Friday, 11 April 2014

TUDM nafi laporan jet cari MH370 pada 8 Mac

MH370

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menafikan laporan CNN yang mengatakan pasukan itu menghantar jet untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dalam satu kenyataan berkata: Dalam kapasiti saya sebagai Panglima TUDM, saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan itu sama sekali tidak benar".

Semalam, CNN melaporkan dalam laman webnya dengan memetik seorang pegawai kanan Malaysia yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa pesawat TUDM dihantar sebelum data yang disokong pihak berkuasa menunjukkan bahawa pesawat itu berpatah balik ke arah barat.

"Namun tentera udara tidak memaklumkan Jabatan Penerbangan Awam atau operasi mencari dan menyelamat sehingga tiga hari kemudian, pada 11 Mac, satu sumber yang terlibat dalam siasatan memberitahu CNN," laporan itu disebut sebagai berkata. - Bernama

GST, Getah: PR rancang Himpunan Rakyat

Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat


SHAH ALAM - PR memberi amaran tegas akan mengadakan Himpunan Rakyat pada 1 Mei depan di Kuala Lumpur jika kerajaan BN enggan membela nasib petani susulan kejatuhan harga komoditi getah yang kian membimbangkan.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata amaran pertama sudahpun dilakukan dalam Himpunan Derita Rakyat di Baling pada 5 April lalu supaya pemimpin kerajaan tidak melupakan penderitaan golongan petani yang kinimemperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan sahaja.

"Tindakan perlu dibuat segera, dan langkah drastik perlu diambil kerana harga getah yang merudum jatuh dianggap menyeksa rakyat.

"Daripada RM2.80, turun pula ke paras RM 2.50 sehingga pernah mencecah RM 1.90 sekilogram, menjadikan pendapatan penoreh getah sekitar RM 500 sebulan," katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.

Mengulas lanjut, dakwanya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya akan memburukkan keadaan sedangkan segelintir pengilang getah pula mengaut keuntungan.

Dakwanya jika keadaan itu tidak dibendung, jumlah fakir miskin akan terus bertambah sekali gus melebarkan jurang antara golongan miskin tegar dan golongan elit.

"Membiarkan mereka terkial-kial dengan keadaan semasa meramaikan lagi golongan fakir miskin dan menjarakkan jurang yang lebih jauh antara golongan miskin tegar dengan golongan kaya raya di negara ini.

"Para peneroka juga perlu diberi bantuan khas agar hidup mereka terbela. Mereka bukan warga kelas kedua, mereka adalah rakyat yang berhak mendapat kemudahan dan keselesaan sama seperti warga negara yang lain," katanya lagi.

Sinar Harian 

Presiden: Anwar sah lawan Wan Azizah

Presiden: Anwar sah lawan Wan Azizah
Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul (tengah) menunjukkan senarai pencalonan terkini yang bertanding di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN


PETALING JAYA - [Dikemaskini] Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul hari ini mengesahkan jawatan presiden parti itu kekal ditandingi oleh Datin Seri Dr Wan Azizah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pemilihan kali ini.

Manakala jawatan timbalan presiden pula, hanya dua calon sahaja yang menarik diri iaitu Chua Tian Chang dan S.Murali.

"Sehingga hari ini, pertandingan jawatan presiden kekal dua orang, timbalan presiden pula tinggal empat orang iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk K.Ramachandram," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari memaklumkan Elizabeth Wong yang juga Adun Bukit Lanjan turut menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden PKR. Jawatankuasa itu penerima 16 pencalonan untuk kerusi berkenaan.

Bagi jawatan di Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula menyaksikan Hamidi Abu Hassan dan Low Chee Chong menarik diri daripada 78 pencalonan.

Sementara di peringkat wanita PKR pula, seorang calon, Sheila Christine Devaraj menarik diri menjadikan jumlah pertandingan sebanyak 29 orang, manakala di peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK), tiada sebarang penarikan diri oleh calon.

Johari menambah, mana-mana calon yang bertanding masih mempunyai masa untuk menarik diri sebelum atau pada 15 April ini dan wang deposit mereka akan hangus jika lewat berbuat demikian.

"Wang deposit mereka akan hangus kerana selepas 15 April, JPP akan hantar nama dan gambar mereka untuk dicetak di kertas undi dan borang pemakluman bertanding di semua cabang seluruh negara," katanya.

Sinar Harian 

Dua lelaki ditahan, barangan RM50,000 ditemui

NIBONG TEBAL - Dua anggota 'Geng Raja' disyaki terlibat beberapa kejadian samun, ragut dan pecah rumah sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) ditahan dalam serbuan di Taman Sejahtera, Bukit Mertajam dekat sini.

Dalam serbuan kira-kira 3 pagi Selasa lepas, polis turut menemui enam botol kaca berisi minyak tanah yang menyerupai molotov koktail dalam rumah berkenaan.

"Polis percaya ketika ditahan dua lelaki berusia 26 dan 34 tahun itu baru merompak sebuah rumah di Simpang Ampat, di sini," kata Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafien Mamat dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan, antaranya telefon bimbit, peralatan elektrik, komputer riba dan barangan kemas bernilai RM50,000 dipercayai hasil samun kumpulan itu serta peralatan untuk menyamun iaitu pisau, kapak, kunci pendua dan topeng muka.

