Friday 6 December 2013

Suspek rompakan tangguh kahwin esok kerana tidak dibenar diikat jamin



Hasrat seorang lelaki bekas tahanan Simpang Renggam untuk melangsungkan perkahwinannya esok terpaksa dilupakan apabila Mahkamah Sesyen tidak membenarkannya diikat jamin bagi pertuduhan merompak yang dihadapinya.

R. Kunasekaran, 26, merupakan bekas tahanan pada 2007 dan 2009, hari ini didakwa di mahkamah terhadap pertuduhan rompak berkumpulan menggunakan sebilah parang di sebuah premis pengurup wang.

Dia dituduh mengambil pelbagai mata wang negara berjumlah RM243,920 di sebuah premis perkhidmatan wang berlesen di sebuah pasar raya di Kepong, di sini pada 10.20 pagi, 26 Nov lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norman Mohd Nasir berhujah pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tertuduh tidak diberikan jaminan atas alasan melibatkan kerugian yang besar.

Selain itu, katanya tertuduh yang bekerja sebagai peniaga besi buruk turut memiliki sembilan rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah.

Peguam G. Ganesan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan diberikan kerana keluarga dan anak guamnya itu telah membuat persiapan untuk perkahwinannya esok.

Hakim Azman Mustapa tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

- BERNAMA 

Bola sepak: Rakyat Malaysia mengaku atur perlawanan

MELBOURNE - Seorang lelaki Malaysia dan dua pemain bola sepak di England mengaku mengatur keputusan perlawanan di sini dan terlibat dengan kegiatan satu sindiket antarabangsa.

Segaran Subramaniam, 45, rakyat Malaysia yang didakwa mendalangi kegiatan itu, mengaku bersalah pada Jumaat terhadap tuduhan melakukan perbuatan mengubah atau boleh mengubah keputusan pertaruhan, demikian menurut laporan Australian Associated Press (AAP).

Pada April tahun depan, Subramaniam akan dibicarakan bagi tuduhan berkomplot untuk menetapkan lima keputusan perlawanan Southern Stars di sini antara Julai dan September tahun ini.

Sementara itu, pada Jumaat, pemain pertahanan Reiss Noel dan penjaga gol Joe Woolley, kedua-duanya berumur 24 tahun, disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman denda setelah mengaku membantu mengatur keputusan lima perlawanan ketika bermain dengan Southern Stars dalam liga perdana separuh profesional Victoria.

Majistret Jack Vandersteen menjatuhi hukuman denda A$1,200 terhadap Woolley kerana peranannya dalam menetapkan keputusan tiga perlawanan, manakala Noel didenda A$2,000 kerana membantu menetapkan keputusan empat perlawanan.

Vandersteen berkata walaupun perbuatan mereka merupakan kesalahan serius, namun dua pemain itu tidak menyedari kesan meluas akibat tindakan mereka itu.

Pendakwa raya Peter Rose memberitahu mahkamah bahawa Woolley dan Noel adalah pemain hebat, yang memanipulasikan keputusan perlawanan mengikut arahan.

"Mereka boleh mengubah keputusan permainan dengan mudah," kata Rose yang dipetik AAP.

Beliau berkata kedua-dua pemain mengaku melakukan perbuatan itu dan mendakwa mereka tidak meraih banyak wang daripada skim berkenaan.

Peguam bela Anthony Brand pula berkata dua pemain itu adalah "bahagian yang boleh diketepikan" daripada operasi "langgar dan lari" sindiket berkenaan di Australia.

Katanya walaupun skim itu disusun rapi, tetapi ia lemah dari segi pelaksanaan apabila ada orang tertentu dilihat meneriakkan arahan mencurigakan dari luar padang dalam perlawanan melibatkan Southern Stars.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa arahan menetapkan keputusan perlawanan disampaikan melalui pengurus pasukan Zia Younan.

