Tuesday, 19 May 2015

Selfie ekstrem tapi profesional


Pasukan Ropequest mempunyai pengalaman yang luas dalam penyelenggaraan apabila terlibat dengan pelbagai projek mendaki bangunan pencakar langit.

JANGAN cuba meniru selfie yang dilakukan pekerja penyelenggara di atas puncak Menara Kuala Lumpur ini.

Mereka adalah golongan profesional yang melakukan apa sahaja kerja penyelenggaraan di tempat tinggi, termasuklah di Menara Kuala Lumpur.

Gambar selfie mereka mula menjadi viral hari ini bukan sahaja kerana berlatarbelakangkan keindahan kehijauan di bandar Kuala Lumpur, malah ia juga sangat ekstrem untuk dilakukan pada kedudukan yang sangat tinggi.

Menurut salah seorang daripada mereka, Shamsul Idzwan Shamsuddin, mereka adalah kakitangan Ropequest Sdn Bhd yang pakar dalam mencapai ke kawasan tinggi dengan menggunakan tali.

"Kami melakukan apa sahaja kerja di tempat tinggi yang menggunakan tali. Di atas menara, kami membuat penyelenggaraan lampu isyarat yang digunakan bangunan tinggi sebagai amaran kepada pesawat dan helikopter supaya tidak bertembung dengan bangunan itu," kata Shahrul.


Tambah Shahrul lagi, mereka melakukan kerja penyelenggaraan untuk bangunan tinggi sebanyak dua kali dalam setahun, iaitu pada pertengahan tahun dan hujung tahun.

Pasukan Ropequest mempunyai pengalaman yang luas dalam penyelenggaraan apabila terlibat dengan pelbagai projek mendaki bangunan pencakar langit.

Walaupun berpangkalan di Johor Bahru, mereka melakukan penyelenggaraan untuk Menara Berkembar Petronas (KLCC), Bangunan UMNO di Pulau Pinang, Jambatan Desaru di Johor, selain apartmen atau flat untuk melakukan kerja baik pulih.

Saksikan temu bual Shamsul dengan rakan-rakannya esok dalam Awani 7:45 dan juga aksi mereka memanjat bangunan pencakar langit di sekitar Kuala Lumpur.

- Sumber: Astro Awani 

Wartawan maut digilis komuter

Keadaan mayat mangsa. 

KUALA LUMPUR - Seorang wartawan Tamil Malar maut selepas dirempuh sebuah komuter dari arah Batu Caves di stesen komuter Batu Kentomen, di sini, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi, mangsa, K. Anamalay, 67, mati di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati keadaan tubuh mangsa terputus dua di atas rel.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai lompat secara mengejut ke atas rel, kurang 15 meter sebelum komuter berkenaan tiba di platform bagi mengambil penumpang.

"Pemandu komuter dikatakan telah bunyikan hon yang panjang, tetapi lelaki itu tidak berganjak. Selepas komuter diberhentikan, didapati lelaki berkenaan telah mati terputus dua," katanya dalam kenyataan di sini.

Munusamy berkata, mangsa ketika ditemui berpakaian lengkap. 

"Si mati adalah seorang wartawan Tamil Malar berpejabat di Jalan Ipoh KL dan tinggal menyewa bilik seorang diri di rumah berhampiran stesen komuter tersebut, manakala keluarganya berada di Sungai Petani," katanya. 

Munusamy berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

- Sumber: Sinar Harian 

Awas akaun Facebook palsu Alex Lim!

Akaun Facebook palsu: Alex Lim bukan kakitangan Astro Awani.

Sebuah akaun Facebook palsu menggunakan nama Alex Lim didakwa cuba mengugut bekas kakitangan Astro Awani, Tan Ziwei.

Pengguna Facebook itu turut memalsukan identitinya sebagai seorang kakitangan Astro Awani untuk menarik pengguna lain meluluskan permintaan sebagai kawan Facebooknya.



Walaupun mempunyai rangkaian bersama kakitangan Astro Awani yang lain, tiada seorang pun yang mengenali individu tersebut.

Menurut laporan polis yang dibuat Ziwei, dia menerima ugutan daripada Alex Lim untuk melangsaikan hutang RM62,900 yang kononnya dipinjam pada Jun 2014.



Ziwei mendakwa tidak pernah meminjam wang daripada individu yang tidak dikenali itu.

Pengguna Facebook itu juga memberitahu Ziwei dia mempunyai alamat dan kad pengenalannya, seperti yang dimuat naik bersama mesej yang dihantar dengan aplikasi Messenger Facebook.

Oleh itu, Ziwei mengesyaki maklumat peribadinya disalahgunakan pihak ketiga.

Ziwei yang merupakan bekas kakitangan jurutera teknologi maklumat (IT) Astro Awani turut mengesan mesej ugutan yang dihantar dihantar dari Rompin, Pahang.

Nasihat Ziwei kepada pengguna Facebook di luar sana jangan membenarkan pengguna Facebook Alex Lim seperti dalam gambar dalam laporan ini menjadi rakan Facebook mereka.

Selain itu jangan sewenang-wenangnya meluluskan permintaan kawan Facebook oleh orang yang tidak dikenali.