Shafien berkata dua lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu mempunyai rekod jenayah dan seorang daripadanya baru dibebaskan daripada Penjara Tapah 18 hari lepas berikutan kesalahan mencuri.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah dan siasatan awal polis mendapati mereka terlibat dalam
sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah, samun dan ragut di Nibong Tebal. - Bernama

Polis miliki petunjuk positif berkas suspek tembak dua anggotanya


Fotofit suspek tembak polis di Pandan Indah. -- AstroAWANI


AMPANG JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan bahawa pihaknya mempunyai petunjuk positif dalam usaha mereka untuk memberkas suspek menembak dua anggota polis di Jalan Lembah Maju 1/16, Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini, hari ini.

"Kita sudah ada petunjuk dalam kes ini dan apa yang dapat saya katakan adalah ini adalah antara cabaran yang sering dihadapi oleh anggota polis," katanya ketika ditemui di Hospital Ampang selepas melawat Lans Koperal Lional Richard Jr.

Lional, 26, cedera ditembak dua das tembakan di bahagian perut oleh suspek manakala Konstabel Zul Fazli Atlahi ,28 cedera sedikit terkena tembakan dibawah perutnya.

Khalid turut memberi nasihat bahawa setiap anggota polis supaya lebih terus berhati-hati terutama ketika membuat rondaan di kawasan yang banyak mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar awal hari ini berkata ketika kejadian suspek dalam lingkungan 30an itu bersama rakannya dipercayai sedang mencari-cari mangsa untuk diragut.

"Berdasarkan kelakuan mereka yang sangat mencurigakan, kita percaya mereka ini cuba mencari mangsa untuk diragut dan kawasan tersebut juga merupakan satu kawasan yang sibuk dengan orang ramai lalu lalang di situ," kata Rahim dalam satu sidang media di Balai Polis Pandan Indah.

Polis juga menemui motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan mendapati ianya menggunakan nombor plat palsu dan gerakan memburu suspek telah dilakukan secara besar-besaran.

"Berdasarkan nombor chasis motorsikal tersebut, ianya telah dilaporkan hilang di Setapak pada tahun lalu,".

Kedua-dua mangsa kini dalam keadaan stabil dan pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari perut Lans Koperal Lional dilapor dilakukan pada petang tadi.

Astro Awani 

Gempa kuat berukuran 7.3 magnitud landa Papua New Guinea


SYDNEY: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.3-magnitud melanda berhampiran Papua New Guinea (PNG) pada Jumaat, menurut pegawai rasmi Amerika Syarikat (AS), namun tiada sebarang amaran tsunami di Pasifik dikeluarkan.

Pusat Kajian Geologikal AS berkata, gempa itu melanda pada kedalaman kira-kira 54 kilometer di sekitar jarak yang sama dari bandar barat Panguna di pulau Bougainville yang terpencil dan bergunung berapi.

Geosains Australia percaya gempa gempa yang dianggarkan berukuran 7.4 magnitud dan berhampiran kepulauan Solomon itu berlaku dalam lingkungan yang cetek.

“Mereka akan merasa gegaran yang kuat di seluruh pulau itu, dan ada kemungkinan berlaku sedikit kerosakan,” kata David Jepsen dari Geosains Australia kepada AFP.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii bagaimanapun menolak sebarang kemungkinan ancaman tsunami, namun Jepsen memberi amaran “kemungkinan tsunami tempatan” yang masih boleh berlaku di PNG.

Tambah Jepsen, walaupun gempa itu “cukup besar”, kedalaman sebenar tidak dapat dipastikan selain ianya di bawah 50 kilometer.

“Sekiranya ia benar-benar cetek seperti 10 kilometer dalam, terdapat kemungkinan yang lebih tinggi untuk berlakunya tsunami tempatan,” ujarnya.

Gempa dengan ukuran sedemikian adalah sesuatu yang biasa di kepulauan itu, yang terletak di kawasan Pasifik “Ring of Fire” (Lingkaran api) dan merupakan kawasan aktiviti seismik tinggi disebabkan oleh geseran antara plat tektonik.

Sumber: Agensi

Nak catuan atau kenaikan tarif air?

ganguan air
Gambar hiasan. - Sumber Internet

MELIHAT jiran membeli dua balang yang teramat sangat besar untuk menakung air menimbulkan persoalan di minda saya mengenai keberkesanan langkah kerajaan Selangor untuk mencatu air.

Apa fungsi sebenar catuan air? Ia tidak lain, tidak bukan adalah untuk mengurangkan penggunaan air sementara menunggu tahap air di empangan pulih.

Akan tetapi, pengumuman catuan air menimbulkan rasa panik di kalangan masyarakat, terutamanya keluarga di mana suami dan isteri bekerja sepenuh masa di Lembah Klang.

Golongan ini tidak mahu apabila mereka pulang ke rumah, dalam keletihan dan stres mengharungi kesesakan lalu lintas, setibanya di rumah, mereka terpaksa berdepan dengan masalah air untuk mandi, minum, kegunaan anak-anak dan sebagainya.

Oleh itu, keluarga yang sedemikian menyediakan dua balang besar untuk menakung air. Masalahnya, jumlah air yang ditakung melebihi jumlah air yang diperlukan pada hari-hari biasa.