Younan, 36, serta seorang pemain Southern Stars dari England David Obaze, 23, dan Nicholas McKoy, 27, yang menghadapi tuduhan mengatur keputusan perlawanan, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 20 Dis. -- Bernama

Bayi 18 hari antara tiga maut kemalangan di Kubang Kerian


Keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk teruk - Foto Astro AWANI


KUBANG KERIAN: Tiga maut termasuk seorang bayi berusia 18 hari manakala dua yang lain parah dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan kenderaan pelbagai guna, MPV di Kampung Chica Kubang Kerian pagi tadi.

Dalam kejadian jam lebih kurang 7.30 pagi itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Zabidah Dollah, 49 tahun, Siti Maimunah Abdullah, 35 tahun dan anak kepada Maimunah, bayi lelaki yang belum diberikan nama.

Pemandu Kancil, Mohd Noor Ghazi 38 tahun dan pemandu MPV yang dikenali sebagai Kamarizan Mat Yaman, 32 tahun mengalami kecederaan parah dan kini di rawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM Kubang Kerian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memaklumkan kereta Kancil yang dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Kubang Kerian menuju ke Pasir Tumboh.

Setibanya di tempat kejadian, pemandu kereta Kancil itu dikatakan mengubah laluan dari laluan kanan ke laluan kiri untuk membuat pusingan U.

Dalam masa yang sama MPV yang dipandu oleh wanita berkenaan tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta Kancil tersebut dan menyeretnya sehingga melanggar tiang eletrik berhadapan dengan sebuah kedai runcit.

Zabidah dan bayi lelaki berkenaan maut di tempat kejadian manakala Maimunah yang bertugas sebagai jururawat di HUSM Kubang Kerian meninggal dunia setibanya di HUSM.

Kereta Kancil yang dinaiki oleh satu keluarga itu dikatakan baru pulang dari mengadakan majlis mencukur jambul bayi berkenaan di rumah menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi tadi.

Kesemua mereka berasal dari Kampung Tanjung Stan, Kubang Kerian.

Mangsa yang maut ditempatkan di unit forensik HUSM untuk dibedah siasat sebelum di tuntut oleh keluarga.

Astro Awani 

Kreatif: Ibu tunggal bina rumah rakit hadapi banjir

Ibu tunggal bina rumah rakit hadapi banjir
Hanisah berdiri di hadapan rumah rakit miliknya melihat keadaan banjir yang berlaku di Kampung Paya Garuk, di sini.


JERANTUT - Seorang ibu tunggal dari Kampung Paya Garuk sanggup menghabiskan RM4,000 untuk membina sebuah rumah rakit bagi menempatkan barangan dan harta benda daripada ditenggelami air setiap kali musim banjir tiba.

Hanisah Mat Sarif, 45, berkata, dia membina rumah rakit itu sejak tahun 2005 bagi persediaan awal untuk menghadapi banjir yang berlaku di kampung mereka.

Menurutnya, dia yang berniaga kecil-kecilan di kampung itu perlu membuat rumah rakit itu kerana tidak sanggup mengalami kerugian besar setiap tahun akibat banjir.

“Apabila tiba musim tengkujuh saya akan simpan semua barangan rumah termasuk peralatan elektrik dalam rumah rakit ini. Alhamdulillah, usaha dan inisiatif saya ini mampu menyelamatkan harta benda daripada musnah akibat banjir.

“Saya juga jadikan rumah rakit ini sebagai tempat perlindungan kerana rumah saya dinaiki air,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jerantut Feri, Sabri Kamaludin berkata, walaupun ibu tunggal itu menjadikan rumah rakit itu sebagai tempat perlindungan tetapi dia perlu juga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Menurutnya, ini kerana ia melibatkan keselamatan selain perlu mendapatkan bantuan banjir yang disediakan kerajaan.

