Saturday, 11 July 2015

TPM: Siasatan mesti telus tak kira libat siapa pun

Muhyiddin Yassin

MUAR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin ‎Yassin melahirkan keyakinan pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat segala tohmahan dan tuduhan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini, akan melakukan siasatan secara telus dan adil.

Beliau berkata, semua pihak perlu yakin bahawa pembentukan pasukan petugas khas itu adalah untuk mencari kebenaran, sama ada segala tuduhan terhadap 1MDB itu benar atau sebaliknya.

"Saya menyokong penuh pasukan penyiasat yang dibentuk ini dan saya bersetuju perkara (siasatan) ini perlu diselesaikan segera untuk memulihkan kembali keadaan yang meresahkan banyak pihak.

"Siasatan ini mesti telus dan mengikut lunas undang-undang yang siasatan tidak mengira sesiapa pun," katanya ketika berucap pada Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan Iftar Umno Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Kampung Hujung Tambak, Gersik, Ledang di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara,‎ Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik menganggotai pembentukan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat dakwaan mengenai 1MDB.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, pasukan petugas khas itu ditubuhkan bukan untuk mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap segala tuduhan yang dilemparkan.

"Sempena bulan Ramadan ini, berdoalah kepada ALLAH SWT agar semuanya akan kembali pulih dan biarlah pasukan penyiasat ini melakukan tugas mereka dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, selagi isu yang membelenggu 1MDB itu tidak diselesaikan segera, ia juga akan menjejaskan pandangan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan negara.

Muhyiddin berkata pada masa ini, masyarakat antarabangsa melihat dengan teliti apa yang berlaku dan sebab itu, kepercayaan mereka terhadap negara perlu dipulihkan.

"Paling penting kita juga mahukan keyakinan rakyat terhadap negara dan pemimpin termasuk keyakinan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) terus utuh apatah lagi tidak lama lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 akan diadakan," katanya.

Beliau berkata sudah semestinya semua pihak mahukan kesudahan yang baik terhadap kemelut yang berlaku kerana jika tidak, ia juga akan menjejaskan pandangan masyarakat terhadap pemimpin dan negara.

Katanya, menjadi keazaman setiap pemimpin untuk membawa negara ke era yang lebih kukuh dan rakyatnya lebih berjaya.

Muhyiddin juga berkata, beliau sendiri banyak ditanya mengenai keadaan yang berlaku dalam negara, dan pada masa yang sama meminta rakyat mendoakan yang terbaik agar negara tidak terjerumus dalam keadaan yang kacau-bilau.

"Sebagai pemimpin, yang paling penting mahu menjaga kebajikan ummah dan perlu kembali kepada landasan Islam untuk berjaya.

"Malaysia tidak seperti negara Islam lain, sejak selepas Merdeka, rakyat hidup makmur dan keadaan itu perlu kita teruskan sampai bila-bila," katanya.

Muhyiddin juga berkata segala dugaan yang berlaku dalam negara seperti nahas MH17, kehilangan MH370 dan gempa bumi di Sabah baru-baru ini, ada rahmat di sebalik apa yang berlaku itu.

- Sumber: Bernama

Menteri: Tak benar laman sosial akan ditutup

Ahmad Shabery Cheek

KEMAMAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan dakwaan bahawa kerajaan akan menyekat beberapa laman sosial di negara ini. 

Dakwaan itu dibuat menerusi penyebaran kenyataan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan rasa ketidakpuasan hati kepada seluruh kalangan rakyat negara ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan individu yang menyebarkan dakwaan tersebut tidak bertanggungjawab dan berniat jahat terhadap negara.

"Itu tidak benar sama sekali. Saya percaya ada pihak yang cuba kaut keuntungan dengan sebarkan berita-berita sensasi sebegini yang kononnya kerajaan akan menutup laman-laman media sosial di negara ini. 

"Dulunya kita pernah mengkaji apabila orang mencadangkan, tetapi saya katakan ia tidak wajar kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dengan (orang ramai) boleh menyatakan kewajaran dan pandangan. 

"Akan tetapi dalam masa yang sama, ia mestilah tidak mencetuskan huru-hara dan jangan timbulkan kebimbangan dan keresahan orang ramai. 

"Jangan bimbang bahawa Facebook, Twitter dan laman-laman sosial lain takkan ditutup. Jangan percaya dengan sebaran itu sama sekali," katanya kepada pemberita selepas program penyerahan bubur lambuk bersempena Program Eksplorasi Sehati Sejiwa 2015 di Hadapan Pasaraya Centre Point Kemaman di sini hari ini.

Sebelum ini, heboh diperkatakan di dalam media sosial bahawa kerajaan akan menyekat semua jenis laman sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Instagram dan lain-lain berkuatkuasa 1 Ogos.

Beliau berkata: "Tindakan akan kita buat (kepada penyebar) sekiranya melanggar undang-undang. 

"Jangan perlekehkan peraturan kerana undang-undang adalah menjaga keamanan.

Misalnya lagu Negaraku yang diubahsuai, orang ramai tidak patut sokong dan 'share' kan perkara itu," katanya. 

Dalam majlis tersebut, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk diagihkan oleh Pejabat Parlimen Kemaman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada penduduk sekitar kawasan itu. 

- Sumber: Bernama