Keluarga ini yang biasanya tidak perlu membayar bil air kerana dasar 20 meter padu air percuma yang diberikan kerajaan negeri Selangor kini perlu membayar bil air kerana penggunaan mereka pada bulan catuan air jauh melebihi 20 meter padu.

Mereka menyimpan lebih banyak air daripada jumlah air yang diperlukan pada hari biasa gara-gara kerana mereka panik dengan keadaan tiada air yang dikhuatiri berterusan.

Oleh sebab itu, reaksi panik rakyat terhadap langkah catuan air menyebabkan langkah tidak seberapa berkesan untuk mengurangkan penggunaan air.

Meskipun demikian, dari segi kos, rakyat tidak akan merungut banyak kerana mereka sanggup membayar lebih untuk menakung air berlebihan bagi kesenangan di hari-hari kekeringan.

Apabila tahap air di empangan pulih nanti, segalanya akan kembali seperti biasa dan rakyat terus menikmati air pada kadar yang sama.

Bagi kerajaan Selangor pula, ia hanya berisiko menghadapi rungutan rakyat sekiranya tahap air di empangan terus meruncing dan kaedah catuan air yang dilakukan tidak sekata.

Sudah timbul cakap-cakap di kedai kopi, ada kawasan yang bernasib baik tidak dikenakan catuan air kerana “ada orang kaya besar menghuni atau sedang berniaga di kawasan tersebut”.

Cakap-cakap sebegini tidak harus dipandang ringan kerajaan Selangor kerana di Malaysia, perkara yang diulang-ulang akan menjadi kenyataan yang dipercayai sahih dan benar jika tidak ditangani dari awal.

Mari kita melihat pula cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk menaikkan tarif air untuk mengelakkan catuan air.

Konsepnya mudah, apabila air menjadi lebih mahal, rakyat akan belajar berjimat. Oleh kerana air terlalu murah, maka rakyat tidak tahu berjimat.

Dan di antara catuan air dan air yang lebih mahal, kerajaan Pulau Pinang percaya rakyat akan lebih suka pada keadaan di mana air ada secara berterusan walaupun sedikit mahal daripada catuan air.

Menaikkan tarif air dan catuan air, tujuannya adalah sama, iaitu untuk mengurangkan penggunaan air sehingga tahap air di empangan pulih.

Menaikkan tarif air pula bukan langkah yang terpilih kerana semua akan terkena, bukan seperti catuan air di mana ada kawasan yang digolongkan kawasan bernasib baik.

Jika langkah menaikkan tarif air berjaya mengajar rakyat berjimat, “pengajaran” ini adalah lebih kekal berbanding rakyat yang belajar menakung air lebih daripada cukup di kawasan catuan air.

Namun, persoalannya ialah apakah rakyat akan terasa mereka dihukum kerana musim kemarau?

Malaysia, semua negara yang mempunyai sumber air yang banyak, mengapa rakyat perlu membayar lebih untuk air.

Yang kelakarnya, hujah ini bunyinya sama seperti mereka yang ingin turunkan harga minyak.

Satu lagi perkara negatif mengenai langkah menaikkan tarif air untuk mengurangkan penurunan air di empangan ialah rakyat akan terus membayar air pada kadar yang lebih tinggi meskipun bekalan air di empangan pulih selepas ini.

Akhirnya, jika kenaikan tarif air menjadi SOP untuk mengawal pengurangan air di empangan di musim kemarau, apakah rakyat lebih suka mengharungi catuan air yang bermusim atau kenaikan tarif air yang berkekalan setiap kali air di empangan berkurangan?

Anda yang membaca tahu jawapannya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulisan: TIMMY SAY. Disiarkan di Sinar Harian pada 10 April 2014

Seorang pekerja kontrak maut, dua parah jatuh dari tingkat 22

GEORGE TOWN: Seorang pekerja kontrak maut manakala dua lagi rakannya parah selepas terjatuh dari tingkat 22 tapak pembinaan bangunan kondominium mewah di Jalan Cantonmen, Bagan Jermal.

Mangsa yang maut terjatuh ke bahagian parkir kereta di tingkat lapan manakala dua yang cedera pula terjatuh di tingkat 25.

Penguasa kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, A Ravi berkata, semua mangsa sedang melakukan kerja menampal simen di projek bangunan setinggi 32 tingkat itu ketika kejadian berlaku.

Mayat mangsa yang dipercayai warga Indonesia berusia 39 tahun dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala dua lagi yang parah masing-masing berusia 30an dipercayai rakyat Myanmar dan Indonesia dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Dua jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 9.50 pagi.

Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kerja-kerja di kawasan itu dihentikan sementara waktu berikutan insiden tersebut.

Astro Awani 

Isyarat yang dikesan tiada kaitan dengan kotak hitam - JACC


Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata penilaian awal kepada isyarat yang dikesan oleh pesawat RAAF, AP-3C Orion pada Khamis, telah dikenalpasti tiada kaitannya dengan pesawat MH370.

“JACC telah menganalisis data akustik yang dikesan dan telah mengesahkan bahawa signal yang dilaporkan oleh kapal pertahanan Ocean Shield tiada hubungan dengan kotak hitam pesawat MH370” kata Houston.

