Sunday, 18 May 2014

Usah terkejut, Miri mungkin jadi ibu negeri Sarawak yang baharu


Adenan Satem - Gambar Fail

MIRI: Pembangunan pesat bandar Miri sejak ia mendapat status bandar raya pada 2005 mungkin boleh menggantikan bandar raya Kuching sebagai ibu negeri Sarawak yang baharu, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata berikutan banyak projek projek pembangunan dilaksanakan di bandar raya Miri sekarang, bukan satu perkara yang mengejutkan apabila bandar raya Miri boleh mengatasi populariti bandar raya Kuching pada masa akan datang.

"Bandar raya Miri begitu pantas mengejar kemajuan bandar raya Kuching dan bandar Sibu," katanya pada majlis pecah tanah projek Miri Central Park di sini hari ini.

Miri dinaikkan taraf bandar raya pada 20 Mei 2005 dan sejarah yang dicipta menjadi bandar raya bukan ibu negeri yang pertama di negara ini untuk diberi status tersebut.

Mengenai projek taman itu, Adenan menyambut baik inisiatif kerajaan negeri dan swasta yang akan mengubah bandar raya Miri menjadi lebih bertenaga daripada sebelumnya.

Digelar sebagai pembangunan pinggir laut autentik yang pertama di negeri ini, Miri Central Park diliputi 6.28 hektar tanah dan dijangka siap pada awal 2016.

Taman ini yang dilaksanakan secara bersama antara Pantai Bayu Indah, ahli Kumpulan Samling dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita), yang dimiliki badan berkanun negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Samling Datuk Seri Yaw Chee Ming yang turut berucap pada majlis itu berkata konsep Miri Central Park itu merupakan sebuah taman bandar yang akan menjadi venue untuk budaya, perayaan dan hiburan sepanjang tahun.

Beliau berkata antara ciri utama kawasan itu ialah laluan pejalan kaki pinggir laut 500 meter, sebuah amfiteater dan taman permainan yang besar untuk berkelah dan aktiviti air.

- Bernama 

Gurauan pilih liang lahad jadi kenyataan untuk tiga sahabat


Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Gurauan tiga rakan memilih kubur masing-masing ketika ketika aktiviti bergotong-royong membersihkan sebuah kawasan tanah perkuburan Islam, menjadi kenyataan selepas ketiga-tiga mereka maut dalam kemalangan.

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik kata-kata abang salah seorang mangsa, beliau tidak menyangka gurauan itu akan menjadi kenyataan.

Menurut Jumari Jamalludin, 29, ketiga-tiga mereka memilih satu kawasan lapang berhampiran dengan pokok di tanah perkuburan Islam Felda Palong 13 sebagai tempat mereka bakal dikebumikan sekiranya meninggal dunia.


Kelihatan motosikal-motosikal mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol untuk siasatan lanjut - Foto Bernama


Muhammad Syahreedzwan Mohmad Abdullah, 17, Mohamad Aflin Norirfan Md Jani, 15, dan Muhammad Faizal Jamalludin, 13, dipercayai menunggang secara berkumpulan dari arah Palong 16 menuju Palong 9 semasa kejadian.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 13.

Seorang lagi rakan mereka Mohd Mois Nasir, 16, mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Jempol.

- Astro Awani 

Dyana Sofya nafi diperalat DAP, tempelak kenyataan Shahrizat

Calon DAP untuk parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud


Kuala Lumpur: Calon DAP untuk parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menafikan dakwaan bahawa beliau telah dipergunakan oleh partinya.

Dyana mengulas kenyataan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengatakan dia ‘amat kesian’ kepada peguam berusia 27 tahun itu yang sanggup ‘membiarkan dirinya diperalatkan oleh DAP’.

"Saya gembira kerana memilih untuk menyertai DAP pada tahun 2011. "

"Kerana jika saya memilih UMNO dan bersama Shahrizat, saya tidak akan berada di kedudukan saya hari ini, mensasarkan harapan ke Parlimen – menjadi wakil kepada pengundi di Teluk Intan dan sekiranya diberi mandat, menjadi Ahli Parlimen paling muda di Parlimen,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Dyana berkata pencalonannya tidak harus diperkecilkan. Sebaliknya, ia harus dipuji kerana ia melambangkan satu kejayaan untuk wanita muda dalam politik.

"Kenyataan Shahrizat bahawa pencalonan saya hanya satu ‘persembahan’ oleh DAP menunjukkan kegagalan Wanita UMNO sendiri dalam menggalakkan ahlinya untuk meneraju jawatan kepimpinan dalam parti dan kerajaan."

Dyana menambah bahawa sikap negatif kepimpinan wanita Barisan Nasional (BN) adalah antara sebab wanita kurang diberi peluang untuk memimpin negara.

Pengumuman Dyana sebagai calon DAP mencetuskan perbualan hangat kerana beliau seorang wanita Melayu muda tetapi bertanding di kerusi yang secara tradisinya diwakili calon berbangsa Cina.

Di samping itu, ibunya Yammy Samat merupakan ahli UMNO sejak berusia 18 tahun dan telah lama aktif berpolitik di bahagian Wanita UMNO Perak.

Dyana, yang berasal dari Ipoh, merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.

Beliau diumumkan sebagai calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan yang akan berlangsung pada 31 Mei depan.

Dyana bakal berdepan cabaran Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, yang pernah memenangi kerusi tersebut selama dua penggal.

Sekiranya menang, Dyana Sofya akan jadi ahli parlimen Melayu ketiga DAP dalam penggal Parlimen ini selepas Zairil Khir Johari (Bayan Baru) dan Ariff Sabri Abdul Aziz (Raub).

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 setahun yang lalu, calon DAP, Seah Leong Peng mengalahkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Seah meninggal dunia pada pada 1 Mei lalu.

- Astro Awani 

Kematian kedua jemaah Umrah atas pesawat bukan disebabkan MERS-CoV

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini menafikan bahawa kes kematian kedua jemaah Umrah dalam pesawat dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada 16 Mei, disebabkan jangkitan virus MERS-CoV.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jenazah yang telah diambil sampel untuk ujian saringan bagi jangkitan MERS-CoV, didapati negatif untuk MERS-CoV.

Katanya keputusan awal hasil bedah siasat mendapati si mati menghidap penyakit Pneumonia dan pihaknya masih menunggu keputusan akhir bedah siasat bagi mengetahui penyebab sebenar kematian.

"Maklumat yang diperolehi mendapati kes mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas selama tiga hari semasa berada di Tanah Suci dan tidak pernah mendapatkan rawatan semasa di sana.

"Semasa dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, beliau telah mengalami kesukaran untuk bernafas dan kemudiannya meninggal dunia," jelas Noor Hisham dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Kata beliau, pihaknya juga telah dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa si mati yang merupakan warga Malaysia berusia 89 tahun, juga menghidap asma, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung serta dalam rawatan sejak sebelum mengerjakan umrah.

Selain itu, Noor Hisham memaklumkan, pihak Kementerian Kesiahatan telah melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan mengikut pelan tindakan yang telah ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai kesemua kontak rapat kepada kes dan menjalankan disinfeksi pesawat (flight disinfection) mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Katanya lagi, saringan demam telah dilakukan ke atas semua 107 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat yang sama dan terdapat tiga penumpang yang dapati mengalami gejala demam ringan dan seorang mengalami batuk tetapi tiada demam.

Bagaimanapun katanya kesemua penumpang tidak mengalami sebarang masalah pernafasan.

Tambahnya lagi, jenazah juga telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan sampel telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh untuk menentukan penyebab kematian.

Wanita tersebut meninggal semasa perjalanan pulang dari mengerjakan umrah bersama tiga ahli keluarga dalam pesawat penerbangan dari Jeddah di Arab Saudi ke Kuala Lumpur pada 16 Mei 2014.

Ini merupakan kematian yang kedua melibatkan jemaah Umrah di atas pesawat pada tahun ini.

Pada 10 Mei lalu, seorang penumpang pesawat Airasia X meninggal dunia dalam perjalanan dari Jeddah ke Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Mohd Yusof Awang memaklumkan warga emas Indonesia berusia 64 tahun itu dalam perjalanan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

- Astro Awani 

Industri sukan lasak mungkin gulung tikar

Industri sukan lasak mungkin gulung tikar

MALAYSIA kaya dengan warisan keindahan alam semulajadi serta pelbagai landskap yang boleh menjadi tarikan khususnya bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti lasak.

Meredah hutan belantara atau jeram, mendaki bukit atau gunung adalah antara aktiviti lasak yang menjadi pilihan.

Tambahan, bukan sukar untuk pergi ke tempat-tempat yang mencabar ini.

Malah bagi mereka yang sesekali ingin melakukan kegiatan lasak ini pun akan tertarik untuk melakukannya, meskipun tanpa persediaan rapi.

Satu contoh ialah Bukit Tabur yang terletak di Taman Melawati, di pinggir ibu kota Kuala Lumpur.

Bukit yang tersohor dengan pemandangan indah semula jadi hutan simpan ini menjadi tumpuan warga kota yang mahu menghirup udara segar di puncaknya sambil menikmati panorama bandaraya Kuala Lumpur.

Bahagian timur bukit ini mempunyai permukaan berbatu yang menguji ketangkasan serta keberanian pendaki. Bagaimanapun, lokasi indah ini bukan tanpa risiko. Banyak jiwa yang sudah melayang ketika cubaan untuk mendakinya dan ramai juga tersesat ketika meredah hutannya.

Apa yang berlaku ini membuatkan ramai berfikir berkali-kali sebelum melakukan aktiviti lasak ini.

TIDAK ADA PERSEDIAAN

Ramai yang melakukan aktiviti lasak tanpa sebarang persediaan rapi, peralatan mahu pun jurupandu. Mereka ini seolah-olah mahu mencuba nasib.

Pengurus Outworld Training and Equipment Manager, Haslil Razif Amir Hasan yang aktif dalam sukan lasak sejak 10 tahun lepas memberitahu penulis, ramai yang tertarik ke Bukit Tabur kerana keindahan semulajadi tambahan kedudukannya yang dekat dengan bandaraya Kuala Lumpur.

Namun, berapa ramai yang sedar dengan tahap kecerdasan mereka apatah lagi laluan sukar ke puncak bukit itu. Mereka tidak membuat sebarang persediaan dan mengambil mudah banyak perkara termasuk keselamatan diri.

"Bagi mereka, tiada yang perlu dibimbangkan. Lagi pun dari tempat mereka berdiri, boleh nampak KLCC. Hospital pun dekat, boleh juga buat panggilan telefon jika berlaku kecemasan.

"Malah ada yang tak bawa bekalan air minuman semasa mendaki. Pada mereka boleh beli minuman semasa pendakian turun di kedai yang berhampiran.

"Malangnya, mereka menjadi terlalu letih apabila mendaki turun kerana keadaan permukaan bukit yang begitu mencabar," keluh Haslil Razif ketika mengulas sikap sesetengah orang yang tidak mengendahkan keselamatan peribadi apabila melakukan aktiviti lasak.

HASIL KAJIAN

Menurut Haslil Razif yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang sukan lasak, kebanyakan kejadian malang berpunca daripada kegagalan individu mengutamakan keselamatan diri apabila enggan menggunakan juru pandu bertauliah.

Ini dikukuhkan lagi dengan hasil kajiannya bertajuk "Adventure Tourism: Safety in White Water", ketika melengkapkan pengajian Ijazah Sarjana Pembangunan Pelancongan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Melibatkan 330 responden dan meliputi empat kawasan iaitu Sungai Selangor di Kuala Kubu dan tiga sungai di sekitar negeri Perak, kebanyakannya terlalu 'berkira' mengenai aspek keselamatan diri.

Kajian itu juga mendapati tiga penemuan penting iaitu tiada pengalaman, kurang stamina dan tunjuk lagak mendedahkan mereka kepada risiko tidak diundang. 

"Tidak mahu bayar dan lebih rela pergi sendiri. Mereka sanggup meletakkan nyawa dalam keadaan bahaya daripada mengeluarkan wang untuk keselamatan.

"Pergi sendiri memanglah percuma tetapi risikonya kita tidak tahu. Sikap dan mentaliti ini harus diubah," katanya.

UTAMAKAN KESELAMATAN

Bagi kebanyakan ekspedisi yang menggunakan juru pandu bertauliah seperti aktiviti meredah jeram sungai yang deras arusnya, jarang kedengaran berlaku kejadian yang tidak diingini.

Menurut Haslil Razif, ini kerana setiap peserta akan dilengkapi dengan jaket keselamatan, topi keledar serta taklimat awal mengenai langkah-langkah keselamatan.

"Sebab itulah pentingnya aktiviti lasak diketuai juru pandu bertauliah. Ini yang kita perlu tekankan kerana sukan lasak mampu menjadi antara produk pelancongan negara," katanya.

KEMALANGAN JEJAS SUKAN LASAK

Kemalangan yang melibatkan aktiviti lasak menjadi ramai yang bimbang nasib yang sama akan menimpa diri mereka, justeru, mereka melupakan sahaja hasrat untuk melibatkan diri.

Sama ada ini fenomena sementara atau jangka panjang, ia menjejaskan pihak yang mengendalikan perniagaan sukan lasak.

Jika sebelum ini kos pakej sukan lasak sekitar RM100 atau lebih bergantung kepada tahap kesukaran dan jarak destinasi, kini ia terpaksa diturunkan antara 30-40 peratus.

Kurang permintaan untuk menyertai sukan lasak menyebabkan ada pengusaha terpaksa mengambil langkah menurunkan harga atau kandungan pakej pada tahap tidak munasabah.

Langkah itu terpaksa diambil kerana tidak mahu operasi syarikat seperti "hidup segan mati tak mahu" atau lebih teruk lagi, "gulung tikar".

"Semakin sukar mendapat pelanggan sehingga terpaksa menurunkan harga atau kandungan pakej yang ditawarkan. Bagi saya, ini boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan apabila harga ditawarkan begitu rendah," kata Haslil Razif.

Menurut beliau, ada sebab mengapa aktiviti lasak seperti pendakian bukit, gunung dan sukan air mengenakan harga yang dilihat agak tinggi kerana mengambil kira aspek keselamatan yang amat dititikberatkan. - Bernama