Saturday, 15 March 2014

Anggota polis berpakaian preman dilihat masuk ke rumah kapten pesawat

Kapten Zaharie Ahmad Shah

SHAH ALAM: Polis dilihat tiba di rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370, pada 2.42 petang tadi selepas sidang berita Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan pesawat yang hilang itu.

Tiga anggota polis berpakaian preman itu memperkenalkan mereka dari ibu pejabat polis Bukit Aman kepada pengawal keselamatan yang mengawasi kediaman Laman Seri di Seksyen 13 di sini, sebelum mengambil pas keselamatan untuk memasuki kawasan itu.

Difahamkan anggota polis berkenaan telah menjalankan pemeriksaan di kediaman juruterbang itu dan mereka dilihat meninggalkan rumah itu pada 4.46 petang.

Wakil-wakil media tempatan dan asing yang menunggu di kawasan perumahan itu, tidak dibenarkan memasukinya oleh pengawal keselamatan.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing dilaporkan hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada Sabtu lepas.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari kelapan hari ini, masih gagal mengesan pesawat itu.

Sementara itu, polis dijadual memberi kenyataan rasmi mengenai pemeriksaan di rumah Zaharie pada satu sidang media esok.

"Saya tidak boleh nyatakan bila mereka jalankan siasatan dan siapa yang memberi maklumat mengenai perkara itu kepada agensi berita luar negara, Reuters, tadi tetapi apa yang boleh diberitahu setakat ini, kemungkinan perkara itu akan diumumkan esok.

"Diharap media boleh menunggu," katanya.

BERNAMA 

Bukit Jalil FMFA cancelled, six dead of suspected drug overdose

Crowd at Future Music Festival Asia, Bukit Jalil, 14th March 2014


KUALA LUMPUR: The Future Music Festival 2014 has been cancelled following the death of six people suspected of drug overdose.

Three others are currently in critical condition and have been sent to Universiti Malaya Medical Centre (UUMC) Universiti Kebangsaan Malaysia Hospital (HUKM) due to methamphetamine overdose.

According to Kuala Lumpur police chief Senior Deputy Comm Datuk Mohmad Salleh the six dead were Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M.Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, and Nor Faizza Mohd Wazir, 27.

Meanwhile, the three hospitalised are two Singaporeans and one local, between the ages of 19 to 27.

Police believe that the drugs were purchased prior to entering the event held at the Bukit Jalil National Stadium.

Throughout the two days of the festival, police also arrested 22 others in possession of narcotics.

"The Cheras police headquarters narcotics team arrested three foreigners in possession of three Ecstasy pills on the first day of the festival. Twelve foreigners and seven locals were arrested a day later for possession of drugs," said Mohmad Salleh.

FMFA 2014 organiser Live Scape Sdn Bhd, in a statement, said that it underwent regular meetings with all agencies involved in the festival including the Royal Malaysia Police, The Fire and Rescue Department of Malaysia, Bukit Jalil National Stadium, Millennium Patriot Security, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) and certified on-site medical doctor and paramedics.

"In the interest of public safery we have heeded the authority's advice to not proceed with Day-3 of FMFA. This is also to help in the on-going investigation," said the organiser.

They added that details of a refund will be announced within a week. Ticket buyers are urged to log on to www.futuremusicfestival.asia for refund details.

FMFA 2014 is reputed to be Southeast Asia's biggest electronic dance music (EDM) festival featuring world number one DJ Armin Van Buuren and a host of other internationally acclaimed artists such as Grammy winners Pharell Williams, Macklemore & Ryan Lewis and many others.

Astro Awani 

Naib Pengerusi Wanita MCA meninggal dunia

ALOR SETAR - Naib Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Lim Bee Kau meninggal dunia hari ini selepas lebih tujuh tahun menghidap kanser ovari.

Bee Kau, 58, yang juga Ketua Wanita MCA Kedah, meninggal dunia pukul 4.30 pagi di Hospital Ampang, Selangor.

Seorang saudara Bee Kau, Chin Hooi Choo, 57, berkata, Bee Kau dimasukkan ke Hospital Ampang sejak 3 Mac lalu dan penyakit kansernya sudah berada pada peringkat ketiga.

"Semalam, doktor telah memanggil semua anggota keluarga. Sejak pukul 10 pagi semalam, beliau sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia 4.30 pagi tadi," katanya kepada pemberita di kediaman mendiang di Taman Golf di sini hari ini.

Beliau berkata, mendiang dikesan menghidap kanser ovari sejak 2006 dan doktor memaklumkan pesakit kanser itu yang berada pada tahap ketiga boleh hidup sehingga lima tahun.

Mayat Bee Kau, yang dibawa ke Taman Golf petang ini, akan disemadi di Nian En Memorial Park di Kebun 500, Pokok Sena Rabu ini.

Bee Kau merupakan anak sulung daripada empat beradik dan tidak berkahwin.

Beliau pernah menjadi Anggota Parlimen Padang Serai selama dua penggal selepas menang dalam pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, kematian Bee Kau merupakan satu kehilangan besar kepada MCA kerana beliau merupakan seorang yang kuat semangat dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap parti.

"Saya kenal dia sejak 1981 dan kami bersama-sama bekerja untuk parti. Semangat dia kuat. Kalau ikutkan, dia sakit sejak 2006 tetapi dia masih aktif dengan parti dan menjadi Ketua Wanita MCA Kedah, jawatan yang dipegang sejak 2004," katanya.

Beliau pernah menjadi Naib Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan bagi penggal 2005-2008 dan 2008-2011 serta kembali memegang jawatan itu bagi penggal 2013-2016 setelah menang pada pemilihan parti akhir tahun lepas. - Bernama

MH370: Kementerian Kesihatan siap siaga hadapi sebarang kemungkinan


KUALA LUMPUR: Pasukan Kesihatan Awam, Pasukan Kesihatan Mental dan Respon Psikososial (MHPRT), Pasukan Perubatan dan Pasukan Perubatan Forensik telah diletakkan dalam keadaan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam krisis kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS). 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui ‘Crisis Preparedness and Response Centre’ (CPRC) Kebangsaan, telah menerima maklumat dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kejadian kehilangan pesawat tersebut pada pagi 8 Mac yang lalu.

“Pesawat yang membawa seramai 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal telah dilaporkan hilang dari radar Pusat Kawalan Trafik Udara Subang dan kita telah mengaktifkan Bilik Gerakan di CPRC Kebangsaan pada hari yang sama dan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari bagi menyelaras dan memantau aktiviti kesiapsiagaan dan respon oleh KKM,” kata Subramaniam dalam satu kenyataan medianya kepada Astro Awani.

“Pasukan-pasukan tersebut diletakkan dalam keadaam “standby” untuk dimobilisasikan pada bila-bila masa yang diperlukan,”.

MHPRT serta Pasukan Perubatan telah diaktifkan sejak hari kejadian dan ditempatkan di Hotel Everly Putrajaya.

“Terdapat lapan pasukan MHPRT yang terdiri dari lima pegawai bagi setiap pasukan bersama-sama dengan Pasukan perubatan yang terdiri dari dua pegawai bagi setiap pasukan yang bertugas secara bergilir sepanjang 24 jam setiap hari bermula dari Sabtu lalu,”.