Analisis lanjut terus dijalankan oleh Pusat Analisis Akustik Australia.

Hari ini Ocean Shield akan menyambung usaha pencarian bersama ping locator dalam mencari isyarat yang mungkin ada hubungan dengan kotak hitam pesawat.

Adalah penting untuk mengambil seberapa banyak maklumat yang boleh sementara bateri pengesan petunjuk bawah air masih aktif.

Pesawat AP-3C Orion bersama kapal Ocean Shield akan meneruskan usaha carian akustik dan tiga lagi misi yang dirancang hari ini.

Keputusan bilakah Kapal Selam Autonomi akan digunakan bergantung kepada nasihat pakar dari kapal Ocean Shield dan keputusan tersebut dijangka dibuat dalam beberapa hari lagi.

Sumber: Media Statement melalui Astro Awani

Formula E's first public tests to begin in the UK on July 4th


After it completed its successful test debut at France's La Ferté Gaucher circuit late last year, theSpark-Renault SRT_01E Formula E car now has a place to call home: the UK's Donington Park. 

Organizers of the Formula E Championship, the world's first fully electric race series, have confirmed that the first official team tests will be hosted at the circuit, which will also serve as home for all 10 of the race crews during its inaugural season. 

It's from there that the teams will also be invited to conduct their first public tests, spaced intermittently between July 4th and August 19th, three weeks before the series kicks off in Beijing on September 13th. 

They'll be truly public too, allowing fans to attend completely free of charge. Donington's state-of-the-art facility is set to open in early May with the first car deliveries arriving a few weeks later. 

Once teams get their hands on the 200kw (270bhp) single-seaters, it'll only be a couple of months until all of the cars run together for the first time.

Source: Engadget 

MH370: Misi Mencari Diperhebat Susulan Satu Lagi Isyarat Dikesan


PERTH. Sebanyak 12 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 13 kapal dikerahkan pada Jumaat untuk mencari lokasi sebenar sumber isyarat getaran dikesan yang mungkin berkaitan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi tatkala misi mencari masuk hari ke-35.

Misi mencari pesawat itu yang hilang secara misteri pada 8 Mac lepas, diperhebat susulan semalam pesawat Australia AP-3C Orion, mengesan isyarat getaran semasa melakukan pencarian dari udara di kawasan berdekatan kapal tentera Australia (ADV) Ocean Shield.

Susulan pengesanan isyarat terbaru itu, sebanyak tujuh isyarat telah dikesan perakam data penerbangan daripada kotak hitam pesawat sejak Jumaat lepas.

Kotak hitam itu merakamkan data dalam kokpit dan mungkin dapat memberikan jawapan mengenai apa sebenarnya berlaku kepada pesawat itu.

Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) dalam kenyataan hari ini berkata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia akan melakukan pencarian di dua kawasan membabitkan kira-kira 46,713 kilometer persegi.

Menurutnya kawasan pencarian bertumpu di kawasan kira-kira 2,312 kilometer barat laut Perth.

"Cuaca hari ini diramalkan dengan tiupan angin dari barat selaju 10-15 knot serta hujan sekali-sekala, ombak setinggi 1 hingga 1.5 meter dan jarak penglihatan dalam keadaan hujan adalah lima kilometer," menurut JACC.

Menurutnya semalam tiada sebarang objek dikesan oleh pesawat atau kapal.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira selepas sejam pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal, sepanjang dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

-- Bernama, 11 April 2014

Hillary Clinton dibaling kasut di Las Vegas

 

LAS VEGAS: Seorang wanita ditahan selepas dia membaling kasut ke arah bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton.

Kejadian berlaku sebaik Hillary naik ke pentas untuk memberi ucapan pada majlis perjumpaan bersama industry kitar semula sisa pepejal di Las Vegas.

Bagaimanapun balingan wanita tersebut tersasar apabila Hillary sempat mengelak dan kemudiannya menyindir perbuatan wanita itu.

Wanita berkenaan berpaling dan berjalan keluar dewan sebaik melemparkan kasut. Dia tidak menjelaskan tindakan berbuat demikian mahupun memperkenalkan dirinya.

Clinton dikatakan bakal menjadi calon parti Demokrat untuk Pilihan Raya President 2016.
Salah seorang hadirin kemudiannya menyerahkan kepada wartawan cebisan kertas yang dikatakan dilemparkan wanita itu. Wanita berkenaan pula kemudiannya turut ditahan.

Astro Awani 

Kondisi Sidek Hussien semakin teruk

Sidek Hussien
Sidek Hussien

PADA penghujung tahun lalu, pelakon veteran, Sidek Hussein pernah memberitahu, bahawa kesakitan yang dialaminya itu kian parah.

Namun, hasrat melakukan pembedahan untuk membuang bengkak di pipi kanannya itu terpaksa dilupakan atas nasihat doktor pakar.

Ketika itu, doktor memberitahu bahawa pembedahan tidak dapat dilakukan kerana mengundang risiko tinggi dan boleh membawa maut.

Cuba bertahan sedaya upaya menanggung penderitaan, akhirnya Sidek, 63, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dia pengsan di ibu kota pada 30 Mac lalu.

Menurut isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, suaminya itu tiba-tiba pengsan di hadapan kedai pemborong barang mainan, di Chowkit, ketika berjalan di kawasan berkenaan.

