SEJAK kebelakangan ini, kelibat Yana Samsudin mula dilihat lebih aktif menjadi pengacara beberapa program hiburan.
Justeru timbul persoalan adakah aktres kelahiran Yong Peng, Johor Bharu ini sudah mula beralih bidang sejak mendirikan rumah tangga pada Februari lalu?
Bagaimanapun bagi empunya nama Norliana Samsudin ini, dia mengakui tidak pernah melupakan bidang lakonan meskipun rezekinya dalam bidang pengacaraan semakin meluas.
Sementelah lagi bidang lakonan adalah minat dan jiwanya dari dahulu lagi.
"Kalau nak ikutkan memang sekarang ini rezeki saya berpihak kepada pengacaraan dan hos. Tetapi ia bukan bermakna saya akan berhenti berlakon atau tidak menerima tawaran lakonan lagi.
"Sebaliknya selepas berkahwin ada beberapa komitmen diterima sebelum tawaran lakonan datang dan membuatkan saya memberi perhatian kepadanya terlebih dahulu," katanya.
Ditanya adakah suaminya, Fadzil Zahari, 32, lebih selesa dia menjadi pengacara berbanding pelakon, Yana memberitahu, jika mengikut permintaan Fadzil, suaminya itu lebih gemar jika dia bekerja bersama suaminya sahaja.
"Memang sebelum ini saya sudah berada di bawah pengurusan syarikat suami, iaitu Prokuya Studios. Tetapi saya terpaksa menolak permintaan dia untuk bekerja bersama kerana saya seorang yang tidak reti duduk diam dan 'workaholic'.
"Kalau kerja dengan dia, mungkin hanya kerja-kerja tertentu saya lakukan," jelasnya.
Bagaimanapun ujar bintang filem Wawa Semput ini, dia sebenarnya bertuah kerana suaminya itu sentiasa memberikan sokongan dan tidak pernah menghalang minatnya.
"Daripada mula kahwin sehingga hari ini, saya terikat dengan kerja. Dia tidak merungut sebaliknya faham komitmen kerja saya.
"Mungkin kerana datang dalam bidang sama membuatkan dia senang menerima gaya saya bekerja," katanya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 30 tahun ini berkata, walaupun suaminya dalam proses pembikinan sebuah drama, namun bukan caranya untuk menjadi salah seorang pelakon menerusi karya terbaharu suaminya.
"Buat masa sekarang saya memang tidak terlibat dengan drama atau telefilem di bawahnya.
"Saya selesa bekerja dengan orang lain daripada suami. Bukan kerana saya isterinya, saya boleh berlakon dalam mana-mana karya yang dihasilkannya," katanya.
Tambah Yana, dia bimbang jika penglibatan mereka dalam bidang bidang kerja memberikan kesan kurang baik kepada rumah tangga.
"Apa pun, untuk menerima sebarang tawaran kerja, saya akan rujuk dan bertanya kepadanya terlebih dahulu," katanya.
Tidak lokek berkongsi perihal rumah tangganya, Yana memberitahu, kerana kesibukan kerja juga membuatkan dia tidak sempat meluangkan masa dan bercuti panjang bersama suaminya.
"Perancangan kahwin sebelum ini pun dilakukan dalam masa singkat, jadi banyak kerja-kerja yang saya terima sebelum ini perlu diteruskan selepas berkahwin.
"Bayangkan buat masa ini, fokus saya banyak dihabiskan untuk kerja sahaja.
"Kalau cuti sekejap-sekejap adalah, tetapi nak cuti panjang memang tak sempat. Jadi, perancangan honeymoon juga tidak dapat dilakukan," jelasnya yang tidak menolak jika diberikan rezeki cahaya mata masa terdekat.
Gementar beraksi 'live'
Mengulas lanjut mengenai kerjaya pengacara, hos program masakan Lesung Pipit itu memberitahu, dia gembira dengan penerimaan peminat dan pihak penerbit yang memberinya peluang mencuba bidang baharu itu.
"Alhamdulillah rezeki selepas kahwin memang mencurah-curah. Selepas mengendalikan Drama Feztival Kuala Lumpur (DFKL), kali ini saya diberi peluang menjadi hos untuk program realiti Bintang Bersama Bintang (BBB).
"Sebelum ini saya pernah menjadi hos untuk Juara Joran, tetapi ketika itu ramai tidak perasan," jelasnya.
Bercerita pengalaman mengacara dan hos, akuinya, walaupun gementar ketika kali pertama beraksi live tetapi kepercayaan pihak terlibat membuatkan dia yakin.
"Dengan sokongan semua, saya cuba memberikan yang terbaik," katanya bertuah mendapat tunjuk ajar pengacara terkenal AG selepas dua kali bergandingan dengan penyampai Hot FM itu.
- Sumber: Sinar Harian