Sunday, 5 October 2014

Bot karam: Mayat ibu ditemui, dua anaknya masih hilang

Mayat Rosmiwati, 37, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 5.45 petang kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

PASIR MAS: Mayat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut, Rosmiwati Zakaria, yang hilang bersama dua anaknya dalam tragedi perahu terbalik di Sungai Golok, Rantau Panjang, ditemui lebih dua jam selepas kejadian itu, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Rahmat Kamaruzaman berkata mayat Rosmiwati, 37, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 5.45 petang kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

"Dua lagi anaknya Wan Nurdina Nadia Wan Azli, 10, dan Wan Nurhabib Naufal, 6, masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat akan disambung pada pukul 8 pagi esok.

"Bagaimanapun operasi mencari di tepi tebing sungai diteruskan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat Rosmiwati dihantar ke Hospital Pasir Mas di Kampung Lati di sini untuk dibedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.30 petang itu, keluarga berkenaan dikatakan baru sahaja pulang daripada membeli belah di Pasar Mundok, Sungai Golok, yang hanya terletak di seberang sungai sebelah negara jiran itu sempena Aidiladha esok.

Ketika kejadian, bot berkenaan dikatakan dinaiki seramai 15 orang dan terbalik dalam keadaan arus deras berikutan hujan lebat sebelum itu.

Bagaimanapun mangsa yang lain berjaya diselamatkan oleh orang ramai dan ada yang berenang sehingga ke tebing, manakala tiga beranak itu terus dihanyutkan arus deras.

Rahmat berkata operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba Rantau Panjang dan masing-masing empat anggota pasukan penyelamat di air dari Kota Baharu dan Pengkalan Kubor.

Turut sama menyertai operasi 10 anggota polis dan 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Katanya, Rosmiwati dan anak-anaknya yang tinggal di Jerantut pulang untuk berhari raya di kampungnya di Pintu Geng, Kota Baharu.

Sementara itu, adik Rosmiwati, Nor Fatin Adiani, 23, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mereka sekeluarga serta sanak-saudara dan rakan-rakan seramai 11 orang ke Pasar Mundok bagi membeli belah bagi persiapan Aidiladha.

"Sebahagian besar kami telah pulang lebih awal dan menunggu di kenderaan masing-masing.

"Kemudiannya kami dimaklumkan ada perahu terbalik dan apabila saya pergi ke sana memang ada perahu terbalik di sungai dan tidak sangka ia melibatkan keluarga saya sendiri," katanya.

- Sumber: Bernama

1,000 pasang kasut bukti saya menetap di Britain - Bekas ratu cantik M'sia

Bekas ratu cantik Malaysia Pauline Chai mahu kes penceraian berprofil tinggi dibicarakan di UK. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Bekas ratu cantik Malaysia 1969 Pauline Chai yang sedang berusaha agar kes penceraiannya dengan jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng dibicarakan di Britain, tampil dengan alasan mengapa tindakan itu wajar dan dia sememangnya menetap di negara itu.

Lapor The Telegraph.co.uk. tindakan untuk membawa kes itu di Britain adalah kerana pampasan yang diterimanya dipercayai lebih besar sekiranya kes itu dibicarakan di negara itu, walaupun suaminya turut berusaha untuk mempertikaikan niat sebenar Chai dan mahu kes tersebut dibicarakan di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan di Mahkamah Tinggi Britain, Chai berkata dia menyimpan lebih 700 pasang kasut mewah di bilik, koridor dan bilik bawah tanah di rumahnya di Hertfordshire yang ‘membuktikan’ dia masih menetap di UK.

“Saya mempunyai hampir seribu pasang kasut. Saya mengumpulnya selama 43 tahun,” kata Chai kepada mahkamah.

Kes penceraian Chai, 67, dan Khoo, 75 menjadi perhatian utama media di UK kerana ia bermungkinan akan menjadi kes penceraian termahal di negara itu.

Ia dilaporkan Chai boleh diberikan pampasan sehingga RM2.5 billion berikutan penceraiannya dari Khoo, yang merupakan salah seorang hartawan yang paling kaya di Malaysia.

