Tuesday, 27 January 2015

Mahkamah sahkan hukuman penjara pemandu teksi

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan hukuman penjara 18 tahun terhadap seorang pemandu teksi yang menyebabkan kematian anak perempuan teman wanitanya yang berumur tiga tahun, lima tahun lepas.

Panel hakim lima anggota yang dipengerusikan Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dikenakan terhadap Mohd Fazli Azri, 33, oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 8 Julai, 2013, menjatuhi hukuman penjara 18 bulan terhadap pemandu teksi itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan bagi kesalahan membunuh kanak-kanak perempuan itu dan menggantikannya dengan pertuduhan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Panel berkenaan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan peguam Gurbachan Singh yang mewakili Mohd Fazli.

Mohd Fazli kelihatan tenang semasa Hakim Abdull Hamid menyampaikan keputusan mahkamah. 

Pada 22 September, 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Mohd Fazli bersalah membunuh Syafiah Humaira Sahari, anak Siti Nurhanim Aziz, di sebuah padang bola di Jalan Utama, Kawasan Rumah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, Selangor, pada 6.30 petang, 25 Februari, 2010.

Mohd Fazli dituduh membunuh kanak-kanak perempuan itu dengan menendang dan memijak-mijak badannya.

- Sumber: Bernama

Penggodam laman web MAS rancang serangan baru

Penggodam laman web MAS rancang serangan baru

KUALA LUMPUR: Kumpulan penggodam yang mengaku bertanggungjawab menggodam laman web Malaysia Airlines pada Isnin merancang untuk meneruskan serangan siber mereka.

Walaupun laman web syarikat penerbangan itu telah kembali normal, satu tuit daripada The Lizard Squad menyatakan yang mereka sedang merancang untuk mendedahkan email yang berjaya digodam.

“More to come soon. Side note: We’re still organizing the @MAS email dump, stay tuned for that,” tulisnya dalam tweet tersebut.

Pada Isnin, laman web rasmi Malaysia Airline digodam pada kira-kira pukul 10 pagi diikuti serangan kedua pada 10.25 pagi.

Syarikat penerbangan itu mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan sistem akan kembali normal.

"Malaysia Airlines mengesahkan Sistem Nama Domain (DNS) telah diceroboh, di mana pengguna diarahkan ke laman web penggodam sewaktu URL www.malaysiaairlines.com ditaip," dalam satu kenyataan. 

- Sumber: Astro Awani 

Perhatian: Malaysia negara pengguna gula tertinggi

Keadaan itu menyumbang kepada trend peningkatan pesakit kencing manis di negara ini yang memerlukan perhatian dan pemantauan sewajarnya.

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi antara negara di dunia menggunakan gula paling banyak dalam makanan dan minuman.

Keadaan itu menyumbang kepada trend peningkatan pesakit kencing manis di negara ini yang memerlukan perhatian dan pemantauan sewajarnya.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, purata penggunaan gula bagi isi rumah mahupun di peringkat industri adalah tinggi berbanding negara-negara lain.

"... 51 gram per kapita. That’s very high. Jadi, bagaimana tak sumbang kencing manis. Per kapita penggunaan seluruh negara rumah even makanan kuih industri kuaih guna gula walau kita kat rumah kawal gula tapi kat luar minum teh tarik biskut kat kedai makan gula terlalu tinggi," kata


Kajian mobiliti 2011 juga katanya, mendedahkan hampir 50 peratus daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Justeru katanya, kementeriannya sedang berbincang dengan pemain industri bagi bagi menghasilkan produk makanan dan minuman yang kurang penggunaan gula di pasaran.

Pada masa sama, beliau mencadangkan pengusaha makanan turut memainkan peranan mengurangkan jumlah pesakit kencing manis di negara ini dengan memberikan potongan harga kepada pengguna yang memesan minuman kurang manis.

Bagaimanapun katanya, apa yang lebih penting, setiap individu juga perlu sedar dengan kepentingan mengambil makanan yang sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit, NCD terutama kencing manis dan darah tinggi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan Nutrisi Klinikal Asia Pasifik ke-9 di Kuala Lumpur. 

- Sumber: Bernama 

Lucas Silva sah sertai Real Madrid

Lucas bergambar untuk jurugambar selepas majlis penganugerahan di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid, Spain pada Isnin untuk majlis MoU dengan Real Madrid.

Pemain sensasi Brazil Lucas Silva, diperkenalkan sebagai pemain pasukan juara Eropah 10 kali, Real Madrid.

Lucas Silva menjadi bualan ramai pemerhati bola sepak antarabangsa apabila membantu pasukan Cruzeiro menjadi juara Liga Brazil pada tahun 2013 dan 2014.