Sinar Harian 

Tahniah! Ucapan KJ mengkritik kenaikan tarif elektrik

Kelmarin, persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung. Saya mendapat jemputan khas dari Ketua Wanita UMNO untuk hadir. Saya juga mendapat permintaan dari Ketua Puteri supaya menjengok persidangan Puteri, tetapi kerana lewat sampai ke tempat persidangan, maka saya sekadar menonton ucapan dari luar Dewan sahaja. Semuanya hebat dan penuh semangat.

Begitupun, yang mengujakan saya ialah ucapan Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin. Pemuda UMNO tidak menjemput saya, tetapi isi ucapan Ketua Pemudanya relevan di hati saya. Apa yang relevannya?

Yang relevannya ialah kesediaan (jikapun tidak keberanian) KJ untuk membawa aspirasi rakyat dengan meminta kenaikan tarif eletrik dikaji semula. Ucapan KJ ini banyak mendapat reaksi. Mereka yang skeptikal menyatakan ini adalah lakonan dan sandiwara sahaja. Skripnya sudah siap diatur. KJ menentang kenaikan tarif elektrik bagi menunjukkan kerajaan BN prihatin kerana selepas perhimpunan ini, kenaikan tarif elektrik dibatalkan.

Kata mereka lagi, keputusan menaikkan tarif elektrik ini diumumkan oleh Menteri bukannya oleh Pengerusi TNB, maka sudah tentulah kenaikan tarif ini dibincangkan dalam kabinet. Sebagai ahli kabinet, mengapa KJ tidak membantahnya dalam kabinet? Dan yang lebih sinis lagi menyatakan KJ ini selalu sahaja melawan arus dan bertelagah dengan sesiapa sahaja — dengan MB Terengganu dan juga dengan FAM. Ah, pada mereka KJ sekadar mencari populariti. Inilah pandangan yang negatif tentang ucapan KJ.

Saya tidak sealiran dengan mereka yang berpesepsi negatif dengan suara KJ. Apakah mereka yang tidak bersetuju ini mengharapkan KJ menyatakan jika tidak setuju dengan kenaikan tarif elektrik, maka guna pelita ayam atau terimalah ketentuan Allah? Jikapun KJ ada dalam kabinet, kita tidak tahu apa yang berlaku dalam kabinet. Keputusan kabinet adalah keputusan bersama, manakala tindakan beliau sebagai Ketua Pemuda Parti adalah membawa suara rakyat yang mendokong parti. Maka, tidak bolehkah kita berpesepsi baik kepada tindakan beliau ini, jika suaranya ini adalah untuk kebaikan rakyat dan parti?

WAJARKAH TARIF ELETRIK DINAIKKAN?

Yang KJ persoalkan ialah kenaikan tarif letrik sebanyak 14.89 peratus yang membebankan rakyat, iaitu bersamaan 4.99sen bagi setiap kilowatt. Kenaikan ini menjadikan harga baru untuk sekilowatt ialah 38.53sen berbanding harganya sekarang 33.54 sen sekilowatt. Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj. Tarif letrik ini bukannya tidak dinaikkan sejak lama. Terakhir TNB menaikkannya ialah pada 1 Jun 2011, iaitu dinaikkan kepada 33.54sen/kwj daripada 31.31sen/kwj iaitu sebanyak 2.23sen/kwj. Pada ketika itu, kerajaan menyatakan kenaikannya adalah kesan daripada dua komponen iaitu penyelarasan harga gas kepada RM13.70/MMBtu daripada RM10.70MMBtu.

Semasa mengumumkan kenaikan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014 pula, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menggariskan empat faktor yang mendorong kenaikan, iaitu kesan penyelarasan harga gas domestik (0.51 sen/kwj), kesan penetapan harga gas asli cecair (3.41sen/kwj), kesan penyelarasan harga arang batu (0.17 sen/kwj) serta semakan tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) (0.90 sen/kwj).

