Friday, 20 March 2015

Kerana tertekan, Zayn Malik tarik diri dari konsert jelajah dunia One Direction

Zayn dikenakan bon tunai ke Filipina kerana kebimbangan penggunaan dadah.- Gambar AFP

LONDON: Bintang kumpulan pop dari Britain, One Direction, Zayn Malik telah menarik diri dari menyertai konsert jelajah antarabangsa kumpulan itu ekoran menghadapi tekanan, kata jurucakap kumpulan itu pada Khamis.

Malik, 22, akan pulang ke Britain sementara anggota kumpulan itu yang lain akan meneruskan jelajah dunia mereka dari Filipina, Afrika Selatan, Eropah dan Amerika Syarikat.

"Zayn telah disahkan mengalami tekanan dan akan terbang semula ke UK untuk berehat," kata jurucakap One Direction.

"Kumpulan ini mengharapkan agar beliau sembuh dan rakan-rakan akan meneruskan persembahan mereka," di Filipina dan Indonesia.

Pengumuman itu dibuat selepas gambar-gambar Malik, yang bakal berkahwin dengan ahli kumpulan Little Mix Perrie Edwards, kelihatan mesra bersama wanita lain disebarkan di internet.

Antara aksi peminat kumpulan One Direction yang mengadakan konsert di Singapura baru-baru ini

Salah satu gambar menunjukkan mereka berpegangan tangan dan satu lagi memaparkan Zayn memeluk pinggang wanita itu. Zayn lantang bersuara menentang spekulasi itu dan meluahkan cintanya kepada Edwards.

"Saya berusia 22 tahun ... Saya suka hanya seorang gadis bernama Perrie Edwards. Ada ramai yang cemburu di dunia ini," tulis Zayn di Twitter kepada 14.1 juta pengikutnya.

Salah sebuah kumpulan pop yang paling popular ketika ini, One Direction, akan meneruskan konsert jelajah antarabangsa mereka sehingga musim panas sebelum membuat persembahan di Britain. 

Malik yang berasal dari Bradford di utara England, telah dipilih untuk menyertai One Direction selepas setiap daripada lima orang ahli kumpulan itu menjalani uji bakat secara berasingan untuk rancangan realiti TV X Factor pada 2010.

Pada Khamis, Malik dikenakan bayaran bon tunai ke Filipina kerana kebimbangan penggunaan dadah dan ia juga bagi membenarkan kumpulan itu untuk membuat dua persembahan pada hujung minggu ini.

Bon bernilai US$4,500 setiap seorang dikenakan bagi penyanyi Zayn Malik dan Louis Tomlinson, akan dirampas sekiranya mereka ditangkap menggalakkan atau menggunakan dadah yang tidak dibenarkan, jurucakap Biro Imigresen Filipina Elaine Tan berkata kepada AFP.

Sebuah klip video yang menunjukkan Malik, 22, dan Tomlinson, 23, didakwa menghisap ganja dalam sebuah kereta ketika menjayakan konsert di Peru mengejutkan peminat-peminat wanita kumpulan itu. Penggunaan ganja menyalahi undang-undang di Filipina. 

- Sumber: Astro Awani 

Masih ingat pada pelayar web Internet Explorer?




Microsoft sedang menjalankan penyelidikan mengenai jenama atau nama baharu yang akan ditawarkan dalam Windows 10.

KUALA LUMPUR: Usianya sahaja sudah hampir dua dekad dan tidak lama lagi ia tidak lagi menemui pengguna dunia kerana ia bakal digantikan dengan sistem operasi baharu. Itulah pelayar web Internet Explorer (IE).

Microsoft telah mengesahkan bahawa pada tahun ini, pelayar baharunya yang kini masih menggunakan nama kod Project Spartan, akan diperkenalkan. Microsoft tidak lagi menggunakan nama IE.

