Tuesday 9 July 2013

Skim 1Pelajar1Laptop dilancar tahun 2014

Skim '1Pelajar1Laptop' dilancar tahun 2014

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan melaksanakan program 1 Pelajar 1 Laptop pada tahun hadapan dan program ini berbeza daripada program Chromebook yang diumumkan baru-baru ini.

"Chromebook merupakan peralatan komputer seumpama notebook tetapi ia menggunakan teknologi awan atau cloud computing untuk beroperasi menggunakan Google Chrome OS.

"Semua data pengguna disimpan di cloud dan Chromebook kerana maklumat dan data pengguna tidak disimpan dalam Chromebook etapi di ruang penyimpanan di cloud," kata kementerian itu dalam satu jawapan bertulis Parlimen pada Isnin.

Kenyataan itu membalas soalan ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari yang bertanya tentang hasil program 1 Pelajar 1 Laptop dan perbezaannya dengan program Chromebook.

Kementerian Pendidikan turut berkata kos bagi setiap unit Chromebook adalah RM1,200 dengan tiga tahun jaminan, changing cart, latihan guru dan akses percuma ke VLE (virtual learning environment).

"Jumlah makmal yang terlibat ialah 2,839 makmal dengan jumlah Chromebook sebanyak 116,399 unit melalui pembekal YTLC Sdn Bhd. Projek Chromebook ini telah dilaksanakan bermula Jun 2013," kata Kementerian Pendidikan.

Pada bulan April, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin berkata kerajaan akan melihat bagaimana untuk membekalkan komputer riba kepada setiap pelajar sekolah di seluruh negara mulai tahun hadapan.

Ini merupakan salah satu daripada janji manifesto Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.


- Astro Awani