Wednesday 29 July 2015

Rombakan Kabinet Malaysia 2015 - Siapa baru, siapa digugurkan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan senarai anggota Kabinet baru pada Selasa, 28 Julai di Putrajaya.

Beliau mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rombakan kabinet itu turut melibatkan pelantikan baru tujuh menteri dan sembilan timbalan menteri.



- Sumber: Astro Awani 

Penyingkiran Muhyiddin dan Gani beri gambaran buruk

Azmin Ali

SHAH ALAM - Penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari barisan Kabinet baharu selepas beberapa hari beliau ‘menegur’ kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan Perdana Menteri itu perlu menjawab kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sambil menyifatkan pengguguran dalam rombakan kabinet Najib itu hanya menjerumuskan Malaysia ke dalam gaung krisis susulan kontroversi syarikat pelaburan negara itu.

Beliau berkata, penamatan Tan Sri Abdul Gani Patail daripada jawatan Peguam Negara sebagai salah seorang anggota panel siasatan skandal 1MDB juga memberi gambaran buruk terhadap Najib.

“Ia memberikan gambaran (bahawa) Perdana Menteri bertindak untuk mempertahankan kedudukan dan regimnya dari disiasat oleh panel bebas atas pelbagai salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan berbilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas rombakan kabinet hari ini yang menyaksikan pengguguran Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ia digantikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Muhyiddin semasa berucap pada majlis penutup mesyuarat Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad mempersoalkan kepimpinan Najib yang masih gagal memberi penjelasan terhadap skandal 1MDB.

Beliau juga menyarankan supaya laporan awal 1MDB yang disediakan Ketua Audit Negara supaya dijadikan sebagai dokumen awam.

Sehubungan itu, Azmin selaku Timbalan Presiden PKR juga menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik supaya bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia daripada gaung krisis itu.

“Negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa demi menyelamatkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Rakyat tidak memberikan dukungan kepada mana-mana ahli parlimen untuk duduk diam dan membiarkan negara menjunam ke dalam gaung krisis yang semakin parah,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Gugur TPM: Muhyiddin tanya, Najib hanya angguk

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isterinya dalam sidang media di kediamannya, sebentar tadi.

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan telah mengetahui pengguguran jawatannya sebelum pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Menurutnya, ketika diminta kepastian tentang penggugurannya, Najib hanya mengangguk.

"Beliau (Najib) beritahu (pengguguran Muhyiddin) selepas perbincangan dan berikan pandangan serta pendapat beliau dan saya juga jelaskan apa-apa yang patut saya jelaskan.

"Kemudian saya tanya, apa tujuan saya dijemput, adakah ada kaitan dengan rombakan jemaah menteri? Beliau mengangguk.

"Kemudian saya tanya, adakah 'you' nak cakap apa-apa dengan saya, dia rasa susah nak cakap. Adakah bermakna nama saya tidak tersenarai? Apabila dia mengangguk, saya kata terima kasih," katanya pada sidang media di kediamannya, di sini hari ini.

- Sumber: Sinar Harian 

Kilang hasil iPhone palsu diserbu

Kilang hasil iPhone palsu diserbu - Foto Mingjingnews

BEIJING - CHINA. Pihak berkuasa tempatan menahan sembilan orang dalam satu serbuan sebuah kilang yang didakwa mengeluarkan sehingga 41,000 unit iPhone palsu di China.

Operasi kilang itu dilaporkan melibatkan ratusan pekerja pembungkusan semula bahagian telefon pintar terpakai sebagai iPhone baru untuk dieksport ke pasaran luar negara terutamanya Amerika Syarikat.

Menurut laporan, operasi kilang haram itu berjaya dihidu pihak berkuasa pada May lalu namun hanya didedahkan melalui media sosial oleh Biro keselamatan Beijing pada Ahad.

Pihak berkuasa Beijing berkata, kilang ini dikendalikan oleh pasangan suami isteri, di pinggir utara ibu negara China.

"Ia susulan laporan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang merampas beberapa telefon palsu jenama itu di negara tersebut yang dipercayai dihasilkan di China,"

Sementara itu, menurut blogger BirdAbroad yang dipetik BBC, ramai kakitangan yang bekerja kilang berkenaan menyangka bahawa mereka bekerja dengan firma elektronik Amerika Syarikat dan bukannya kilang Apple yang palsu.

- Sumber: Sinar Harian