Mereka berperanan untuk memberikan perkhidmatan sokongan psikososial dan perubatan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal, ‘care givers’ yang ditugaskan untuk menjaga ahli keluarga penumpang dan anak kapal terbabit serta sahabat atau kenalan kepada mangsa kejadian ini.

Kes-kes yang memerlukan rawatan dalam wad akan dirujuk ke hospital kerajaan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

KKM juga bekerjasama dengan pihak MAS untuk memberikan perkhidmatan respons psikososial kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal serta ‘care givers’ yang ditempatkan oleh pihak Malaysia Airlines di lokasi yang lain.

Bermula dari Sabtu lalu, sejumlah 58 kes pula telah diberi rawatan pesakit luar dan kaunseling mengikut keperluan oleh Pasukan Perubatan semasa menghadapi tempoh krisis ini.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah empat kes telah dirujuk iaitu dua kes kecemasan yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya iaitu satu kes asma dan satu kes mengalami sakit dada (panic attack) dan dua kes biasa iaitu demam,”.

“Sebanyak 16 kes telah diberi intervensi psikososial yang bertujuan untuk membantu menangani masalah emosi yang dihadapi,”.

Dari jumlah tersebut, satu kes merupakan kes memerlukan rawatan lanjut dari aspek psikososial iaitu Stress Induced Hyperventilation yang menunjukkan tanda keresahan amat teruk dan telah dirujuk ke Hospital Putrajaya.

Pesakit kini berada dalam keadaan yang stabil dan sedang dipantau oleh Pasukan Kesihatan Mental dan Respon Psikososial di Hotel Everly.

Selain dari itu, dua sesi terapi secara berkelompok telah dilaksanakan di hotel di mana ahli keluarga kepada anak kapal ditempatkan dengan dihadiri sejumlah 44 orang “care givers” kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat.

Terapi ini telah dapat membantu mereka memberikan kelegaan, ketenangan emosi. Sesi terapi yang telah dilaksanakan ini juga akan membantu mereka supaya lebih yakin dan bersedia untuk memberikan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal terbabit.

Sesi terapi berkelompok secara berkala akan dilaksanakan kepada care givers dan ahli keluarga.

KKM juga turut mengalu-alukan sahabat handai kepada ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal untuk mendapatkan khidmat kaunseling sekiranya diperlukan dan akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti perubatan dan respons psikososial supaya perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diberikan.

ASTRO Awani 

Trauma dirotan guru hingga lebam

Trauma dirotan guru hingga lebam
Neelalaawathi (kiri) menunjukkan kesan lebam pada tangan anaknya, kesan dirotan guru terbabit.


IPOH – Seorang murid tahun tiga sebuah sekolah di sinimendakwa dipukul tanpa sebab hingga lebam oleh guru kelasnya kelmarin.

Ibu mangsa, G Neelalaawathi, 33, berkata, dia terkejut apabila anak lelakinya mengadu dirotan gurunya hingga trauma untuk ke sekolah.

Menurutnya, dia terkilan apabila guru berusia 30an tahun terbabit mengakui memukul anaknya dengan seorang lagi murid hanya untuk melepaskan geram.

“Rakan anak saya dipukul di tapak tangan tetapi anak saya dipukul di lengan sehingga lebam. Saya menyedari kesan itu selepas anak saya pulang dari sekolah.

“Kami terus jumpa guru kelas itu dan terkejut apabila dia beri alasan tidak munasabah atas perbuatannya, malah tindakan tersebut bukan melibatkan pembelajaran," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini, semalam.

Neelalaawathi berkata, ia insiden kedua membabitkan guru terbabit tidak dapat mengawal emosi hingga menggunakan rotan terhadap anak ketiganya itu.

Katanya, kejadian pertama berlaku Januari lalu apabila anaknya dirotan di tapak tangan hingga murid itu tidak boleh menggenggam pensel namun perbuatan guru pendidikan moral dan matematik itu dimaafkannya.

“Sikapnya kali ini dilihat agak keterlaluan dengan melepaskan geram kepada anak saya. Lebih menyedihkan, guru besar tidak mengambil tindakan terhadap guru terbabit,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, R Ragu, 39, mendakwa terkejut apabila guru terbabit menawarkan sejumlah wang kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap sikap keterlaluannya itu.

“Saya menerima panggilan dari guru terbabit kira-kira jam 7.40 pagi tadi (semalam) dan dia menawarkan wang sebanyak RM200 sebagai ganti rugi selepas memukul anak saya,” katanya.

Menurutnya, selepas dirotan guru itu, anaknya mengalami kesakitan di tangan serta takut untuk pergi ke sekolah.

“Saya meminta pihak Jabatan Pelajaran Negeri mengambil tindakan segera terhadap guru berkenaan yang bertindak di luar batasan dan saya tidak mahu pelajar-pelajar lain menjadi mangsa emosi guru terbabit.

Susulan kejadian itu, dia membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini sebelum membawa kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Sinar Harian 

BR1M 3.0: 1.7 juta tahu keputusan minggu depan

BR1M 3.0

IPOH - Seramai 1.7 juta pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang nama mereka dalam senarai semakan akan mengetahui sama ada layak atau tidak menerima bantuan itu minggu depan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pemohon berkenaan terdiri daripada 1.2 juta pemohon baru BR1M 3.0 manakala selebihnya pemohon BR1M 2.0.

Beliau berkata, proses semakan terhadap kelayakan permohonan berkenaan yang berakhir hari ini terpaksa dibuat sebelum ini berikutan pelbagai masalah membabitkan butiran dan pengesahan pemohon.

"Hari ini proses semakan tamat dan minggu depan sama ada layak atau tidak akan dimaklumkan melalui surat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sarapan pagi bersama penduduk di pekan Tambun di sini. hari ini.

Ahmad Husni berkata, mereka yang menerima surat menyatakan gagal boleh membuat rayuan.

Kerajaan sebelum ini sedia mempertimbangkan semula rayuan mana-mana individu yang gagal mendapat BR1M 3.0 dengan syarat mereka perlu membuat rayuan bertulis kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sinar Harian 

Uri Geller turut bantu cari MH370

Uri Geller
Uri Geller


SEORANG psikik mendedahkan dia diminta membantu pihak berkuasa dalam usaha mencari pesawat MAS penerbangan MH370 yang hilang sejak lapan hari lalu.

Uri Geller yang terkenal dengan aksi membengkokkan sudu tanpa menggunakan tenaga fizikal, mendakwa dia menggunakan kaedah 'penglihatan jarak jauh' bagi mengenal pasti kedudukan sebenar pesawat MH370.

"Saya mempunyai pandangan dan teori saya sendiri mengenai kehilangan pesawat itu.

"CIA percaya kaedah sebegini boleh membantu pihaknya untuk menyelesaikan kes-kes yang rumit," katanya dipetik The Mirror di kediamannya di Sonning, Berkshire, hari ini.

Menurutnya, seorang tokoh berpengaruh di Malaysia telah meminta bantuannya untuk menggunakan kepakarannya untuk mengesan pesawat terbabit.