Lucas dipilih sebagai pemain tengah terbaik pada liga musim lalu.

Pemain yang berusia 21 tahun ini mengikat kontrak bersama Los Blancos sehingga tahun 2020 dengan yuran perpindahan sebanyak 11.5 juta euro

Lucas akan menyarung jersi nombor 16 dan sudah menjalani latihan bersama anak buah Carlo Ancelotti yang dalam persiapan bertemu Real Sociedad pada Sabtu. 

- Sumber: Astro Awani 

Bangkit selepas 19 tahun koma


SEORANG lelaki di Amerika Syarikat akhirnya bangun selepas menghabiskan hampir 20 tahun dalam keadaan koma.

Perkataan pertama yang diucapkan Terry Wallis, 39, ialah 'mama' selepas melihat ibunya yang duduk di tepi katil.

Perkataan kedua diucapkannya ialah Pepsi diikuti susu.

Wallis koma selepas terlibat dalam kemalangan kereta di Mountain View, Arkansas pada bulan Julai 1984. Akibat kemalangan itu, dia koma selama 19 tahun dan disahkan lumpuh.

Isteri Wallis, Sandi berkata dia tidak putus harapan meskipun menyedari peluang untuk suaminya sedar adalah tipis.

"Saya akui berdepan banyak kesukaran sepanjang Wallis koma. "Apabila dia diperlukan, dia tiada di sana," katanya.

Ketika kemalangan itu berlaku, anak perempuan Wallis, Amber baru dilahirkan.

Amber kini seorang gadis remaja dan menjadi inspirasi untuk Wallis pulih. Menurut Sandi, meskipun Wallis koma, tetapi mereka tidak pernah terlepas untuk melawatnya setiap hujung minggu di Pusat Pemulihan Stone County.

Malah, mereka turut meraikan majlis-majlis tertentu di sebelah katil suaminya.

Dalam kemalangan 1984 itu, Wallis dan rakannya memandu kereta sebelum kenderaa mereka terbabas ke dalam sungai. 

- Sumber: Daily Mail

CEO AirAsia X nafi letak jawatan

Ketua pegawai eksekutif AirAsia X Bhd Azran Osman Rani telah meletak jawatan. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Laporan yang mengatakan Ketua Pegawai Kksekutif AirAsia X Bhd, Azran Osman-Rani meletak jawatan dari syarikat penerbangan murah itu ternyata tidak sahih.

Azran menafikan laporan perletakan jawatan tersebut menerusi satu kiriman SMS kepada Astro AWANI yang ringkas menyebut: "that's 'news' to me".

Apabila ditanya bagaimana spekulasi ini timbul, Azran berkata, "anything goes here in Malaysia".

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Azran dijangka akan menyertai semula industri perundingan pengurusan.

Azran, 44 dilantik Ketua Pegawai Eksekutif pada Julai 2010. Kontrak Azran dilanjutkan untuk tiga tahun lagi apabila ia berakhir pada 4 Julai 2013.

- Sumber: Astro Awani 

'We are the world' continues to unite music lovers 30 years on

"We are the world" - Screen grab from YouTube

The iconic unity-inspired song “We are the world” first recorded on January 28, 1985 continues to be a smash hit, even after 30 years.

This song was the brainchild of activist and entertainer Harry Belafonte who had wanted to gather the biggest singers in the world, and to use their talent and voice for a good cause.

"We are the world" - Screen grab from YouTube

This ever famous song was written by Michael Jackson and Lionel Richie and featured 45 international singers.

They included Tina Turner, Bob Dylan, Cyndi Lauper, Willie Nelson, Ray Charles, Stevie Wonder, Bruce Springsteen, and many more.

According to People.com, the song sold over 20 million copies and won three Grammys.

What’s more unprecedented, it raised $63 million for humanitarian aid in Africa.

"We are the world" - Screen grab from YouTube

Some fun facts about the song from People magazine:

Michael Jackson and Lionel Richie finished the lyrics and melody on January 27, 1985 – a day before the deadline.

The recording took place the same night as the American Music Awards which was hosted by Lionel Richie. Cindy Lauper and Tiny Turner performed at the awards.

Apart from recording "We are the world", the stars also sang "Day-O (The Banana Boat Song)" in honour of Harry Belafonte.

Cindy Lauper’s jewelry ruined one of the solo takes.

At the end of the recording session, each singers asked for each other’s autograph. "Everyone wanted a memento that we could all keep ourselves. And we had the sheet music so we had all the other artists sign it. I don't think there was one out there who didn't get everyone to sign it,” said Kenny Rogers.

