Wednesday, 12 November 2014

HIV meningkat di Kelantan, Nik Abduh salahkan Thailand

Nik Abduh meminta pihak yang prihatin agar sama-sama membantu Kelantan dalam menangani ancaman HIV dan AIDS. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Statistik HIV dan AIDS yang tinggi di Kelantan adalah disebabkan negeri tersebut bersempadan dengan Thailand, yang mudah menawarkan dadah dan pelacur, kata Ahli Jawatankuasa Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz.

Beliau berkata demikian dalam sebuah forum bertajuk "Hukuman Tinggal Solat Jumaat Di Kelantan: Mencari Batas Kuasa Kerajaan dan Kebebasan Rakyat" di ibu negara malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, Perlis dan Perak, kerana akses keluar masuk yang mudah melalui Golok.

“Jika kita lihat negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand, di manakah bandar-bandar negara itu yang terkenal dengan aktiviti pelacuran?” tanya Nik Abduh sambil menekankan cabaran itu sebenarnya sangat hebat dihadapi Kelantan.

Nik Abduh mengakui kerajaan negeri sedar akan masalah tersebut. Selain mengetengahkan permasalahan tersebut melalui wakil kerajaan negeri di Parlimen, Kelantan juga telah meminta bimbingan Putrajaya untuk mengatasinya.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, tolonglah bantu Kelantan. Adalah salah untuk mengatakan bahawa Kelantan tidak ada idea.

“Kami telah mencuba sedaya upaya memberi kesedaran kepada penduduk Kelantan dalam usaha mengurangkan kes AIDS,” kata beliau.

Kelantan merupakan negeri kedua dengan kes HIV tertinggi di negara ini selepas Selangor, kata laporan Yayasan AIDS Malaysia.

Setiausaha Agung yayasan berkenaan, Hisham Hussein berkata, terdapat 207 kes baharu telah dilaporkan di Kelantan daripada sebanyak 3,393 kes di seluruh negara.

- Sumber: Astro Awani

Balotelli kembali bersama Azzurri

Balotelli (dua, kiri) kembali menjalani sesi latihan bersama Itali, semalam.

PENYERANG sensasi Liverpool, Mario Balotelli kembali dipanggil menyarung jersi pasukan kebangsaannya, Itali menjelang aksi Kelayakan Piala Euro 2016 peringkat Kumpulan H, menentang Croatia, Isnin depan.

Walaupun dinilai kurang menyengat bersama The Reds, jurulatih Azzurri, Antonio Conte mempunyai alasan tersendiri memanggil semula Balotelli.

“Sebab dia dipanggil kerana saya mahu melakukan perubahan. Anda tidak boleh menilai dengan khabar angin semata-mata sebaliknya perlu menilainya dengan lebih dekat.

“Saya harus menguji para pemain dan melihat apakah mereka mempunyai persamaan dalam mencorak permainan yang akan saya terapkan,” katanya.

Nama Balotelli sebelum ini tidak disenaraikan dalam dua aksi kelayakan menentang Azerbaijan dan Malta.

Conte yakin Balotelli yang mempunyai banyak pengalaman bersama Azzurri mampu menyumbangkan sesuatu yang berharga.

“Dia harus membuktikan bahawa dia boleh menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Pemuda hilang di Hutan Lipur Bukit Wang telah ditemui

Pihak Polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa kira-kira jam 5 petang Selasa melancarkan gerakan mencari bersama beberapa agensi berkaitan.

JITRA: Mohd Yahya Mohd Bakri, 24, mangsa yang hilang di Hutan Lipur Bukit Wang, dekat Jitra pada Selasa telah berjaya dijumpai semula kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Jitra, Kedah untuk rawatan.

Abd Rahim ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang kemudiannya membawa mangsa kepada pihak Operasi Pencari dan Penyelamat.

Pihak Polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa kira-kira jam 5 petang Selasa melancarkan gerakan mencari bersama beberapa agensi berkaitan.