Satu lagi ialah kerana kerajaan mahu mengurangkan subsidi minyak bagi bekalan kuasa. Persoalannya ialah apakah kerajaan tidak mampu lagi memberikan subsidi kepada rakyat sehingga mengambil langkah yang membebankan rakyat? Hal ini boleh diterima jika TNB dalam kerugian, tetapi baru pada 18 Julai yang lepas, Pengerusi TNB mengumumkan kejayaannya mencatatkan keuntungan bersih RM1.742 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2013 berakhir 31 Mei lalu berbanding RM684.9 juta tempoh sama tahun lepas. TNB mencatatkan perolehan sebanyak RM9.647 bilion pada suku ketiga 2013, berbanding RM9.191 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusinya menyatakan prestasi positif itu didorong oleh "Pertumbuhan terhadap permintaan elektrik [yang] menunjukkan peningkatan sejajar dengan perkembangan ekonomi negara didorong oleh pemulihan permintaan luaran dan pengukuhan permintaan domestik.” Alih-alih baru mengumumkan keuntungannya, TNB mengumumkan pula kenaikan tarif elektrik. Inilah yang mengejutkan rakyat.

Dan semasa mengumumkan kenaikan tarif eletrik yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014, Menteri memberi jaminan kenaikan ini akan melindungi kebajikan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah, iaitu tiada kenaikan tarif elektrik akan dialami oleh 70.67 peratus atau 4.56 juta pengguna daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 pengguna daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan WP Labuan yang menggunakan elektrik pada kadar 300kwj dan ke bawah. Saya tidak dapat pastikan ketepatan data ini, tetapi otak saya bertanya: Betulkah 70.62% pengguna di Semenanjung dan 62% di Sabah menggunakan elektrik pada kadar 300kwj ke bawah?

Saya tidak boleh bahaskan tentang hal itu, tetapi yang saya boleh bahaskan ialah kesan kenaikan tarif elektrik ini kepada rakyat. Selepas ini rakyat akan membayar 15 peratus tambahan untuk kos elektrik mereka dan terpaksa membayar kos tambahan untuk barangan keperluan yang juga akan meningkat. Pendapatan mereka yang tidak seberapa terpaksa dihabiskan untuk membayar segala bil keperluan rumah sehingga pendapatan boleh guna akan semakin mengecil dan ini sekaligus mengurangkan pilihan buat rakyat dalam berbelanja.

Harus diingat, kesan kenaikan tarif elektrik dan kenaikan harga barang ini tidak kepada golongan bawahan sahaja, tetapi juga kepada kelas menengah yang gajinya antara RM5-10 ribu sebulan. Bayangkan kos kehidupan dengan ansuran rumah, minyak kereta, ansuran kereta, duit persekolahan anak, bayaran pembantu rumah dan bil yang meningkat, golongan kelas pertengahan juga tidak mampu menanggung beban kenaikan harga barang. Ini belum mengambil kira kesannya kepada IKS, pekedai-pekedai kecil dan lain-lainnya yang juga memberi kesan kepada ekonomi negara.

Saya tidak mahir untuk bercakap tentang Penyedia Tenaga Bebas atau Independent Power Producer (IPP), tetapi saya dengar sejak dahulu tentang masalah Perjanjian yang berat sebelah antara IPP dengan TNB sebagai faktor yang membebankan TNB. Jika apa yang saya dengar ini betul, saya fikir sepatutnya keutamaan kerajaan adalah menyemak semula perjanjian IPP bukannya menaikkan tarif eletrik.

SALAHKAH KJ BERSUARA?

Setelah memberikan data sedemikian, salahkah KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO bersuara untuk rakyat? Sudah tentu tidak. Pada saya KJ telah bersuara membawa harapan dan aspirasi rakyat. Jika hendak mengharapkan pemimpin dan perwakilan lain, saya belum mendengarnya lagi. Yang saya dengar setakat ini perkara-perkara biasa sahaja: wujudkan menteri yang jaga hal ehwal bumiputera, sediakan jawatan yang mencukupi untuk Wanita dalam GLC, gadis perlu diberikan peluang menjadi ahli UMNO secara automatik, UMNO ialah parti pejuang Melayu dan Islam, UMNO perlu bersedia untuk menghadapi PRU ke-14 dan seumpamanya. Soal kesejahteraan rakyat dan bebanan kehidupan rakyat akibat dari kenaikan kos hidup tidak tidak ramai yang sanggup membincangkan secara terbuka.