- Source: Astro Awani 

Rayuan dalam kes transgender diputuskan esok

KUALA LUMPUR - Adakah kerajaan Negeri Sembilan dan empat pihak lain dibenarkan untuk merayu terhadap keputusan penting Mahkamah Rayuan berhubung isu transgender membabitkan lelaki Islam yang berpakaian wanita?

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan mereka bagi kebenaran untuk merayu daripada mahkamah tertinggi itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan sebagai tidak sah enakmen Syariah negeri yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita.

Empat lagi pemohon ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.

Dalam permohonan bagi kebenaran, perayu mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk pertimbangan mahkamah.

Pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan sebelum memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Jika Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bagi kebenaran, mereka boleh terus memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tetapi jika mereka gagal, keputusan Mahkamah Rayuan akan dikekalkan.

Pada 7 November tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang difailkan oleh tiga jurumekap pengantin - Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 -- dan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa peruntukan itu menimbulkan diskriminasi terhadap lelaki Islam yang mengalami keadaan dikenali sebagai Kecelaruan Identiti Jantina (GID).

Mohd Hishamudin berkata Seksyen 66 yang menghukum lelaki Islam yang berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat-tempat awam, tidak memberikan pengecualian untuk penghidap GID tetapi mengabaikan mereka (penghidap GID) dan secara tidak adil meletakkan mereka tertakluk di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman yang menolak permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai melanggar perlembagaan.

Dalam permohonan bagi semakan kehakiman, Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol menamakan kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebagai responden. 

- Sumber: Bernama

Cantik tapi tidak berhati perut



Jangan ambil mudah dengan wanita bernama Katrina Kaif. Dia seorang bintang yang sangat tegas dan bukan pemaaf walaupun individu tersebut rapat dan sudah lama mengenali dirinya.

Seperti dipetik menerusi Hindustan Times, jurusolek kegemaran Katrina dipecat hanya kerana tidak datang menghadirkan sewaktu sesi fotografi bersama Anurag Basu.

Subhash Singh yang sudah hampir 11 tahun bekerja dengan Katrina berada di Mauritius dan dalam perjalanan untuk pulang ke India. Namun akibat cuaca buruk, penerbangan terpaksa dibatalkan sehingga cuaca kembali pulih.

Akibat lewat hadir ke lokasi sesi fotografi, Katrina berang dan mengarahkan supaya mencari pengganti jurusolek yang lain. Setelah tiba di India, Katrina langsung tidak mahu memaafkan Subhash dan terus bertindak memecatnya.

Tindakan tersebut menjadi bualan dan perhatian mereka yang bekerja semasa sesi fotografi tersebut yang rata-rata menganggap Katrina terlalu emosi dan tidak berperikemanusiaan. Walhal Subhash dan Katrina sangat rapat dan sudah lama berkawan.


- Sumber: Astro Gempak

Ayah 'dibom' kerana asyik buka surat anak

Saat bungkusan Edamame 'meletup

DISEBABKAN ayahnya asyik membuka dan membaca suratnya, seorang anak membuat keputusan untuk mengenakan ayahnya sendiri.

Seorang pengguna YouTube, Edamame, memuatnaik sebuah video yang merakam aksi ayahnya membuka umpan berupa bungkusan yang dialamatkan kepada Edamame sendiri, telah menarik perhatian 3 juta pelayar.

Bungkusan tersebut, yang 'meletup' sebaik sahaja dibuka, mengeluarkan serbuk berkilat atau glitters yang pantas sahaja memenuhi meja kerja ayahnya.

Ayah Edamame jelas marah atas tindakbalas tersebut.

Walaupun cara ini tidak digalakkan, ini suatu pengajaran yang baik, bukan? Tak elok baca surat orang lain!

- Anda boleh google dan tonton rakaman ini du YouTube 

Pemandu teksi gelabah bila kantoi

Pemandu teksi (kanan) merayu agar tidak dikenakan tindakan.

JOHOR BAHRU - Merayu, memohon maaf dan sanggup menyembah anggota serta pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), itulah yang dilakukan oleh seorang pemandu teksi berusia 50an, malam kelmarin.

Gelagat lelaki yang sudah berusia terbabit berterusan sebaik sahaja pegawai SPAD menjelaskan kesalahan dilakukan olehnya ketika ditahan dalam Ops Tegas dianjurkan di sekitar bandar raya ini.

Berdasarkan cerita dinyatakan oleh anggota SPAD yang menyamar sebagai penumpang teksi terbabit, pemandu berkenaan melakukan kesalahan meletakkan harga tambang sendiri meskipun menggunakan meter sebaik sahaja tiba di lokasi dikehendaki penumpang.