"Sebelum keluar rumah, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi ataupun mengadu kesakitan. Namun, sejak akhir-akhir ini, bengkak di pipinya itu semakin besar.

"Saya terpaksa meminta bantuan orang ramai agar menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.

"Hari ini (semalam), sudah 11 hari dia berada di wad dan saya juga turut 'berkampung' di sini menguruskannya," kata isteri pelakon filem, Karak ini.

Walaupun kondisi kesihatan Sidek sudah tidak menentu sejak setahun yang lalu, namun kini penyakitnya itu semakin menular ke bahagian mulut.

Kata Sebiah, sejak enam bulan lalu, Sidek menolak semua makanan dan hanya bertahan dengan meminum air sahaja.

"Saya memang risau dengan kesihatannya kerana dia hanya bergantung pada air sahaja, " katanya.

Menurutnya, dia tidak lalu nak makan kerana terasa mual.

"Sekarang, butir percakapan juga semakin tidak jelas dan saya hanya boleh memahami segelintir sahaja kerana bengkak itu menolak mulutnya," kata Sebiah lagi.


Tunggu keputusan doktor

Pada 1982, Sidek pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu, namun ianya hanya sia-sia.

Menurut Sebiah, bengkak berkenaan kembali membesar tiga tahun selepas itu tanpa diketahui puncanya.

Katanya, sehingga ke hari ini, doktor masih tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihidapi suaminya itu.

"Saya sendiri tak tahu apa penyakitnya kerana pada pembedahan pertama, doktor memberitahu ianya hanya bengkak biasa.

"Namun, bila ia membengkak lagi, situasi itu merisaukan kami. Semalam, doktor telah mengambil sampel dan dua minggu lagi, keputusannya akan diketahui.

"Sebelum ini, doktor ada memberitahu bahawa bengkak berkenaan turut melibatkan urat di bahagian otak dan paru-paru.

Kemungkinan besar, ia adalah barah,' katanya lagi Sebelum Ramadan tahun lalu, Sidek pernah menjalani pembedahan pintasan jantung namun, jantungnya tidak mampu menahan pembedahan lebih 10 jam.

Tambah Sebiah, Sidek amat jarang mengadu mengenai kesakitannya kepada keluarga termasuk dirinya sendiri.

"Dia memang jarang bercakap dan tidak suka mengadu kalau sakit. Mungkin dia tak mahu kami anak beranak risau.

"Namun, sebelum dia dimasukkan ke wad, dia ada menerima tawaran lakonan.

Namun, dia menolak kerana faktor kesihatan. "Lakonan filem terakhir adalah Paku Pontianak, dan drama, Abah, pada tahun lalu," jelasnya.

Sepanjang usia perkahwinan, Sidek mempunyai seorang anak bersama Sebiah yang kini bekerja di Kota Kinabalu manakala hasil perkahwinan terdahulu, Sidek mempunyai empat anak.

Sinar Harian 

MH370: Hishammuddin nafi laporan CNN


KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menafikan laporan berita CNN yang mendakwa bahawa Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah dikerah untuk mencari pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) sejurus selepas dimaklumkan pesawat hilang pada 8 Mac lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan ringkasnya melalui Twitter juga turut menafikan dakwaan laporan dari agensi berita tersebut bahawa gerakan mencari oleh TUDM itu hanya memaklumkan Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA) dan juga pasukan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) tiga hari selepas pesawat itu dilaporkan hilang.




Astro Awani  

Operasi SAR diperhebat susulan satu lagi isyarat dikesan

PERTH:  Sebanyak 12 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 13 kapal dikerahkan pada Jumaat untuk mencari lokasi sebenar sumber isyarat getaran dikesan yang mungkin berkaitan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi tatkala misi mencari masuk hari ke-35.


Misi mencari pesawat itu yang hilang secara misteri pada 8 Mac lepas, diperhebat susulan semalam pesawat Australia AP-3C Orion, mengesan isyarat getaran semasa melakukan pencarian dari udara di kawasan berdekatan kapal tentera Australia (ADV) Ocean Shield.

Susulan pengesanan isyarat terbaru itu, sebanyak tujuh isyarat telah dikesan perakam data penerbangan daripada kotak hitam pesawat sejak Jumaat lepas.

Kotak hitam itu merakamkan data dalam kokpit dan mungkin dapat memberikan jawapan mengenai apa sebenarnya berlaku kepada pesawat itu.

Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) dalam kenyataan hari ini berkata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia akan melakukan pencarian di dua kawasan membabitkan kira-kira 46,713 kilometer persegi.

Menurutnya kawasan pencarian bertumpu di kawasan kira-kira 2,312 kilometer barat laut Perth.

"Cuaca hari ini diramalkan dengan tiupan angin dari barat selaju 10-15 knot serta hujan sekali-sekala, ombak setinggi 1 hingga 1.5 meter dan jarak penglihatan dalam keadaan hujan adalah lima kilometer," menurut JACC.

Menurutnya semalam tiada sebarang objek dikesan oleh pesawat atau kapal.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira selepas sejam pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal, sepanjang dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.
Lokasi pencarian pesawat MH370 hari ini

'Tidak masuk akal, FAM mengarut'

Ahmad Said
Ahmad Said


“TIDAK masuk akal. Ini semua mengarut!” tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata demikian susulan laporan oleh media semalam yang menyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang pertuduhan daripada pihak sekretariat FAM bagi membicarakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang didakwa terbabit dalam kes pergaduhan di terowong.