Saya tidak berpersepsi buruk kepada KJ. Sejak awal, saya menaruh harapan tinggi kepada beliau untuk membawa suara rakyat. Memang payah untuk melakukan perubahan dalam politik, tetapi bagaimana payahpun, untuk politik Malaysia maju ke depan, seseorang mesti melakukannya. Dan dalam UMNO, sebagai Ketua Pemuda, KJ telah melakukannya. Tahniah!


----------------------------------
Tulisan ini adalah pandangan peribadi Mohammad Agus Yusoff  yang disiarkan di Astro AWANI.

Blogger pertikai KJ kritik kenaikan tarif elektrik

Blogger pertikai KJ kritik kenaikan tarif elektrik

Blogger Ahirudin Attan mempertikaikan tindakan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan kerana mempersoalkan cadangan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan oleh kerajaan awal minggu ini.

Katanya, sebagai anggota kabinet pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khairy tidak wajar berbuat demikian.

"KJ (Khairy Jamaluddin) tidak boleh menganggap beliau bukan sebahagian daripada proses membuat keputusan itu, bukan sebahagian daripada tanggungjawab bersama itu," kata Ahirudin di laman blognya Rocky's Bru.

Kritikan terhadap Khairy itu terkandung dalam tulisan bertajuk Electricity tariff increase: 4 things KJ needs to know (Kenaikan tarif elektrik: 4 perkara KJ perlu tahu).

Khairy dalam ucapan dasarnya membuka Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO pada Rabu mengkritik Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana menaikkan tarif elektrik dan meminta syarikat berkaitan kerajaan itu supaya tidak memikirkan keuntungan semata-mata.

Beliau juga membuat teguran umum kepada semua GLC yang lain supaya tidak lupa tanggungjawab kepada rakyat dan bukan hanya mengutamakan prestasi kewangan sahaja.

Dalam sidang media selepas ucapan itu, Khairy menjelaskan bahawa beliau sedar dirinya terikat dengan keputusan kabinet tetapi sebagai Ketua Pemuda UMNO, beliau merasakan perlu untuk menyuarakan keresahan rakyat mengenai kenaikan itu.

Perkara sama juga katanya sudah beliau suarakan dalam mesyuarat kabinet.

Ahirudin yang juga bekas wartawan kanan Kumpulan The New Straits Times Press Berhad memberi tiga sebab lain kenapa teguran Khairy ke atas TNB itu tidak wajar.

Pertama, cadangan kenaikan tarif elektrik itu bukan dibuat oleh TNB tetapi MyPower Corporation iaitu agensi di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Agensi itu ditubuhkan pada 2011 dengan mandat mengemukakan cadangan untuk menstruktur semula sektor tenaga negara.

Ahirudin seterusnya berhujah bahawa kenaikan tarif elektrik itu adalah kesan daripada penyelarasan subsidi kerajaan yang menyebabkan subsidi gas ditarik balik dan harga gas asli cecair diletakkan pada harga pasaran.

"Satu-satunya cara untuk "membayar" penghapusan subsidi itu ialah dengan menaikkan tarif elektrik seperti yang dicadangkan oleh MyPower," kata Ahirudin.

Beliau menambah Khairy sepatut memuji MyPower kerana memastikan 70 peratus pengguna di Semenanjung dan mungkin lebih ramai pengguna di Sabah dan Sarawak tidak akan terjejas dengan kenaikan tarif berkenaan.

Kelompok itu adalah mereka yang menggunakan kurang 300kW/h atau yang membayar bil elektrik tidak sampai RM77 sebulan.

Ahirudin seterusnya mengingatkan Khairy bahawa peningkatan tarif itu tidak menyumbang apa-apa keuntungan kepada TNB.