- Sumber: Astro Awani 

Rakaman video dera bayi merupakan kes lama - polis

Kes dera yang viral sejak beberapa hari bukan kes baru - Anuar

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Bin Othman hari ini mengeluarkan sebuah kenyataan susulan penyebaran video bayi didera yang menjadi viral dalam laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp sejak beberapa hari lepas.

Menurut sebuah kenyataan, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Bin Othman yang dimuat naik dalam akaun Facebook Polis Perak, hasil siasatan mendapati mangsa iaitu bayi dan suspek yang merupakan ibunya sendiri merupakan individu yang sama terlibat dalam rakaman video pada 19 April 2015.

Difahamkan, siasatan juga mendapati suspek berkenaan pernah membuat rakaman yang lain selain rakaman yang menjadi viral sebelum ini. Isu yang timbul sejak beberapa hari lalu bukan kes penderaan yang baharu dilaporkan.

Menurut Supt Anuar, bayi itu kini berada di bawah jagaan neneknya sejak dikeluarkan dari hospital untuk pemeriksaan.

Suspek, dalam pada itu, telah diberi kaunseling oleh Victim Care Office (VCO) Perak dan bayi berkenaan diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bayi tersebut kini dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada sebarang kecederaan di bahagian badan dan kepala mangsa.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

- Sumber: Astro Awani 

'Saya tidak malukan Tun M, dia yang aibkan diri sendiri' - Pandikar

Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Kuala Lumpur petang tadi.

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaibkan diri sendiri kerana membocorkan rahsia pertemuan mereka yang diadakan di Yayasan Al-Bukhari pada 13 Mac yang lepas.

Tegas Pandikar, pertemuan yang dikatakan perbincangan hati ke hati dan seumpama seorang anak dan ayah itu diakui memang berkisar kepada isu mahu meletakkan jawatan kerana kecewa dengan sistem Parlimen pada masa itu.‎
"‎Saya mohon kemaafan jika ia mengguris hati Tun M, saya tak mahu aibkan dia, sebagai respon Tun M semalam yang menyifatkan saya memalukan dia, bagi saya kenyataan Tun M yang memalukan dirinya sendiri apabila melanggar etika kerahsiaan yang seharusnya pertemuan itu tidak patut dizahirkan kepada sesiapa.‎

Pertemuan yang dikatakan perbincangan hati ke hati dan seumpama seorang anak dan ayah itu diakui memang berkisar kepada isu mahu meletakkan jawatan - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

"Saya jumpa Tun M di Yayasan Bukhari pada 13 Mac lepas. Dalam pertemuan itu kami bincang banyak perkara politik semasa dan saya akui sudah curahkan isi hati kekecewaan dan tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat selain meluah rasa hendak meletak jawatan Speker‎.
"Saya curahkan isi hati kepada Tun M seumpama seorang anak kepada bapa. Seperti mana dimaklumkan, Tun M mungkin terlalu ghairah ‎hendak menjatuhkan Najib kerana menyarankan saya untuk meletak jawatan," katanya semasa sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.

Saya mohon kemaafan jika ia mengguris hati Tun M, saya tak mahu aibkan dia. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Sidang media yang diadakan di Bukit Tunku berlangsung kira-kira 20 minit pada sekitar jam 2.00 petang Selasa.

Pandikar juga memaklumkan bahawa dia tidak akan mempengerusi mesyuarat pertama penggal ketiga di Parlimen pada 11 Mac lepas.

"Saya kata tugas saya akan diambil kedua-dua timbalan dan seperti yang sedia maklum, saya tidak ada untuk mempengerusikan mesyuarat," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, dia bertemu Najib pada 19 Mac dan membincangkan mengenai soal politik negara dan isu perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.

"Saya maklumkan untuk meletakkan jawatan dengan serta merta, namun Najib tidak menerima surat itu dan bertanya apa masalah saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Saya memperincikan masalah di Parlimen kepada Najib seperti isu pentadbiran Parlimen yang tidak memberi kerjasama kepadanya.

"Rintihan saya disambut selain memberitahu tugas Speaker itu tidak boleh mengikut kepada arahan sesiapa," jelasnya.

Jelasnya lagi, Dr Mahathir juga sepatutnya menghubunginya terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian samada beliau telah benar-benar mahu meneruskan hasratnya untuk meletakkan jawatan atau tidak dan bukannya hanya berdasarkan perbincangan sulit yang diadakan pada Mac lepas.

Pada akhir sidang media tersebut, Pandikar berseloroh dengan berpesan kepada wartawan agar tidak mengejarnya lagi di Parlimen untuk bertanya isu berkenaan.

"Saya harap selepas ini semua selesai, jangan kejar saya di parlimen atau telefon saya untuk isu ini lagi," katanya.

Tun Mahathir baru-baru ini, berkata Pandikar telahpun meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. Bagaimanapun, kenyataan Dr Mahathir tentang peletakan jawatan itu disangkal oleh Pandikar Amin menerusi satu kenyataan.



Semalam, Pandikar Amin seperti biasa mempengerusikan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-13. 