Anggota berkenaan memberitahu pemandu terbabit benar mempamerkan permit, memiliki kad pemandu selain memasang meter caj tambang sepanjang perjalanan.

Bagaimanapun, beliau terkejut apabila caj tambang yang dikenakan pemandu terbabit lebih mahal daripada jumlah tertera pada meter.

Walaupun anggota yang menyamar itu cuba untuk meminta dan mendapatkan caj tambang paling rendah atas beberapa alasan, lelaki terbabit tegas dengan jumlah yang terpacul dari mulutnya dan mahu jumlah terbabit dibayar.

Ketegasan pemandu teksi terbabit akhirnya berubah apabila tidak semena-mena memperlahankan kenderaan dipandu sambil memohon agar tidak dikenakan sebarang tindakan mengikut lunas perundangan selepas anggota berkenaan menunjukkan kad kuasa dan memperkenalkan diri sebagai anggota SPAD.

Selepas hampir sejam memohon maaf dan merayu kepada pihak SPAD, lelaki itu akhirnya akur dengan tindakan yang dikenakan ke atasnya.

Kesalahan pemandu teksi berkenaan merupakan satu daripada 40 kes yang direkodkan sepanjang Ops Tegas berlangsung selama dua hari.

Dalam ops berkenaan, SPAD berjaya mengesan tiga kes tidak menggunakan meter, menetapkan kadar tambang (sembilan kes), tidak memakai uniform (tujuh kes), kesalahan melibatkan kad pemandu (13 kes) dan lain-lain kesalahan (lapan kes).

Ketua Bahagian Pe-nguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, Ops Tegas dijalankan di beberapa lokasi panas sekitar bandar raya ini.

“Operasi bermula jam 8 malam kelmarin hingga 4 pagi semalam. Kemudian disambung jam 2 petang hingga 8 malam," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Ronaldo menyamar jadi pengemis demi...


MADRID - SEPANYOL. Bintang bola sepak antarabangsa, Cristiano Ronaldo sanggup menyamar sebagai pengemis semata-mata mahu memberikan kejutan buat peminat ciliknya.

Memetik laporan Mirror.uk, Ronaldo dilihat mengenakan jambang palsu, berambut panjang dan menyarungkan baju kelabu yang menampakkan dia sedikit berisi untuk mengelak dirinya dikenali.

Kapten Portugal itu juga turut mempamerkan aksi bermain bola sebelum memberikan kejutan kepada seorang budak lelaki dengan memberikan sebiji bola yang ditandatanganinya.

Kehadiran Ronaldo mula disedari orang ramai apabila dia mula menanggalkan jambang dan juga rambut palsunya itu di hadapan peminat cilik tersebut.


Mengagumkan! Singa betina masih ingat penyelamatnya

Gambar Sirga memeluk Gruener. Sirga ketika kecil (gambar kecil).


SELEPAS tiga tahun, Sirga, seekor singa betina masih ingat kepada penyelamatnya, Valentin Gruener.

Gruener, pengasas kepada Modisa Wildlife Project mengambil Sirga di bawah jagaannya selepas menjumpai binatang tersebut terbiar dan berisiko untuk mati di Botswana.

Sebuah video yang menarik perhatian hampir 10 juta pelayar laman YouTube menunjukkan Sirga sungguh teruja apabila berpeluang bertemu dengan Gruener.

Sirga, singa betina yang beratnya 140 kilogram kini, melompat dan memeluk Gruener.

Hilang sifat buas seekor singa apabila bertemu dengan penyelamatnya.

- Sumber: Sinar Harian 

Mazda2 dilancarkan. RM87,956

Ciri-ciri standardnya, aloi 16 inci, sensor undur, kamera undur, kerusi kulit, lampu kabut hadapan, sistem pendingin automatik dan sistem audio (dengan sambungan Bluetooth, aux, USB dan slot kad SD).

Untuk lanskap automotif Malaysia, segmen-B bukanlah tempat utama untuk mencari model-model yang boleh menerajui pilihan pertama kami. Biasanya ia diisi oleh kereta-kereta yang sangat praktikal dan lebih murah; tetapi ia juga bukanlah dipasang dengan ciri-ciri keselamatan ataupun ‘creature comfort’ yang terbaik.

Tetapi Mazda mengubah klise itu dengan model Mazda2 terbaharu yang dilancarkan serentak dengan pembukaan pusat cat dan kenderaan di Glenmarie, Subang. Sepertimana generasi sebelumnya, model ini didapati di dalam varian hatchback dan sedan di mana kedua-duanya dijual dengan harga RM87,956 (termasuk insurans). Kereta ini diimport sepenuhnya daripada Thailand.