Uri mendedahkan bahawa dia berpendapat juruterbang pesawat itu lemas akibat kebakaran dalam pesawat.

Pesawat MH370 dilaporkan berlepas dari KLIA jam 12.41 pagi 8 Mac lalu dijadualkan mendarat di Beijing pada jam 6.40 pagi pada hari yang sama namun pesawat itu hilang dan tidak dapat dikesan.

Sinar Harian 

Tiga kawasan catat penurunan IPU petang tadi

Jabatan Alam Sekitar (JAS)

KUALA LUMPUR - Pelabuhan Klang, Tanjung Malim dan Banting terus mencatat penurunan dalam bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 4 petang tadi, namun masih pada paras tidak sihat, demikian menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS).

Pelabuhan Klang mencatat bacaan IPU 126; Tanjung Malim (128) manakala Banting (105). 

Sementara itu, 25 kawasan lain mencatatkan bacaan sederhana. Ini termasuk Petaling Jaya (84), Nilai (90), Muar (95) dan Putrajaya (100). 

Menurut JAS, setakat pukul 4 petang tadi, 22 kawasan telah mencatatkan tahap IPU baik dan antara kawasan itu adalah Kuala Terengganu (18), Jerantut (23), Sarikei (32), dan Kota Bharu (35). 

IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana baik (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my. - Bernama

Pendirian Mei Fun dipertikai

Pendirian Mei Fun dipertikai
Tian Chua bercakap pada sidang media di bilik gerakan PKR, di Kajang, hari ini. - Foto Sinar Harian


KAJANG - PKR mempertikai kredibiliti dan ketegasan calon BN N25 Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun dalam mengendalikan isu terutama membabitkan kaum Tiong Hua.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, sekiranya BN menang dalam perebutan kerusi ini, beliau tidak yakin Mei Fun boleh mengambil berat mahupun berpendirian tegas dalam perkara menstrukturkan perkauman.

"Beliau pasti terpaksa serah kepada Umno untuk pertahankan, tengok pendirian kerajaan pusat.

"Rekod pemerintahan Mei Fun memihak kepada pemerintahan limitasi parti bercorak perkauman," katanya ketika sidang media di bilik gerakan utama PKR, di sini, hari ini.

Merujuk isu sebelum ini, Tian Chua memaklumkan dalam kes SJKC Damansara, jelas menunjukkan Mei Fun yang menjawat jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tidak tegas mempertahankan hak sensitiviti kaum Tiong Hua.

"MCA tak berani bersuara dan tidak berupaya menyatakan pendirian. Ini membuktikan MCA gagal berfungsi pertahankankan hak Tiong Hua apatah lagi kaum lain," katanya.

Sinar Harian 

Kafa beri insentif RM44,000



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi insentif RM44,000 kepada skuad Piala Presiden yang muncul juara musim lalu.
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, insentif tersebut bagi menaikkan lagi semangat pemain.

"Kita beri insentif agar pemain mempamerkan aksi yang bertenaga dan teruskan perjuangan untuk menaikkan mutu bola sepak Kelantan.

"Ini merupakan sebahagian dari ganjaran yang akan diterima pemain, selebihnya kita akan beri selepas ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bonus itu di sini hari ini.

Kelantan muncul juara selepas mengalahkan Perak 2-1.

Bernama

Tak payah jadi pelakon tambahan

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak baru saja selesai memberikan sidang media mengenai kehilangan pesawat MH370. Najib mengatakan, siasatan ini memasuki fasa kedua. Maksudnya, "milestone" pertama dalam siasatan telah dicapai.

Ada orang yang inginkan Perdana Menteri memberitahu kapalterbang itu telah dirampas dan sesuatu yang buruk telah berlaku. Apabila Najib menyatakan sebaliknya dalam sidang media itu, maka dia berkata dengan nada kecewa, "Apa yang Najib cakap ni?"

Nasihat saya ialah, marilah kita sama-sama berdoa agar insiden ini berakhir dengan baik. Biarlah kesemua anak-anak kapal dan penumpang berjaya diselamatkan. Insya-Allah!

Bagi saya, sidang media itu cukup melegakan kerana ia menyatakan tiga perkara penting:

Pertama, Najib mengesahkan maklumat yang sebelum ini tidak disahkan. Maklumat penting yang disahkan ialah pesawat dialihkan dari laluan asal orang seseorang yang berada dalam penerbangan tersebut. Soal yang harus dijawab dalam fasa kedua penyiasatan ialah: Siapakah yang melakukannya, dan apakah motif dia melakukan hal tersebut?

Kedua: Perdana Menteri sebutkan bahawa hasil analisis data, penyiasatan kini tertumpu kepada dua kawasan operasi di mana besar kemungkinan pesawat itu berada. Soalan fasa kedua ialah: Di mana lokasi tepat kapalterbang Boeing 777 itu?

Ketiga: Najib tidak memaklumkan sebarang kematian atau letupan kepada pesawat. Ini bermaksud tidak ada laporan kematian. Maklumat ini penting kepada keluarga mereka yang berada dalam pesawat. Orang yang mereka sayangi besar kemungkinan masih hidup. Soalan fasa kedua ialah: Bagaimanakah keadaan pesawat, penumpang dan kesemua anak-anak kapal sekarang?

Ada orang bertanya, mengapakah Najib hanya membuat dua sidang akhbar sepanjang lapan hari insiden ini berlaku?

Najib ialah Perdana Menteri dan beliau hanya mengumumkan kepada negara (dan dunia) apabila siasatan mencapai "milestone" yang tertentu. Sidang akhbar pertama ialah apabila beliau mengesahkan pesawat MH370 hilang dari radar. Sidang akhbar Najib yang kedua ialah apabila beliau mengesahkan maklumat penyiasatan yang dikumpulkan dan dianalisis secara bersepadu.

Saya percaya Najib akan hanya mengadakan sidang akhbar ketiga apabila salah satu, gabungan dua atau lebih soalan, atau kesemua soalan siasatan dalam fasa kedua di atas dapat dijawab.

Di antara sidang akhbar Perdana Menteri, maka Menteri Pengangkutan membuat sidang media setiap hari bagi melaporkan status siasatan, manakala pengawai-pegawai kanan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airlines and pasukan keselamatan memberikan maklumat teknikal (mengesahkan atau menafikan) kepada wartawan pada setiap dua atau tiga jam. Dengan cara ini, wartawan boleh melaporkan perkembangan dengan memetik sumber yang sahih.

Proses komunikasi ini disusun sedemikian rupa agar maklumat diberikan secara berstruktur. Kekeliruan timbul apabila wartawan bertanya soalan kepada pegawai-pegawai lain di luar sidang akhbar. Saya telah menyebutkan sebelum ini dan saya ulangi sekali lagi, dalam keadaan krisis seperti ini, maklumat yang diberikan kepada media hendaklah dari satu sumber saja iaitu dari sidang media di Hotel Sama-Sama. Selain dari itu, tak perlu jawab.