“Kami sekarang ini sedang menjalankan penyelidikan mengenai jenama atau nama baharu yang akan ditawarkan dalam Windows 10,” kata Ketia Pemasaran syarikat berkenaan, Chris Capossela.

IE pernah mendominasi pasaran dan memiliki lebih daripada satu bilion pengguna namun lama-kelamaan ia gagal menyaingi pelayar Firefox dan Google Chrome. Kedua-dua pelayar itu dilancarkan dengan fungsi teknologi yang lebih pantas dan pakej reka bentuk lebih menarik.

Microsoft dipercayai mahu ‘melupakan’ jenama IE bagi memadamkan sama sekali persepsi negatif yang diterimanya sepanjang IE beroperasi. Selama ini, perisian berkenaan disifatkan sebagai perlahan dan mempunyai pelbagai masalah keselamatan.

Seorang pengguna telah secara berjenaka mengingatkan orang ramai tentang IE melalui akaun Twitternya dengan menyatakan: “Masih ingat pada IE? Itulah pelayar web yang selama ini kalian gunakan untuk memuat turun pelayar web lain.”

- Sumber: Astro Awani 

Hudud: Hos radio BFM terima ugutan bunuh

Aisyah Tajuddin terima kritikan susulan video 'Hudud isi periuk nasi? [KUPAS]. - Sumber gambar YouTube

KUALA LUMPUR: Hos stesen radio BFM (88.9FM) berhadapan kritikan termasuk ugutan bunuh setelah video yang seolah mengkritik perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan.

Video bertajuk Hudud isi periuk nasi? [KUPAS] dimuat naik di akaun YouTube milik ‘BFM VDO’ dan menampilkan Aisyah Tajuddin.

“Akhirnya… mimpi PAS nak melaksanakan Hudud di Kelantan datang menjelma,” kata Aishah dalam video tersebut.

Dalam nada menyindir, Aisyah turut mempersoalkan jika agama boleh menyelamatkan penduduk tempatan dari realiti sosio-ekonomi di dalam video tersebut.

“Korang ini dah bertahun bising pasal hudud. Aku pun dah malas nak kupas. Tapi ada satu saya nak tanya, apa jadi dengan nasib mangsa banjir rakyat Kelantan. Tiga bulan sudah dan mereka tidak ada rumah.

“Inilah politik. Agama digunakan untuk menkaburi mata rakyat dari isu yang penting,” katanya.

Video yang dimuat naik pada 19 Mac menerima pelbagai kritikan, termasuk 322 ‘dislikes’ setakat ini.

“Jujur, jumpa depan-depan aku tembak kepala dia,” tulis Khairul Azri.

Pengguna YouTube yang dikenali sebagai ‘Renaissence X’ berharap agar Aisyah dapat mempelajari agama dan mengenali Allah.

“Kamu bercakap macam orang tidak ada agama,” katanya.

Seorang pengguna Twitter, ‘drirfanbabet’ berkata Aishah perlu rujuk kepada Ustaz atau Ustazah sebelum keluar kenyataan seperti itu.

Ada pula warga media sosial yang menyuarakan pemahaman mereka dengan mesej yang cuba dikongi oleh Aisyah.

“Yang saya faham video ni lebih kepada kritik pentadbir (pelaksana) daripada kritik hudud itu sendiri. Dan mengetengahkan isu bahawa sesetengah pemimpin memainkan sentimen agama untuk politik (tidak terhad kepada mana-mana parti),” tulis seorang pengguna Twitter, 'sassydewi'.

‘Metro Genesis’ menyatakan: "ada bahagian yang saya setuju and ada yang saya tidak setuju. Betul apa dia cakap. Berikan keutamaan kepada mangsa banjir dulu. Beri rumah baaru kepada mereka, Baiki infrastruktur yang rosak and beri apa-apa bantuan yang patut dahulu.”

Beberapa jam selepas video tersebut dimuat naik , pihak BFM mengambil keputusan untuk menarik balik penayangan itu. 