Katanya daripada kenaikan 4.99 sen itu, 3.92 sen pergi kepada Petronas dan 0.17 sen untuk kos arang batu manakala 0.90 sen akan pergi kepada TNB untuk perbelanjaan modal dan operasi bagi menaiktaraf sistem untuk empat tahun akan datang.

Jelas Ahirudin, Khairy perlu sedar bahawa beliau adalah anggota pentadbiran Perdana Menteri iaitu kerajaan yang mengalakkan penyelarasan subsidi, yang melantik MyPower dan yang meluluskan atau akan meluluskan tarif baru itu.

"Saya rasa dia (Khairy) mula cuai dan tidak buat kerja rumah yang cukup," kata Ahirudin.

ASTRO Awani 

Jika ada bukti Petronas mesti dedah kempen Pakatan Rakyat takutkan pelabur

Petronas didesak dedah kempen Pakatan Rakyat takutkan pelabur

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa supaya tindakan undang-undang dikenakan kepada pihak yang menabur fitnah sehingga Petronas kerugian hampir RM40 bilion akibat pelabur Taiwan membatalkan hasrat melabur di Pengerang, Johor.

Khairy berkata tindakan pemimpin pembangkang itu merupakan satu pengkhianatan kepada negara kerana menyebarkan maklumat yang palsu sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Kita bukan hanya boleh melihat soal pengkhianatan dari segi kesetiaan politik ataupun pencerobohan wilayah tetapi juga dari segi apa sahaja usaha yang boleh menafikan kemajuan ekonomi di negara kita terutamanya bila usaha itu dibuat atas sebab-sebab yang tidak betul," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, pemimpin pembangkang membangkitkan isu alam sekitar tidak berasaskan fakta sebaliknya ia dibuat semata-mata untuk menafikan pelaburan asing ke dalam negara.

"Kalau kita bantah soal pelaburan yang tidak membawa kebaikan dari segi alam sekitar dan sebagainya yang berasaskan kepada fakta, saya faham.

"Tetapi dalam kes ini tidak, dia cuma mahu pelaburan ini tidak datang ke sini atas desakan yang berasaskan kepada maklumat yang palsu." katanya lagi.

Khairy menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang ini sebagai satu sabotaj ekonomi sehingga menyebabkan negara mengalami kerugian  yang besar dan menjejaskan peluang pekerjaan kepada puluhan ribu rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mendesak Petronas segera mendedahkan butiran mengenai kerugian berjumlah hampir RM40 bilion pelaburan asing dari Taiwan yang didedahkan oleh Najib.

Ketuanya, Razlan Raffi berkata Petronas tidak boleh berdiam diri dalam perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan nasional.

Katanya, rakyat perlu tahu mengenai kerugian yang dialami oleh Petronas itu kerana ia melibatkan satu jumlah yang besar.

"Petronas perlu dedahkan apa bentuk perniagaan yang telah cuba dibuat dengan pelabur dari Taiwan ini dan bagaimana begitu mudah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini mempengaruhi pelabur-pelabur asing ini.

"Rakyat berhak untuk mengetahui mengenai perkara ini kerana ia merupakan isu nasional dan jumlahnya bukan sedikit," katanya.

Razlan juga berpendapat Petronas perlu mendedahkan siapakah pemimpin pembangkang yang didakwa terlibat menghasut pelabur dari Taiwan supaya tidak melabur di Pengerang.

Tegas beliau, nama pemimpin-pemimpin pembangkang ini perlu didedahkan supaya tindakan boleh diambil ke atas mereka.

"Rakyat perlu tahu siapa pemimpin yang tidak bertanggungjawab ini supaya rakyat boleh menghukum mereka dan parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Petronas tidak boleh diamkan perkara ini, dedahkan siapa yang terlibat, dari parti mana, ini semua perlu Petronas dedahkan kerana rakyat perlu tahu," jelasnya.

Katanya, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan juga akan menghantar memorandum kepada Petronas supaya membuat pendedahan itu segera.