Tak perlulah menteri nak komen tentang pegawai imigresen atau arahkan nelayan cari serpihan pesawat. Begitu juga saya fikir tak perlulah anggota kabinet nak berbalah dengan bomoh. Siapa nak tampar siapa tak penting. Ini bukan masanya. Fokus kepada menyesaikan siasatan dan jawab soalan-soalan yang saya nyatakan tadi. Itu yang rakyat nak tahu.

Seperti drama, apabila banyak sangat sub-plot, akhirnya orang terlupa kepada cerita sebenar.

Dalam sidang media tadi, Najib telah membentangkan plot utama. Bertolak dari sinilah, kita harus bersama-sama mencari jawapan dan menyelesaikan misteri ini.

Itu yang Najib bercakap. Maka, saya fikir tak perlulah lagi ada orang yang nak jadi pelakon tambahan dan buat sub-plot lagi!

Astro Awani 

Ada beberapa cara transponder pesawat dimatikan

MH370

SEPANG - Pihak berkuasa sedang meneliti empat hingga lima kemungkinan mengenai bagaimana transponder pesawat MH370 boleh dimatikan, kata Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bercakap dalam sidang media harian mengenai perkembangan terkini berhubung kehilangan pesawat MAS itu hari ini, Hishammuddin berkata antara kemungkinan tersebut ialah akibat letupan, dimatikan secara sengaja atau dalam keadaan dures. 

"Kami melihat semua kemungkinan, sebab itu saya tidak mahu membuat spekulasi," katanya menjawab soalan sama ada wujud bukti kedua-dua transponder pesawat dimatikan secara sistematik.

Ditanya sama ada pihak berkuasa tempatan menerima signal 'pings' atau denyut elektronik daripada pesawat yang boleh membantu siasatan dalam menentukan laluan dan lokasinya, Hishammuddin berkata banyak pegawai tidak bernama membuat pelbagai cadangan.

"Kami sedang menyiasat dan meneliti secara mendalam siapa (sumber itu), dari mana dan mengenai apa," katanya.

Menurut laporan Wall Street Journal, penerbangan MH370 telah menghantar satu siri 'pings' atau denyut elektronik dengan yang terakhir dihantar dari lokasi di atas permukaan air pada altitud jajap

Sementara itu, Hishammuddin turut menyangkal dakwaan pihak berkuasa Malaysia menghalang Rolls-Royce dan Boeing daripada menghebahkan maklumat berkaitan pesawat.

"Kami tidak memberi sebarang tekanan kepada mereka. Mereka bekerjasama dengan kami sejak awal," katanya.

Rolls-Royce semalam bersetuju dengan penafian kerajaan Malaysia bahawa laporan mengenai pesawat penumpang MAS itu mungkin terbang selama empat jam setelah hilang daripada imbasan radar, sebagai tidak benar.

Pesawat ke Beijing dengan 239 penumpang serta anak kapal itu hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas. - Bernama

Pembakaran terbuka: Risiko tanah dirampas

Elizabeth Wong
Elizabeth Wong


SHAH ALAM - Pemilik tanah yang kerap melakukan pembakaran terbuka di Selangor berdepan tindakan undang-undang iaitu didakwa di mahkamah dan tanah mereka mungkin dirampas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri Elizabeth Wong berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pemilik tanah yang melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu.

"Terdapat beberapa kawasan yang telah kita beri amaran untuk tidak lakukan pembakaran terbuka tetapi mereka masih melakukannya.

"Jadi kita akan kenal pasti siapa pemilik tanah dan akan putuskan sama ada untuk dakwa mereka di mahkamah atau rampas tanah mereka," katanya dalam sidang media selepas perasmian Maraton Wanita Malaysia 2014 yang disempurnakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, semalam.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihak Jabatan Alam Sekitar Selangor membuka 12 kertas siasatan membabitkan pembakaran terbuka berskala besar.

Beliau berkata mereka yang diheret ke mahkamah berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, juga serius dengan tindakan untuk merampas tanah bagi mengekang kedegilan pemilik tanah yang masih melakukan pembakaran terbuka walaupun telah banyak kali diberi amaran," kata Elizabeth.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata, pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPK mempergiat operasi memantau kebakaran hutan sekitar Johan Setia di sini bagi menghalang ia daripada merebak ke lokasi baharu.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemantauan mendapati kebakaran itu berpunca daripada pembakaran oleh peneroka haram.

Selain itu, faktor cuaca kering turut menyebabkan kebakaran mudah merebak ke kawasan berhampiran.

"Walaupun api merebak dengan begitu cepat, ia berjaya dikawal oleh Skuad Pantas MPK bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan kerjasama ini banyak membantu operasi memadam agar ia tidak merebak serta mengelak skala kebakaran menjadi lebih besar," katanya dalam satu kenyataan. 

Bernama

Petunjuk baru, beri harapan baru

MH370

PUTRAJAYA - Setelah lapan hari dalam keadaan berteka teki mengenai nasib penumpang dan anak kapal pesawat MH370, hari ini anggota keluarga mampu menghela nafas lega dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung petunjuk-petunjuk terbaru lokasi pesawat berkenaan.

Bapa kepada Khairul Amri, 29 Selamat Omar, 60, berkata beliau serta seisi keluarga menganggap pengumuman itu memberikannya harapan cerah mengenai nasib anak ketiga dari empat beradik itu untuk pulang ke pangkuan keluarga.

"Saya berharap operasi ini akan diteruskan dan seterusnya berjaya mengesan pesawat itu kerana saya tahu operasi ini bukan sesuatu yang mudah dan melibatkan banyak negara.

"Sekarang kita telah mengetahui maklumat yang sahih mengenai pesawat tersebut dan berharap supaya penumpang juga selamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan sidang media khas oleh Perdana Menteri bersama beberapa anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 di lobi Hotel Everly, di sini, hari ini.

Selamat juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerajaan serta kepada negara-negara lain yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang sejak Sabtu lepas.

Sementara itu, Muhammad Fikri Zamani, 11, adik bongsu kepada seorang daripada penumpang Penerbangan MH370 itu, Muhammad Razahan, 23, turut meluahkan perasaan yang sama selain begitu merindui abang sulungnya itu yang sering membawanya berjalan-jalan menaiki motorsikal.

"Saya harap abang akan segera ditemui, selain menaiki motosikal kami juga sering menonton wayang bersama dan berharap filem 'Sejoli' yang kami tonton baru-baru ini bukan filem terakhir yang kami lihat bersama," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing, pada pukul 12.41 pagi Sabtu lalu. 

Bernama

Titik misteri dalam radar TUDM adalah pesawat MH370 - PM


KUALA LUMPUR: Titik misteri yang dikesan dalam radar Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sekitar ruang udara di utara Malaysia sebelum hilang disahkan sebagai pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang sejak Sabtu lalu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengesahan pesawat tersebut dibuat berdasarkan data kasar dari satelit yang diperoleh dari penyedia data servis satelit. 

“Berdasarkan data kasar dari satelit yang diperoleh, kami boleh mengesahkan disini bahawa pesawat tersebut adalah pesawat MH370 dan pengesahan ini dilakukan setelah hasil penelitian data-data dari pihak-pihak yang terlibat seperti FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia,” kata Najib dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang tadi.