Sambil mempertikaikan kredibiliti FAM, beliau sekali lagi menegaskan, mereka yang terlibat perlu meletakkan jawatan sekiranya tidak sanggup menghadapi cabaran dan berlaku adil kepada semua pihak.

“Dalam Jawatankuasa FAM siapa yang (sepatutnya) buat pertuduhan? Kalau tak buat pertuduhan, macam mana pula? Siasat tetapi tiba-tiba kata tiada pertuduhan. Baru-baru ini kata sudah buat perbicaraan dan PBNJ dikenakan denda RM30,000.

“Tetapi sekarang kata tiada pertuduhan pula. Apa (yang mereka) cakap mengarut ni? Dulu kata tiada masalah keselamatan tetapi didenda atas sebab keselamatan. Sebab itu saya katakan, takkan T-Team sengaja nak tarik diri?

“Sedangkan pemain risaukan keselamatan mereka. Polis yang bawa kita (pegawai dan pemain) dan iring hingga ke Mersing. Malah pemain T-Team diminta untuk tukar baju. Kenapa sekarang tiba-tiba tiada pertuduhan pula kepada yang terlibat?,” katanya yang berang dengan perkembangan terbaru insiden terowong melibatkan pasukan T-Team dan JDT itu.

Sambil menegaskan bola sepak adalah milik rakyat, Ahmad berkata, FAM langsung tidak boleh ditegur dan bimbang jika ia berterusan, mutu bola sepak di Malaysia akan terus merudum.

“Macam mana mereka buat kerja? Sebab itu saya katakan ada ‘tangan ghaib’. Tidak masuk akal langsung kerana tiada pertuduhan. Ini semua mengarut.

“Dahulu Malaysia seiring dengan pasukan Korea dan Jepun. Sekarang ini Malaysia di tangga ke berapa? Kerana perkara macam inilah dan tidak boleh ditegur. Bila ditegur, digantung dan dipecat,” katanya.

Sinar Harian siaran 7 April lalu turut menyiarkan kenyataan Ahmad yang mempersoalkan dasar demokrasi yang diamalkan Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM) apabila dilihat enggan menerima teguran demi kebaikan badan induk bola sepak negara itu.

Jelasnya, selaku persatuan yang menjadi milik seluruh rakyat di negara itu, FAM khususnya Jawatankuasa Tatatertib sewajarnya lebih terbuka untuk menerima pandangan termasuk kritikan jika wujud unsur ‘pilih bulu’ dalam sebarang keputusan yang dibuat.

Beliau turut mempersoalkan demokrasi yang diamalkan badan induk bola sepak negara itu sehinggakan pihak lain tidak boleh menegur setiap tindakan yang dibuat.

“Saya hendak beritahu (FAM) bahawa yang tanggung pasukan bola sepak negeri (T-Team atau Terengganu) adalah Kerajaan Negeri, jadi apabila kita (Kerajaan Negeri) yang keluarkan belanja kenapa tiada hak untuk mengeluarkan sebarang ketidakpuasan hati.

“Apakah demokrasi yang diamalkan FAM ?..sampai orang tidak boleh tegur..apakah FAM mampu memberi peruntukan yang mencukupi (untuk bola sepak negeri)..FAM hak milik Malaysia, hak milik orang ramai. Saya berhak menyuarakan pandangan memandangkan peruntukan itu disalur kerajaan negeri,” demikian reaksi Ahmad ketika diminta mengulas kenyataan balas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak yang menyifatkan beliau (Ahmad) sebagai keterlaluan, di samping tidak mempunyai hak untuk mendesak AJK itu (Jawatankuasa Tatatertib) meletak jawatan.

Gesaan yang dibuat Ahmad itu susulan keputusan insiden ‘Terowong Larkin’ yang disifatkan berat sebelah apabila hanya menjatuhkan hukuman RM30,000 kepada JDT kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan tanpa mengheret individu yang mencetuskan pergaduhan itu.

Sinar Harian 

Penduduk seronok jumpa buaya

Penduduk seronok jumpa buaya
Buaya yang ditemui di kawasan lumpur berhampiran Kampung Lubuk Jaya dan Kampung Nyiur, Bukit Belimbing di sini.


TANJONG KARANG - Tak ubah seperti pesta! Begitulah gelagat orang kampung yang berpusu-pusu datang untuk melihat buaya yang berjemur di kawasan lumpur berhampiran Kampung Lubuk Jaya dan Kampung Nyiur, Bukit Belimbing di sini.

Meskipun saiz buaya air tawar itu yang cukup besar jika dibandingkan dengan penemuan bangkai jenis yang sama pada 25 Julai tahun lalu, namun penduduk masih tidak berganjak untuk terus melihat fenomena yang jarang sekali dapat dilihat sepanjang hidup mereka.

Ketua Kampung Bukit Belimbing, Samsudin Idris berkata, penduduk kecoh apabila menerima panggilan kaki pancing yang terserempak dengan buaya itu dan terus mengerumuni kawasan lumpur yang dimaksudkan.