- Sumber: Astro Awani 

Gadis persenda hudud dikecam teruk

Klip video yang berdurasi 1 minit 55 saat itu, telah ditonton seramai 279,031 dan mendapat sebanyak 15,701 ‘share’.

SEORANG gadis Melayu didakwa menghina langkah kerajaan Pas Kelantan membentang dan meluluskan undang-undang hudud di negeri itu mencetuskan kecaman hebat terhadapnya di laman sosial.

Gadis yang dikenali sebagai Aishah Tajuddin didapati melakonkan aksi (parodi) dan mengeluarkan kata-kata yang didakwa menghina hukum hudud dalam sebuah klip video yang berjudul 'Aisyah BFM Kupas Hudud di Kelantan'.

Setakat berita ini ditulis, klip video yang berdurasi 1 minit 55 saat itu, telah ditonton seramai 279,031 dan mendapat sebanyak 15,701 ‘share’.

Antara babak dalam lakonan itu yang memperlihatkan dia mempersendakan hudud apabila dia yang tidak berhijab tiba-tiba berubah imej (berhijab) sambil berkata “Eh sejak bila ini, oh lupa pulak mak, Kelantan", merujuk kepada kewajipan wanita untuk menutup aurat selepas undang-undang hudud diluluskan di Kelantan.

Gadis itu terus mempersendakan undang-undang pelaksanaan hukum hudud apabila mengatakan agama digunakan untuk mengaburi rakyat bagi meraih populariti politik.

"Banyak pula pindaan dia. Pastu boleh pulak MB Kelantan panggil orang yang kritik hudud ni tak beriman…Eh awak nie… tak beriman lah.

“Agama digunakan untuk mengaburi mata rakyat dari isu yang penting macam ekonomi, pentadbiran. Sama la macam isu negara ni. Orang gaduh pasal bangsa, agama tapi ekonomi negara merosot, pastu hutang kita meningkat. Bila dah sampai masanya tak tahu lah kalau hudud tu boleh isi periuk nasi kita.”, katanya

Sementara pada minit terakhir, gadis itu membuat satu aksi di mana dia membuka satu bungkusan nasi lemak dan kemudian tiada nasi di dalam bungkusan itu dan berkata: “…eh tak pe la, hudud kan ada“.

Berikutan itu, ratusan pengguna Facebook mengecam tindakannya malah meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap gadis berkenaan.

“Mohon PDRM ambil tindakan,” tulis Muhammad Nurudin Ramli.

Sementara itu Muhammad Noor berkata, walaupun dia berasal dari Johor, namun dia tetap menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Aku Islam. Aku sangat-sangat sokong akan hukum hudud di Kelantan. Lagi la bahagia dan ‘happy’ kalau ianya dipraktikkan oleh negeriku dan satu malaysia. Hanya pesalah dan pencinta dosa sahaja yang takut akan hukuman!,” tulisnya.

Sementara menurut Muhammad Izzad Salleh, walaupun dia masih belum memahami hudud secara keseluruhannya, tetapi sebagai seorang Muslim dia mengutuk tindakan gadis ini yang mempersendakan hudud dan Islam.

Sementara Mohd El-eddy Azly Ismail berharap ALLAH membuka pintu hati gadis tersebut.

“Semoga ALLAH ampunkan dosa dia dan buka pintu hati dia untuk kenali kebaikan agama Islam..semoga ALLAH berikan cahaya rahmat dan hidayah- NYA pada wanita ini.. Amin...

“Dia mungkin tidak paham atau tidak pernah dididik berkaitan agama maka mereka yg berilmu dididiklah wanita ini,” tulisnya.

- Sumber: Sinar Harian 

'Pakcik teksi bukan bodoh, pekak atau tak berguna'

  • 'Pakcik teksi bukan bodoh, pekak atau tak berguna'
  • Sedutan video yang dimuatnaik ke YouTube.