Meskipun terdapat laporan media mengatakan bahawa pesawat tersebut dirampas, Najib menyatakan bahawa mereka menyiasat segala kemungkinan yang ada.

Najib menerangkan dalam fasa pertama pencarian pesawat tersebut, data radar dari TUDM menunjukkan bahawa terdapat sebuah pesawat yang tidak dapat disahkan jenisnya telah berpatah balik dan telah melalui laluan penerbangan melewati Selat Melaka.

“Berdasarkan maklumat penting itu juga, kita telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat itu merangkumi kawasan Selat Melaka hingga ke Laut Andaman dan menerusi data dari satelit juga, kami boleh merumuskan bahawa Sistem Komunikasi dan Laporan Kedudukan (ACARS) telah dimatikan sebelum pesawat tersebut sampai di ruang udara Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan tidak lama itu pula, ‘transponder’ pesawat tersebut pula dimatikan berhampiran ruang komunikasi udara sempadan Malaysia dan Vietnam,”.

Di saat itulah juga, radar utama TUDM menunjukkan bahawa terdapat sebuah pesawat yang dipercayai adalah pesawat MH370 telah terbang ke arah barat dan berpatah balik ke Semenanjung Malaysia sebelum bertukar arah ke barat daya, namun jenis dan identiti pesawat tersebut tidak dapat disahkan,”.

Gerakan pesawat tersebut sangat konsisten seperti seseorang yang sangat mahir mengendalikan penerbangan dan sengaja mengubah haluan pesawat tersebut.

Menurut data tersebut juga, komunikasi terakhir antara pesawat tersebut dengan satelit adalah direkodkan pada jam 8.11 pagi (waktu Malaysia) pada Sabtu lalu dan pasukan penyiasat kini membuat kiraan untuk mengetahui kejauhan pesawat tersebut terbang setelah komunikasi terakhir dengan satelit itu tercatat.

Beliau menambah, pihaknya bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kedudukan sebenar pesawat tersebut setelah komunikasi terakhir dengan satelit itu dilakukan.

Dengan data terbaru yang konsisten dengan komunikasi pesawat dan satelit itu, penguasa penerbangan Malaysia dan antarabangsa telah membuat satu ketetapan bahawa pesawat tersebut berkemungkinan berada antara satu dari dua koridor penerbangan disitu.

“Koridor yang dimaskudkan itu adalah koridor utara yang menjangkau sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi dan pasukan penyiasat kini sedang meneliti informasi tersebut,”.

Dengan perkembangan informasi dari satelit itu, gerakan mencari dan menyelamat di Laut China Selatan telah dihentikan dan fasa mencari dan menyelamat itu kini telah diubah penggunaan asset-aset yang terlibat.

“Kami kini bekerjasama dengan negara-negara yang relevan berdasarkan informasi tersebut terutama dalam perkongsian maklumat pencarian termasuk data dari radar,” kata Najib lagi.

Sumber: Astro Awani | Mac 15, 2014

KJ jawab Tok Moh isu tampar 'kokedai'

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin


SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata, "satu Malaysia" mahu menampar Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin ekoran perbuatannya yang "memalukan" negara. 

Kata-kata itu lahir dari mulut menteri muda ini sebagai respon kepada Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP yang mahu menamparnya seperti buaya.  KJ sebelum itu menyifatkan perbuatan Ibrahim sesuatu yang menjatuhkan maruah dan mencalar imej negara.

"Dia sorang yang nak tampar saya...tapi saya rasa satu Malaysia nak tampar dia sebab malukan negara.

"Perbuatan dia syirik, khurafat...saya tak nak layan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui sebuah portal. 

Baru-baru ini, KJ telah menyelar Ibrahim menerusi laman mikro Twitter miliknya. KJ dalam Tweetnya menggesa pihak berwajib untuk menangkap dan menahan bomoh berkenaan.

Isnin lalu, Ibrahim muncul di tengah kesibukan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing dan batang buluh.

Keesokan harinya Raja Bomoh berkenaan menggemparkan KLIA sekali lagi dengan menjalankan ritual menggunakan tikar, bakul mengkuang dan dua biji kelapa dalam misi mencari pesawat MH370 yang gagal dikesan sehingga kini. 

Menurut Ibrahim, apa yang dilakukannya berniat baik untuk membantu kerajaan mengesan lokasi pesawat MH370.

Upacara ritual yang dijalankannya bersama dua lagi pengikutnya itu mendapat kritikan meluas di media-media sosial selain dijadikan parodi.

Sinar Harian 

Rahsia remaja hilang terbongkar

Rahsia remaja hilang terbongkar
Nasib remaja perempuan berusia 15 tahun itu ditentukan oleh Mahkamah Majistret Parit Buntar semalam.


PARIT BUNTAR - Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang di sekitar kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai sejak dua bulan lalu ditemui Ketua Kampung Bukit Merah di sebuah rumah penduduk di Lembah Beriah, bulan lalu.

Bagimanapun, rahsia remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang dari rumah ibunya di Langkawi, Kedah pada awal Januari lalu terbongkar setelah dia dikatakan mengikut ‘abang angkatnya’ pergi ke Alor Pongsu, Bagan Serai tanpa pengetahuan keluarga.

Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan berkata, pihaknya difahamkan remaja itu sudah menginap di beberapa rumah rakan lelakinya sebelum ditemui di kediaman berkenaan.

Menurutnya, dia menyerahkan remaja itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kerian, sebelum dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Kuala Kangsar untuk perlindungan sementara.

“Sewaktu remaja itu ditemui, saya ada bertanyakan punca dia lari rumah. Remaja itu mendakwa dia keluar rumah sebab tidak tahan dengan perangai ibunya yang dikatakan terbabit aktiviti gadis pelayan pelanggan (GRO).

“Bagaimanapun, alasan diberikan remaja itu tidak benar setelah latar belakangnya diselidik. Saya mengetahui ibunya bekerja sebagai nelayan di Langkawi,” katanya sewaktu ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Parit Buntar, semalam.

Mohammad Nor berkata, ketika disoal selidik, remaja terbabit mendakwa dia sudah melakukan hubungan seks bersama lebih 10 lelaki sejak berada di kawasan Alor Pongsu.

Beliau berkata, bagaimanapun, remaja itu enggan memberikan kerjasama apabila ditanya mengenai identiti kesemua individu terbabit.

“Seminggu selepas dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Kuala Kangsar, saya terkejut dihubungi pengurusan rumah berkenaan memaklumkan remaja itu cuba melarikan diri bersama lapan penghuni lain.

“Tindakan itu amat mengejutkan dan saya terpaksa menghubungi ahli keluarga terdekatnya untuk memaklumkan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara remaja berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia pernah mengajak anak saudaranya tinggal bersamanya pada Oktober tahun lalu.

Katanya, ajakan itu dibuat berikutan dia kasihan dengan keadaan ibu remaja berkenaan yang sering mengadu mengenai sikap liar anaknya.

