pie Tops ini dihasilkan oleh Pizza Hut untuk mempromosikan pesanan Pizza secara atas talian sepanjang kejohanan bola keranjang peringkat universiti March Madness, Sebanyak 64 Pie Tops dihasilkan oleh Shoe Surgeon bagi mewakili 64 pasukan di dalam March Madness. Kesemua kasut ini akan diberikan secara percuma kepada selebriti dan juga pelanggan setia Pizza Hut.

- Sumber: Amanz 

Jam tangan 'Steve Jobs' edisi terhad


NAMA Steve Jobs tidak perlu diperkenalkan lagi. Usahanya mengembangkan jenama Apple sebagai produk yang mempunyai identiti tersendiri berjaya meletakkan namanya sebagai usahawan hebat di dunia.

Maka tidak hairanlah, apa jua yang dilakukannya menjadi tumpuan ramai. Malah tempias popularitinya turut dirasai beberapa jenama lain, termasuklah jam tangan Seiko Chariot yang pernah digayakannya menerusi muka hadapan majalah Time pada tahun 1984.

Jam tangan tersebut telah pun dilelong Februari tahun lalu dan harganya mencecah sehingga RM188,827

Atas sambutan itu, Seiko Chariot, membuat jualan semula dalam jumlah terhad, iaitu 1982 unit. Harga jualannya ialah 20,000 Yen (RM792). Bagaimanapun, kesemua edisi khas Seiko Chariot ini akan hanya dijual di Jepun.

- SH online | 6 Mac 2017

Korea Utara lepaskan empat peluru berpandu balistik



Korea Utara lepaskan empat peluru berpandu balistik

SEOUL - KOREA SELATAN. Korea Utara telah melepaskan empat peluru berpandu balistik ke arah lautan Jepun pagi tadi.

Memetik laporan BBC, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengesahkan perkara itu dengan menyatakan tiga daripadanya jatuh ke dalam zon ekonomi eksklusif Jepun (EEZ) selepas terbang setinggi 1,000km (620 batu) dan ia dianggap sebagai ‘peringkat baru dalam ancaman’.

Menurut seorang pegawai tentera Korea Selatan, peluru berpandu tersebut dilepaskan dari wilayah Tongchang-ri, sempadan Korea Utara dengan China.

Biarpun masih tidak tahu apakah jenis peluru yang dilepaskan, namun Korea Utara dilihat telah melanggar perintah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak melakukan sebarang cubaan melepaskan atau apa sahaja dalam bentuk nuklear.

Pejabat tentera Korea Selatan turut mengesahkan peluru berpandu yang dilepaskan pagi tadi sekitar jam 7.36 pagi waktu tempatan.

Jumaat lalu, Pyongyang mengancam akan melepaskan peluru berpandu sebagai respons terhadap latihan ketenteraan Foal Eagle yang dilakukan di antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Korea Utara beranggapan, latihan itu adalah sebagai persediaan kedua-dua negara itu mahu menentang mereka.

- Sumber: Sinar Harian | 6 Mac 2017