KUALA LUMPUR: China telah menuntut supaya kerajaan Malaysia meyediakan lebih banyak maklumat yang menyeluruh dan tepat mengenai pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang hilang semasa penerbangannya ke Beijing, Sabtu lalu.
Menurut laporan Reuters, pihak Kementerian Luar China berkata mereka telah mengikuti perkembangan insiden pesawat Boeing 777-200 itu secara dekat.
"Kami mahu pihak Malaysia terus menyalurkan kepada China maklumat yang mendalam dan tepat," kata kementerian tersebut yang turut menghantar pasukan teknikal ke Malaysia bagi membantu siasatan terhadap kehilangan pesawat itu.
Selain itu, kementerian itu turut mengulangi permintaan supaya Malaysia meningkatkan proses pencarian, dan meminta kerajaan untuk melibatkan lebih banyak negara dalam usaha tersebut.
Kata kementerian itu lagi, mereka juga akan berhubung dengan negara-negara berkaitan serta organisasi-organisasi antarabangsa untuk meneliti, memahami dan menentukan apa yang telah berlaku.
Dalam pada itu, China juga berkata mereka akan menyelaraskan pergerakan pencarian mereka dan meminta negara-negara berkatian yang terlibat untuk menyediakan bantuan.
Kata mereka, ia adalah tanggungjawab Malaysia dan MAS untuk menangani insiden kehilangan pesawat ini.
Sementara itu Malaysia menafikan tuduhan media antarabangsabahawa ia tidak prihatin terhadap keluarga mangsa pesawat MH370 kerana tidak menghantar wakil ke perjumpaan bersama keluarga berkenaan di Beijing, China.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia amat prihatin dengan keluarga berkenaan dan Kumpulan Kerja China juga telah mengadakan perjumpaan dengan Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Saruddin pada 8.20 malam, 13 Mac lepas.
Dalam perkembangan terbaru pada Sabtu, titik misteri yang dikesan dalam radar Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sekitar ruang udara di utara Malaysia sebelum hilang disahkan sebagai pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang sejak Sabtu lalu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengesahan pesawat tersebut dibuat berdasarkan data kasar dari satelit yang diperoleh dari penyedia data servis satelit.
Astro Awani