“Ibu remaja berkenaan merupakan bekas kakak ipar saya dan saya pernah menjaga anak saudara saya sejak berusia tujuh hingga 10 tahun disebabkan tidak mahu emosinya terjejas dengan keretakan rumah tangga ibu bapanya pada ketika itu,” katanya.

Ibu saudara remaja itu berkata, anak saudaranya ada memintanya membelikan sebuah telefon pintar atas alasan mahu melayari laman sosial Facebook.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka remaja bertindak menghilangkan diri seminggu selepas diberikan telefon pintar berkenaan.

Sementara itu, sumber JKM ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyatakan perintah mahkamah sudah dikeluarkan ke atas remaja tersebut bagi membolehkan hak penjagaan diserahkan kembali kepada waris.

Sinar Harian 

Sidang media tergempar: Komunikasi akhir MH370 jam 8.11 pagi Sabtu

Komunikasi akhir MH370 jam 8.11 pagi Sabtu
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak (tengah) bercakap pada sidang media MH370 di Hotel Sama-Sama pada hari ini. - Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki


SEPANG - Misi mencari dan menyelamat MH370 yang memasuki hari ke lapan hari ini membuat kesimpulan, pesawat yang hilang dari radar sejak Sabtu lalu telah memutuskan transponder dan komunikasi jam 8.11 pagi.

Perdana Menteri dalam sidang media tergempar mengumumkan kemungkinan seseorang dalam pesawat itu sengaja mengubah haluan penerbangan.

Najib berkata, misi mencari dan menyelamat MH370 kini memasuki fasa terbaru apabila lokasi pencarian dialih ke koridor utara dan selatan.

Jelasnya, kemungkinan pesawat berada di koridor utara menghala ke sempadan Khazakstan dan Turkmenistan sebelum menghala ke utara Thailand.

Teori kedua, pesawat tersebut sama ada melalui perjalanan ke Indonesia menuju ke Laut Hindi.

Pelbagai teori sebelum ini bertebaran tentang kehilangan pesawat MH370.

Dalam pada itu, Najib menolak spekulasi berkenaan pesawat itu dirampas.

"Pihak kami masih siasat semua kemungkinan. Berkenaan ia dirampas, kami masih belum mahu mengesahkan apa-apa," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini. 

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu lepas.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Sinar Harian, 15/3/2015, 2.45pm

Misi cari pesawat hilang di Laut China Selatan dihentikan - PM


SUBANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 di Laut China Selatan dihentikan. 

Katanya, kerajaan dan pihak berkaitan kini menilai semula penghantaran aset ke kawasan itu dan ditumpukan di kawasan baru di sebelah barat Semenanjung. 



Berita Harian, 2014/03/15 - 14:51:01 PM

MH370: Petunjuk terbaharu legakan keluarga penumpang

PUTRAJAYA: Petunjuk terbaharu yang diperoleh berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 memberi kelegaan kepada keluarga penumpang pesawat. 

Bapa penumpang, Selamat Omar, 60, berkata pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi harapan baru kepada beliau dan keluarga. 

"Sekurang-kurangnya kami boleh menaruh harapan pesawat itu berada dalam keadaan baik dan semua penumpang selamat," katanya kepada media di Hotel Everly di sini, sebaik saja selepas menonton pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung perkembangan terkini kehilangan MH370 di televisyen.

Sumber: Berita Harian

MH370: Budaya sebar spekulasi di alam maya semakin parah


Sejak pesawat MH370 milik Malaysia Airlines dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu, pelbagai teori dan spekulasi liar ditimbulkan oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam mahupun luar negara.


Pelbagai andaian ditebak sama ada daripada mereka yang berlatar-belakangkan bidang penerbangan dan keselamatan, malah tidak kurang juga daripada mereka yang hanya duduk di depan komputer atau peranti telapak tangan tetapi turut sama mahu menjadi pakar penganalisis segera.

Di laman sosial misalnya, pelbagai spekulasi dan khabar angin dengan mudah bertebaran apabila tanpa sebarang rasa bersalah, masing-masing berlumba untuk menjadi yang pertama menekan butang 'share' tanpa mempedulikan kesahihan khabar yang dihantar.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga rakyat Malaysia yang tidak sensitif apabila tergamak menaip status negatif di akaun laman sosial. Antaranya mengejek dan menjadikan insiden itu sebagai bahan jenaka, merendah-rendahkan usaha mencari dan menyelamat, malah ada yang melemparkan pelbagai tohmahan termasuk kononnya terdapat konspirasi terancang.

Lagi pedih apabila ada yang sanggup mempermainkan-mainkan insiden itu dengan cerita rekaan seperti memuatnaik gambar palsu pesawat terhempas, menyebarkan mesej berantai dan ada yang membuat cerita sedih kononnya ahli keluarga turut berada dalam pesawat berkenaan, sedangkan tidak.

MEMPERMAINKAN INSIDEN

Pada Isnin, di Twitter, @JasmineJohari misalnya, menjadi 'trending' apabila menulis status meruntun jiwa dan merayu agar ibunya yang kononnya berada di dalam pesawat itu kembali dengan selamat dan rintihan itu turut disiarkan di dalam media tempatan.

Pada mulanya, warga laman sosial itu turut bersedih dan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat sebaik membaca status itu dan melihat gambar 'ibu' Jasmine, namun bertukar berang keesokan harinya apabila mengetahui pemilik akaun itu hanya menipu dan menggunakan gambar palsu.

Persoalannya, mengapa manusia gemar benar membuat spekulasi dan lebih buruk lagi mencipta imaginasi setiap kali wujudnya isu panas atau berlakunya sebarang tragedi yang tidak diduga? Di mana hilangnya sensitiviti dan peka rakyat Malaysia?

Pakar Perunding Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata umumnya segala spekulasi terjadi kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam diri, tanpa memikirkan kesan dan risiko atas tindakan melulu itu.

"Insiden (kehilangan pesawat) yang berlaku amat jarang dilalui di dalam negara atau luar.. masyarakat tidak tahu apa yang berlaku dan tertanya-tanya. Apabila pesawat itu masih tidak dijumpai, wujud 'gap' yang boleh menyebabkan spekulasi yang lebih ligat dibuat.

"Memang ia boleh menggambarkan orang ramai dalam kerisauan tetapi spekulasi tidak membantu. Mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan di kala mata dunia tertumpu pada negara dengan sengaja mewujudkan spekulasi dan mengganggu emosi keluarga mangsa," katanya kepada Bernama.

GURIS PERASAAN KELUARGA

Muhammad Muhsin berkata orang ramai sepatutnya bersikap lebih sensitif dan menghormati perasaan keluarga penumpang serta krew terlibat dengan mengelak daripada menyebarkan spekulasi yang boleh mengguris perasaan mereka.

Beliau berkata perbuatan menghebah berita yang tidak sahih hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menambah tekanan, kesengsaraan dan kegelisahan yang sedang dihadapi oleh keluarga tersebut.

"Sekiranya niat masyarakat untuk menunjukkan keprihatinan dan ambil berat, mereka perlu tunjuk dengan cara yang baik dan bertanggungjawab seperti memberi sokongan dan semangat buat keluarga mangsa, bukannya dengan menunjuk keprihatinan melalui mencipta atau menyebar spekulasi palsu.

