Ahli perniagaan Jerman Dietmar Ross (kiri) hari ini dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Sepang selepas mengaku bersalah membahayakan krew penerbangan MAS MH 0179 dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Colombo hari ini.
SEPANG - Seorang ahli perniagaan Jerman dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membahayakan kru penerbangan MAS semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Colombo, Sri Lanka.
Hakim Aizatul Akmal Maharani yang bertindak sebagai Majistret perbicaraan telah memerintahkan Dietmar Ross, 54, menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditahan pada 10 Mei lalu.
Dia didakwa membahayakan kru pesawat MAS, Phuah Soh Kin, 48, dengan meninggikan suara dan tidak mematuhi peraturan penerbangan serta menggunakan bahasa kasar terhadap Phuah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu semasa dalam penerbangan MH 0179 yang berlepas ke Colombo dari KLIA pada pukul 11.45 malam, 9 Mei.
Ross yang kelihatan tenang semasa hadir di mahkamah dengan berpakaian seragam lokap didakwa di bawah Peraturan 70 (1) Peraturan Penerbangan Awam 1969.
Semasa ditanya mengenai pengakuannya selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris, dia menganggukkan kepala dan berkata "Ya, saya mengaku bersalah."
Dalam rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh meminta hukuman denda minimum kerana ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan berlaku salah faham antara Ross dan kru penerbangan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya Uma Devi Balasubramaniam memohon hukuman yang lebih berat kerana tindakan Ross meletakkan nyawa kru dalam bahaya dan dia sengaja tidak mematuhi arahan.
Menurut fakta kes, semasa insiden Ross telah meninggalkan tempat duduknya di kelas bisnes dan meminta pramugara menghidangkan wiski.
Memandangkan isyarat tali pinggang menyala pada masa itu, Phuah tidak memberikan minuman itu kepada Ross dan memintanya kembali ke tempat duduk.
Ini mencetuskan kemarahan Ross yang menghamburkan kata-kata kesat terhadap Phuah dan mendesak untuk berjumpa kapten penerbangan di dalam kokpit.
Selepas beberapa amaran tidak diendahkan Phuah meminta pertolongan daripada kru lain untuk membantu menghalang Ross dan kemudiannya tercetus pergelutan.
Phuah dan beberapa kru penerbangan kemudian dibantu oleh beberapa orang penumpang dan akhirnya Ross berjaya dikawal.
Phuah kemudian memaklumkan kapten penerbangan Mohammad Saifullizan mengenai insiden tersebut dan atas sebab keselamatan, beliau memutuskan untuk berpatah balik ke KLIA.
- Sumber: Bernama