“Bukan selalu boleh nampak buaya yang saiz lebih besar berbanding yang jumpa tahun lepas...Jadi mereka pun ramai-ramai datang tengok kira-kira jam 4 petang semalam bersama ahli keluarga.

“Boleh dianggarkan lebih 50 penduduk datang melihat buaya yang statik..tak gerak-gerak dengan mulut ternganga. Mungkin buaya itu tengah berjemur sebab waktu itu cuaca cerah,” katanya.

Menolak buaya itu mengganas dan boleh membahayakan, Samsudin menjelaskan, penduduk masing-masing percaya buaya itu tidak akan mengganggu nelayan sungai yang ada di kampung itu.

“Bukan sekali tapi penduduk pernah terserempak dengan buaya jenis itu tapi tak pernah nak ganggu atau mengganas ketika nelayan nak cari makan di sepanjang sungai yang kaya dengan hasil udang.

“Penduduk tak kira usia yang tengok buaya itu tak menunjukkan riak takut atau cemas..masing-masing macam seronok.

“Mungkin ini salah satu keunikan yang ada di kampung ini selain kelip-kelip,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, penduduk turut digemparkan penemuan bangkai buaya oleh dua sahabat yang mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing pada Julai tahun lalu.

Penemuan buaya dianggarkan berukuran enam meter itu kejadian pertama kali berlaku di kampung itu sekali gus menyebabkan kawasan jeti menjadi tumpuan.

Sinar Harian 

Polis buru 11 individu terlibat kes gaduh

KUALA TERENGGANU - Polis sedang memburu 11 individu yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Kampung Wakaf Tapai Marang, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K.Manoharan berkata sehingga kini lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis juga telah mengenal pasti beberapa suspek yang berasal dari Marang dan Kuala Terengganu.

"Kita telah berjaya menahan empat lelaki dan seorang remaja perempuan dan gerakan memburu kesemua suspek berusia 20-an hingga 30-an sedang giat dijalankan," katanya kepada Bernama.

Selasa lalu, dua lelaki cedera selepas dilibas dengan parang ketika dua kumpulan berkenaan sedang berbincang berhubung masaalah hutang dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam.

Sementara itu, Manoharan berkata polis sedang memburu seorang lelaki yang memecah masuk Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Perhutanan dan Pejabat Pertanian yang terletak di Wisma Negeri di sini awal pagi Isnin.

Kejadian itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM5,000 selepas wang tunai, barang kemas serta barang runcit milik kakitangan JPS yang terletak di tingkat lapan wisma berkenaan dilarikan penjenayah berkenaan.

Manoharan berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu dilakukan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an. - Bernama

Warga Myanmar didakwa cuba seludup diesel RM3.4 juta

Gambar hiasan


KUANTAN: Seorang kapten kapal warga Myanmar tidak mengaku bersalah atas tuduhan cuba menyeludup diesel bersubsidi bernilai RM3.4 juta pada Jumaat lalu.

Hla Tint, 48 tahun, yang berasal dari Yangon hanya menundukkan kepala sepanjang prosiding di Mahkamah Majistret di sini di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli. Pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membawa dalam kawalannya 1.31 juta liter diesel bersubsidi dalam kapal Silver 9 di Pelabuhan Kuantan pada awal pagi 4 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi. Tertuduh diwakili peguam Nor Syahid Abdul Majid.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan membabitkan kepentingan negara dan nilai yang tinggi. Tertuduh juga bukan warganegara Malaysia yang layak menerima subsidi diesel itu.

Nor Syahid bagaimanapun mendesak anak guamnya diberi jaminan keranabelum disabitkan kesalahan. Peguam itu juga berjanji anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana pasportnya masih ditahanoleh polis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin warga tempatan. Dia juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis setiap dua minggu dan pasportnya dirampas sehingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 April ini.

Astro Awani |  April 10, 2014

Kanak-kanak perempuan maut, kereta rempuh pusat jagaan



FLORIDA: Seorang kanak-kanak perempuan maut apabila sebuah kereta merempuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Florida, Amerika Syarikat.

Rempuhan turut mencederakan 14 yang lain.

Menurut pihak berkuasa tempatan 12 daripada mangsa merupakan kanak-kanak.

Semasa kejadian kira-kira 50 orang kanak-kanak berada di dalam pusat jagaan berkenaan.

Astro Awani, April 10, 2014

MH370: Perjalanan masih jauh, kata Hishammuddin

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau berterima kasih kepada pihak berkuasa Australia yang sedang berusaha untuk mengenal pasti isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi ketika gerakan mencari pesawat Malaysia yang hilang memasuki hari ke-34 hari ini.

Beliau berkata hanya selepas disahkan bahawa isyarat berkenaan adalah dari pesawat Malaysia Airlines MH370, operasi akan beralih ke fasa seterusnya.

Sambil menjelaskan bahawa "perjalanannya masih jauh", beliau berkata: "Kami dimaklumkan dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini daripada JACC (Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia), tapi ia memerlukan beberapa hari untuk meneliti isyarat daripada alat pengesan ping."

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha mencari pesawat Boeing 777-200 MAS yang hilang, di sini hari ini.

Menurut beliau, untuk sementara waktu ini, tiga jawatankuasa peringkat kementerian berkenaan perlu menunaikan tugas masing-masing. Jawatankuasa itu bermesyuarat di sini sejak pagi tadi.