"Kalau terlalu banyak tekaan dan andaian, ditambah ramai yang bertindak 'share', ia seolah-olah memberi gambaran bahawa spekulasi itu benar sedangkan tidak dan ini dikhuatiri akan menimbulkan kegelisahan dan tekanan berpanjangan yang boleh menyebabkan trauma seperti takut untuk menaiki kapal terbang," katanya.

Orang ramai juga tidak sepatutnya mudah terpedaya dan terpesong dengan spekulasi yang didengar sama ada dari mulut ke mulut atau di alam maya serta seharusnya mengelak daripada menjadi penyampai berita tidak sahih kepada individu lain.

BUDAYA NEGATIF

Beliau berkata seakan telah menjadi budaya bagi pengguna laman sosial di Malaysia menghadam bulat-bulat dan berkongsi dengan pengguna lain apa sahaja yang dibaca mereka di Internet meskipun tidak tahu hujung pangkal dan kebenaran spekulasi itu.

"Itu budaya kebanyakan rakyat Malaysia...mudah sangat 'share' walau tiada kepastian. Mereka suka kepada perkara yang sensasi dan teruja untuk berkongsi dengan orang lain meskipun hakikatnya berita itu hanya rekaan orang yang tidak bertanggungjawab.

"Kali ini (kehilangan MH370) juga perkara sama berlaku, apa sahaja yang dibaca terus dipercayai tanpa usul periksa.. ia sudah jadi budaya yang amat dibimbangi dan semakin parah," katanya.

Muhammad Muhsin berkata sikap gemar mencipta spekulasi melampau atau sengaja menyebarkan sesuatu cerita yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman fikiran orang lain juga menandakan kepincangan keperibadian individu itu yang dicemari elemen negatif.

"Ini adalah satu penyakit yang perlu dielakkan. Cara dan niat individu itu menyebarkan berita palsu menunjukkan personalitinya yang tidak baik dan tidak sensitif.. menyerlahkan siapa sebenar dirinya.

"Sikap tidak prihatin dengan suka menyebarkan gambar tragis contohnya seperti gambar kemalangan juga perlu dielakkan kerana tidak semua orang mahu melihat gambar sebegitu rupa. Lagi-lagi jika keluarga mangsa sendiri yang melihat, ia akan mendatangkan trauma dan kesedihan," katanya.

BOLEH DIDAKWA

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari baru-baru ini mengingatkan mereka yang berterus-terusan membuat spekulasi atau menyebar maklumat salah mengenai insiden berkenaan supaya berhenti daripada berbuat demikian.

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mengganggu ketenteraman awam adalah satu kesalahan dan boleh disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Orang ramai yang menyebar, memuat naik atau berkongsi status berbaur spekulasi berhubung kehilangan pesawat itu boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER MAS itu dilapor hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu ketika dalam penerbangan di ruang angkasa antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.

Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 12 anak kapal dan penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama tetapi gagal dikesan hingga kini. Usaha mencari dan menyelamat masuk hari kelapan pada hari ini.

Astro Awani 

Tentera laut India perluas carian MH370 hingga ke pantai Chennai

Gambar Fail


NEW DELHI: Tentera Laut India memperluas pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang hingga ke pantai Chennai di bandar raya selatan India.

Corak pencarian semasa MH370 oleh Tentera Laut India. Dua kawasan baharu ditambah pada Jumaat bersama-sama pantai Chennai, kata koresponden pertahanan The Indian Express, Manu Pubby, dalam tweet beliau.

Menurutnya belum ada maklumat kukuh mengapa pencarian MH370 diperluaskan hingga ke pantai Chennai.
Pegawai dan anggota Tentera Laut, Tentera Udara dan Pengawal Pantai India digembleng dalam usaha mencari pesawat itu yang meliputi kawasan dari Laut China Selatan hingga ke Laut Andaman.

Pantai Chennai terletak kira-kira 900km dari Laut Andaman, kata Manu yang turut memaparkan gambar bagi menunjukkan jarak kawasan itu dalam tweet beliau.

India menggunakan dua pesawat C-130 dan sebuah helikopter Mi-17 V5 Tentera Udara selain Dornier dan P8i iaitu pesawat peninjau maritim Tentera Laut.

Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 227 penumpang dengan lima daripadanya warga India selain 12 anak kapal, dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Bernama

Aset canggih AS di Diego Garcia dapat membantu SAR di Lautan Hindi

--Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Ketua Koresponden Orient Aviation Tom Balentyne berkata aset milik pangkalan tentera Amerika Syarikat di Diego Garcia dapat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Lautan Hindi.

"Mereka mempunyai aset yang banyak kerana pangkalan tentera Amerika Syarikat di Diego Garcia digunakan kerana situasi di rantau Teluk terutama sekali Iraq. Mereka mempunyai kapal terbang dan kapal laut yang boleh bergerak dengan pantas. Ia juga menggunakan teknologi terkini dan canggih.

"Kita harus ingat bahawa peralatan ini digunakan untuk mencari kapal selam musuh. Ia boleh juga mencari logam yang besar di bawah laut. Ia boleh membantu mengesan logam pesawat," kata beliau ketika dihubungi ketika Astro AWANI Khas.

Namun, beliau akui bahawa walaupun mempunyai peralatan yang canggih, lautan Hindi sangat luas dan operasi SAR akan menjadi agak sukar.

Ditanya jika pertolongan Amerika Syarikat ataupun misi SAR perlu merangkumi Lautan Hindi dari hari pertama, beliau berkata bahawa tiada siapa menyangka penerbangan itu berkemungkinan terbang ke Lautan Hindi.

"Tiada siapa menyangka ini akan berlaku. Tetapi kita juga tidak boleh tumpu kepada kawasan ini sahaja. Misi di Laut China Selatan perlu diteruskan. Kita tidak boleh tolak sebarang kemungkinan," kata beliau.

Astro Awani 

Kronologi kehilangan pesawat MH370

Misi mencari yang menyelamat pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 dengan kod MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang pada awal 8 Mac.

MH370 berlepas dari KLIA pada jam 12.41 tengah malam. Data yang diperolehi daripada radar awam dan tentera menunjukkan bahawa pesawat mula memasuki ruang udara Vietnam dan kemudian terputus hubungan radio pada 1:30 pagi, dan kemudian terputus hubungan radar pada 2:15 pagi 205 batu dari barat laut Pulau Pinang.

Ikuti kejadian kronologi kehilangan MH370 dengan perkembangan harian dan maklumat dari pihak berkuasa:





Sumber: ASTRO Awani

MH370: Berdasarkan maklumat, pesawat sepatutnya berada dalam radius tertentu

KUALA LUMPUR:  Susulan misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200 dengan kod MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang dilaporkan hilang pada awal 8 Mac, banyak maklumat yang telah diberikan, dari laporan media hingga pada sidang media rasmi oleh pihak berkuasa.


Jika pada mulanya situasi penuh huru-hara kerana kejadian seperti ini tidak pernah berlaku, ia boleh difahami. Namun, sudah satu minggu siasatan dan operasi SAR yang melibatkan 13 buah negara telah dijalankan, jadi semuanya sepatutnya lebih tersusun.