SINGAPURA - "Pakcik (pemandu) teksi bukan bodoh, pekak atau tak berguna. Pemandu teksi ada keluarga. Mereka adalah ayah yang bekerja 14 jam sehari, tujuh hari seminggu termasuk pada hari cuti am, supaya orang macam saya dan adik saya dapat pelajaran."

Ayat tersebut tertulis dalam sebuah video viral yang dimuatnaik pada 14 Mac lepas.

Menurut Straits Times, video yang dirakam oleh seorang anak perempuan pemandu teksi telah mendedahkan kelakuan seorang penumpang yang biadab.

Penumpang tersebut yang menaiki teksi dari Chai Chee ke stesen MRT Telok Ayer telah meninggikan suara dan memarahi pemandu teksi tersebut sejak awal perjalanan.

Penumpang berkenaan menuduh pemandu teksi tersebut gagal mengambilnya walaupun beliau melambai-lambai dari tepi jalan utama.

Selain memanggil pemandu teksi tersebut sebagai 'kelawar buta', penumpang tersebut juga menuduh teksi berkenaan bergerak dengan perlahan kerana cuba untuk menipu.

Video berkenaan menarik perhatian lebih setengah juta pelayar yang kebanyakannya bersimpati dan mengecam sikap penumpang berkenaan.

Anak perempuan pemandu teksi berkenaan yang berumur 27 tahun dan bekerja dalam industri media memberitahu supaya pelayar tidak mendedahkan identiti penumpang berkenaan.

"Apa yang penumpang tersebut lakukan adalah salah, tapi semua orang membuat kesilapan dan kita ada pilihan untuk menjadi lebih baik dan memberi kemaafan," katanya yang enggan dikenali.

- Sumber: Sinar Harian 

Najib: Malam cukup bermakna sebagai ayah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menikahkan anaknya, Nooyana Najwa dengan pilihan hatinya, Daniyar Kessikbayev pada majlis akad nikah di Seri Perdana di Putrajaya malam tadi.

PUTRAJAYA - Majlis akad nikah anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa dan pasangannya, Daniyar Kessikbayev selamat disempurnakan di Seri Perdana, di sini, malam tadi.

Datuk Seri Najib Razak menyempurnakan sendiri pernikahan anak sulungnya dengan Datin Seri Rosmah Mansor itu.

"Syukur Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Moga Gina (panggilan nama anaknya) dan Daniyar sentiasa bahagia dan dirahmati ALLAH SWT," tulis Perdana Menteri dalam catatan di Twitternya usai majlis malam tadi.

Pilihan hati anakya, Daniyar melafazkan akad nikah itu dalam Bahasa Malaysia.

Adik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Mohamed Nizam, menjadi saksi akad nikah tersebut.

Pada majlis penuh bersejarah bagi Najib itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah turut berkenan berangkat ke majlis yang bermula jam 9 malam.

Turut berangkat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom, Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta menteri-menteri Kabinet juga hadir.

Turut bersama ialah ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd Noah serta keluarga terdekat kedua-dua pasangan pengantin.

Terdahulu, Najib menulis di Twitternya mengenai pernikahan anaknya itu dan mendoakan anaknya menjadi isteri yang solehah.

"Malam ini amat bermakna bagi saya sebagai seorang ayah," tulisnya.

Nooryana Najwa, 27, mengenali Daniyar, 27, ketika kedua-duanya menuntut di Amerika Syarikat.

- Sumber: Sinar Harian 

Ibu sumbat bayi dalam tin biskut

Ibu sumbat bayi dalam tin biskut

Pemeriksaan dijalankan pada tin biskut tempat mayat bayi terbabit ditemui.

SUNGAI PETANI – Seorang ibu tergamak menyembunyikan kelahiran selain bertindak kejam memasukkan bayi yang baru lahir ke dalam beg kain sebelum disumbat ke dalam tin biskut yang dibalut plastik.

Kejadian itu disedari setelah pengurusan asrama sebuah pusat bimbingan, di sini, menemui mayat bayi terbabit dalam tin biskut, kira-kira 11 pagi semalam.