Operasi mencari mangsa terpaksa dihentikan kira-kira jam 7 petang semalam ekoran keadaan gelap dan gerakan mencari mangsa agak sukar berikutan hutan tebal.

Ikuti temubual bersama Abd Rahim mengenai penemuan mangsa.

Mangsa Mohd Yahya dipercayai hilang ketika hendak mencuci tangan selepas makan bersama keluarganya di tebing sungai tempat berkelah di kawasan itu.
Menurut ibu mangsa, Sahidah Azizan, 52, anak kedua dari tujuh beradik itu meminta izin untuk mencuci tangan di tandas yang jaraknya kira-kira 500 meter dari tempat mereka berkelah.

Katanya, mereka sekeluarga tiba dari Tikam Batu, Sungai Petani jam 10.30 pagi dan sempat makan lima beranak itu di tebing air terjun sebelum mangsa dilaporkan hilang jam 11.30 pagi Selasa.

Bagaimanapun selepas puas mencari mereka sekeluarga bertekad untuk menghubungi pasukan bomba untuk meminta bantuan kerana bimbangkan keselamatan anaknya itu.

- Sumber: Astro Awani

Sinbad Dendam Ratu Kala penuh fantasi


BERTEMPAT di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bangsawan Sinbad Dendam Ratu Kala melabuhkan tirai selepas dipersembahkan selama tiga hari berturut-turut, bermula 7 hingga 9 November lalu.

Merupakan kesinambungan dari Teater Bangsawan Sinbad yang pernah dipentaskan pada 2009 (Sinbad Batu Permata Dewa), pementasan selama hampir dua jam ini berjaya menarik hampir 2,000 penonton.

Mendapat sentuhan Rosnan Nordin sebagai pengarah, teater ini dibintangi pegawai dan kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) seperti Mohd Fairuz Selamat (Sinbad), Nur Azreen Nizar (Puteri Jasmin), Saifulkhairi Ahmad (Abdul), Milyana Arshad (Ratu Kala) dan ramai lagi.

Teater Sinbad Dendam Ratu Kala mengisahkan Ratu Kala yang ingin membalas dendam di atas kematian anaknya dengan menculik Puteri Jasmin sebagai tebusan.

Demi menyelamatkan cinta hati, Sinbad memulakan pelayaran ke Kerajaan Ratu Kala di Alam Hitam dan mendapatkan pertolongan Tiga Setan Ratu Sheeba yang mengetahui tempat persembunyian ratu kejam tersebut.

Walaupun Sinbad berjaya menyelamatkan Puteri namun dia berhadapan dengan situasi sukar apabila takhta Puteri Yasmin akan bertukar tangan sekiranya mereka tidak pulang tepat pada masanya.

Menepati ciri teater bangsawan, teater ini berjaya membawa penonton ke dunia fantasi yang mana pengembaraan Sinbad memerangi kejahatan Ratu Kala amat dirasai.

Dari segi lakonan, nyata persembahan setiap pelakon tiada cacat celanya. Dengan lakonan bertenaga, setiap watak dilihat lebih menyerlah dengan solekan dan kostum yang membantu menghidupkan alam Sinbad.Lebih menonjol dengan LED

Tidak seperti pementasan biasa, Rosnan Nordin berjaya menghidupkan suasana teater Sinbad ini dengan penggunaan teknik lebih moden berbanding persembahan biasa.

Bukan sahaja menonjolkan elemen tarian, nyanyian dan lakonan, teater ini juga menggunakan skrin LED dan visual menjadikan ianya satu persembahan luar biasa.

Rosnan berkata, ternyata teknik itu memukau penonton dan menjadikan babak seperti naga dan bebola api lebih realistik.

"Saya bersyukur dengan penerimaan penonton yang rata-rata berpuas hati dengan persembahan ini.

"Ternyata teknik visual lebih moden juga boleh diguna pakai untuk menyerikan lagi pementasan ini," ujarnya

Dalam pada itu, Rosnan, turut memuji kerjasama dan persembahan kesemua pelakon. Sementelah kebanyakan mereka sememangnya mempunyai latar belakang seni kreatif dan teater dari universiti tempatan.

- Sumber: Sinar Harian 

Pengsan 4 jam kaki tersepit rim motosikal

Kaki mangsa dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh selepas rim motosikal dipotong.

KERTEH - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sedarkan diri selama empat jam selepas kakinya nyaris hancur akibat tersepit dalam rim motosikal ketika pulang daripada menduduki peperiksaan itu, petang kelmarin.

Mangsa, Wan Siti Sulyza Wan Manssor, 17, ketika itu sedang membonceng motosikal ditunggangi rakannya sebelum kain pakaian seragam sekolah dipakainya tiba-tiba terbelit dalam rim motosikal berkenaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di Jalan Lapangan Terbang Kerteh berhampiran jambatan kereta api ketika mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Kampung Pengkalan Ranggon.

Bagaimanapun, rakannya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Wan Siti Sulyza berkata, dia pengsan selepas kakinya berasa amat sakit kerana dikepit sesuatu.

“Saya tak tahu apa jadi ke atas saya waktu itu. Lepas buka mata, saya dah ada di hospital,” katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman.

Kaki mangsa dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh yang memotong rim motosikal berkenaan.

Mangsa yang juga anak keenam daripada tujuh beradik kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk mendapatkan rawatan segera sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

Sementara itu, ibu mangsa, Mahani Mamat, 47, yang juga buruh ladang berkata, selepas menerima panggilan daripada saksi kejadian pada jam 3 petang, dia bergegas ke Klinik Kesihatan Kerteh dan dimaklumkan anaknya sudah dihantar ke Hospital Kemaman.

“Semasa sampai di hospital, anak saya masih tidak sedarkan diri. Sekitar jam 6 petang barulah anak mula buka mata dan sedar daripada pengsan. Lepas dapat tahu kakinya cedera parah, dia mula menangis kesakitan. 

“Saya dimaklumkan doktor, tulang kaki anak saya patah, buku lali lari sebelah dan kulit kaki serta daging bahagian atas kaki terkoyak. Buat sementara waktu ini, doktor memasukkan besi di bahagian tulang kaki yang patah itu," katanya.

- Sumber: Sinar Harian

MINI Cooper S Countryman diperbaharui - RM243,888


MINI Cooper S Countryman baharu telah tiba, dengan perubahan yang minimal tetapi cukup untuk memberi nafas baru kepada model paling besar oleh MINI ini. Antara pembaharuan yang diberikan adalah gril hadapan rekaan terbaharu, lampu utama Xenon, lampu kabut LED dan daytime running light.

Sepertimana sebelumnya, Countryman baharu ini mengekalkan aloi 18 inci dengan rekaan kipas dan tentunya nilai praktikal dengan tempat duduk untuk lima orang.

Bahagian dalam kereta ini turut dilengkapkan dengan MINI Visual Boost termasuk skrin LCD resolusi tinggi berukuran 6.5 inci; buat pertama kali juga model ini akan dipasang dengan aplikasi pintar MINI Connected bagi memberi pengguna ketersambungan kepada, sebagai contoh, radio internet, pelbagai fungsi pemanduan dan juga laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Tambahan lagi, kabin Cooper S Countryman ini kelihatan lebih segar dengan penggunaan krom, permukaan dengan warna piano black, kerusi sport dan insulasi yang lebih.

Enjin masih lagi sama – dengan pengecas turbo skrol berkembar dan suntikan terus, unit 4-silinder ini menghasilkan 190hp dan 240Nm untuk tork. 0-100km/j dicapai dalam masa 7.8 saat. Butang baharu untuk mengaktifkan fungsi Sport juga ditambah; ia mengubah tindakbalas enjin dan bantuan yang diberikan kepada pemandu daripada sistem stereng.

MINI Malaysia telah menambah 2 warna metalik tambahan iaitu hijau (Jungle Green) dan biru (Starlight Blue) kepada warna-warna sedia ada. MINI Cooper S Countryman yang ditambah baik ini akan dapat dilihat di semua bilik pameran MINI sah bermula 15 November 2014.

Harga untuk model ini adalah  (harga atas jalan tanpa insurans, dan termasuk pakej servis MINI). Harga baharu ini adalah RM15,000 lebih rendah berbanding model pra-tambah baik ini. Tidak pula dinyatakan adakah perubahan ini turut diberikan kepada varian Cooper Countryman sebelum ini, atau jika harganya juga telah berubah.

Mengikut MINI Malaysia, sebanyak 535 unit MINI sudah diterima oleh pembeli sehingga bulan Oktober 2014. Ini adalah tambahan sebanyak 45% berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan 370 unit. Model Countryman adalah salah-satunya MINI yang dipasang di Malaysia (CKD) di Kulim, Kedah sejak pertengahan tahun 2013.

- Sumber: Astro Publication

Datuk Seri didakwa kerana simpan diesel lebih had

AYER KEROH: Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri bersama dua lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menyimpan dan memiliki 27,000 liter diesel di tempat tidak dibenarkan.

Tertuduh, Datuk Seri Ong Tai Poh, 52, Muhammad Shafiq Tan Abdullah, 40 dan Azery Sallehudin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan hakim, Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, syarikat milik Tai Poh iaitu Poh Fatt Supreme Holdings Sdn Bhd membenarkan menyimpan barang kawalan 8,000 liter diesel.

Dia didakwa di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 jika sabit kesalahan.

Tai Poh turut didakwa sebagai pengarah syarikat itu kerana membenarkan untuk menyimpan barangan berkenaan di tempat yang tidak diberi kebenaran oleh pengawal bekalan.

Sementara itu, Muhammad Shafiq didakwa menyimpan barangan kawalan iaitu 8,000 liter diesel yang menimbulkan syak munasabah di sebuah premis tidak dibenarkan.

Azrey pula didakwa memiliki 19,000 liter diesel di atas lori dalam keadaan menimbulkan syak munasabah iaitu berurusan dengan diesel secara runcit atau borong tanpa lesen sah.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan di sebuah stor tanpa nama dalam kawasan lot PT4823 TTC33, Kawasan Perindustrian Cheng pada 12.20 tengah hari pada 5 Mac 2014.

Pendakwaan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih rm100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Syahrul Nizam Mohd Misan menawarkan jaminan RM100,000 kepada ketiga-tiga tertuduh kecuali pertuduhan membabitkan Syarikat Poh Fatt Supreme Holdings Sdn Bhd.

Tai Po yang diwakili peguam, Ho Wee Keong manakala, Muhammad Shafiq dan Azrey diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork memohon jaminan dikurangkan.

Bagaimanapun, Ahmad Sazali kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

- Sumber: Astro Awani

Astro lancar 10 saluran baharu

Astro hari ini melancarkan 10 saluran baharu termasuk lapan dalam definisi tinggi (HD) yang akan mula bersiaran 16 November ini.

Dalam masa yang sama, Astro turut melancarkan Astro Plus, sebuah platform yang menawarkan filem dan program televisyen dari Hollywood menerusi perkhidmatan Video On Demand.


Ini termasuk membawakan kandungan terkini dari luar menerusi pelbagai platform termasuk PVR, HD dan Astro on the Go.

Astro turut melancarkan dua pakej baharu, Fans Pack pada harga RM99 sebulan dan Astro Super Pack Plus dengan RM178 sebulan.

Pelanggan HD sedia boleh menonton saluran HD dan definisi standard (SD) baru secara percuma bermula 16 November sehingga hujung Februari 2015.

Astro kini dinikmati di lebih 4.2juta isi rumah di Malaysia dan 16 juta pengguna di seluruh negara menerusi 180 saluran.