MH370 berlepas dari KLIA pada jam 12.41 tengah malam. Data yang diperolehi daripada radar awam dan tentera menunjukkan bahawa pesawat mula memasuki ruang udara Vietnam dan kemudian terputus hubungan radio pada 1:30 pagi, dan kemudiannya terputus hubungan radar pada 2:15 pagi 205 batu dari barat laut Pulau Pinang.

Dengan semua data yang diperolehi, kawasan SAR bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke pantai barat Malaysia, khususnya Selat Melaka.

Kemudian, lebih banyak maklumat timbul. Menurut data yang dikeluarkan oleh Boeing, enjin pesawat MH370  telah terbang selama empat jam selepas putus hubungan radar di teluk Thailand. Ia selaras dengan pengesanan radar yang disahkan oleh sumber Pentagon yang tidak dinamakan.

Dengan semua maklumat yang terperinci yang kini diperolehi, ditambah dengan fakta bahawa pesawat itu mempunyai minyak  yang cukup untuk menuju ke Beijing (penerbangan ke Beijing adalah sekitar 6 jam dan ini bermakna pesawat akan mempunyai minyak cukup untuk terbang selama 8 jam), ia adalah lebih mudah untuk menentukan kawasan SAR tertentu supaya pihak berkuasa boleh memberi fokus kepada zon tertentu agar peluang untuk menemui MH370 lebih tinggi.

Bukankah, sekiranya semua data ini diproses dan kemudiannya dilakar radius di mana MH370 mungkin berada, adalah lebih mudah untuk menghantar pasukan SAR ke kawasan berkenaan?


MH370

MH370: Bekas kapten ulas sistem ping, mahu Rolls Royce beri kepastian


KUALA LUMPUR: Bekas ketua juruterbang penerbangan serantau MAS Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain menggesa pihak Rolls Royce untuk mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa "ping" terakhir pesawat MH370 adalah pada 1.07 pagi, 8 Mac.

Ia sebagai cara untuk menghentikan segala spekulasi dan maklumat yang tidak mendapat pengesahan yang dikeluarkan oleh media antarabangsa.

"Hantarkan satu surat yang mengatakan bahawa last ping adalah pada 01:07 pagi. Habis cerita," kata beliau.

Beliau merujuk kepada beberapa laporan antarabangsa termasuk laporan WSJ yang berkata bahawa penyiasat penerbangan dan para pegawai keselamatan percaya pesawat itu berada di udara untuk jumlah masa lima jam termasuk sejam daripada lokasi terakhir ia berlepas.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata laporan berkenaan tidak benar.

Kapten Nik juga tidak pasti jika sistem "ping" berkenaan mempunyai teknologi untuk mengetahui plot, lokasi, hala tuju, ketinggian, dan kelajuan sebuah pesawat:

Kapten Nik juga mengulas tentang kemungkinan jika pesawat MH370 terbang di luar radar.

Kata beliau, ia boleh berlaku jika pesawat itu menghala ke Kota Kinabalu atau kota Ho Chi Minh. Namun terdapat satu radar di Filipina.

"Jika betul pesawat itu menghala ke sana, radar di Igari Waypoint akan menangkapnya. Ada trend untuk pesawat itu ke sana tetapi tiada operasi mencari dan menyelamat (SAR)," kata beliau.

Astro Awani 

KJ main-main dengan ugutan 'Raja Bomoh'

KJ main-main dengan ugutan 'Raja Bomoh'

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak mengendahkan ugutan bomoh Ibrahim Mat Zain yang mengancam mahu menamparnya "macam buaya".

Khairy sebaliknya mentuit semula beberapa mesej kepadanya di Twitter dengan nada yang cukup selamba dan menyindir termasuk berkongsi rakaman wawancara bomoh itu ketika mana dia membuat ugutan tersebut.


Sumber: ASTRO Awani  

Aplikasi permainan 'Bomoh' jadi perhatian

Aplikasi permainan 'Bomoh' jadi perhatian

SHAH ALAM - Kemunculan aplikasi permainan 'Bomoh' di Play Store untuk gajet menggunakan sistem operasi Android semakin mendapat perhatian ramai.

Sejak kemunculannya semalam, hampir 1,000 pengguna telah memuat turun permainan ini menerusi telefon dan tablet masing-masing.

Permainan ini direka dengan ciri dua dimensi (2D) yang memaparkan lapangan terbang dan sebuah pulau sebagai latar permainan.

Aplikasi permainan ini dipercayai diinspirasikan oleh tindak-tanduk individu yang mendakwa dirinya Raja Bomoh Nujum Sedunia VIP yang ingin membantu mengesan pesawat MAS penerbangan MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.

Ketika media seluruh dunia menumpukan perhatian dan usaha membantu Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), fokus mereka beralih kepada gelagat Raja Bomoh terbabit, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin yang menjalan upacara mengesan pesawat malang tersebut dengan cara yang tersendiri pada 12 Mac lalu.

Penyebaran video upacara uniknya menarik perhatian media tempatan dan luar sehingga menjadi viral serta mencambahkan parodi yang disebar di laman sosial..

Tinjauan Sinar Harian Online mendapati, rata-rata pengguna yang telah mencuba aplikasi tersebut memberikan reaksi dan maklum balas positif.

Sinar Harian 

Telefon bimbit Nurul Izzah digodam

NURUL IZZAH

SHAH ALAM - Nombor talian yang digunakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, dipercayai digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih lagi belum diketahui identitinya.

Dalam satu kenyataan, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR mendakwa talian beliau telah digunakan oleh penggodam untuk menghantar SMS yang tidak diketahui kandungannya.

Menurutnya, PKR percaya perbuatan ini dilakukan dengan untuk mewujudkan kecelaruan di dalam barisan jentera parti-parti pembangkang.

Nurul Izzah juga berharap tindakan segera dan tegas diambil syarikat telekomunikasi khususnya Maxis terhadap kelakuan khianat ini.

Sinar Harian 

IPU Pelabuhan Klang masih berbahaya

IPU Pelabuhan Klang
Pemandangan di Pekan Banting kelihatan kabur akibat jerebu yang teruk ketika dirakam oleh lensa di Kuala Langat, semalam. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Pelabuhan Klang masih mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras berbahaya dengan bacaan 317 setakat 5 petang semalam.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Banting turut berada di paras sangat tidak sihat dengan mencatat bacaan IPU 226.

Sementara itu, 12 kawasan mencatat IPU tidak sihat iaitu Bandaraya Melaka (113), Bukit Rambai (120), Nilai (138), Port Dickson (146), Seremban (130), Tanjung Malim (110), Kuala Selangor (119), Petaling Jaya (174), Shah Alam (162), Batu Muda (149), Cheras (128), dan Putrajaya (140).

Sejumlah 18 kawasan mencatat IPU sederhana manakala 18 lagi berada di paras baik.

Bacaan IPU yang baik berada antara 0-50, sederhana pada 51-100, tidak sihat (100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya (lebih 300).

Orang ramai boleh menyemak status IPU dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my. 

 Bernama