Pemilik taska menafikan dakwaan yang dibuat oleh dua bekas pengasuhnya kepada Sinar Harian.
KUALA SELANGOR - Pemilik sebuah taska di Puncak Alam, di sini menafikan tuduhan dua bekas pekerjanya bahawa kanak-kanak yang dihantar ke situ didera dan tidak dijaga dengan baik.
“Ini adalah fitnah. Saya tak sangka perkara boleh jadi macam ni. Semua ibu bapa hantar anak mereka ke sini pun terkejut bila baca berita tersebar dalam Facebook,” kata wanita yang ingin dikenali sebagai Halijah sahaja.
Dia mendakwa, dia bersama pengasuh yang ada menjaga kanak-kanak yang dihantar ke taskanya ‘macam nyawa sendiri’ sebab mereka juga mempunyai anak dan tahu erti kasih sayang.
“Memang kami rasa sangat kecewa dengan tuduhan mendera itu. Lebih 10 tahun saya usahakan taska ini, langsung tak pernah terima apa-apa rungutan ibu bapa mengatakan mereka tak puas hati dengan khidmat kami,” katanya.
Marah diberhentikan kerja
Halijah turut memberitahu Sinar Harian, dia tidak menolak kemungkinan dua bekas pekerjanya yang membuat laporan polis semalam mendakwa kanak-kanak di situ didera kerana marah apabila diberhentikan kerja.
“Walaupun mereka diberhentikan dengan alasan tidak menjalankan tugas dengan baik, saya tetap bagi mereka gaji mengikut tempoh khidmat dan tak halau pun mereka keluar begitu sahaja.
“Saya siap tanya macam mana mereka nak balik rumah, tapi mereka tak cakap apa-apa dan tinggalkan kunci taska melalui SMS sahaja pada jam 1 pagi, 9 Januari lalu.
“Saya pun ada terima panggilan daripada ibu salah seorang bekas pekerja yang memarahi saya sebab berhentikan anaknya, tapi saya malas nak bertekak dan diam sahaja,” katanya.
Berkenaan gambar seorang kanak-kanak yang tersiar dalam akhbar ini dan dikatakan mempunyai kesan dera, Halijah memberitahu yang dia bukan dipukul, sebaliknya mempunyai masalah kulit sensitif.
“Tentang tak pakai baju pula, memang sewaktu hendak dimandikan kita dah siap bukakan baju dan mandi ikut giliran. Tuduhan angkat bayi dengan kasar juga tak benar,” jelasnya.
Menurut Halijah, kesemua anak kecil di taska itu diuruskan mengikut sistem yang ditetapkan agar memudahkan mereka dijaga.
Mereka tak pernah berenggang
Sementara itu, seorang lagi pengasuh, yang ingin dikenali sebagai Farah, 30, berkata, dia tidak menyangka isu dera timbul kerana ia langsung tidak berlaku.
Dia sudah bekerja hampir setahun di taska itu dan mendakwa tidak menyenangi kelakuan dua bekas pekerja yang diberhentikan kerana dilihat tidak serius dan sering tidak mengikut arahan.
“Mereka selalu bersama dan tak pernah berenggang langsung walaupun kerja yang disuruh berlainan. Satu lagi, mereka suka sangat bergayut dengan telefon, tak kira masa.
“Kami ada nasihatkan, masa kerja kena tumpukan perhatian sebab jaga anak-anak kecil kena fokus, tapi mereka buat tak tau sahaja,” katanya.
Menurut Farah, kedua-dua gadis itu juga sering cuai dalam menjalankan tugas.
“Pernah satu ketika mereka tinggalkan bayi minum susu tanpa pengawasan. Disebabkan takut kejadian buruk, majikan terus berhentikan mereka, tapi dengan cara baik.
“Mungkin mereka tak puas hati bila diberhentikan. Tetapi bagi saya, ia wajar demi keselamatan 21 anak jagaan yang berusia lingkungan enam bulan sehingga empat tahun,” katanya.
‘Pembaris untuk mengajar, bukan dera’
“Memang ada (pengasuh) pegang pembaris, tapi untuk mengajar bukan untuk mendera,” demikian kata seorang ibu, yang mahu dikenali sebagai Maryam, yang turut menghantar anaknya ke taska berkenaan.
Menurutnya, sejak mula menghantar anaknya ke taska tersebut tiga tahun lalu, tidak pernah berlaku penderaan seperti yang didakwa.
“Kalau pengasuh guna pembaris sebab nak dera, dah tentu saya tak akan hantar anak ke sini.
“Saya mewakili golongan ibu bapa menafikan ada kes dera berlaku di sini. Kalau ada perkara seumpama itu, sudah pasti kami orang pertama yang ambil tindakan,” katanya.
Pengasuh dah macam keluarga
Sementara itu, seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Zam percaya, tuduhan tersebut adalah fitnah semata-mata.
“Saya hantar tiga anak saya, Alhamdulillah tak ada apa yang berlaku. Saya tak percaya berlaku penderaan di sini sebab pengasuhnya sangat baik. Kami pun dah macam satu keluarga,” katanya.
Tambahnya, salah seorang anaknya juga pernah patah tangan beberapa bulan lalu dan mereka menjaganya dengan baik.
“Kebersihan, pakaian dan makanan di sini teratur. Laporan (buruk) sebegitu hanya mahu menjejaskan nama baik taska tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada kanak-kanak yang disiarkan dalam Sinar Harian yang dikenali sebagai Siti juga menafikan anaknya didera dan mengesahkan kesan merah itu adalah disebabkan kulitnya sensitif.
“Saya juga tak pernah tengok anak trauma atau takut nak datang taska,” katanya kepada Sinar Harian.
Tunggu arahan JKM
Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin menjelaskan, MDKS hanya boleh mengenakan tindakan sekiranya taska terbabit didapati menyalahi atau melanggar peraturan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagaimanapun merujuk kes taska didakwa mendera anak jagaan, pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya menerima arahan daripada pihak berkuasa lain berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“MDKS juga akan merujuk isu sama kepada JKM Kuala Selangor untuk tindakan arahan seterusnya,” katanya ketika diminta mengulas lanjut tindakan PBT terhadap isu berkaitan kes penderaan anak jagaan taska di daerah ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, pihaknya mendapati, pada peringkat awal siasatan tiada unsur penderaan.
“Bagaimanapun kita akan menyiasat jika ada unsur jenayah lain. Pengusaha taska telah tampil memberi keterangan pada hari Khamis lalu dan pengadu pula sudah dipanggil, semalam (kelmarin),” katanya.
- Sinar Harian