Pada masa sama, Razlan juga mengesa supaya Petronas segera mencari pelaburan baru bagi menggantikan kerugian yang ia alami.

Najib ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Khamis mendedahkan maklumat yang beliau terima daripada Presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas mengenai kehilangan peluang pelaburan dari Taiwan bagi projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zainal berkongsi sentimen yang sama dan menyifatkan kerugian RM40 bilion itu bukan satu perkara kecil.

"Ini 40 bilion ringgit, bukan 4 juta. Kalau 100 juta ringgit pun orang bising, apalagi kalau 40 bilion ringgit," katanya.

"Rakyat berhak untuk tahu apa yang terjadi. Kita mahu Petronas dedahkan apa yang dia (pembangkang) telah buat sehingga pelabur takut hendak melabur di Pengerang."

Jelas Zainuri, apa yang berlaku ke atas Petronas mempunyai kesan langsung dan tidak langsung kepada kerajaan dan UMNO yang menunjangi kerajaan serta kepada rakyat secara keseluruhan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya pada Khamis menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang menghasut pelabur dari Taiwan itu bukan hanya pengkhianatan terhadap negara tetapi juga penyokong dan pengundi mereka.

Tegas beliau, pemimpin pembangkang sepatutnya mengutamakan kepentingan negara biarpun berbeza idealogi politik dan tidak melakukan sabotaj kepada pelaburan yang dapat menjana pendapatan negara.

"Sepatutnya dalam apa jua keadaan, mereka tidak patut menghalang kemasukan pelabur, seperti di Pulau Pinang yang dikuasai pembangkang, kerajaan pusat tidak pernah menyekat pelaburan ke sana.

"Apatah lagi dalam keadaan kemasukan pelabur ke Pengerang (Johor), kawasan yang hendak kita perkasakan industri petroleum," katanya pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO ke-64, di PWTC, pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata tindakan pemimpin pembangkang memainkan isu alam sekitar untuk memburukkan projek di Pengerang itu sebagai "menjijikkan".


Astro Awani 

Nelson Mandela meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi keluarga

Nelson Mandela meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi keluarga

Ikon anti-apartheid terkenal Afrika Selatan, Nelson Mandela meninggal dunia pada Khamis di usia 95 tahun.

Pemenang anugerah Nobel Keamanan yang dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan berkulit hitam yang pertama itu meninggal dunia di rumahnya di Johannesburg dengan tenang sambil dikelilingi ahli keluarganya.

Kesihatan Mandela telah sekian lama terjejas selepas menjalani rawatan jangkitan paru-paru.

Berita kematiannya diumumkan dengan nada sebak oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma secara langsung pada awal pagi ini.

"Negara kita ini kehilangan seorang anak lelaki yang hebat. Kita juga kehilangan seorang ayah.”  Ujar Zuma.

Mandela dibenarkan keluar dari hospital pada September, namun terus diberikan rawatan intensif di rumah. Sejarah penyakit yang dihidapinya sekian lama itu bermula ketika dia dijangkiti batuk kering ketika di dalam penjara.

Ekoran pengumuman kematian ikon dunia itu, orang ramai berkumpul di jalanan berhampiran rumah Mandela bagi meraikan kehidupan bekas presiden itu. Nyata, dia seorang pemimpin yang disayangi rakyatnya.

Kematian Mandela turut diterima dengan tenang bagi beberapa ahli politik dunia termasuk Presiden Amerka Syarikat, Barack Obama.

Dalam ucapannya, Obama memuji Mandela sebagai lelaki yang sangat baik dan membikin sejarah dengan membentuk moral dunia menuju keadilan.

Mandela ketika hayatnya menghabiskan 27 tahun daripada usianya di belakang jeriji besi penjara sebelum dibebaskan pada 1990 dan mengetuai Kongres Nasional Afrika (ANC) dalam perbincangan dengan pemimpin minoriti kulit putih yang akhirnya menghasilkan pilihan raya pelbagai kaum pertama pada tahun 1994.