Khoo adalah pengerusi jenama antarabangsa Laura Ashley dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan Malayan United Industries.

Chai memfailkan petisyen perceraian di London pada Februari untuk menamatkan perkahwinan mereka selama 43 tahun.

Sementara itu, peguam yang mewakili Khoo pula mengemukakan gambar-gambar almari pakaian Chai di rumahnya di Kuala Lumpur kepada mahkamah Britain.

Ia untuk membuktikan bahawa bekas ratu cantik itu sememangnya menyimpan pakaian dan kasut mewahnya di tempat lain dan justeru mempertikai kenyataannya dia menetap di UK.

Chai berkata gambar-gambar tersebut hanya menunjukkan sebahagian kecil koleksinya.

Tambah Chai, koleksi itu sudah ketinggalan zaman dan beg tangan pula terlalu besar untuk dibawa merata-rata.

“Apabila kamu mempunyai rumah di seluruh dunia dan kerap melancong, agak susah untuk membawanya bersama-sama,” kata Chai.

Menurut laporan media UK, yuran guaman kes penceraian berprofil tinggi itu sudah pun mencecah RM10 juta.

- Sumber: Astro Awani

Identiti tiga lagi maut kemalangan di Rompin di kenal pasti

Kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke Bandar Tun Razak - Foto Bernama

ROMPIN: Identiti tiga lagi daripada enam sekeluarga yang maut dalamkemalangan di Km142.8 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah di sini malam tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata mereka terdiri daripada tiga beradik iaitu Mohd Wazin Azhar, 20, Ain Nadiah, 13, dan Ain Najihah, 2.

Identiti tiga mangsa yang dikenal pasti semalam ialah bapa mereka Azhar Mat Ali, 43, dan dua isterinya Zaliha Johar, 42, (isteri pertama) dan Siti Habibah Kasbon, 43, (isteri kedua).

Mayat Azhar, Ain Nadiah dan Ain Najihah (kedua-duanya anak isteri kedua)dihantar ke Hospital Muadzam Shah manakala mayat Mohd Wazin (anak isteri pertama), Zaliha dan Siti Habibah dihantar ke Hospital Rompin, katanya.

"Kesemua mangsa akan dibedah siasat pada pagi ini di hospital berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Johari berkata kemalangan kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke rumah ibu Azhar di Keratong 2, Bandar Tun Razak di sini, apabila hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah bas.

Katanya seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dalam bas itu mengalami kecederaan ringan di kepala namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Segamat manakala pemandu bas yang cedera di mata akibat terkena pecahan cermin bas kini dirawat di hospital sama.

Sebanyak 25 lagi penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

- Sumber: Bernama

Guru wanita rugi RM10,760 tertipu skim cabutan bertuah

Mangsa diminta mendeposit RM5,760 ke dalam satu akaun dan RM5,000 lagi dalam satu lagi akaun bulan lalu.

IPOH: Seorang guru wanita disyaki mengalami kerugian RM10,760 selepas tertipu kononnya dia memenangi hadiah bagi cabutan bertuah permata Cartier.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Shahron Anuar Abdul Latif berkata mangsa yang berusia 35 tahun itu membayar wang tersebut sebagai wang jaminan dan bayaran keahlian syarikat berkenaan.

Beliau berkata mangsa diminta mendeposit RM5,760 ke dalam satu akaun dan RM5,000 lagi dalam satu lagi akaun bulan lalu.

"Namun mangsa tidak pernah menyertai peraduan dengan syarikat Miilai Hong Kong berkenaan atau membeli apa-apa produk daripada mereka.

"Semakan juga mendapati laman web www.millai.com adalah sama dengan laman web www.meimeimall.com yang turut menawarkan hadiah cabutan bertuah," katanya.

Shahron Anuar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di talian 05-3664322 atau Insp Mohd Suhadi di talian 05-3629222sambungan 9083 atau talian 012-5217752.

- Sumber: Bernama