UMUM tahu perang antara aktres cantik, Hanez Suraya dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd Fairus Mohd Lazim atau lebih dikenali dengan panggilan Dasha semakin berlarutan apabila aktres itu mengambil tindakan mahkamah.
Hanez Suraya atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz menerusi sebuah akhbar (bukan Sinar Harian) sebelum ini, mendakwa bekas pembantu peribadinya itu sering mengaibkannya menerusi laman mikro Twitter.
Meskipun permohonan maaf sudah dilakukan oleh pembantunya itu, namun dakwa Hanez, pembantunya itu masih lagi mengulangi perkara yang sama.
Merasakan imejnya tercalar teruk, maka pelakon Love You Mr Aroggant ini nekad mengambil keputusan untuk menyerahkan perkara itu kepada peguamnya dan seterusnya memfailkan saman ke atas bekas pembantunya itu.
Bagi memastikan nasibnya mendapat pembelaan sewajarnya, Hanez turut mendedahkan tindakannya itu kepada pihak media.
Jika sebelum ini kita sering mendengar kenyataan Hanez Suraya, kini bekas pembantunya, Dasha tampil memberi penjelasan secara eksklusif kepada Zass.
Ikuti temu bual berikut:
Setelah isu ini menjadi sebutan, apakah yang membuatkan anda tampil untuk memberi kenyataan?
Tujuan saya tampil memberi kenyataan ini adalah untuk menyelesaikan kes ini dengan baik tanpa memburukkan sesiapa.
Saya hanya mahu membersihkan nama saya dan ingin menegaskan saya telah memohon maaf dan tidak mahu isu ini dipanjangkan memandangkan isu ini telah lama selesai. Sebab selepas kes saya meminta maaf kepada Hanez dan keluarganya menerusi laman Twitter dan Facebook, saya sudah tidak mengaibkan Hanez seperti yang didakwa.
Kenapa dia nak tuduh saya benda yang saya tak buat? Lepas saya balik Bangkok, terus terkejut dia buat saman dekat saya dan menghantar surat bahawa saya tidak menghadirkan diri ke mahkamah.
Macam mana saya nak ke mahkamah sedangkan saya sendiri pun tak tahu saya disaman?
Boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu ini?
Kejadian ini berlaku apabila saya dikatakan tak menjalankan kerja saya sebagai pembantunya.
Semasa penggambaran sebuah drama, saya telah menghubungi Hanez, kerana tinggal dua babak lagi yang hampir selesai. Tetapi Hanez minta saya tak perlu pergi ke tempat penggambaran kerana nak pergi bersama temannya. Jadi, saya ambil keputusan duduk di rumah ketika itu. Tapi keesokannya dia menceritakan kepada seseorang bahawa saya tak pergi ke set kerana pergi bersuka ria. Bukan setakat itu saja malah dia yang mula memburukkan saya.
Saya tidak menyangka dia sanggup bercakap di belakang. Saya mula hubungi dia dan bertanya adakah dia masih perlukan khidmat saya? Dia mengakui dia masih mahukan khidmat saya tapi dalam masa yang sama dia mula dakwa saya tak buat kerja. Saya hantar surat berhenti kerja 24 jam selepas dua hari kejadian itu.
Dan ketika itulah berlaku perbalahan saya dengannya. Dan untuk pengetahuan semua, saya sudah pun meminta maaf kepadanya.
Bagaimana pula dengan kenyataan Hanez yang mengatakan anda sekali lagi mengaibkannya?
Selepas permohonan maaf tersebut, saya tidak lagi memburukkannya atau menyebarkan sebarang gambar atau cerita yang tidak baik tentangnya, bagi saya semua sudah berakhir. Dan kalau saya ini teruk, saya tidak minta maaf kepadanya. Itu pun saya tidak memetik namanya memberitahu umum dalam Twitter semasa perbalahan antara saya dan dia berlaku.
Namun, entah dari mana atau siapa lagi yang tak berpuas hati kepadanya saya tidak tahu. Kerana saya dengan dia sudah tidak ada sebarang masalah selepas selesai kes minta maaf itu. Saya tegaskan di sini, saya sudah teraniaya dan saya tidak bersalah!
Ini bukan pertama kali saya menjadi pembantu peribadi kepada artis. Selama ini tidak pernah ada masalah yang berbangkit antara saya dengan artis yang dulu atau lebih senior dari Hanez.
Jadi, bagaimana boleh timbul isu ini?
Sekali lagi saya tegaskan saya tidak pernah mengaibkannya, selepas permohonan maaf dikeluarkan. Sebenarnya saya adalah orang yang diaibkan.
Mengapa pula anda rasa diaibkan?
Ya saya memang diaibkan, dan berasa satu penganiayaan dilakukan Hanez, kerana saya tidak diberitahu berkaitan saman dan kehendak mahkamah yang meminta saya untuk ke mahkamah. Saya juga dikatakan mengambil mudah perkara ini kerana tidak menghadirinya. Sedangkan saya langsung tidak tahu perkara ini dipanjangkan. Dan lebih teruk lagi apabila saya dikatakan tidak melakukan kerja saya dan mengaibkannya sekali lagi dengan pemalsuan berita dan penyebaran gambar lama dan sebagainya.
Pernahkah anda berselisih faham dengan Hanez sebelum ini?
Saya tidak ada berselisih faham dengannya sebelum ini. Dan sehinggalah dia bercerita tentang kerja saya kepada orang lain.
Hanez telah membawa perkara ini ke mahkamah. Bagaimana pula dengan anda?
Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya, dan peguam saya meminta saya berdiam dahulu, kerana mereka akan berbincang bersama peguam. Saya kalau boleh mahu perkara ini diselesaikan tanpa libatkan mahkamah, tapi jika dia mahu membawa perkara ini ke mahkamah saya sedia berhadapan dengannya kerana saya ada segala bukti yang mengatakan saya tidak mendapat surat untuk tampil ke mahkamah.
Saya memang tidak menyangka dia akan berbuat seperti ini kepada saya. Cakap saya yang memburukkannya kepada semua orang. Padahal saya langsung tak burukkannya.
Selepas perkara ini berlaku, adakah perniagaan dan reputasi anda terjejas?
Alhamdulillah, saya mendapat sokongan dari semua. Semua kawan-kawan terkejut dengan perkara ini. Dan berharap saya dapat bersabar hadapi dugaan ini.
Tapi disebabkan perkara ini, saya sudah serik untuk menjadi pembantu peribadi kepada mana-mana artis. Saya rasa, rezeki saya tidak putus memandangkan saya kini sedang bekerja dengan sebuah syarikat milik rakan baik saya. Saya nampak, perniagaan serta reputasi saya tidak pernah terjejas dengan isu ini. Malah ramai yang memahami dan menyebelahi saya.
Apa nasihat anda untuk Hanez Suraya?
Nasihat saya, tak nak benda ini berpanjangan dan saya berharap Hanez berjaya dengan apa yang diceburinya. Saya cuba lupakan dan mahu pandang ke depan.
Sumber: Sinar Harian