Beliau berkhidmat sebagai presiden selama satu penggal sebelum mengambil beberapa peranan lain dan akhirnya bersara daripada khalayak ramai pada 2004.

Ketika hayat

Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan pada Julai 1918 di daerah Transkei, dan memulakan karier sebagai peguam di Johannesburg pada waktu yang sama dengan aktiviti politiknnya.

Beliau menjadi ketua komander kepada ‘Umkhonto we Sizwe’ atau Spear of the Nation, sayap kepada ANC yang kini telah diharamkan dan seterusnya menjalani latihan ketenteraan di Algeria dan Ethiopia.

Mandela kemudian ditangkap polis pada 1962 di Afrika Selatan kerana pergerakan yang dipimpinnya, dan beliau dipenjarakan selama lima tahun.

Mendiang didakwa mensabotaj dan kemudian dipenjarakan seumur hidup pada 1964 ketika perbicaraan Rivonia, yang mengambil nama sempena sebuah bandar di pinggiran Johannesburg di mana beberapa pemimpin ANC ditangkap.

Beliau menggunakan perbicaraan itu untuk menyampai sebuah ucapan yang kemudian dijadikan manifesto pergerakan anti-apartheid.

Mandela pada awalnya dihantar ke penjara di Pulau Robben, di mana dia menghabiskan 18 tahun sebelum dihantar ke penjara Pollsmoor di Cape Town pada 1982, dan kemudian ke penjara Victor Verster berhampiran Paarl.

Beliau dibebaskan pada 11 Februari, 1990 dan melangkah keluar dari penjara sambil mengangkat penumbuk ke udara sebagai tanda kejayaan.

Pengkritik berkata, penggal lima tahun ketika dia menyandang jawatan presiden sebagai tahun menyaksikan kenaikan jenayah dan rasuah di negara itu. Namun penyandang seterusnya tidak menerima kasih sayang dan rasa hormat masyarakat seperti yang diterima Mandela.

Setelah bersara, beliau memberi focus terhadap menjadi orang tengah kepada konflik, yang menyaksikan konflik Burundi sebagai sesuatu yang paling diingati. Beliau juga cuba untuk menaikkan kesedaran tentang AIDS, penyakit yang telah meragut nyawa anak lelakinya, Makgatho.

Mandela berkahwin buat kali ketiga pada usia 80 tahun bersama bekas isteri mendiang presiden Mozambique, Samora Machel.

Mandela memiliki tiga anak perempuan, 18 cucu, sembilan cicit dan tiga cucu tiri. Beliau mempunyai empat anak tiri melalui perkahwinannya bersama Machel.

Astro Awani 

Tiga Lamborghini hangus di lebuh raya


Tiga Lamborghini hangus di lebuh raya
Kelihatan tiga buah kenderaan mewah Lamborghini sedang marak dengan api ketika kemalangan berlaku.

Tiga Lamborghini hangus di lebuh raya
Keadaan tiga buah kereta Lamborghini yang hangus selepas kebakaran di KM 259 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dekat Seremban.



SEREMBAN - Tiga kereta Lamborghini hangus terbakar dalam kemalangan di Kilometer 259 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dekat Seremban, pagi tadi.

Menurut sumber, kemalangan melibatkan kereta milik warga Singapura yang sedang berkonvoi dari negara itu ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 pagi itu, kereta ketiga daripada lima kenderaan itu dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lebuh raya sehingga menyebabkan dua kereta di belakang merempuh kereta itu.

Akibat rempuhan itu, berlaku kebakaran melibatkan ketiga-tiga kereta itu.

Sementara itu, memetik laporan portal tempatan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, dua jentera bersama 14 anggota tiba kira-kira tujuh minit kemudian, tetapi tiga kenderaan terbabit hangus terbakar.
Bagaimanapun, katanya semua pemandu dan penumpang sempat menyelamatkan diri.


Sinar Harian