- Sumber: Astro Awani 

Keputusan pengadil batalkan jaringan adalah tepat

Sebuah ambulans musnah dibakar oleh penyokong Terengganu dalam rusuhan bola sepak selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dengan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, malam tadi.

KEPUTUSAN pengadil membatalkan jaringan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-89 ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Sabtu lepas adalah seratus peratus tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Goh Ah Chai menjelaskan bahawa berdasarkan Laporan Penilaian Pengadil dan analisa video, jelas menunjukkan pemain Terengganu itu berada pada kedudukan ofsaid dan hanya seorang pemain pertahanan Lions XII, Nazrul Nazari berada di belakangnya.

"Undang-undang bola sepak tidak menyebut bahawa penjaga gol mestilah menjadi pemain pertahanan terakhir dan ini bermaksud, mana-mana pemain pasukan lawan boleh menjadi pemain terakhir dan pemain kedua terakhir.

"Selain itu, pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob juga telah membatalkan gol tersebut selepas mendapat bantuan daripada penolong pengadil, Azman Ismail," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Sementara itu, Instruktur Pengadil Fifa C. Ravichandran berkata situasi yang sama pernah berlaku pada pembukaan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, apabila pengadil perlawanan membatalkan jaringan Mexico ketika menentang pasukan tuan rumah.

Keputusan pengadil membatalkan jaringan keempat skuad 'Penyu' menyebabkan pasukan itu tersingkir di peringkat separuh akhir Piala FA apabila Lions XII mara ke final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan, selepas keputusan agregat terikat 4-4.

Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim mencatat kemenangan 3-2, selepas tewas 1-2 kepada pasukan dari seberang tambak pada aksi separuh akhir pertama.

Keputusan itu menyebabkan hampir 15,000 penyokong bertindak liar dengan membakar harta benda serta sebuah ambulans serta merosakkan beberapa kemudahan di dalam dan luar perkarangan stadium, mengakibatkan anggaran kerugian kira-kira RM150,000.

Goh berkata keputusan pengadil pada perlawanan itu harus diberi pujian kerana situasi tersebut jarang berlaku dalam perlawanan bola sepak dan hanya terjadi dalam satu dari 1,000 perlawanan.

- Sumber: Bernama

Bayi dilambung dan diperlakukan seperti anak patung

Paparan klip video bayi didera.

SEBUAH klip video yang menunjukkan seorang bayi dilambung dan diperlaku seperti patung oleh seorang wanita menyebabkan majoriti pelayar laman sosial mengamuk.

Difahamkan, bayi tersebut berusia enam bulan dan tangisan bayi berkenaan menyebabkan wanita tersebut menderanya.

Dalam klip berdurasi 51 saat tersebut, wanita berkenaan senyum sambil melakukan aksi-aksi kasar dan ganas terhadap bayi berkenaan, termasuk mencampakkannya ke atas tilam.

Bagaimanapun, waktu dan lokasi kejadian tidak dapat dipastikan.

Tinjauan Sinar Online mendapati klip tersebut yang viral pada semalam dan hari ini tersebut telah disaksikan lebih 100,000 pelayar.

"Ya ALLAH, tak sanggup saya nak tengok," kata Siti.

"Kenapa yang tukang rakam video ni biarkan benda ni berlaku?" kata Aisyah.

Sementara itu, beberapa pelayar bertindak mencari laman sosial wanita terbabit.

Beberapa keping foto yang didakwa ibu kepada bayi berkenaan juga tersebar namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

- Sumber: Sinar Harian 

‘Kalau Najib nak tanya saya apa pun, saya jawab’

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia menjawab segala persoalan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mengemukakan sebarang soalan kepadanya.

Malah, beliau turut sentiasa terbuka untuk berdebat dengan Najib bagi merungkai segala persoalan yang berbangkit.

“Kalau dia nak debat dengan saya, boleh. Tidak ada masalah. Saya cuma nak bertanya. Kalau dia boleh jawab, jawablah. Dia nak tanya saya apa pun, saya boleh jawab,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas pelancaran buku ‘Dr Mahathir’s Selected Letter’s to World Leaders Volume Two’, hari ini.

Tegasnya, desakan bertalu-talu yang dibuat ke atas Najib sejak kebelakangan ini susulan mengetahui parti di bawah kepimpinan orang nombor satu BN itu akan tewas pada pilihan raya akan datang.

“Bolehlah ‘slow-slow’...lepas itu dia (BN) kalah pilihan raya. Saya buat sekarang ini kerana saya tahu dia (Najib) akan kalah.

“Baru-baru ini orang dia (Najib) tulis surat kononnya, nanti tengok apabila ada pilihan raya kecil ini, Najib akan menang besar. Menunjukkan bahawa ramalan saya salah. Tapi sebenarnya ramalan saya yang betul, ramalan dia silap,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas soal suara-suara yang memintanya agar tidak terlalu menekan Najib untuk meletakkan jawatan.

Tambahnya, isyarat jelas telah pun kelihatan bahawa BN semakin melemah apabila ke mana sahaja beliau pergi, rakyat rasa meluat dengan kerajaan.

- Sumber: Sinar Harian