Pada Sabtu, untuk memperkemas dan memantapkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan, kerajaan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa peringkat kementerian iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset.

Hishammuddin berkata beliau tetap menaruh harapan pesawat MH370 akan segera dijumpai.
"Inilah janji saya kepada keluarga terbabit," katanya sambil menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia tidak menyembunyikan sebarang perkara.

Menurut beliau kerjasama rapat dan persefahaman mendalam antara Malaysia dan JACC akan memastikan maklumat yang disampaikan berhubung usaha mencari pesawat berkenaan sentiasa konsisten.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabngsa KL pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat MH370 terbang di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai koridor pencarian selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Laut China Selatan, di barat Perth.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Bernama

Perlukah cuci enjin?

Perlukah basuh enjin kereta?
Pastikan tiada kebocoran minyak pelincir semasa mencuci bahagian enjin.


SIAPA yang tidak suka melihat kereta berkilat? Pasti semua bersetuju dengan kenyataan itu. Sememangnya kereta berkilat apabila dibasuh menyelesakan mata kita. Tapi adakah ia bagus terhadap kereta ataupun komponen kereta kita? Mari kita kupas sedikit isu ini.

Sebenarnya penggunaan air terhadap enjin boleh menyebabkan berlaku litar pintas dan kereta meragam. Seelok-eloknya gunakanlah bahan yang paling klasik iaitu minyak tanah bagi menghilangkan minyak dan gris pada permukaan enjin.

Masa kini lebih mudah apabila ada banyak bahan cucian khas. Semburkan sahaja bahan berkenaan di tempat yang perlu dan biarkan ia meresap kemudian lap dengan kain kering.

Gris dan sisa minyak pelincir perlulah diberi perhatian dan dibersihkan dengan segera daripada bahagian luaran enjin kerana ia boleh merosakkan tali kipas, paip getah dan kabel elektrik.

Selain gris, debu atau lumpur melekat pada komponen elektrik seperti alternator (motor penghidup), generator, gegelung penghidup, pengagih dan lampu boleh menyerap wap air serta menyebabkan berlakunya litar pintas.

Pada terminal bateri pula jika ada endapan putih, siram dengan air panas kemudian bersihkan menggunakan kain.

Endapan itu dapat dihilangkan dengan mudah tetapi perlu hati-hati dan jangan sampai air masuk ke dalam bateri.

Lubang pengudaraan pada penutup bateri juga pastikan sentiasa terbuka.

Ketika mencuci bahagian enjin, pemilik kenderaan perlu memastikan jika ada kebocoran minyak pelincir, iaitu elemen penting bagi menjamin kesinambungan kerja setiap bahagian yang bergerak.

Jika sedar ada minyak pelincir bocor, cari segera puncanya dan tambahkan minyak pelincir apabila kurang.


Elakkan sabun basuh

Dalam keadaan biasa, selepas beberapa tahun, gasket kebuk enjin boleh bocor sedikit dan minyak pelincir menitis. Ini dapat dilihat pada lantai tempat kereta diletakkan. Jika jumlah titisan itu banyak, mungkin gasket di oil sum yang rosak.

Biasanya minyak pelincir berkurang menerusi pemeluwapan dan pembakaran. Tapi jumlahnya tak banyak kira-kira 1/300-1/500 daripada jumlah penggunaan petrol.

Jumlah minyak pelincir boleh dipastikan dengan memeriksa tolok sukat. Baik periksa sendiri kerana jika dibiarkan juruteknik stesen minyak memeriksanya, kadangkala anda sebenarnya 'membantu' memajukan perniagaan mereka.

Jika bersihkan bahagian luar pula lebih mudah. Hantar saja ke bengkel mencuci. Namun, jika anda mahu membasuh sendiri, gunakan sabun yang sesuai tetapi elak sabun basuh atau peluntur.

Lazimnya, kereta baru dicat dengan cat bermutu tinggi. Jika permukaan itu tidak dibersihkan dengan baik, ia cepat rosak.

Debu dan lumpur pada kenderaan boleh menyerap wap air dengan cepat dan merosakkan permukaan cat. Selain nampak comot, cat mudah luntur dan kelihatan retak-retak. Langkah pertama membersihkan kenderaan adalah menghilang debu dengan membuat semburan tanpa menggunakan sabun.

Apabila permukaan badan kenderaan berada dalam keadaan kering dan tidak terlalu kotor, debu yang melekat dapat dihilangkan dengan bulu ayam.

Tetapi, jika kotoran tidak dapat dihilangkan, guna kain bersih basah. Penggunaan kain kering boleh sebabkan calar atau goresan pada permukaan cat. Ini disebabkan kotoran berkenaan mempunyai butir debu keras dan pasir.

Jika basuh gunakan sabun, jangan biarkan sabun terlalu lama di badan kenderaan kerana ia akan meningkatkan partikel bintik-bintik putih serta bahan kimia sabun boleh merosakkan cat.

Selepas dibasuh, keringkan kereta dengan kain bersih. Bagi hasil yang lebih baik selepas kereta kering sapu wax (lilin). Selain menambahkan kilat kereta, wax melindungi permukaan supaya tetap menarik dan hidup.

Sinar Harian