Difahamkan, ibu bayi berusia 20-an berasal dari Sabah, baru sahaja berdaftar masuk menjadi penghuni asrama, September lalu.

Bagaimanapun, wanita itu disyaki mengandung terlebih dahulu sebelum masuk ke pusat bimbingan tersebut tetapi kandungannya tidak disedari penghuni lain.

Rakan seasrama yang enggan dikenali berkata, beberapa rakan sebilik menyedari kelainan pada tubuh wanita itu sejak beberapa bulan lalu dan bertanyakan sama ada dia mengandung, namun dinafikan.

“Bagaimanapun, ada rakan yang curiga dan menyedari sesuatu yang pelik dan dia membuat pengakuan hari ini (semalam) mengatakan dia telah melahirkan anak,” katanya.

Menurutnya, susulan pengakuan tersebut, pencarian dilakukan pengurusan asrama sebelum menemui mayat seorang bayi disumbat dalam tin biskut sebelum disembunyikan di tingkat atas tangki air pusat bimbingan.

Susulan itu, pengurusan asrama kemudian menghubungi pasukan polis memaklumkan penemuan berkenaan.

Difahamkan, mayat terbabit dipercayai disembunyikan sejak dua hari lalu antara jam 9 hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, polis akan menyiasat perkara berkenaan.

Menurutnya, mayat bayi lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

“Sementara itu, ibu bayi terbabit juga dibawa ke HSAH bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kita masih menyiasat secara terperinci sama ada bayi tersebut meninggal dunia terlebih dahulu ataupun dilahirkan tanpa cukup bulan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

New affordable Lumia smartphone - $70 (approx. RM258)


Microsoft has added a new model to its affordable range of Lumia smartphones.

Microsoft has added a new model to its affordable range of Lumia smartphones with the introduction of the Lumia 430 Dual SIM.

Featuring the latest Windows Phone 8.1 software, the phone will retail for an estimated price of $70 (approximately MYR 258), making it the most affordable Lumia that will be able to upgrade to Windows 10.

It also features a Qualcomm Snapdragon processor with a dual-core CPU running at 1.2GHz, and comes with Microsoft Office, Skype and OneDrive pre-loaded.

Set to come in orange or black, the Lumia 430 Dual SIM will launch in select markets in the Middle East and Africa, Asia-Pacific, Russia, Kazakhstan, and Belarus from April 2015, and in India toward the end of April 2015.

- Source: AFP RELAXNEWS

Rintihan penoreh, tiga kementerian digesa bincang


KUALA LUMPUR - "Kementerian Peladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar perlu duduk semeja bagi membantu meringankan beban penoreh getah sekarang".

Demikian permintaan Datuk Abdul Azeez (BN - Baling) ketika membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kehidupan penoreh getah sekarang berada di paras kemiskinan apabila harga getah menjunam sehingga RM2.00 sekilo dan perlu diberi perhatian sekarang.

"Tiga kementerian perlu ikhtiar untuk bantu mereka, duduk semeja bincang cara untuk mudahkan mereka.

"Mereka (penoreh) banyak sokong kita, bantulah mereka, kita takut mereka kecil hati nanti, waktu susah mereka tidak ditolong," katanya.

Jelasnya lagi, oleh itu pertemuan tiga kementerian tersebut perlu dilakukan sesegera yang mungkin bagi membolehkan dan mempercepatkan 'jalan' untuk membantu penoreh getah.

"Gesaan saya tiga kementerian ini perlu segera bertemu, jangan lagi ditunggu," katanya.

Sementara itu Datuk Mahfuz Omar (Pas - Pokok Sena) ketika mencelah berkata, dia sangat bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Ada yang jumpa saya kata mereka (penoreh) hanya makan ikan sardin tin dan beli beras dalam kuantiti timbangan dan bukannya di dalam paket kerana harga getah sekarang, yang sangat murah," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian