Pengacara Razif Hashim (kanan) dalam dokumentari Time Capsule Malaysia
KUALA LUMPUR: Budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia bakal dipertontonkan kepada dunia melalui dokumentari yang dihasilkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama History Channel.
Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan berkata dokumentari berjudulTime Capsule Malaysia yang akan mula ditayangkan setiap hari Ahad pukul 9 malam, bermula 14 Sept itu memaparkan kehidupan masyarakat negara ini pada era 50-an dan 60-an.
Idea penerbitan dokumentari ini tidak tertumpu kepada satu isu sahaja, tetapi kita fokus kepada kisah atau cerita yang tidak pernah didengari oleh orang ramai seperti kewujudan wayang kulit serta latar belakangnya, katanya kepada pemberita selepas melancarkan dokumentari berkenaan di sini hari ini.
Katanya, dokumentari yang berdurasi selama 30 minit bagi setiap enam siri itu akan ditayangkan di saluran Astro 555 (History Channel) dan 575 (History HD).
"Time Capsule Malaysia akan dihoskan oleh pengacara Razif Hashim dan disiarkan bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia bagi mengimbau kembali sejarah pada zaman dahulu," kata Md Afendi.
Sementara itu, Pengarah Produksi Chris Humphrey berkata dokumentari itu merupakan sejarah kehidupan lampau sebenar dan semua rakaman diambil daripada arkib filem negara.
"Kami mahu mempunyai peluang untuk mendidik dan mendorong audiens Malaysia untuk menikmati, berasa seronok mengenai masa lalu mereka dan menggambarkannya dalam keadaan pada masa ini, berfikir tentang masa sekarang dan berasa bangga dengan apa yang akan dipersembahkan kami kepada mereka," katanya.
Penerbit Gerald Benedict berkata penggambaran dokumentari itu mengambil masa kira-kira dua bulan setengah bermula pertengahan Jun lepas.
Kami mula berbincang pada bulan Mei dan menjalankan produksi sebenar pertengahan Jun memandangkan masa yang diberi terhad untuk menyiapkan hasilnya.
Cabaran dalam isu penapisan adalah kami perlu memberi visual klip terbaik dan sesuai untuk tontonan kanak-kanak serta penonton. Untuk menggabungkan klip-klip tersebut juga agak sukar kerana klip yang terdapat di arkib merupakan klip yang diambil beberapa puluh tahun lalu di mana sistem yang diguna pakai tidak sama dengan yang terkini, katanya.
Beliau juga berkata dokumentari itu tidak mengetengahkan sejarah yang diketahui umum tetapi lebih kepada fakta-fakta tersembunyi yang tidak diketahui masyarakat seperti sebab yang membawa kepada pembinaan Tugu Kebangsaan.
"Kita tidak menerbitkan dokumentari tentang sejarah asas seperti tokoh-tokoh Pahlawan Negara, kerana ia terlalu biasa disiarkan tetapi lebih kepada komuniti, isu-isu sosial, sukan dan kesihatan," katanya.
-- Sumber: Bernama