Ini ditambah lagi dengan pelbagai lagi komponen yang sukar ataupun tidak pernah dilihat pada kereta segmen-B pada harga ini; ini termasuk ‘keyless entry’ dan sistem ‘push start’, sistem kawalan cengkaman (traction control), lampu DRL, ‘paddle shifter’; dan terutamanya ‘heads-up display’serta sistem Mazda Connect dengan skrin 7 inci. Sistem navigasi adalah satu ciri pilihan, yang boleh dibeli dengan harga RM1,200.

Rekaan

Mazda2 mengikuti model-model CX-5, Mazda6 dan Mazda3 untuk menjadi model keempat untuk digayakan dengan rekaan Kodo – Soul of Motion. (Juga teknologi Skyaktiv yang akan diterangkan selepas ini).

Pada pendapat kami, yang paling menarik untuk diceritakan mengenai Mazda2 ini adalah keseimbangan diantara hatchback dan sedan. Pada generasi sebelum ini, versi sedan jauh ‘kurang menarik’ berbanding hatchback. Untuk Mazda2 baharu ini, kedua-dua varian sama bergaya.

Lampu hadapan adalah jenis halogen manakala belakang pula adalah mentol biasa. Saiz tayar adalah 185/60/16.

Dalaman

Jelas bahawa tumpuan yang banyak telah diberikan untuk memastikan kabin serta papan pemuka Mazda2 adalah yang terbaik di dalam kelasnya. Ia kelihatan mewah dan moden, ditambah dengan skrin 7 inci untuk memberi maklumat relevan mengenai pelbagai sistem kereta ini.


Pemasangan sistem navigasi GPS juga adalah menyeluruh dan terus disambung ke sistem Mazda Connect.

Lebih daripada itu, sistem ‘heads-up display’ yang dikenali sebagai Active Driving Display mempamerkan maklumat-maklumat seperti kelajuan tanpa perlu menoleh daripada arah tuju pemanduan. Maklumat navigasi juga boleh ditunjukkan jika pilihan itu dipilih.

Sistem audio dipadankan dengan 6 speaker.

Ruang bagasi di dalam boot jauh berbeza diantara hatchback dan sedan, iaitu 220 liter berbanding 410 liter.

Skyaktiv
Enjin Skyaktiv ini adalah dengan kapasiti 1496cc, dengan output sebanyak 114hp dan 148Nm tork pada tayar hadapan. Kotak gear pula adalah automatik Skyaktic 6-kelajuan.


Berbeza dengan pengeluar lain yang cuba mencapai imbangan prestasi, penggunaan bahan api terendah dan pengeluaran gas ekzos paling rendah menerusi kombinasi ‘downsizing’ (sesaran enjin lebih kecil) dan penggunaan pengecas turbo; Skyaktiv oleh Mazda menggunakan falsafah yang berlainan. Antara lain adalah penggunaan nisbah tekanan di dalam silinder lebih tinggi dan kecekapan enjin lebih baik.



- Sumber: Astro Publication 

Gary bakal jalani latihan bersama kelab gergasi Jerman

PBNJ memaklumkan Gary (kanan) yang sah menyarung jersi JDT musim ini, bakal menjalani latihan di sana selama tempoh penggantungan tersebut. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbat yang kini digantung daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak selama tiga bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bakal menjalani latihan bersama kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) memaklumkan pemain berkenaan yang sah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini, bakal menjalani latihan di sana selama tempoh penggantungan tersebut.

"Semoga Gary akan menggunakan peluang ini untuk mempertingkatkan mutu permainan beliau dan seterusnya dapat memantapkan lagi pasukan JDT," demikian menurut PBNJ menerusi laman Facebook rasmi JDT; Johor Southern Tigers, hari ini.

Untuk rekod, PBNJ menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab yang berpangkalan di Dortmund itu pada 22 Dis lepas sebagai salah satu usaha untuk memantapkan pembangunan bola sepak di Johor terutamanya di peringkat akar umbi.

Kerjasama itu diadakan susulan kunjungan Pengarah Pembangunan Belia Borussia Dortmund, Edwin Boekamp ke atas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan Presiden PBNJ pada 16 dan 17 Okt tahun lepas.

Jawatankuasa Status Pemain FAM yang bersidang pada 16 Jan lepas, mengenakan penggantungan selama tiga bulan selain denda RM50,000 ke atas Gary kerana melanggar peraturan FAM mengenai perpindahan pemain dengan menandatangani kontrak bersama JDT dan Pahang.

- Sumber: Bernama